Friday, July 24, 2009

Khutbah Jumaat - 24 JULAI 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "
"AQIDAH ISLAM DAN PERANANNYA"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T, dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan Allah S.W.T melorongkan jalan yang mudah untuk kita terus bertakwa. Hanya dengan bekalan kita akan beroleh kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Tingkah laku sosial sebahagian umat Islam ketika ini tanpa mengira kedudukan tua atau muda, berpendidikan atau tidak semacam tergambar, betapa lemahnya akidah dan keimanan mereka. Kehidupan mereka semakin kalis dengan tuntutan agama. Dalam institusi kekeluargan, ibu bapa semacam kehilangan panduan. Dalam institusi pendidikan, guru-guru semacam buntu dari segi pendekatan dan dalam komuniti bernegara, pemimpin semacam kehilangan kepercayaan. Masalah sosial semakin sukar dibendung. Walaupun masalah ini sering dikaitkan dengan golongan remaja, tetapi hakikatnya ia berlaku tanpa mengira umur dan latar belakang. Sesetengah puncanya dirancang dan diprogramkan oleh golongan tertentu dengan menggunakan istilah-istilah yang menarik. Contohnya istilah "perkhidmatan" digunakan dalam aktiviti maksiat, "program menjana ekonomi" dalam sendikit penipuan, istilah "strategi" dalam pendekatan menegakkan kepalsuan, istilah "beramal" untuk menghalalkan cara dan berbagai-bagai lagi.
Akidah atau Tauhid mempunyai maksud yang sama. Iaitu berkaitan ilmu yang menjelaskan kepercayaan seseorang tentang ketuhanan, kerasulan dan perkara-perkara Sam'iyah, iaitu ghaib yang hanya diketahui dan didengar melalui Al-Qur'an dan Al-Hadith. Selain itu ilmu ini juga dapat mendedahkan kebatilan dan pendustaan khususnya dari kalangan musuh-musuh, terhadap orang yang beriman. Oleh itu Aqidah Tauhid mempunyai peranan di dalam pembinaan syaksiah dan jati diri seseorang.
Para Ulama' Islam sepakat mengatakan bahawa Aqidah Tauhid adalah dasar yang paling utama untuk mengenal Allah dan menjadi pokok serta dasar pemikiran dalam membentuk kerangka dan perjuangan membina Tauhid secara sepadu disamping ia mengandungi ajaran yang seimbang antara jasmani dan rohani, antara kebendan dan kemanusiaan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Selain mendasari pemikiran, Aqidah juga mendasari amalan. Amalan seseorang walau sebaik mana sekalipun, tidak akan diterima oleh Allah s.w.t kecuali dilakukan oleh orang yang beriman yakni berpegang kepada Aqidah yang benar dan sah, Ini kerana amalan orang yang tidak mempunyai Aqidah, tidak akan mengambil kira dari segi sah atau batal, halal atau haram, suruhan atau larangan. Mereka juga tidak mengharapkan pahala serta tidak takut akan siksaan hari kemudian dan seterusnya beramal dan bekerja bukan kerana untuk mendapat keredhan Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Iman ada tingkatan tinggi dan rendahnya. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: "Iman ada mempunyai tujuh puluh atau mempunyai enam puluh cabang, maka yang sebaik-baik ucapan perkataan "La Ilaha IllaAllah" dan serendah-rendahnya membuang sesuatu benda yang menyakiti manusia di tengah jalan dan malu itu sebahagian dari cabang Iman."
(Muttafaqun Alaih)
Selain itu keimanan seseorang boleh dikesan dan dilihat tanda-tandanya. Melakukan suruhan dan meninggalkan larangan dari yang sekecil-sekecilnya adalah gambaran yang terjelma dari dorongan keimanannya. Justeru, Iman seseorang boleh bertambah dan boleh berkurang. Bertambah disebabkan ketaatan dan berkurang disebabkan keingkarannya dalam melaksanankan tanggungjawab kepada Allah s.w.t.
Dalam suatu peristiwa, Saidina Umar bin Al-Khatab r.a. telah mengajak sahabat-sahabatnya menambahkan Iman mereka dengan memperbanykkan Zikrullah, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Ja'far dari datuknya Amir bin Habib seorang sahabat Rasulullah s.a.w. katanya yang bermaksud:
"Iman itu bertambah dan berkurang, lalu sahabat bertanya:
"Bagaimana bertambah dan bagaimana berkurang?". Jawabnya: "Apabila menyebut dan mengingati Allah dan memujiNya (Mengucapkan Al-Hamdulillah) serta mensucikannya (menyebut SubhanaAllah), maka itu menyebabkan Iman bertambah."
Lupa dan lalai boleh membawa kepada implikasi yang buruk. Lalai dan lupa boleh menyebabkan seseorang terlanjur melakukan kemungkaran, kerana ia lupa yang perbuatannya itu diperhatikan oleh Allah s.w.t. Selain itu juga jika seseorang melupakan Allah, Allah akan melupakannya. Amat malang sekali, jika dirinya dilupakan oleh Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Hasyr ayat 19:
Bermaksud:
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik".
(Al-Hasyr ayat 19)
Orang yang beriman, amat peka dalam menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap gerak kerjanya. Justeru, itulah golongan ahli khawas iaitu golongan yang tinggi martabat keimanannya, bertaubat kepada Allah s.w.t. bukan kerana dosanya, tetapi kerana mungkin berlaku detik-detik kelainannya dalam mengingati Allah.
Mereka juga bertaubat sebagai tanda bersyukur di atas nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Ini berbeza dengan orang awam, mereka bertaubat kerana melakukan dosa. Bahkan kadang-kadang sudah melakukan dosa pun tidak terfikir untuk bertaubat, sebaliknya terus mengulangi dosa dan kadang-kadang ada berbangga-bangga dengan perbuatan dosanya.
Pandangan orang beriman amat berbeza dengan pandangan orang yang tidak beriman. Pandangan orang beriman dipandu oleh cahaya hidayah. Oleh itu mereka berasa kasihan melihat keadaan orang yang tidak beriman, yang tertipu oleh dirinya sendiri dan jauh daripada hidayah Allah s.w.t. Pandangan mereka banyak didorong oleh runtunan nafsu amarah serta bisikan dan tipu daya syaitan. Mata hatinya buta, anggota dan pancaindera menjadi alat bagi memuaskan segala keinginannya. Bagi orang yang tidak beriman pula, pandangannya terbalik, mereka berasa pelik dan hairan melihat sikap orang yang beriman serta menyifatkan sebagai jahil dan rugi. Sedang pada hakikatnya, merekalah yang jahil dan merekalah yang rugi.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 122:
Maksudnya:
"Adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian kami menghidupkannya semula (dengan hidayah), lalu kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia (adakah orang yang demikian keaadannya) sama seperti yang tinggal tetap dalam gelap gelita (kufur), yang tidak dapat keluar samasekali daripadanya? Demikianlah kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik ape yang mereka kerjakan".
Memandangkan iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, marilah kita berusaha menambah dan menyuburkan keimanan kita, menyiram dan membaca melalui amal soleh yang merangkumi ibadat umum dan ibadat khusus. Dalam ibadat umum dengan menerapkan konsep ihsan dalam kerja-kerja harian kita, iaitu meyakini sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa melihat ape yang kita lakukan walaupun kita tidak melihatnya. Selain itu bersikap ikhlas dan jujur serta bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja ia juga berusaha untuk melakukan penambah baikkan yang berterusan.
Begitu juga dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadat khusus. Dengan membiasakan yang sunnah, akan dapat memelihara yang wajib. Dengan meninggalkan yang makruh akan dapat menghindari yang haram. Dari segi makan minum pula bikan sahaja ia memastikan yang halal tetapi baik, yakni berkahsiat. Falsafahnya bukan hidup untuk makan, tetapi makan untuk menjaga kesihatan supaya dapat berbakti kepada Allah SWT Kerana dari makan minumlah punca segala penyakit, sama ada penyakit jasmani atau rohani.
Sebagai manusia biasa, kita selalu mudah untuk membuat rawatan penyakit jasmani, tetapi bagaimana dengan usaha mengesan dan merawat penyakit rohani kalau kita sentiasa dilalaikan dengan kesibukkan bekerja, keseronokkan bersukan dan keasyikkan berhibur? Hanya iman sahajalah yang dapat memandu dan menentukan jalan yang benar. Anak kuncinya ialah ilmu, maka sekurang-kurangnya hadirilah majlis-majlis ilmu dan belajarlah secara berguru dengan guru-guru yang dimaklumi. Tepuklah dada dan tanyalah iman kita.
Dalam kesempatan ini marilah kita sama-sama menilai diri kita, sama ada kita benar-benar memahami tentang aqidah dan hakikat tuntutan iman. Ditahap mana kedudukan iman kita, kuat atau lemah, tinggi atau rendah. Adakah tindakan-tindakan kita selari dengan dorongan dan tuntutan keimanan yang sebenar?
"Sesiapa Yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa Yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya."
(Fussilat ayat 46)
Khutbah Jumaat Bacaan 24 Julai 2009

Sunday, July 19, 2009

Anthems

" ARchiteCTURE for LIFE "

video
SELANGOR (Red Giant)

video
TERENGGANU (Sang Penyu)

Man Utd (3) vs Malaysia (2)

" ARchiteCTURE for LIFE "

video

Goals SCORER:

Man Utd (Rooney)
Man Utd (Nani)
Malaysia (Amri Yahya)
Malaysia (Amri Yahya)
Man Utd (Owen)

Leave your comments here:
MALAYSIA BOLEH + GLORY MAN UTD

Friday, July 17, 2009

Khutbah Jumaat - 17 JULAI 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "
JIHAD DI BUMI ISRAK
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Bulan Rejab sangat berkait rapat dengan peristiwa Isra' dan Mi'raj. Ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT yang memperjalankan hamba iaitu Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa, Baitul Muqadis di Palestin dan seterusnya Nabi s.a.w di angkat kelangit untuk bertemu dengan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 1:
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."
(Al-Isra' ayat 1)
Peristiwa ini berlaku dua tahun sebelum bginda hijrah ke Madinah. Ia sangat menguji keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap kekuasan Allah serta bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad SWT kerana bagi pandangan orang-orang yang tidak beriman atau tipis imannya mereka menyatakan bahawa peristiwa Isra' dan Mi'raj ini tidak mungkin akan berlaku dan tidak mempercayainya. Tetapi bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasulnya, mereka bertambah tetap keimanannya dan keyakinan serta meperakui kebenaran peristiwa tersebut.
Walaupun nabi sentiasa mendapat ujian dengan kematian isteri tersayang iaitu Saidatina Khadijah yang menjadi pendorong dakwah dan perjuangan baginda, kemudian kematian bapa saudaranya Abu Talib yang menjadi penaung daripada asakan dan tekanan kafir Quraish, namun baginda tetap bersabar dan tabah menghadapinya, baginda tidak bertindak balas terhadap penganiayaan tersebut, tetapi sebaliknya baginda berdoa dengan penuh harapan atas pertolongan Allah SWT.
Inilah tahunnya yang digelar tahun dukacita ‘Amul Hazan', lantas Allah SWT mengangkat baginda di Isra' dan Mi'rajkan, untuk mendorong serta menghiburkan hati baginda SAW.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Setiap kali kita membicarakan peristiwa Isra' dan Mi'raj, maka jiwa kita akan tersentuh, mengenang nasib kedudukan dan keadaan bumi Isra', iaitu Baitul Muqadis dan Masjidil Aqsa yang kini dijajah oleh Yahudi La'natulllah. Pada suasana kita menyambut Isra' dan mi'raj ini umat Islam akan segera memperingati nakbah atau malam petala yang meninpa umat Islam Palestin yang sehingga kini terus menderita sejak 61 tahun yang lalu.
Cengkaman ini bermula semenjak persidangan Basel di Switzerland pada 31 Ogos 1897 iaitu permulaan kepada sejarah tercetusnya gerakan untuk menubuhkan sebuah Negara untuk umat Yahudi. Diikuti pula dengan deklerasi Balfor pada 15 Mei 1984, yang disokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat, akhirnya penubuhan dan pengistiharan Negara Yahudi yang bernama Israel ini, telah benar-benar berlaku.
Tentra Israel telah melancarkan pembersihan etnik, iaitu sejumlah lapan ratus ribu orang atau tiga perempat daripada rakyat Israel, dihalau keluar dari kediaman mereka. Mereka terpaksa berpindah tanpa kerelaan mereka.

Kini sudah enam dekad berlalu pelarian Palestin hidup dalam kemiskinan dan penafian keperluan asas yang sangat parah. Mereka terpaksa hidup tanpa makanan yang mencukupi, tanpa tempat tinggal, tanpa pekerjan, pendidikan dan kemudahan rawatan. Sekiranya ada tempat-tempat kemudahan awam seumpama hospital, sekolah dan universiti sentiasa menjadi sasaran bom, malah tanah perkuburan menerima nasib yang sama dan nasib mereka hingga kini tidak dipeduli oleh masyarakat antarabangsa yang didominasi oleh Amerika Syarikat.
Sebagai hasil gerakan zionis Yahudi ini, sekarang bumi Palestin telah dicerobohi oleh enam juta orang Yahudi. Lebih memilukan lagi, mereka hidup dalam kepungan umpama penjara di tanah air mereka sendiri, seperti di semenanjung Gaza sementara lima juta rakyat Palestin yang lain menjadi pelarian disekitar negara-negara di timur tengah. Sebanyak 80 kem pelarian kini menampung satu juta pelarian Palestin di Jordan, Lubnan dan Syiria.
Firman Allah SWT dalm surah Al-Maedah ayat 82:
Maksudnya:
"Demi Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yahudi dan orang-orang musyrik."
(Al-Maedah ayat 82)
Amat wajar bagi kita umat Islam, bangkit mempertingkatkan perjuangan menegakkan Islam di mana-mana sahaja. Tidak sekali0sekali memberi ruang kepada Negara-negara umat Islam seluruh dunia menjadi batu loncatan Yahudi untuk mengiktiraf dan merestui kewujudan Negara haram itu. Sebaliknya Yahudi tidak pernah mengiktiraf kewujudan bangsa dan agama lain, sebagiman firman Allah dalm surah Al-Baqarah ayat 120:
Maksudnya:
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)."
(Al-Baqarah ayat 120)
Maka kita sebagai umat Islam yang bermaruah, dengan tegas mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya, kekejaman dan tindakan jahat yang dilakukan oleh rejim Yahudi. Kerana ia bukan sahaja telah melanggar hak asasi kemanusiaan, tetapi ia memberi kesan yang cukup besar terutamanya ke atas Masjid Al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam dan sejarah Isra' baginda SAW.
Sikap kita menyembut ketibaan Isra' dan Mi'raj, bukan sahaj memahami peristiwa dan pengajran ketika Rasulullah SAW diIsra'kan atau diMi'rajkan semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah tindakan kita membantu bumi Palestin samada dengan bantuan kewangan, tekanan politik kepada Israel atau apa sahaja bagi menyelamatkan dan memerdekakn bumi Isra' daripada cengkaman Yahudi.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Perpecahan di kalangan pemimpin umat Islam telah membuka ruang yang luas kepada zionis Yahudi, untuk terus menganas di bumi Palestin. Perasaan tidak menghargai betapa bernilai Masjid Al-Aqsa yang merupakan qiblah pertama umat Islam dan tamak kepada habuan dunia yang membara dalam diri umat Islam, adalah menjadi punca utama, kepada penerusan tindakan zalim dan ganas rejim Yahudi terhadap saudara seagama kita di Palestin.
Semuanya itu membuka luas ruang kepada musuh-musuh Islam, untuk membunuh umat Islam tanpa rasa takut dan bimbang. Perasaan-perasan inilah yang merebak hingga keseluruh negar umat Islam, sehingga seolah-olahnya luntur semangat jihad di kalangan Umat Islam.
Oleh sebab itulah sempena kita menyambut Isra' dan Mi'raj, hendaklah terlakar dalm diri kita sebagai umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh, memerangi golongan Yahudi ini, sehingga berakhirnya bangsa zalim ini, sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
"Tidak berlaku Kiamat sehingga orang Islam memerangi kaum Yahudi maka mereka akn diperangi oleh orang Islam sehingga Yahudi akan bersembunyi disebalik batu dan pokok lalu berkatalah batu atau pokok: "Wahai orang Islam Hamba Allah!, Ini dia Yahudi dibelakangku maka datanglah dan bunuhlah dia." melainkan pokok Karkad maka sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi."
Sidang Jumaat yang mulia,
Sepanjang perjalanan Isra' dan Mi'raj, Rasulullah SAW telah menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia samada mereka beriman atau pun tidak. Malah satu peristiwa yang wajr untuk kita sama-sama ambil iktibar ialah apabila baginda perlihatkan baginda sekumpulan manusia yang tidak mampu mengangkat beban tetapi semakin ditambah bebannya adalah gambaran amanah yang belum mampu dilaksanakan, tetapi meminta amanah lain untuk dibuat, pengajarannya ialah sebaiknya hendaklah kita melaksanakan amnah dan tanggungjawab satu persatu, barulah kita meinta yang lain untuk dilaksanakan.
Begitu juga bagaimana diperlihatkan segolongan manusia berebut-rebut makanan yang busuk sedangkan makanan yang lazat lagi baik tidak diambilnya adalah gambaran ada sebahagian manusia mendatangi pasangan-pasangan yang tidak halal untuk berzina sedangkan isteri-isteri yang halal ditinggalkan, pengajarannya kita hendaklah memastikan diri kita dan persekitaran kita selamat daripada dosa dan noda perbuatan jijik dan haram di sisi Islam hendaklah dihindari.
Seterusnya bagaimana Rasulullah telah tercium bauan harum Masyitah dan keluarganya yang telah gugur syahid kerana mempertahankan keimanan kepada Allah dan sanggup berhadapan dengan firaun yang zalim. Mereka lebih sanggup dihumban kedalam kawah yang menggelegak panas demi daripada menerima azab Allah yang lebih pedih jika tumduk kepada firaun yang sesat itu.

