Monday, December 7, 2009

Stail Inggeris tidak mahal (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

ALAM DAMAI

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

Ia juga sangat mudah dipraktikkan dan sesuai untuk semua jenis kediaman.


HIASAN dalaman bermotifkan gaya kedesaan Inggeris semakin banyak diaplikasikan di kediaman mereka yang sukakan suasana harmoni dan klasik dengan bunga ros merah jambu sebagai elemen utama.

Bunga itu merupakan lambang kebanggaan orang Inggeris kerana ia turut menjadi hiasan utama landskap di negara-negara Barat lain.

Kerana itulah, kedai perabot milik Wang Pin Hwa, 45, yang terletak di Subang Jaya, Selangor, dinamakan Pink Rose.

“Orang Malaysia dan Singapura ramai yang meminati konsep Inggeris namun tidak tahu di mana hendak mendapatkan barangannya,” bicara Pin Hwa.

Reka letak semua produk di kedai berkenaan tersusun indah bagaikan berada di ruang kediaman sebenar.

Menurut Pin Hwa, kebanyakan pelanggannya lebih meminati lukisan dinding dan almari kerana ia mempunyai sentuhan ala Inggeris yang kuat dengan kemasan bunga ros merah jambu.

Paling senang

“Pelanggan sukakan lukisan dinding ala Inggeris kerana ia tampak abstrak dan cantik. Bunga ros pula ada banyak jenis.

“Kebanyakannya ialah dari negara Amerika Syarikat, Australia, England, Itali, Belanda dan Australia.

“Belanda lebih kepada hiasan berwarna biru. Tapi orang lebih sukakan corak Inggeris berbanding Belanda.

“Biasanya saya akan pergi ke negara-negara tadi untuk mendapatkan idea bagi produk saya,” katanya yang berasal dari Singapura.

DARI ATAS IKUT ARAH JAM: PADANAN warna sejuk yang mendamaikan.
UBAH suai perabot mengikut kesesuaian supaya sentiasa kelihatan menarik.
KOMBINASI warna lembut dan garang di dalam set bilik tidur.
KEUNIKAN jam dinding yang dihiasi corak bunga.

Difahamkan, semua barangan tersebut kalau dijaga dengan elok boleh bertahan selama 20 tahun bergantung pada pemiliknya. Namun, ia tidak sesuai diletakkan di luar rumah kerana tidak boleh bertahan lama di bawah sinaran matahari dan hujan.

Pin Hwa berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan yang berusia 40-an.

Tambahnya, bagi yang meminati kemasan gaya Inggeris, mereka perlulah bijak menyusun atur perabot dengan ruang kediaman supaya tidak nampak berselerak.

PUTIH dan krim merupakan elemen utama dalam penataan gaya Inggeris.

“Bergantung pada kediaman itu sendiri, jangan letakkan terlalu banyak barang jika keluasan rumah tidak besar. Minimumkan jenis barangan dan pilih warna lembut untuk menampakkannya lebih luas.

“Dalam bilik pula sesuai diletakkan bingkai gambar bersaiz kecil atau sederhana supaya bilik itu tidak kelihatan kecil.

“Di dalam bilik air pula, tempatkan sebuah pasu bunga kecil yang berwarna kuning atau merah untuk menaikkan mood segar.

“Lukisan dinding pula seeloknya diletakkan di ruang tamu supaya tetamu dapat melihat keindahan lukisan itu.

“Tetapi elakkan meletakkan lukisan bunga pada dinding yang mempunyai kertas dinding yang berbunga kerana ia akan menenggelamkan keunikan lukisan tersebut,” terang beliau panjang lebar.


Pin Hwa juga berpendapat hiasan ala Inggeris boleh memberikan kepuasan dalam membina kediaman impian mereka.

“Konsep ini adalah yang paling senang. Ia juga melambangkan ketenangan seperti suasana di negara-negara Barat.

“Malah semua orang mampu memiliki kediaman seperti ini. Tak semestinya orang berada sahaja sebab golongan berpendapatan sederhana juga mampu memperolehnya,” katanya yang turut mengecat sendiri dan membaiki semula perabot berpadukan maklum balas daripada pelanggan.

Diminati lelaki

Berbicara tentang tema yang sama, pereka hiasan dalaman, Nor Cahaya Budin, 47, memberitahu golongan lelaki turut mempunyai minat yang mendalam terhadap kediaman berkonsepkan Inggeris.

Ini kerana katanya, tema Inggeris sentiasa hangat sepanjang masa, serta merentasi zaman dan sempadan negara.

“Bagi golongan yang meminati konsep ini, mereka biasanya seorang yang berjiwa lembut dan sukakan ketenangan. Putih juga melambangkan kebersihan, kelembutan dan boleh merehatkan jiwa.

“Trend ini tak pernah luput. Ia sangat mudah dipraktikkan dan sesuai untuk semua jenis kediaman,“ tutur Nor Cahaya, pemilik butik Cahaya Accents di Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Minat yang mendalam kepada kerja menghias menyebabkan Nor Cahaya sering diberi kepercayaan oleh kawan dan jiran untuk menata kediaman mereka.

“Saya seorang yang sangat gemar menghias rumah dan hiasannya mestilah sesuatu yang unik. Malah saya sentiasa mengubah bentuk hiasan rumah mengikut trend semasa supaya tak jemu melihat suasana yang sama.

“Namun, setelah memilih gaya Inggeris, saya merasa makin terpikat dan ingin mengekalkannya buat masa ini,” ungkapnya.

Selain berbakat mencipta sendiri perabot, Nor Cahaya juga kreatif menghasilkan produk kraf tangan serta perhiasan rumah terutama menggunakan teknik decoupage.

ATAS: ELEMEN bunga ros yang menjadi lambang kebanggaan orang Inggeris.
TENGAH (DARI KIRI KE KANAN): KEPELBAGAIAN koleksi hiasan yang cantik dipandang.
KEMASAN bunga sentiasa menjadi pilhan.
TARIKAN hiasan dinding.
BAWAH: PETI surat penyeri laman rumah.

Setiap sudut rumahnya dihias mengikut konsep Inggeris. Malah beliau sanggup berbelanja lebih untuk memiliki perhiasan itu.

“Ada berbagai-bagai cara untuk memiliki kediaman bertemakan Inggeris. Bagi yang berpendapatan sederhana, mereka boleh ambil barang-barang lama dan catkan warna putih semula.

“Warna yang paling sesuai untuk kediaman berkonsep Inggeris adalah putih dan krim. Tapi biasanya orang Melayu tak suka sangat warna putih.

“Lebih-lebih lagi yang memiliki anak kecil. Jadi warna krim selalu menjadi pilihan.

“Kalau nak memilih kualiti kayu pula, lebih baik beli perabot yang diperbuat dari kayu oak dan juga pain kerana ia lebih kuat dan tebal,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails