Monday, December 14, 2009

Hospitaliti tradisional

" ARchiteCTURE for LIFE "

ALAM DAMAI

Penampilan kedesaan yang ringkas dan minimum membuatkan ramai pelancong tertarik dengan kenyamanan suasananya. Destinasi inap desa Malaysia terus popular dalam agenda percutian domestik.



BAYANGKAN pintu dan jendela kayu yang tidak perlu ditutup selalu. Ia membenarkan peredaran angin segar untuk menyejukkan suhu bilik.
Begitu juga dengan halaman hijau dan ruang dalaman luas yang cukup membuatkan penghuninya terasa bebas. Kebebasan itu tidak seperti jenis pelan lantai kondominium sempit yang dibangunkan sesetengah pemaju di bandar raya.
Itulah keistimewaan kehidupan di desa. Apatah lagi suasana kampung itu boleh dikongsi bersama orang luar melalui konsep inap desa (homestay). Kompilasi inap desa yang dibawakan Ruang kali ini membawa anda meninjau beberapa lokasi homestay popular di seluruh negara.
Salah satu contoh adalah Bob’s Homestay yang terletak di Kampung Johor Lama. Ia antara lokasi penginapan gaya desa yang mengajak tetamunya bersantai dalam persekitaran alam semula jadi.

KIRI: RUMPUT menghijau bagai dihampar di sekeliling banglo
KANAN ATAS: SUASANA perkarangan tradisional seperti di Homestay Jeruju ini menggamit kenangan ramai kepada kampung halaman masing-masing.
KANAN BAWAH: KEUNIKAN unit penginapan yang ‘dijulang’ tiang ini adalah antara yang boleh disewa dengan harga berpatutan di Bob’s Homestay.


Pemiliknya ialah Mohd. Bahari, yang lebih mesra dengan panggilan Bob pada mulanya membeli bidang tanah tersebut untuk menghabiskan waktu sepanjang usia persaraannya.
Bermula dengan sebuah rumah sederhana, dia memperbesarkan seni bina di kawasan seluas tiga ekar tersebut dengan menambah bilik-bilik seumpama dormitori.
“Ia pada mulanya untuk digunakan teman-teman saya yang berkunjung dan bermalam di sini. Kami suka memancing bersama,” ujar Bob yang akhirnya bersetuju menjadikan rumahnya itu sebagai sebuah homestay lantaran disaran rakan-rakannya.
Di Bob’s Homestay, dia merealisasikan daya tarikan sebuah rumah kampung pinggir laut dengan kemudahan bernilai tambah.

KIRI ATAS: PERMAINAN tradisi tidak pernah gagal menjemput rasa ingin tahu para pelancong asing.
KANAN ATAS: PROGRAM inap desa berjaya melonjakkan trend percutian domestik sekali gus membantu orang kampung menjana pendapatan.
KIRI BAWAH: DEKORASI hasil kreativiti penghuni rumah.


“Saya mengeluarkan belanja berperingkat untuk membina jeti, membela ternakan dan juga menanam rumput karpet,” kata bekas pegawai bank itu.
Sama ada atas kuasa bajet dan inisiatif sendiri mahupun program pengiktirafan homestay yang dibantu kerajaan negeri, semuanya bertujuan untuk merancakkan agenda percutian dan mempromosi hospitaliti Malaysia yang berkonsep tradisional.



Misalnya di negeri yang sama, Homestay Felda Semenchu dikelola oleh pihak Felda dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA). Terletak di laluan menghala ke pusat peranginan Desaru, sebanyak 92 buah rumah menanti tetamunya dengan standard kebersihan dan kemudahan yang terjaga.
Di Homestay Jeruju, Mukim Jerlun, Kubang Pasu, Kedah pula, program inap desa kampung itu yang berada di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelancong tempatan dan asing termasuk dari Korea dan Jepun.
Kampung yang namanya diambil daripada nama pokok itu pernah dilanda tragedi hakisan pada tahun 1990. Ancaman yang menenggelamkan kampung di sepanjang pantai Jeruju itu sekali gus membuatkan penduduk resah.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah mengambil langkah mewujudkan penempatan semula. Sehingga kini, terdapat seramai 304 penduduk di kampung berkenaan yang dibangunkan dengan pelbagai program termasuk inap desa.
Meninjau ke dalam bilik-bilik penginapan, lazimnya susun aturnya hampir sama dan tampil minimum. Katil, almari, kerusi rehat dan meja dandanan sudah memadai. Langsor ropol dan cadar kapas dengan warna terang dipilih untuk menambah seri.
Kalau bukan beralas permaidani bermotif kerawang, tentunya tikar getah corak geometri menjadi pilihan. Pasti semua itu mengingatkan pengunjung kepada kampung sendiri. Begitupun di homestay, tiada yang akan mengkritik kalau koordinasi warna perabot dengan fabrik tidak senada.
Kalau tarikan agrikultur dan landskap yang berwarna-warni dengan pohon bunga hiasan mampu menyejukkan mata dan perasaan, tentunya Homestay Pelegong di Negeri Sembilan mampu memuaskan hati.
Di kampung ini, aura autentik kampung secara tidak langsung disumbangkan oleh aktiviti harian penduduknya yang menjunjung budaya Minangkabau. Kebanyakan rumah di sini mempamerkan hiasan kraftangan yang berasaskan anyaman rotan dan buluh. Tidak mustahil sekiranya idea dekorasi desa seperti raga, tikar dan terendak ‘dipinjam’ tetamunya untuk menambah seri ruang tamu kediaman bandar masing-masing!
Homestay Kampung Ayer Limau di Melaka adalah saranan Ruang yang terkini khusus anda yang mencari lokasi baru. Selain mengisi waktu dengan mendekati masyarakat setemopat dan pelbagai produk kampung, ambil kesempatan untuk menghargai seni bina rumah lama.
Memang bertuah bagi tetamu yang berpeluang bermalam di dalam salah sebuah rumah utama yang dibina daripada kayu jati bermutu tinggi. Bukan sahaja kerana penampilannya yang mewah seumpama istana lama, ia lengkap dengan ornamen hiasan seperti pintu gerbang, jendela dan rabung yang berukir motif alam Nusantara.

DARI ATAS IKUT ARAH JAM: TANPA banyak perabot, penampilan sebegini jelas mengangkat konsep bersih dan kemas.
SAMBUTAN gaya di pintu masuk di kediaman Maalip Puteh di Homestay Felda Semenchu.
TATA rias ringkas namun cukup selesa di salah sebuah rumah di Homestay Pelegong.


Ada satu perkara yang jelas biar di mana pun seseorang pelawat itu memilih untuk bermalam. Tuan rumah dan orang kampung yang terlibat dalam program inap desa ini melayan tetamu umpama darah daging sendiri.
Hingga tiba waktu untuk mengucapkan selamat tinggal, tentunya pengunjung akan membawa bersama kenangan manis dan juga janji untuk berkunjung semula!

No comments:

Related Posts with Thumbnails