Monday, December 21, 2009

Pintu kayu mewah (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "


MENAMPAKKAN sisi lain dalam dekorasi, pintu kayu turut membangkitkan mood penghuni sesebuah kediaman.


KEINDAHAN sesebuah kediaman tidak lengkap tanpa kehadiran daun pintu yang menjadi penghubung antara ruangan luar dan dalam.
Meskipun pemilihan daun pintu sering saja dianggap remeh dan sekadar satu keperluan, bagi Chew Liang Hong, 45, ia lebih daripada sekeping papan penutup.
Ibarat penyambut tetamu, daun pintu yang gah berdiri di laluan penting seharusnya diberi perhatian yang bukan sedikit.
Pengurus Kedai Pintu Wai Hong yang terletak di Rawang, Selangor ini berkata, pintu tidak hanya bersifat melindung, malah jenis pintu yang dipilih turut menterjemahkan personaliti si pemilik.
“Contohnya pintu kayu solid yang kini menjadi pilihan ramai. Ia bukan sahaja teguh bahkan ciri kayu itu mencerminkan elemen klasik, mewah dan kukuh,” ujar Liang Hong.
Alur semula jadi pada kayu yang bercorak unik menjadikan seni pada pintu semakin digemari ramai tidak kira penghuni banglo, rumah teres mahupun apartmen.
Jelas Liang Hong lagi, pintu daripada pokok keras yang terpilih mampu bertahan sehingga puluhan tahun lamanya.
“Seperti nyatuh, merbau serta meranti, pokok-pokok ini selain mempunyai corak alur yang cantik, ketahanannya sebagai perisai kediaman tidak dapat dinafikan kerana ia sangat keras dan kukuh,” ungkap Liang Hong.
Kayu import
Berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini, Liang Hong memberitahu, bukan sembarangan kayu yang boleh digunakan bagi membuat pintu.

TRADISIONAL tetapi mewah dipantulkan oleh pintu kayu ini biarpun didatangkan dalam bentuk ukiran yang mudah.


Kayu-kayu tersebut ada yang terpaksa diimport dari Amerika Syarikat, Australia serta India kerana kayu dari negara-negara tersebut lebih kering dan tebal.
“Selalunya, pokok oak merah, walnut serta pain dipilih kerana mempunyai kualiti paling baik. Manakala meranti, cengal dan merbau bagi pokok tempatan,” kata Liang Hong.
Menyentuh mengenai ukiran serta corak pada pintu, beliau menjelaskan corak geometri, flora dan haiwan tertentu menjadi pilihan pembeli.
“Rekaan tersebut juga diterjemah dalam pelbagai cara seperti dibuat ukiran timbul, bersulam dengan kaca khas serta ukiran biasa,” ujarnya yang menyatakan pintu kayu juga boleh digunakan di bilik air. Namun, ia bergantung kepada ketebalan kayu dan jarak antara pintu dan sinki.
Untuk membangkitkan lagi semangat kayu, pemilihan pintu kayu ini harus disesuaikan mengikut kedudukan serta fungsinya pada laluan yang dipilih.
Bagi menampakkan keunikan dan kemewahan, saiz dan berat pintu juga memainkan peranan.
“Saiz standard bagi sebuah pintu ialah 3 kaki x 7 kaki (0.9 x 2.1 meter). Justeru, saiz pintu terpulang kepada pelanggan dan ketinggian bingkai pintu. Ada juga yang mencapai 8x8 kaki (2.4 x 2.4 meter),” katanya.

CORAK silang timbul turut diminati pemilik kediaman.


Pintu kayu dianggap kurang lengkap jika tiada penambahan aksesori.
“Aksesori utama bagi pintu ialah set kunci. Meskipun tampak simple, ia memberi impak yang besar pada rekaan pintu.
Tegas Liang Hong, ramai pelanggan yang silap memilih set kunci kerana hanya tertarik pada rekaan dan bukannya fungsi dan kekuatan besi yang membina pengunci tersebut.
Sambungnya lagi, harga satu set kunci boleh mencecah ratusan malah ribuan ringgit, bergantung kepada kualiti, saiz dan jenis tembaga yang digunakan.
Bagi seorang pemilik kediaman, Susma Suresh, 41, beliau menggemari pintu kayu kerana tertarik pada ukiran dan nilai tradisional yang diterjemahkan dengan cara tersendiri.

PILIH saja motif dan ukiran yang menzahirkan identiti kediaman anda.


“Ia tampak mewah dan elegan. Malah gabungan elemen kayu membuatkan rumah saya seolah-olah dibias aura nyaman,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Sonali Sdn. Bhd. ini.
Beliau menambah, meskipun aspek penjagaannya agak remeh kerana perlu disapu lapisan pelindung setiap beberapa tahun dan pencegahan daripada serangan anai-anai, beliau amat berpuas hati dengan pintu kayu yang dipilihnya sejak tiga tahun lalu.
“Saya rasa selamat dengan kekukuhan pintu yang diperbuat daripada kayu cengal ini berbanding pintu kaca,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails