" ARchiteCTURE for LIFE "
"ZAKAT RAHMAT BUAT UMMAH"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan kita sentiasa berusaha melaksanakan tuntutan akidah dan keimanan iaitu mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, marilah kita berusaha memiliki sifat-sifat takwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha tersebut menjadikan kita hamba Allah yang mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah di dalam surah Alhaj ayat 41:
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, Dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan" .
Muslimin yang dikasihi Allah,
Ibadah zakat merupakan rahmat yang diberikan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala untuk hamba-hambaNya, sebagai tanda membuktikan sifat syukur terhadap segala nikmat yang diberikanNya kepada mereka.
Seseorang insan yang dikurniakan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala dengan pelbagai Nikmat seperti kekayaan, kesihatan dan lain-lain wajib menzahirkan rasa syukur di atas anugerah nikmat-nikmat tersebut dengan mengucapkan zikir dan tahmid. Bahkan, yang paling utama untuk membuktikan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah ialah dengan mematuhi segala yang diperintahkan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala termasuklah menafkahkan sebahagian harta yang dimilik kepada insan lain yang memerlukan pembelaan dan pertolongan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah al-Baqarah ayat 267 :
"Wahai orang-orang yang beriman!, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah maha kaya, lagi sentiasa terpuji".
Muslimin yang dikasihi sekalian,
Seseorang yang menunaikan zakat hartanya adalah merupakan suatu cara bagi membuktikan bahawa mereka mensyukuri Nikmat Allah, kerana setiap kali mereka berbuat demikian, Allah Subhanahu Wata'ala akan menggantikannya dan menambahkan pula dengan yang lain, sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Ibrahim ayat 7:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya!, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras" .
Bagi orang-orang yang berzakat, Allah akan menambahkan nikmat-Nya samada dengan bertambah rezekinya di dunia ini atau bertambahnya pahala sehingga melayakkan mereka mencapai keredhaan Allah, iaitu menerima ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala berupa nikmat syurga di akhirat kelak.
Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang amat besar bagi hamba-hamba-Nya yang ikhlas menunaikan ibadah zakat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah al-Baqarah ayat 261:
"Bandingan (zakat dan sedekah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah maha luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya".
Ingatlah, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala telah memerintahkan dua malaikat yang tugasnya setiap hari berdoa untuk orang yang pemurah dan orang yang bakhil, seperti yang dinyatakan dalam sebuah Hadis dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Setiap pagi dua malaikat turun mendampingi seorang hamba. Yang satu berdoa: "Ya Allah, berikanlah ganti harta dermawan yang menyedekahkan hartanya". Dan yang satu lagi berdoa: "Ya Allah binasakanlah harta mereka yang bersikap bakhil".
Beruntunglah orang yang didoakan oIeh malaikat supaya hartanya bertambah; dan rugilah orang yang didoakan oIeh malaikat supaya hartanya dimusnahkan. Marilah kita merebut doa malaikat yang pertama dengan cara kita memastikan harta-harta yang kita miliki telah suci dan bersih dengan ditunaikan zakat.
Muslimin yang dikasihi sekalian,
Ingatlah!, Allah amat murka kepada hamba-hamba-Nya yang bersifat angkuh dan sombong serta ingkar melaksanakan suruhan-Nya. Apabila Allah mengurniakan kepada seseorang itu kekayaan, menjadikan mereka bersifat bakhil dan kedekut, maka mereka dianggap sebagai manusia yang ingkar dan melampaui batas. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Setiap tuan punya emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya, di hari kiamat kelak emas dan perak itu dibentuk menjadi kepingan api yang dipanaskan di dalam neraka jahannam. Lalu diselarkan kepada dahi, rusuk dan belakangnya. Setiap kali kepingan-kepingan api menjadi sejuk, dipanaskan semula lalu diselar semula. Setiap hari di akhirat tempoh masanya bersamaan dengan lima puluh ribu tahun usia dunia" .
Bayangkanlah!, sekiranya tempoh manusia yang bakhil itu disiksa satu hari di akhirat bersamaan dengan lima puluh ribu tahun usia dunia, Berapa lamakah mereka terpaksa menanggung azab siksa sekiranya dihumban ke dalam neraka bertahun-tahun lamanya?. Sesungguh amat berat azab yang terpaksa ditanggung oIeh manusia yang degil dan ingkar terhadap perintah Allah Subhanahu Wata'ala.
Justeru, marilah kita kembali kepada mentaati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Mohonlah ampun kepada-Nya atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Tiada jalan yang mudah
untuk selamat daripada neraka melainkan kita menjadi hamba Allah yang taat di samping berdoa dan merayu kepada Allah agar kita dijauhkan daripada azab di padang mahsyar dan siksaan yang amat pedih di dalam neraka jahanam.
Pastikan hasil pendapatan dan gaji yang diperolehi, emas dan perak yang dipakai atau disimpan, wang simpanan di bank, kumpulan wang simpanan pekerja yang telah dikeluarkan oIeh pencarumnya,saham-saham yang halal, perniagaan, pertanian dan penternakan telah dibersihkan dengan ditunaikan zakat. Sesungguhnya melalui zakat yang ditunaikan, segala harta yang kita miliki akan menjadi penyelamat diri kita daripada azab api neraka.
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Saya menyeru kepada para jamaah sekalian, tunaikanlah kewajipan zakat tuan-tuan di Lembaga Zakat Selangor. Insya Allah, pihak Lembaga Zakat Selangor akan sentiasa memastikan wang-wang zakat yang tuan-tuan tunaikan akan sampai ke tangan asnaf yang berhak. Sekiranya kita mendapati di kawasan kejiranan kita terdapat golongan fakir miskin atau sesiapa yang wajar mendapat bantuan zakat, sila sampaikan maklumat tersebut kepada pihak Lembaga Zakat Selangor demi memastikan mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu, melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, sedangkan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan".
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmah dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 04 Disember 2009
No comments:
Post a Comment