Jika kita menghayati peristiwa yang berlaku keatas Masyitah dan keluarganya maka kita merasakan iman dan keyakinan kita begitu kerdil, berbanding pengorbanan tinggi Masyitah, walaupun hanya seorang penyikat rambut anak perempuan Firaun, tetapi tetap mempertahankan keimanannya. Inilah konsep ketaatan yang sebenar bahawa taat kepada pimpinan selama mana mereka taat kepada Allah dan RasulNya.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Mikrajnya nabi SAW telah membawa sejuta pengertian dan warisan yang ditinggalkan untuk kita sebagai penganut islam dengan dianugerahkan solat lima waktu sebagai symbol pengabdian diri kita kepada Allah SWT.

Justeru wajib bagi umat islam mempertahankan kewajipan yang didatangkan terus dari Allah kepada nabi kita untuk umatnya. Kita bimbang telah banyak gejala pengabaian solat, ia didirikan hanya sebagai pilihan sekiranya sempat sahaja bahkan yang paling buruk ialah sekiranya tidak sempat langsung tidak didirikannya.

Inilah fenomena yang mula melanda umat islam apabila tidak mengambil berat tentang agama, maka hal-hal yang bersangkutan akidah, akhlak dan syariat seperti solat, menutup aurat, puasa, zakat dan lain-lain kurang diambil perhatian.

Muslimin yang mulia,

Setiap kali ketibaan isra' dan mikraj apa yang paling penting bagi kita ialah mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut:

1. Setiap perjuangan pasti akan berhadapan dengan ujian dan halangan yang menguji keimanan serta ketakwaan.
2. Menyedari bahawa musuh-musuh islam sentiasa berusaha untuk menutup cahaya Allah justeru istiqamah dan berjuang tanpa mengenal penet leleh hendaklah diteruskan.
3. Kita mestilah mengambil iktibar dan merujuk tentang kisah-kisah yang berlaku sepanjang isra' dan mikraj, agar bertambah keimanan, kesedaran dan keinsafan.
4. Solat mestilah dibudayakan kepada umat islam, program-program kesedaran solat hendaklah dilaksanakan agar generasi remaja faham kewajipan solat, dan
5. Jihad mempertahankan islam mestilah dipergiatkan sampai sebati dalm diri setiap umat islam.

