Saturday, October 3, 2009

Khutbah Jumaat - 25 September 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

"UJIAN JANGKITAN WABAK PENYAKIT VIRUS SELSEMA BABI (H1N1)"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Wabak penyakit berjangkit bukan merupakan suatu yang asing dalam sejarah kehidupan manusia. Islam sendiri telah memberi peringatan mengenai penyakit berjangkit malah meletakkan kaedah dan peraturan untuk mengawalnya. Rasulullah SAW sendiri pernah menceritakan mengenai tanda-tanda kiamat antaranya kematian yang dasyat yang mengorbankan ramai manusia. Pada zaman pemerintahan Saiyidina Umar Al-Khattab iaitu pada tahun ke-18 Hijrah telah merebak penyakit taun yang dahsyat sehingga mengorbankan 70 ribu orang hanya dalam tempoh 3 hari.

Taun yang berlaku iaitu dinamakan "Taun Amawas" adalah bersempena dengan nama suatu daerah di Palestin tempat berlakunya taun tersebut. Penyakit taun yang berlaku ini telah membawa kematian kepada beberapa orang senior sahabat antaranya Muaz bin Jabal, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan Yazid bin Abu Sufian.

Justeru, penyakit Selsema Babi yang menimpa seluruh dunia pada hari ini bukanlah suatu yang baru, tetapi pernah berlaku sebelum ini. Apa yang membezakan mungkin dari aspek sebab dan punca penyakit tersebut yang disebabkan oleh virus selsema babi. Negara kita juga pernah dikejutkan dengan virus Nipah pada tahun 1999 yang juga berpunca daripada virus khinzir atau babi sehingga menyebabkan kematian 105 orang dan pelupusan ternakan babi melebihi sejuta ekor.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Penyakit dan kematian yang menimpa manusia merupakan beberapa bentuk ujian daripada Allah SWT. Setiap perbuatan dan amalan manusia mempunyai kaitan yang rapat dengan ujian Allah. Ujian Allah bukan sahaja datang dalam bentuk kesusahan, tetapi juga datang dalam bentuk kesenangan. Apa yang perlu difahami oleh kita semua ialah Allah tidak akan membiarkan kita hidup di dunia ini tanpa diuji.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-A'raf ayat 165:

"Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka)."

(Al-A'raaf ayat 165)

Berdasarkan kepada ayat ini jelas menunjukkan bahawa dengan ujian Allah ini akan dapat menilai antara orang-orang yang benar-benar beriman dikalangan kita dan orang-orang yang mendustakan Allah SWT.

Ujian dalam bentuk penyebaran virus selsema babi yang berlaku pada hari ini juga merupakan ujian Allah untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Oleh itu, segeralah memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT disamping melaksanakan Amar Ma'ruf Nahyi' Mungkar dalam masyarakat kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Sehingga kini Kementerian Kesihatan Malysia telah mengambil langkah-langkah pro-aktif dengan menggerakkan bilik-bilik gerakan pencegahan penyakit menular kebangsaan bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh Negara. Pengawalan ketat pergerakkan keluar dan masuk penumpang-penumpang di lapangan terbang anatarbangsa, pengambilan suhu badan penumpang dengan menggunakan pengimbas suhu badan juga merupakan suatu usaha kawalan yang perlu ditingkatkan lagi.

Tindakan menutup beberapa buah sekolah dan universiti pengajian tinggi juga merupakn suatu usaha bersungguh-sungguh bagi membendung penyakit ini daripada terus merebak. Namun malangnya terdapat segelintir daripada kalangan kita yang mengambil sikap mudah dengan melanggar peraturan dan arahan kuarantin yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Islam sejak daripada dahulu lagi telah meletakkan beberapa panduan dan peraturan dalm menghadapi situasi penularan penyakit seperti apa yang berlaku pada hari ini.

Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

"Jika engkau mendengar berlakunya penyakit taun di sesebuah negara, maka janganlah engkau memasuki negara tersebut. Manakala jika penyakit taun tersebut berlaku dalam sesebuah negara sedangkan engkau berada di dalamnya maka janganlah engkau keluar daripadanya."

Hadis ini jelas membuktikan bahawa Islam telah mendahului zamannya dengan meletakkan perturan dan kaedah pengawalan penyakit berjangkit yang belum pernah difikirkan oleh mana-mana agama atau bangsa pada waktu itu.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa asal larangan yang terdapat dalam hadis ini hukumnya sebagaimana yang dinukilkan oleh Az-Zarkawi dalam Syarah Muwatta'. Ibnu Khuzaimah pula menganggap, pelanggaran kepada larangan ini sebagai satu dosa besar yang perlu dihukum. Justeru, marilah sama-sama kita berusaha melaksanakan setiap arahan dan perturan yang ditetapkan bagi mengelakkan virus selsema babi ini daripada terus merebak.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian,

Selain mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan, umat Islam juga bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal mereka daripada segala kekotoran yang boleh menyumbang kepada penyebaran penyakit. Kebersihan yang dititikberatkan oleh Islam bukan sahaja melibatkan kebersihan jasmani, bahkan juga mengutamakan kesucian rohani. Apabila dilihat kepada langkah-langkah berjaga-jaga yang diambil oleh masyarakat pada masa kini, semuanya menitikberatkan tentang kebersihan. Antaranya ialah membasuh tangan selepas dan sebelum menyentuh sesuatu untuk mengelakkan daripada penyebaran virus.

Dalam sedar atau tidak sebenarnya setiap masa pun kita (umat Islam) akan berada dalam keadaan yang bersih kerana sebelum solat, kita dituntut untuk bersuci, iaitu dengan berwudhuk. Dalam masa kita berwudhuk itu juga, bukankah kita dituntut untuk membasuh tangan hingga ke siku?. Namun malangnya terdapat ramai di kalangan umat Islam sendiri yang tidak memahami kaedah bersuci dalam Islam ketika berwudhuk. Malah ada juga antara umat Islam yang jarang atau tidak pernah berwudhuk.

Sesungguhnya Islam melihat kebersihan adalah merupakan satu ibadah sekaligus sebagai cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Lihatlah bagaimana kitab-kitab Hadis memulakan perbincangan dengan kitab Taharah atau bab berkaitan Taharah iaitu bersuci.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Bersih dan suci itu sebahagian daripada iman."

Justeru, jika kita membaca hadis Rasulullah SAW , kita akan dapati perhatian dan penekanan yang serius oleh baginda terhadap aspek kebersihan antaranya suruhan supaya mandi pada hari Jumaat, membersihkan rambut dan seumpamanya. Bahkan Islam juga mengambil berat mengenai masalah pencemaran alam sekitar yang sudah tentu menjadi factor kepada penularan berbagai-bagai wabak penyakit yang amat berbahaya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Marilah sama-sama kita insaf bahawa Allah SWT tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan ada ubatnya. Justeru, marilah sama-sama kita menadah tangan memohon ampun kepada Allah di atas segala dosa-dosa kita, dengan doa yang Ma'thur, yang terdapat di dalam Al-Qur'an dan Hadis-hadis Rasulullah SAW atau yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama memohon petuntuk supaya kita kembali kepada ajaran Al-Qur'an dan Sunnah RasulNya dan memohon supaya Allah melepaskan kita daripada segala bala bencana dan mala petaka.

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke neraka jahannam dalam keadaan hina."

(Surah Al-Mukmin ayat 60)




No comments:

Related Posts with Thumbnails