Friday, October 30, 2009

Khutbah Jumaat - 30 Oktober 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "
"PENYAKIT HATI"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

"(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Berdasarkan ayat 28 dalam surah Ar-Ra'du yang dibacakan diawal khutbah tadi, marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, kerana zikir ini dapat memberikan ketenangan hati kepada seseorang.

Sesungguhnya hati manusia memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk peribadi seseorang insan. Hati yang baik akan melahirkan tingkah-laku yang baik dalam diri seseorang, manakala hati yang tidak baik pula akan menzahirkan sifat-sifat keji dan mazmumah dalam diri seseorang insan.

Rasulullah SAW bersabda;

"Bahawa di dalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging, sekiranya baik daging tersebut maka baiklah seluruh tubuhnya tetapi sekiranya rosak daging tersebut maka rosaklah seluruh tubuh, daging tersebut ialah hati"

(Riwayat Bukhari dan muslim)

Imam Gazali ra membahagikan atau ‘Al-Qalbu' kepada dua pengertian iaitu;

Pertama: Hati sebagai segumpal daging yang terletak di dada sebelah kiri manusia yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia.

Kedua: Hati dalam erti yang halus bersifat ketuhanan dalam rohani yang ada hubungan dengan hati jasmani yang pertama tadi. Hati dalam erti kata yang kedua ini disebut juga sebagai jiwa dan perasaan yang mendorong manusia melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan. Kebaikan yang dilakukannya oleh manusia adalah kerana hati dan rohaninya baik, sedangkan kejahatan yang dilakukannya pula adalah kerana hati dan jiwanya telah rosak dan sakit.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Penyakit hati adalah berpunca daripada sifat-sifat keji (mazmumah)yang wujud dalam diri manusia, didalangi oleh iblis dan syaitan laknattullah. Dan syaitan adalah musuh yang sentiasa berusaha untuk memiliki dan menguasai hati dan jiwa anak-anak Adam sehinggalah hari kiamat. Oleh kerana itu, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk memelihara hati daripada dimasuki dan dikuasai oleh syaitan.

Imam Gazali menyatakan di dalam kitab ‘Ihya' Ulummudin ada dinyatakan bahawa hati manusia akan dapat dikuasai oleh syaitan melalui beberapa cara, antaranya;

*Perasaan Marah.

Syaitan akan sentiasa mengapi-apikan sehingga manusia sanggup melakukan perkara-perkara di luar batas kemanusiaan.

*Perasaan Hasad Dan Dengki.

Syaitan juga akan mengapi-apikan sehingga menyebabkan berlakunya fitnah-menfitnah sesama manusia.

*Apabila Manusia Mengutamakan Nafsu Shawat.

Syaitan akan melalaikan manusia daripada melakukan Solat dan Zikrullah.

*Sifat Bakhil Dan Kedekut.

Penyebab kepada manusia susah untuk bersedekah dan menginfaqkan hartanya pada perkara-perkara kebaikan.

*Terlalu Tergopoh-Gapah Dan Tidak Istiqamah Dalam Berbagai-Bagai Urusan.

Bersikap fanatik terhadap perasaan sendiri dan meremehkan pendapat orang lain, kerana syaitan akan menimbulkan jalan bahawa perbuatan itu adalah benar dan menyangka ia telah berbuat kebaikan. Bersangka buruk sesama umat Islam, sentiasa berperasaan was-was dan lain-lain lagi.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Apabila hati manusia telah dapat digoda dan dipengaruhi oleh bisikan syaitan, maka akan timbullah pula berbagai jenis penyakit hati, antaranya:

1: Sentiasa memenuhi kehendak dan tuntutan nafsu syawat dan mengenepikan tuntutan agama. Golongan ini dianggap sebagai bertuhankan nafsu sendiri. Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 43;

‘Terangkan kepadaku (wahai Muhammad) tentang keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi penjaga (yang menjaganya supaya tidak sesat?)'

Sentiasa melakukan kesalahan demi kesalahan dan tidak pernah pula menyesal atas kesalahan yang telah dilakukan. Golongan ini sentiasa menambah dosa diri dari sehari ke sehari sehinggalah hati mereka tertutup dari menerima hidayah Allah SWT.

2. Di antara tanda hati yang sakit juga ialah apabila kemewahan dunia telah menguasai diri seseorang, maka pada saat itu ia tidak lagi mengingati kehidupan akhirat dan tidak akan berusaha untuk mendapatkannya. Rasa tamak haloba yang bersarang dalam hatinya menyebabkan ia terus mengejar kekayaan di dunia dengan apa cara sekalipun, tidak mengira halal haram sehingga sanggup melakukan penipuan, rasuah dan sebagainya semata-mata ingin menggapai apa yang dihajati daripada milik orang lain.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud;

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang batil (yang salah menurut syara') dan janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)"

Sidang jumaat yang dirahmat Allah,

Apa yang kita lihat dikalangan masyarakat kita pada hari ini, terjadinya perselisihan faham, kekecohan, pergaduhan, perebutan kuasa dan sebagainya adalah disebabkan oleh perasaan hasad dengki dan tamak haloba yang telah bersarang di dalam hati mereka. Mereka hanya mengutamakan nafsu dan kepentingan diri sendiri sehingga sanggup melontarkan berbagai-bagai tuduhan dan fitnah kepada kesepaduan masyarakat umum. Akibatnya masyarakat menjadi berpecah-belah dan kehidupan mereka menjadi tidak tenteram. Dalam keadaan begini pun, mereka masih lagi mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk memenuhi keinginan nafsu syawat mereka.

Sidang jumaat yang berbahagia,

Penyakit hati yang disebabkan dari sifat-sifat Mazmumah, jika tidak diubati pasti akan merosakkan ahklak dan budi pekerti seseorang muslim. Oleh kerana itu, hati manusia yang telah sakit itu perlulah diubati segera bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat sekeliling.setiap penyakit pasti ada ubatnya. Maka, apakah ubatnya yang paling mujarab untuk menyembuhkan hati yang telah sakit itu? Apakah dengan berhibur di pusat-pusat hiburan seperti karaoke sebagainya atau dengan menuntut filem-filem yang melalaikan? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah dengan memperbanyakkan Zikrullah.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra'du ayat 28:

"(Yaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati dengan zikrullah" ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."

Perlu diingati bahawa Zikrullah itu bukan sahaja di majlis-majlis tertentu, bahkan ianya hendaklah dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa yang kita inginkan sama ada kita sedang berdiri, duduk, berbaring dan sebagainya.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah SWT, marilah kita membersihkan jiwa kita daripada sifat-sifat Mazmumah yang menjadi penyebab kepada berlakunya penyakit hati. Hendaklah kita sentiasa mengingati Allah SWT dan bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan olehnya kerana dengan cara demikian kita akan dapat menundukkan perasaan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam bentuk penyakit hati yang lain.

"Oleh itu, ingatlah kamu kepadaku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang), supaya aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatku)"

(Al-Baqarah ayat 152)

Khutbah Kedua

Ya Allah, Engkaulah Tuhan Yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadrat yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehungga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan Negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Bacaaan 30 Oktober 2009

No comments:

Related Posts with Thumbnails