Maksudnya:
"Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin."
(Al-Hajj ayat 32)

Tuesday, July 14, 2009

Dulu, KINI & SETERusnYA

" ARchiteCTURE for LIFE "

UiTM Seri Iskandar, Perak (State Campus)

UiTM Shah Alam, Selangor (Main Campus)


Seterusnya?

Wednesday, July 8, 2009

Khutbah Jumaat - 10 JULAI 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

PERANAN MEDIA MASSA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)


Hadirin Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekelian, marilah kita mengamalkan sifat-sifat taqwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha-usaha tersebut menjadikan kita sebagai hamba Allah yang benar-benar bersyukur atas segala nikmat pemberianNya.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
Maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah
Media Massa merupakan wahana yang paling berkesan untuk menyampaikan informasi dan maklumat terkini kepada orang ramai. Kemunculan pelbagai bentuk dan saluran media massa masa kini sama ada media cetak atau elektronik membuktikan perkembangan dan kepesatan ilmu dalam sesebuah masyarakat.
Penggunaan internet yang meluas melalui laman blog di samping media masa yang sedia ada seperti akhbar, radio dan televisyen merancakkan lagi penyebaran maklumat dan informasi di kalangan masyarakat. Justeru media masa memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting serta amanah yang sangat berat dalam menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan berfaedah kepada masyarakat. Bukan itu sahaja maklumat yang disebarkan oleh media massa juga perlu mengambil kira tanggungjawab mendidik masyarakat ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
Justeru tidak salah jika kita katakan bahawa kegagalan dan kehancuran sesebuah masyarakat ada kaitannya dengan peranan dan pengaruh media masa dalam masyarakat tersebut. Media masa yang sedar dan berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan berkesan akan dapat melahirkan masyarakat yang baik dan cemerlang.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Akhir-akhir ini kita dapati sebahagian daripada media masa tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Berita yang disampaikan tidak lagi berdasarkan kepada fakta dan kebenaran. Terdapat berita yang disiarkan bersifat sangkaan, khabar angin dan surat layang yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Malah lebih dahsyat lagi berita yang disampaikan membawa tohmahan dan fitnah yang akhirnya membawa perpecahan dan pertelingkahan dalam masyarakat.
Berita -berita yang mengandungi nilai ilmiah dan akademik kurang mendapat perhatian dan diminati oleh sebahagian pihak media. Berita yang disampaikan tidak lagi dinilai berdasarkan fakta kebenaran tetapi dinilai berdasarkan siapa atau kumpulan mana yang mengeluarkan berita tersebut. Elemen penghinaan, dan pengaiban menjadi salah satu daripada ramuan mujarab untuk melariskan berita mereka. Amat menyedihkan lagi terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini begitu mudah mempercayai sesuatu berita seterusnya menyampai dan menyebarkan kepada orang lain tanpa diselidiki dan ditapis terlebih dahulu.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Marilah kita merenung sejenak bagaimana jauhnya kita daripada sunnah nabi dan sunnah para sahabatnya dalam aspek penyampaian dan penerimaan berita ini. Nabi s.a.w telah meletakkan beberapa prinsip dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya :
"Sesiapa yang menyampaikan daripadaku hadith yang kelihatan dusta maka dia merupakan salah seorang pendusta".
Lihatlah bagaimana para sahabat dan tabiin tidak akan menerima sesuatu berita atau hadith melainkan mereka akan bertanya terlebih dahulu siapa yang menyampaikan berita tersebut. Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar bin al-Khattab sendiri akan meminta saksi atau sokongan daripada sahabat lain mengenai kebenaran sesuatu berita yang sampai kepada mereka.
Sikap berhati-hati para sahabat seterusnya tabiin dalam menerima sesuatu berita membawa kepada perkembangan pesat ilmu ini yang kemudiannya dikenali sebagai sistem sanad. Sistem sanad dianggap sebagai identiti utama bagi ulama dan umat Islam malah ia merupakan satu keistimewaan yang hanya ada pada umat nabi Muhammad tidak pada umat-umat lain. Ketelitian para sahabat dan tabiin jelas menunjukkan kepekaan dan keperihatinan mereka yang tinggi terhadap kualiti sesuatu berita.
Malangnya pada hari ini sistem sanad tidak mungkin atau sukar untuk diamalkan lagi. Namun ruh dan semangat sistem sanad yang bertujuan untuk menapis dan mengenalpasti kesahihan sesuatu berita perlu diteruskan. Benarlah pendapat Abdullah bin al-Mubarak yang menyatakan:
Yang bermaksud:
"jikalau tanpa isnad maka berkatalah sesiapa yang ingin berkata apa sahaja yang ingin dikatakan".
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Islam meletakkan beberapa prinsip dan kaedah dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Antaranya:
Prinsip Pertama:
Berita yang disampaikan itu hendaklah berdasarkan kepada prinsip kebenaran dengan disokong oleh fakta dan bukti yang jelas. Cakap -cakap kosong di tepi jalan atau di kedai kopi tidak harus dijadikan asas dalam penyampaian dan penerimaan sesebuah berita. Berita yang disampaikan atas dasar sangkaan, khabar angin ataupun pendustaan dan penipuan mesti ditolak sama sekali. Ini adalah kerana berita-berita sebegini sudah tentu akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.
Rasulullah SAW. bersabda melalui riwayat Ibn Mas'ud sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim
Maksudnya:
"Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga".
Sabda Nabi SAW.:
Maksudnya:
"Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kemaksiatan dan kemaksiatan itu membawa kepada neraka".
Lihatlah bagaimana dalam hadith ini suatu perlakuan yang dianggap kecil dan ringan tetapi membawa kepada implikasi yang besar iaitu syurga atau neraka.
Prinsip Kedua:
Media Massa Hendaklah Mendokong al-Amru bi al-Ma'ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar.
Media masa harus memainkan peranan mereka mendidik masyarakat kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Memang tidak dinafikan terdapat banyak program-program atau slot-slot berbentuk agama, motivasi dan informatif disiarkan atau dipaparkan di media masa pada masa kini yang menyeru kepada kebaikan dan akhlak yang murni.
Namun realitinya program-program yang menyeru kepada kemungkaran, berita-berita yang melalaikan dan gambar-gambar yang mengasyikkan lebih banyak disiarkan berbanding daripada program -program yang disebutkan tadi. Program-program yang melalaikan inilah yang lebih menarik minat para pembaca, pendengar dan penonton seterusnya memberi pengaruh yang dahsyat dan kesan yang amat buruk dalam kehidupan mereka.
Prinsip Ketiga :
Media Masa hendaklah mendokong perpaduan dan menjauhi perpecahan di kalangan umat Islam.
Islam sentiasa mendokong dan memperjuangkan perpaduan di kalangan umat Islam. Justeru apa sahaja berita yang mendorong kepada perpecahan mesti dielakkan Malah Media masa seharusnya berperanan menjadi orang tengah yang mampu untuk mendamaikan antara kumpulan-kumpulan manusia yang bertelagah. Begitu juga berita-berita berbentuk fitnah, tohmahan, menyebarkan rahsia dan mengadu domba seharusnya dielakkan. Apatah lagi jika berita tersebut mengaibkan, menghina dan memalukan orang Islam lain.
Penghinaan bukan tertentu kepada orang yang hidup sahaja malah Islam juga melarang penghinaan kepada orang yang telah mati.
Rasulullah s.a.w bersabda melalui riwayat Aishah sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari
Maksudnya:
"Janganlah kamu menghina orang yang telah mati kerana apa yang mereka telah lakukan merupakan perlakuan semasa di dunia".
Penghinaan juga bukan sahaja dengan perbuatan tetapi juga dengan perkataan, tulisan dan gambar-gambar yang dilukis. Lukisan-lukisan kartun yang menghina tubuh badan fizikal seseorang juga dianggap sebagai penghinaan. Kadangkala kita lihat keburukan seseorang yang disebarkan dan dizahirkan dengan begitu mudah tanpa menghiraukan kebaikan yang pernah dilakukan.
Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11:
Maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-olokkan. Dan jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita -wanita lain kerana boleh jadi wanita yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari wanita yang mengolok-olokkan dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk.seburu-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim".
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian
Kita sebagai pengguna, pembaca, pendengar dan penonton hendaklah mengambil sikap berhati-hati dan teliti dalam menerima sesuatu berita yang sampai kepada kita. Bagi media massa kepentingan masyarakat umum perlu didahulukan.
Sebarkanlah perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat, perkuatkan agama dan perkukuhkan keimanan mereka dan jauhilah dari menyebarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan iman dan akidah mereka. Akhirnya marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan sunnah nabi dalam seluruh kehidupan kita.
Maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah An-Nur ayat 19)
Intisari khutbah ke 2 :
Media massa hendaklah berperanan menyebarkan kebenaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat. Media massa tidak wajar menambahkan kekeliruan dan kecelaruan pemikiran umat.
Maklumat yang tidak benar boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain
Khalayak media massa dan semua yang terlibat bertanggungjawab perlu mematuhi adab dab etika penyiaran Islam


