Saturday, October 31, 2009

BULOH or BambOO?

" ARchiteCTURE for LIFE "

Seni estetika buatan tangan

Mempamerkan seni estetika yang menawan. Ia jelas memerlukan kemahiran pembuatan yang tinggi.




"ORANG yang kaya rumahnya diperbuat daripada tembok (batu), orang yang betul-betul kaya rumahnya diperbuat daripada buluh." Itulah kata-kata yang pernah diungkapkan bekas Menteri Kehakiman Indonesia, Ismail Saleh.

Barangkali kata-katanya itu sukar untuk dicerna minda sesetengah kita kerana apa yang bermain di imaginasi jauh berbeza. Kita melihat dan membayangkan rumah buluh sebagai binaan tradisional yang daif dan dihuni oleh manusia yang hidup di luar arus pemodenan.

Sebenarnya, kata-kata Ismail itu merujuk kepada betapa sukarnya untuk mencari tenaga pakar untuk membuat rumah daripada buluh. Tidak seperti rumah batu yang pengusahanya boleh dicari dengan mudah. Lebih penting lagi, rumah buluh yang dibina bukan rumah buluh biasa yang ringkas, sebaliknya menerima suntikan moden dan bernuansa mewah!

Selama ini, kita di negara ini mungkin memandang sepi pada buluh. Kita memandangnya 'kosong' sekosong rongganya. Mungkin tidak terlintas pun di fikiran yang ia sebenarnya begitu berharga dan mampu menonjolkan ciri kemewahan. Paling baik pun, sekadar dijadikan tabung atau masakan lemang.

Banglo bambu

Kesempatan mengunjungi rumah buluh dua tingkat di sebuah kawasan di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini benar-benar membuka minda. Kediaman umpama banglo bambu milik Ramadhan Abdul Hamid bagai membuktikan rumah buluh boleh menjadi rumah yang dikomersialkan. Ia boleh dianggap sebagai kediaman buluh pertama seumpamanya di negara ini.

Aura nyaman mula menerpa saat kaki melangkah masuk ke dalam rumah tersebut pada tengah hari itu.

Lebih segar apabila mata melihat rekaan dalaman rumah yang didominasi warna coklat keperangan. Buluh-buluh beraneka saiz dan jenis itu membentuk dinding, tiang, penglari rumah bahkan lantai tingkat atas.

Kebanyakan perabot juga diperbuat daripada buluh.

"Rumah ini sendiri dah jadi macam pendingin hawa. Sebabnya, buluh itu mempunyai rongga yang boleh memerangkap haba panas dan apabila malam hari ia akan mengeluarkan bahang panas itu.

Itulah yang orang kata, sejuk di siang hari, hangat di malam hari. Hangat yang bukanlah terlalu panas sebaliknya rasa suam tak perlu pakai selimut.

"Kalau anda tidak percaya, cuba letakkan telinga anda pada buluh dan anda akan dengar bunyi seakan menderu. Itulah bunyi haba yang diserap dan dilepaskan," ujar Ramadhan meyakinkan.

Seni estetika

Mahligai bambu itu mempamerkan seni estetika yang menawan. Ia jelas memerlukan kemahiran pembuatan yang tinggi. Buluh betung yang besar dan mempunyai diameter yang lebih panjang sesuai menjadi tiang, buluh gombong untuk lapisan atap dan buluh tali untuk bahagian penglari.

Buluh-buluh diikat antara satu sama lain menggunakan tali ijuk yang berwarna lebih gelap demi memelihara keseniannya. Rumah buluh itu lengkap dengan bilik-bilik, ruang tamu, dapur, tandas dan anjung.

Bagaimanapun, rumah buluh itu bukanlah binaan buluh sepenuhnya. Ini kerana untuk menjadikan rumah buluh tahan lama hujung buluh tidak boleh ditempelkan terus pada tanah berikutan percampuran unsur basah dan kering.

Oleh sebab itu, bahagian bawah rumah dibina menggunakan batu simen atau dikenali sebagai umpak. Tambahnya lagi, buluh sarat nilai tradisional, justeru adalah sukar untuk menyerlahkan konsep moden dengan buluh semata-mata.

Itulah sebabnya ia turut digabungkan dengan sedikit elemen logam, cermin dan kayu.


RAMADHAN menyifatkan rumah buluh bersifat seperti pendingin hawa.


Material yang kuat

Dari pandangan mata kasar, buluh mungkin nampak tidak kuat, tetapi sebenarnya ia material yang amat kuat. Jambatan Sinchuan di China yang diperbuat daripada buluh masih digunakan lagi selepas 1,000 tahun.

Ia juga tidak mudah roboh atau musnah apabila dirempuh gempa bumi kerana sifat elastiknya.

