Santap bersimpuh di pangkin selesa
JIKA mengunjungi pusat beli-belah Sooka Sentral di Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur, jangan lupa singgah di restoran berteraskan kesenian Melayu tradisional, Kelantan Delights yang terkenal dengan sajian istimewa dari Negeri Cik Siti Wan Kembang.
Berwajah baru selepas berpindah dari lokasinya sebelum ini di Suria KLCC, restoran bertaraf lima bintang itu menampilkan seni bina eksklusif dengan elemen tradisional dan kontemporari bergabung.
Menurut pemiliknya, Juhaidi Yean Abdullah, 49, dekorasi dalaman yang direka khusus itu adalah bagi memberi pengalaman baru buat pelancong asing di samping menggamit kembali nostalgia rakyat Malaysia.
“Saya ingin memartabatkan masakan tradisional Kelantan dan memberi peluang kepada orang ramai khususnya pelancong menikmati makanan Melayu yang sebenar dalam suasana restoran bertaraf lima bintang,” tutur Juhaidi.
Bagi usahawan kelahiran Kota Bharu itu, tempat menjamu selera perlu menampakkan ciri keselesaan yang maksimum.
“Pengurusan ruang makan di Kelantan Delights juga boleh dilihat menerusi campuran rekaan restoran barat, China dan juga Jepun. Saya suka melihat kelainan.
“Kalau tidak, tempat itu akan nampak biasa sahaja,” ujarnya yang berpendapat lokasi restoran itu sangat strategik kerana dikelilingi pusat beli-belah dan hotel-hotel terkemuka.
Menyediakan empat ruang berlainan, restoran berkeluasan 4,300 kaki persegi itu turut mempamerkan aliran rekaan dan penggayaan terancang dan sempurna.
“Restoran ini mempunyai empat ruang berbeza dengan dua daripadanya bergabung membentuk ruang utama.
“Ruang utama mempunyai dua jenis gaya bersantap, pertama yang dilengkapi dengan kerusi dan meja, manakala bagi yang mahu makan sambil bersimpuh atau bersila, satu ruang lain disediakan,” jelasnya.
Kawasan makan secara bersila atau bersimpuh di atas bantal khas sambil menghadap sebuah meja bulat yang luas dan selesa itu boleh memuatkan sehingga lima orang pengunjung.
Ditempatkan di atas ruangan khas berlantaikan kayu seumpama pangkin luas, pengunjung pasti teruja dengan konsep rekaannya yang kemas dan sistematik.
Balkoni bentuk U
Bagi mereka yang sudah biasa bersantap cara moden di meja dan kerusi, boleh memilih untuk menikmati juadah di ruang yang menempatkan meja makan dan boleh memuatkan sehingga 14 orang pada satu-satu masa.
Satu pendekatan kreatif dapat dilihat pada bahagian siling ruang ini yang dihiasi kemasan kerawang kayu, yang apabila bersatu dengan pancaran lampu kuning segera menerbitkan percikan keindahan visual.
“Kedua-dua ruang ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Ruang bersimpuh atau bersila memang direka untuk pengunjung yang mahu bersantap ala kampung.
“Tapi biasanya pengunjung yang datang dalam bilangan yang ramai akan memilih ruang meja makan disebabkan ia lebih luas berbanding ruang bersimpuh atau bersila tadi,” akui Juhaidi.
Selain ruang utama, pengunjung boleh memilih sama ada untuk menikmati kelazatan juadah di Kelantan Delights dalam ruang yang tertutup atau terbuka.
Sesuai sebagai tempat tetamu VIP menjamu selera, satu ruang makan tertutup turut tersedia.
Bersempadankan pintu kayu dan dinding kaca penuh dari lantai ke siling, ruang yang terletak bersebelahan ruang utama itu disediakan khusus untuk keluarga atau pelanggan yang inginkan privasi.
Mengaplikasikan suasana moden sebagai tema, semestinya privasi dapat dinikmati di sini. Boleh memuatkan sehingga 10 orang pengunjung pada satu-satu masa, padanan meja panjang dengan kerusi berona hitam yang dipilih tampak begitu ringkas tetapi masih menggambarkan gaya eksklusif.
“Di ruang ini kami akan meletakkan seorang pelayan khas bagi memastikan pelanggan VIP diberi layanan istimewa, ” ujar Juhaidi.
Konsep itu juga dilihat menepati gaya korporat pengunjung yang kebanyakannya daripada kelompok eksekutif.
Pintu gerbang RM14,000
Jika mahu menikmati suasana kota dan udara segar, sambil menjamu mata menerokai panorama indah Sooka Sentral, balkoni adalah jawapannya.
Dengan menampilkan rekaan berbentuk U, ia boleh memuatkan sehingga 100 tetamu.
“Biasanya mereka yang makan di ruang terbuka ini gemar melayari Internet dan merokok.
“Balkoni memuatkan dua jenis konsep perabot iaitu set kayu jati buatan Indonesia dan juga perabot moden. Selain itu, kami turut menyediakan kemudahan Internet secara percuma,” jelasnya.
Meneliti secara lebih terperinci, dekorasi Kelantan Delights nyata tampil berkarakter.
Faktor kemasan dinding dan warna cerah memainkan peranan penting sebagai tenaga hidup dalam tata hiasnya. Menggabungkan elemen konkrit dan kaca, ternyata hasilnya sangat mengagumkan.
“Bagi menghidupkan (aura) ketiga-tiga jenis material cermin, konkrit dan kayu, saya gunakan efek lampu sebagai penyeri kemasan di bahagian dalam restoran.
|
|
“Kalau ada rezeki, mungkin saya akan tambah lagi dua konsep hiasan yang berasaskan coffee bar dan dapur terbuka,” beritahu Juhaidi lagi.
Selain setiap sudut, dinding dan ruang dihiasi dengan perhiasan unik seperti kayu berkerawang, paling mempesonakan ialah pintu gerbang yang memisahkan ruang utama dan balkoni restoran ini.
“Pintu gerbang ini diinspirasikan daripada replika pintu masjid lama, yang kebanyakannya terdapat di Thailand. Ia dihasilkan oleh dua pengukir khas dari Bachok, Kelantan dengan kos sebanyak RM14,000.
“Ia lebih bercirikan motif kesenian Kelantan,” ujar Juhaidi.