Khutbah Jumaat - 03 JULAI 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

PENDIDIKAN TERAS PERUBAHAN MASYARAKAT
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan meningkatkan pengabdian kepadanya dan meninggalkan segala laranganNya serta tingkatkanlah ilmu pengetahuan kita dalam semua bidang kehidupan. Semoga dengan pemantapan ilmu dapat membawa kepada kecemerlangan hidup dan mendapat keredhaan Allah SWT didunia dan diakhirat.
Marilah kita hayati semula ayat Al-Qur'an yang dibacakan di awal tadi, yang juga merupakan wahyu pertama diturunkan kepada baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya."
(Al-Alaq ayat 1 - 5)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada zaman Rasulullah, baginda menghasilkan generasi cemerlang berasaskan ajaran Al-Qur'an. Dalam maksud lain ialah bagaimana Rasulullah S.A.W berjaya mendidik mereka dengan kekuatan aqidah, kehebatan peribadi, kekentalan semangat jihad dan jiwa amanah yang tinggi. Ini akhirnya diakui generasi pada zamannya serta pada zaman berikutnya telah membangun sistem contoh dan akhirnya merintis ke arah pembangunan tamadun. Antara faktor yang menghasilkan kecemerlangan tersebut ialah kecintaan mereka terhadap ilmu. Mereka juga bersifat terbuka untuk mempelajari ilmu-ilmu yang bermanfaat walupun dari sumber tamadun lain. Pada masa yang sama, tradisi ilmu itu dikembangkan menjadi sumber amalan.
Sejarah telah membuktikan bahawa pendidikan berteraskan falsafah dan prinsip Islam Berjaya membangunkan tamadun manusia umunya dan tamadun Islam khusunya. Kemunculan zaman kecemerlangan ilmu dan kegemilangan pendidikan semasa pemerintahan Islam telah memperlihatkan betapa relevannya pendidikan Islam yang Berjaya mencetuskan kecemerlangan peradaban dan membangunkan modal insan dari segi ilmu, iman, akhlak dan amal. Para intelektual pada masa itu berjaya menguasai pelbagai kepakaran dalam bidang tertentu.
Apabila diteliti maksud pendidikan itu sendiri, sebenarnya ia tidak dapat dipisahkan dari nilai-nilai akhlak dan moral sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali yang menjelaskan bahawa pendidikan ialah menyamai budi pekerti mulia dalam diri kanak-kanak supaya merka dapat menilai antara yang benar dan yang salah manakala Said Muhammad Naqib Al-Attas menegaskan bahawa pendidikan merupakan proses penerapan akhlak dan adab ke dalam diri seseorang.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Pendekatan Islam dalam pendidikan akhlak amat menekankan kepada pengukuhan aqidah dan pembentukan rohani. Ini kerana, aqidahmerupakan teras Islam yang utama. Kepentingan aqidah dalam Islam dapat dilihat dalam nas-nas Al-Qur'an dan hadis yang banyak mengaitkan pembentukan akhlak dengan aqidah atau iman. Muhamman Kamal Hasan menegaskan bahawa kuat atau lemah iman seseorang dapat diukur dan diketahui dari perilaku akhlaknya. Iman yang kuat dapat mewujudkan akhlak yang mulia, sedangkan iman yang lemah akan melahirkan akhlak yang buruk dan keji.
Marilah kita lihat pula perkembangan dunia pendidikan di Negara kita. Rata-rata kita pasti merasa teruja dan gembira apabila melihat kejayaan dan kecemerlangan anak-anak kita di dalm kebanyakkan peperiksan awam, tetapi dalam masa yang sama, kes-kes yang berkaitan disiplin dan keruntuhan akhlak dikalangan pelajar dan remaja seperti meminum arak, penyalahgunaan dadah, merogol, membuli, pergaulan bebas, merempit atau jenayah jalan raya dan sejak akhir-akhir ini ditambah lagi dengan jenayah ragut dan samun yang semakin meningkat dan membimbangkan. Persoalannya sekarang ialah, apakah system pendidikan kita benar-benar mampu melahirkan modal insane yang seimbang dari aspek jasmani, rohani, emosi, intelektual dan sosial?
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Kita mungkin bersetuju bahawa, pendidikan Islam seharusnya memainkan peranan penting dalam melahirkan insane yang berakhlak dan bermoral. Pendidikan Islam juga seharusnya mampu mempengaruhi cara pemikiran dan tingkah laku anak-anak khusunya remaja, selain lebih terarah untuk mengamalkan nilai-nilai akhlak Islam, mengelakkan perbuatan buruk, mempunyai ketahanan diri, harga diri dan dapat mengelakkan diri daripada perbuatan buruk.
Sidang Jumaat yang dirahmati,
Bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, setiap anak perlu diberi ilmu pengetahuan yang secukupnya agar mereka menjadi manusia yang berpekerti mulia, yang mempunyai hemah yang tinggi, yang berjiwa besar, cintakan Negara, mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani dan akhirnya melahirkan insan yang berkualiti, sesuai dengan tujuan penciptaan manusia iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di bumi ini sebagaimana firman Allah:
"Tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."
(Adz-Dzariyaat ayat 56)
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Jika ditinjau dari segi kaca mata Islam, pendidikan akhlak mempunyai kedudukan yang utam dan penting, memandangkan akhlak mencakupi keseluruhan perbuatan zahir manusia yang dihasilkan daripada dorongan kecewa, asas pembentukan peribadi insane yang terpuji, membentuk tingkah laku yang dapat menghindarkan masyarakat daripada kerosakan dan kemusnahan.
Selain itu, pendidikan akhlak bermatlamatkan untuk melahirkan insan yang berperibadi dan berwibawa tinggi, sesuai dengan keperibadian Islam itu sednrir. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sebaik-baik kamu ialah orang yang terbaik akhlak dan budi pekerti"
(Bukhari wa Muslim)
Matlamat pendidikan akhlak amat penting agar umat Islam dapat:
1- Membentuk semangat dan kecenderungan seseorang individu untuk melakukan kebaikan sehingga ia berusaha mewujudkan kebaikan untuk semua, berusaha menghindarkan tindakan yang jahat dan berupaya mencegah kejahatan dikalangan ahli masyarakat.
2- Membentuk semangat persaudaraan sesama manusia kerana pada asasnya manusia saling memerlukan antara satu dengan lain dalam menjalankan kehidupan. Ini bertepatan dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w:
"Tidak beriman sesorang muslim kecuali ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri"
3- Membentuk kesedaran terhadap kehidupan sosial. Jika anggota masyarakat diumpamakan sebagai anggota tubuh badan, maka akhlak adalah pengikat pelbagai anggota tersebut. Oleh yang demikian, jika individu tidak berakhlak, bererti pudarlah ikatan dan ptutuslah semua hubungan di antar anggota masyarakat. Ini boleh mengakibatkan kehancuran dalam struktur sosial masyarakat.
4- Membentuk keperibadian yang kuat dan jiwa yang kukuh dan meningkatkan keluhuran jiwa manusia serta menjauhkan mereka daripada kebinasaan kerana mengikut keinginan hawa nafsu.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebagai anggota masyarakat, marilah kita bersama memikirkan dan berusaha mencari jalan terbaik meningkatkan kualiti pendidikan Islam dan pendidikan akhlak untuk masa depan anak-anak kita khusunya dan seluruh umat Islam amnya.
Tanggungjawab ini tidak seharusnya diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah atau pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya kita wajib pikul bersama bagi mencapai kejayaan yang hakiki untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t dan mampu menjadi asas perubahan kepada masyarakat.
Buat akhirnya, bersempena dengan penetapan bulan Jamadil Awal sebagai bulan pendidikan Islam dan bulan Jamadil Akhir sebagai bulan akhlak peringkat negeri Selangor, marilah kita meningkat usaha untuk membentuk diri kita, anak-anak dan seluruh ahli keluarga kita sebagai insan berperibadi mulia dan soleh. Insan yang berakhlak mulia, mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan prinsip-prinsip akhlak Islam dan menjauhi semua yang bersifat hina dan jahat. Bahkan mampu menyeru manusia lain untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Jika kita berjaya mencapai tahap ini, maka kita akan digolongkan sebagai muslim yang sempurna akhlak, iman dan agamanya.
"Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan."
(Al-Mujaadilah ayat 11)
Teks Khutbah Jumaat : dibaca pada 03 JULAI 2009