Media-media di Indonesia melaporkan, ketika gempa bumi berlaku di Jawa Barat baru-baru ini, rumah-rumah buluh di Kampung Naga, Garut utuh seratus peratus sedangkan banyak rumah batu yang runtuh. Bahkan, kini terdapat usaha membina rumah buluh untuk penduduk-penduduk di kawasan lazim gempa di Indonesia dan China.

Jurutera-jurutera India dan British juga telah membuktikan bahawa rumah yang dibina daripada buluh mampu bertahan daripada gempa. Ujian ke atas prototaip rumah buluh yang dihentam dengan gegaran skala sebesar 7.8 skala Richter tidak roboh langsung, malahan catnya juga tidak merekah.

"Ia memang kuat. Hari itu saya menerima rombongan seramai 40 orang dan mereka ramai-ramai naik tingkat atas rumah ini tapi tiada masalah pun," kata Ramadhan. Bekas pegawai bank itu tinggal bersendirian di rumah yang baru sahaja siap itu.

Rumah buluh tersebut dibangunkan oleh sebuah syarikat pembinaan tempatan, Istana Bambu Sdn. Bhd. yang mahu melihat industri buluh berkembang di negara ini.

Ia diterajui oleh usahawan bercita-cita tinggi, Mior Shariman Moksin. Menurut Mior, rumah buluh di Hulu Langat itu merupakan projek pertama syarikat itu dan boleh dianggap sebagai 'salam perkenalan' terhadap industri rumah buluh di negara ini.


BULUH merupakan material yang kuat dan mempunyai keupayaan memerangkap haba.


Kegigihannya terserlah apabila sanggup berkunjung ke beberapa negara Asia untuk mempelajari dan menjalin kerjasama. Hasilnya dia telah menguasai teknologi pengawetan dan kemahiran pembuatan produk buluh. Selepas kira-kira dua tahun menimba ilmu, dia kini mula mempraktikkannya di negara ini.

"Bukanlah satu tugas mudah untuk memulakan industri baru di Malaysia, banyak yang perlu dipelajari, masa yang dikorbankan dan wang ringgit yang dilabur untuk memastikan industri buluh menjadi antara penyumbang kepada sumber pendapatan bagi rakyat dan negara ini" katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, negara-negara jiran telah mempunyai industrinya sendiri dan telah menembusi pasaran Eropah, Amerika, Asia Barat dan lain-lain. Melihatkan pasaran yang terbentang luas Mior mengajak masyarakat Malaysia untuk bersama-sama membangunkan industri ini.

Potensi

Mior mengharapkan industri buluh di negara ini akan berkembang dan memberi perolehan yang besar buat negara. Buluh terbukti memberikan keuntungan yang besar buat negara-negara jiran seperti Vietnam.

Kira-kira 45 peratus daripada resort buluh di Hawaii diusahakan oleh Vietnam.

"Kita mempunyai keseluruhan 421,719 hektar tanaman buluh di Semenanjung Malaysia. Mengapa kita tidak memanfaatkannya?" katanya yang banyak menerima undangan memberi ceramah mengenai buluh termasuk dalam Forum Buluh: Material Untuk Milenium Baru di Pusat Sains Negara beberapa bulan lalu.


SYARIKAT Istana Bambu Sdn. Bhd. mampu menghasilkan produk-produk berasaskan buluh dengan rekaan moden.


Apakah kelebihan rumah buluh? Mior berkata, pembuatan rumah buluh juga bersifat ekonomi kerana ia cepat dan murah. Bahkan, harga buluh juga secara relatifnya lebih murah daripada kayu.

"Untuk membuat sebuah rumah berkeluasan 8 x 8 meter memerlukan kira-kira 4,600 batang buluh. Ia boleh disiapkan selama 20 hari sahaja kalau tidak hujan.

"Kita menawarkan beberapa pilihan rekaan rumah untuk dipilih oleh pembeli. Terdapat juga pakej rumah lengkap dengan perabot-perabot buluh yang direka oleh pihak kami," ujarnya.

Kepada mereka yang ingin mengetahui lanjut mengenai Istana Bambu, rumah dan harga yang ditawarkan bolehlah menghubungi Istana Bambu di talian 019-338 1858, e-mel di alamat info@istanabambu.com atau layari istanabambu.com.

2 comments:

Anonymous said...

RUMAH BULUH INI TIDAK DIBUAT OLEH ISTANA BAMBU SDN.BHD. YG DITERAJUI OLEH SAORANG "CEO" BERCITA CITA TINGGI BERNAMA MIOR SHARIMAN MOKHSIN.BERHATI HATI DENGAN MAMAT NI.

YG BENAR
MOHD RAMADHAN
istan-nambu-undagi.blogspot,com

Anonymous said...

MOHD RAMADHAN
istana-bambu-undagi,blogspot.com

Related Posts with Thumbnails