Thursday, October 22, 2009

Khutbah Jumaat - 23 Oktober 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "
"BERSAMA MEMBENDUNG PERPECAHAN UMMAH"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita meningkatkan sifat-sifat taqwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha tersebut menjadikan kita sebagai hamba Allah yang benar-benar bersyukur atas segala nikmat pemberiannya. Firman Allah s.w.t di dalam surah Ali-‘Imran ayat 133:

"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada tuhan kamu dan mendapat Syurga yang luas seluas Langit dan Bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa".

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya malapetaka yang paling besar bagi umat Islam ialah apabila berlaku perpecahan dan perselisihan faham sesama mereka. Ini kerana kunci utama kekuatan umat Islam ialah apabila mereka memiliki sifat kasih dan sayang. Hanya dengan kembali melaksanakan Syariat Islam sahajalah, umat Islam akan dapat menebus kembali kegemilangan yang telah hilang sejak 3 Mac 1924 iaitu tarikh kejatuhan empayar khilafah Islam Othmaniah yang terakhir diterokai.

Kerajaan Islam zaman dahulu amat kuat dan digeruni oleh musuh-musuh Islam hasil tarbiah Nabi bersama para sahabat. Usaha ini kemudiannya diteruskan oleh khulafa ar-Rashidin dan khalifah-khalifah Islam yang selepasnya. Wujudnya perpaduan yang kukuh itu disebabkan umat Islam yang bernaung di bawah satu kepimpinan yang mendukung ketauhidan kepada Allah s.w.t dalam segenap aspek sehingga kerajaan Islam menguasai hampir 2/3 dunia.

Benarlah kata-kata As-Shahid imam Hassan al-Banna', seorang pemimpin ulung jemaah Ikhwanul Muslimin:

"Berkasih sayanglah antara satu sama lain, berusahalah membina ikatan ukhwah yang kukuh. Ia adalah rahsia kekuatanmu dan tunggak kejayaan kamu".

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Inilah rahsia kekuatan umat yang amat digeruni oleh musuh-musuh Islam. Mereka dengan sedaya upaya berusaha untuk memecahkan kesatuan umat Islam dengan pelbagai cara termasuklah menanamkan kefahaman dan ideologi ciptaan mereka di dalam pemikiran umat Islam disamping menjauhkan jiwa dan roh mereka daripada mentaati segala perintah Allah s.w.t.

Kesannya, kita lihat kini umat Islam dihina, diinjak dan dipermain-mainkan oleh musuh Islam. Minda umat Islam disogokkan dengan kefahaman dan keyakinan bahawa kemajuan hanya boleh diperolehi dengan cara dan acuan Barat sahaja. Akhirnya wujudlah dikalangan umat Islam yang memandang tinggi tamadun Barat dan melihat tamadun Islam sebagai jumud, mundur dan ketinggalan.

Terdapat segelintir dikalangan umat Islam tidak merasakan umat Islam yang lain adalah saudara mereka. Apabila saudara seIslam kita dibunuh di Palestin, Kashmir, Afghanistan, Iraq, para wanita diperkosa, orang-orang tua diperlakukan seperti haiwan oleh musuh Islam, kita hanya mampu memandang sahaja tanpa ada sekelumit kepedulian kita terhadap nasib mereka di sana.

Lebih menyedihkan lagi, diwaktu para isteri di Iraq meratapi kematian suaminya, ibu-ibu Palestin menangisi kehilangan anak-anak dan saudara-mara mereka, ada dikalangan kita yang begitu pemurah mengalirkan air mata menangisi idolanya yang tersingkir dalam program realiti television, meratap kesedihan melihat rancangan drama dan filem. Sebaliknya, begitu mahal pula untuk mengalirkan air mata melihat keperitan yang ditanggung oleh saudara seislamnya yang tertindas dan terjajah di Negara sendiri.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Tiada jalan lain untuk kita menjadi satu umat Islam yang kuat dan dihormati melainkan dengan kita kembali melaksanakan tuntutan Islam dengan bersungguh-sungguh dalam segenap Aspek kehidupan. Dengan iltizam dan kesungguhan yang kuat, kecintaan dan keyakinan kita kepada pertolongan Allah s.w.t sahajalah akan meletakkan kita kembali sebagai satu umat yang gemilang di dunia dan akhirat.