Khutbah Jumaat - 26 JUN 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

KELEBIHAN BULAN REJAB
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah subhanahu wataala dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah s.w.t. dan memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di hari akhirat kelak.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Bulan Rejab adalah termasuk di dalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya ;
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.
Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;
Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.
Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.
Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.
Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.
Kaum muslimin rahimakumullah,
Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat di dalam bulan Rejab. Sesetengahnya pula akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang mereka lakukan di dalam bulan ini ada fadhilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.
Walaubagaimanapun, kebanyakan ulama mutakhirin menyatakan bahawa tanggapan ibadat-ibadat sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tanggapan yang tidak benar. Apa yang pasti bahawa bulan ini adalah termasuk di dalam kelompok bulan-bulan haram di mana umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat di dalam bulan-bulan ini samada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi.
Kaum muslimin rahimakumullah,
Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada orang yang beramal soleh hanya Dia sahaja yang maha mengetahuinya. Oleh kerana itu, sudah sewajarnyalah di dalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dan mendapat keredhaannya.
Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis Nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira di dalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan sepertimana juga di dalam bulan-bulan yang lain, di antaranya ;
1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;
Maksudnya ;
Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya."
Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)
2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;
Maksudnya :
" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"
3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."
Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan-amalan ini, sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ini, sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus kedalam perkara-perkara maksiat dan masalah-masalah sosial yang lain.
Malangnya amalan-amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam samada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terlibat dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah. Gejala sosial yang berlaku sejak kebelakangan ini seperti jenayah rogol, bunuh, rompak, ragut, hiburan melampau malah aktiviti rempit, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kosongnya jiwa mereka daripada pengisian iman. Kegiatan-kegiatan jenayah seperti ini bukan sahaja berlaku di kalangan muda-mudi tetapi lebih malang lagi ianya dilakukan juga oleh golongan yang telah meningkat ke usia tua.
Bukankah sesuatu yang memalukan apabila laporan akhbar menyatakan seorang datuk merogol cucunya atau seorang bapa merogol anaknya sendiri ? Bukankah memalukan juga apabila kajian-kajian statistik menyatakan bahawa kebanyakan yang terlibat dengan dadah adalah remaja dan muda-mudi yang beragama Islam ? Di manakah silapnya sehingga umat Islam terlibat dengan perkara-perkara negatif ini ?
Kaum muslimin rahimakumullah,
Kita sebagai umat Islam tidak seharusnya melupakan sabda Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa dengan berpuasa, manusia akan dapat mengelakkan diri dari perkara-perkara maksiat. Kita juga seharusnya tidak melupakan firman Allah s.w.t. yang menyatakan bahawa dengan zikrullah, hati mereka akan merasa aman dan tenteram. Inilah janji yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. dan juga RasulNya supaya diyakini dan dilaksanakan oleh umat Islam keseluruhannya.
Maka, sudah sewajarnyalah kita bermuhasabah tentang pentingnya peranan amalan-amalan sunat ini di dalam membentuk jiwa dan peribadi yang sempurna. Dengan bermulanya bulan Rejab ini, anak-anak muda khususnya dan umat Islam umumnya harus diberikan kesedaran dan sedikit suntikan semangat supaya bersama-sama menghidupkan amalan-amalan mulia ini dan seterusnya dapat membangunkan diri mereka menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah s.w.t.
Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan di dalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.
Maksudnya ;
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
( Az-Zalzalah : 7 - 8 )
Related Posts with Thumbnails