Thursday, October 15, 2009

MEMBINA IMEJ DIRI YANG POSITIF

" ARchiteCTURE for LIFE "

MEMBINA IMEJ DIRI YANG POSITIF
Written by : Hajah Fozilah Abd Hamid

MEMBINA IMEJ DIRI YANG POSITIF

Membina imej diri yang positif adalah kunci bagi kita membina kebahagiaan hidup. Bila kita ada perasaan selesa dengan diri kita, orang yang di sekeliling juga akan rasa selesa dengan diri kita. Sebaliknya pula bila kita membenci diri kita, kita turut membenci orang yang di sekeliling kita. Bagaimana agaknya riaksi orang yang disekeliling kita bila kita dalam keadaan begitu ?

Cuba bayangkan , jika kita memandang diri kita sebagai orang yang tidak berguna, hanya menjadi beban kepada orang lain, ibarat melukut di tepi gantang yang hadirnya tidak memberi makna. Keadaan-keadaan ini sudah barang tentu menimbulkan rasa rendah diri bagi empunya diri apatah lagi ianya seolah memberikan peluang kepada orang di sekeliling untuk turut memandang rendah dan mengambil kesempatan pada diri kita. Sukakah kita untuk terus berada dalam keadaan begini ?

Cuba bayangkan lagi, jika kita berterusan dalam keadaan begitu, apakah akhirnya yang akan berlaku pada diri kita ? Jika kita sebagai seorang pelajar yang berterusan merasa rendah diri, mempercayai diri sering lemah dan tidak berkeupayaan, apakah kita berupaya mengikuti pembelajaran kita dengan baik apatah lagi memperolehi pencapaian yang cemerlang ?

Begitu juga bayangkan jika kita adalah seorang staf di sebuah organisasi apakah sumbangan yang mampu kita berikan pada diri sendiri selain mendapat gaji tetap secara bulanan, jika sering meletakkan diri sebagai lambat memahami arahan, tidak berkeupayaan melakukan tugasan yang diberikan ketua. Bagaimana agaknya nanti hubungan dengan rakan-rakan sekerja, hubungan dengan majikan dan paling utama keyakinan kita pada diri sendiri.

Jelasnya membina imej diri yang positif adalah penting kerana ianya memberikan keyakinan pada diri seterusnya kepada orang di sekeliling.

BEBERAPA CONTOH IMEJ DIRI YANG NEGATIF

<>

* rendah diri

* terlalu cemburu

* bercakap perkara negatif tentang diri

* tidak mahu memberi dan menerima penghargaan

* terlalu banyak mengkritik orang lain

* tidak berkebolehan menerima dan meraikan kegembiraan

* sering membandingkan diri dengan orang lain (pandang rendah)

TIPS MEMBINA IMEJ DIRI YANG POSITIF

1. Terimalah diri anda secara seluruhnya

Individu yang memiliki imej diri yang negatif sering memandang rendah apa yang dimilikinya. Mungkin ia merasakan kulitnya tidak cantik dan sehalus orang lain , hidungnya tidak cukup mancung, bulu matanya tidak cukup melentik dan sebagainya. Tidak ada yang cantik dalam dirinya di matanya. Untuk membina imej diri yang positif, kita perlulah bersyukur dan rasa selesa dengan apa yang kita miliki.

Terimalah dengan redha rupa paras yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dianugerahkan termasuklah warna kulit, ketinggian berat badan, status ekonomi dan sebagainya. Terima dengan redha apa yang Allah anugerahkan yang secara nyatanya tidak boleh diubah

Cuma ubahlah satu perkara yang utama iaitu SIKAP KITA TERHADAP DIRI KITA !!

2. Bina sikap yang positif terhadap diri sendiri

Berikanlah tumpuan pada kekuatan dan potensi yang kita miliki. Senaraikan semua keistimewaan yang kita lihat pada diri. Hargainya dengan pujian dan kata-kata betapa kita menyayangi diri kita.

Jangan dihantui dengan kelemahan dan kesilapan yang berlaku. Bebaskan diri dari rasa takut dan bersalah. Jangan dibelenggu dengan pemikiran-pemikiran negatif mengenai diri.

3. Singkirkan fikiran yang negatif terhadap diri

Tentu pernah membaca cerita klasik mengenai Rapunzel. Bagaimana akhirnya beliau bebas dari penjara apabila didatangi oleh anak raja yang memuji rupa parasnya. Dengan menguraikan rambutnya yang panjang di luar jendela penjara, Rapunzel berjaya menyelamatkan diri. Bebasnya Rapunzel adalah kesan dari kepercayaan beliau terhadap dirinya yang sebenarnya memiliki rupa paras yang cantik dan tidak sebagaimana tohmahan dari ahli sihir yang menyatakan beliau memiliki rupa paras yang buruk.

Rumusannya bebaskanlah fikiran kita dari memikirkan perkara yang negatif tentang diri kita, perkara yang tidakpun wujud yang akhirnya memerangkap diri dari melakukan perkara yang memberikan menafaat pada diri .

4. Beberapa peneguh kata untuk menjadikan diri istimewa

# Setiap hari saya akan berterusan menyayangi dan menghargai diri

saya

# Saya sayangi semua yang ada pada diri saya – tubuh badan saya,

pemikiran dan perasaan saya.

# Dengan menyayangi dan menghargai diri sendiri, saya boleh

memberikan kasih sayang pada orang lain

# Saya seorang yang menarik , ceria dan punyai hubungan yang baik

dengan orang di sekeliling saya

5. Lain-lain tindakan

Belajarlah untuk menerima dan memberi pujian/penghargaan pada

orang lain

Selalulah berkata positif tentang diri sendiri

√ Beri pujian pada diri

Jaga kesihatan diri anda dengan rajin bersenam

Bergaullah dengan orang-orang yang punyai imej diri yang positif

Baca buku dan bahan-bahan bacaan yang boleh membina diri

√ Selalulah beri gambaran yang positif ten tang diri dan bukan perkara-

perkara yang negatif

PENUTUP

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Pembinaan imej diri yang positif bermula dengan apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Dengan itu berfikirkanlah secara positif tentang diri sendiri. Sayangilah diri dan kita akan disayangi oleh orang lain.

HAJAH FOZILAH BT. ABD. HAMID (K.B.,P.A)

Kaunselor Kanan

INTEC

UiTM Kampus Seksyen 17

Julai 2007

Rujukan :

  • Shahreen Kamaluddin. 2001. You are what you believe. Kuala Lumpur: Personal Empowerment Training & Consulting Sdn. Bhd.
  • No comments:

    Related Posts with Thumbnails