Ukhwah Islamiah secara jelas, terang dan nyata menjadi asas perpaduan umat Islam. Rasulullah pernah bersabda yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud:

"Perumpamaan orang-orang mukmin dari segi kasih sayang, hormat-menghormati, kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh; apabila mengadu sakit salah satu anggota daripadanya, maka seluruh tubuh akan merasa sakit dengan berjaga malam dan demam".

Tidak syak lagi bahawa perpaduan dan persaudaraan dikalangan umat Islam memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan dan mengukuhkan keharmonian dan keamanan bagi sesebuah negara dan bangsa. Perpaduan ini jugalah yang akan menentukan kejayaan dan kemajuan tamadun umat Islam. Sebaliknya perpecahan akan menyebabkan kegagalan, kemunduran dan kemusnahan.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Hayatilah sabda rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Jagalah diri kamu dari berprasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah perkataan yang paling dusta dan janganlah kamu sengaja mencari-cari kesalahan. Janganlah kamu intip-mengintip, janganlah kamu berlumba-lumba mengatasi saudaramu dan janganlah berdengki-dengkian, janganlah benci-membenci dan janganlah kamu pulau-memulaukan. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara".

Berdasarkan hadith di atas, kita hendaklah menjaga diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan ukhwah sepertimana yang diterangkan dalam hadith di atas. Ukhwah dan perpaduan itu suatu yang tidak ternilai harganya yang wajib dipelihara. Oleh itu, Ukhwah dan perpaduan merupakan nikmat kurniaan Allah seperti yang diterangkan dalam firmannya, surah Al-Anfal ayat 63:

"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara hati mereka. Sesungguhnya Dia maha kuasa lagi maha bijaksana".

Kita wajib menyedari bahawa iblis laknatullah, para syaitan durjana dan musuh-musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk memesongkan aqidah, meracuni keimanan dan kepercayaan seorang Muslim. Apabila iman sudah rapuh, maka akan mudahlah anasir yang tidak sihat masuk ke dalam diri manusia, sekaligus akan berlakulah segala perpecahan di dalam kesatuan umat dan Negara. Kita juga akan dipergunakan oleh musuh-musuh Islam bagi memecahkan belahkan kekuatan umat Islam dari dalam. Inilah yang dirancang dan dicita-citakan oleh mereka. Mereka sebenarnya tidak akan dapat duduk diam melihat kita bersatu, maju dan berkembang.

Ketahuilah, bahawa di setiap sudut dan ruang, kehidupan umat Islam sentiasa diawasi dan di kelilingi oleh perangkap musuh-musuh Islam. Berbagai cara dan taktik diperkenalkan di dalam ruang kehidupan atas nama kemajuan dan kebudayaan. Inilah yang sering menyebabkan kita selalu lalai dan alpa, yang akhirnya memerangkap kita tanpa disedari.

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Setiap diri kita wajib berperanan untuk menjadi pencetus perubahan ke arah memantapkan perpaduan sesama kita. Setiap individu Muslim akan dapat menikmati kemanisan ukhwah Islam dengan memastikan bahawa kita tidak menjadi penyebab kepada perpecahan umat. Ini dapat dilaksanakan dengan cara kita kembali bersama-sama kepada hukum Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat 65:

"Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakihatnya) belum lagi beriman hinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap apa yang telah kamu putuskan dan mereka menerima dengan sepenuhnya".

Selain daripada itu, kita wajib memiliki akhlak Islam demi memelihara ukhwah dan perpaduan. Pendekatan menyerang dan menghukum perlu dielakkan. Sebaliknya pendekatan mesra masyarakat perlu diutamakan demi menunjukkan bahawa Islam adalah rahmat kepada seluruh alam dan sesuai untuk semua manusia tanpa mengira jantina, kaum dan warna kulit.

Firman Allah s.w.t di dalam surah an-Nahl ayat 125:

"Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalannya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk".

Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,

Marilah kita menguatkan kembali ikatan kesatuan Islam dan memperkasakan ikatan persaudaraan kita menuju kepada matlamat yang satu iaitu mendaulatkan kembali Islam sebagai syariat yang dilaksanakan di atas muka bumi Allah ini. Hanya kepada Allah s.w.t tempat kita kembali dan memohon pertolongan agar seluruh hati umat Islam hari ini bersatu dalam satu wadah dan satu matlamat perjuangan.

"Katakanlah, ya Allah, pemilik alam kerajaan ini, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau mengambil kekuasaan itu daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki, di tangan Engkau (ya Allah) segala kebaikkan, sesungguhnya Engkau maha berkuasa atas segala sesuatu".

(Ali-Imran: 26)

No comments:

Related Posts with Thumbnails