"RAJA MENAUNGI RAKYAT"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kita juga bersyukur kehadrat Allah kerana menempatkan kita di buminya yang bertuah ini dalam suasana aman, damai dan sejahtera, di samping dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.
Muslimin yang mulia,
Sempena ulangtahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, maka kita sebagai rakyat di Negeri Selangor, bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah mengurniakan kita dengan sistem pemerintahan yang teguh dan politik yang stabil lagi mantap, di mana Duli Yang Maha Mulia sultan atau Raja Melayu telah menjadi payung negeri sejak zaman lampau. Hasilnya, kita dapat melaksanakan tanggungjawab dengan melakukan aktiviti, seperti beribadah dengan tenang dan dapat mencari rezeki dalam suasana yang aman damai .
Sesungguhnya, Institusi Raja memainkan peranan penting dalam mempertahankan Islam dan Perpaduan Rakyat di negara ini. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat negeri ini hidup penuh muhibbah serta bersatu-padu, dengan menghormati Institusi Raja Berperlembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan, yang boleh menggugat atau mencemarkan Institusi Raja-raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai Agama Rasmi di negara ini.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 101:
"Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sejak akhir-akhir ini, terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan kedudukan Islam dalam perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah dan bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu di negara ini. Persoalan yang timbul ialah mengapa keadaan ini boleh berlaku?.
Ia berkemungkinan disebabkan ukhuwah umat Islam yang semakin longgar, wujudnya perpecahan, hilang integriti dan sanggup diperalatkan oIeh pihak lain. Jika perkara seperti ini berlaku secara berterusan, umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang sama seperti yang berlaku di sesetengah negara, di mana rakyatnya diburu dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam struktur kepimpinan negara kita, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, raja atau sultan merupakan ketua perlembagaan yang tertinggi. Kedudukan Baginda dijamin oIeh perlembagaan sebagai Ketua Negeri dan sebagai Ketua Agama Islam demi menjamin kesucian syariat Islam terus terpelihara.
Hubungan erat antara raja dengan rakyat, pemimpin dengan orang yang dipimpin, bukanlah suatu yang luar biasa. Malah ia merupakan amalan yang biasa berlaku sama ada dalam Tradisi Kepimpinan Islam atau pun dalam Kesultanan Melayu itu sendiri.
Sebagai umat yang bermaruah dan berintegriti, kita hendaklah kasih dan cinta kepada tanah air kita. Di antara bukti kasih dan cinta kepada tanah air ialah sama-sama kita mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang sedang kita miliki sekarang. Menurut syarak, berjihad kerana kesucian agama, mengangkat martabat ummah, menjaga harta benda dan kedaulatan tanah air, adalah fardhu kifayah. Bahkah ia menjadi fardu ‘ain sekiranya ia dicerobohi.
Negeri yang stabil, aman dan makmur akan dapat memberi peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menikmati sepenuhnya penghayatan beragama, pembangunan sosio-ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Kita amat bersyukur kehadrat Allah dan menjunjung kasih kepada Raja kita, dalam suasana yang tertentu, dalam keadaan genting dan gawat, tidak dapat dinafikan bahawa raja kita telah dapat memainkan peranan dalam membantu menyelamatkan keadaan dan mengendurkan ketegangan perkauman dan politik, menjaga kesucian Islam, adat istiadat orang Islam dan menjadi simbol Perpaduan Rakyat di negeri ini.
OIeh itu, setiap pihak sama ada agensi kerajaan atau badan berkanun, NGO dan orang-orang perseorangan tanpa mengira ideologi masing-masing, perlulah membantu Baginda untuk menjalankan tugas berasaskan kepada konsep Raja Berperlembagaan, yang mengambil kira kepada kehendak rakyat sepertimana yang terjelma dalam keputusan proses demokrasi yang menjadi amalan dalam negara kita. Kehendak rakyat terkini dan restu Baginda adalah suatu yang seharusnya sejajar dan harmoni.
Amanah dan tanggungjawab yang dipikul oIeh Duli Yang Maha Mulia Sultan amatlah berat. Maka, kita selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Baginda, wajar memahami keadaan dan seterusnya memberikan taat setia yang tidak berbelah-bagi kepada Baginda.
Di samping itu, kita juga perlu menghormati dan mematuhi peraturan yang dilaksanakan oIeh Ketua Pentadbir negeri ini dan para pegawainya, yang diberi amanah melaksanakannya. Di samping itu, kita hendaklah juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu dan pelaksanaan Akta Syariah dengan cara yang lebih bijaksana dan bertimbangrasa.Dalam Islam, setiap orang yang beriman selain diperintahkan supaya mentaati Allah dan mentaati rasul-Nya, maka kita juga disuruh taat kepada pemerintah. Ini telah dijelaskan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala dengan Firman-Nya dalam surah An-Nisa' ayat 59:
"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah serta kepada Ulil-Amri daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya" .
Muslimin yang berbahagia,
Mengapakah ketaatan kepada Ulil-Amri? sangat dituntut oIeh Islam?. Ini kerana, Ulil-Amri bertangggungjawab mengekalkan keamanan, kesejahteraan yang diamanahkan menjaga maslahah seluruh rakyat agar mereka sentiasa maju jaya, menikmati kehidupan yang baik serta diredhai Allah Subhanahu Wata'ala.
Ibnu ‘Abas Radhiallahu ‘Anhu mentafsirkan maksud Ulil-Amri? dalam ayat ini ialah raja atau pemerintah. Dengan ini jelaslah, bahawa mentaati Ketua Negeri adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Hal ini dikuatkan lagi dengan sepotong hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, Nabi s.a.w. telah bersabda:
"Siapa yang mentaati Aku, sesungguhnya ia mentaati Allah, dan sesiapa yang menderhaka kepada aku, maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah, sesiapa yang mentaati pemerintah, maka dia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhakai pemerintah, maka dia telah derhaka kepada Aku " .
Sidang Jumaat yang mulia,
Dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka contohnya, terdapat banyak bukti-bukti yang menunjukkan betapa eratnya hubungan antara sultan dan rakyat jelata. Diumpamakan aur dengan tebing, ini menjadikan Baginda Sultan disayangi oIeh rakyat jelata, ibarat pohon rimbun tempat berteduh, memayungi kesejahteraan kehidupan seluruh rakyat dan mengekalkan ketenteraman yang berpanjangan.
Jika kita mengimbas kembali sejarah keagungan Islam, Saiyidina Omar bin Al-Khattab Radhiallahu ‘Anhu merupakan bukti nyata dan jelas betapa seorang pemimpin yang berjaya menawan hati rakyat, menegakkan keadilan dan kebenaran, sehingga Baginda sanggup turun sendiri melihat kesengsaraan rakyat yang hidup dalam kesusahan pada zamannya . Begitu juga, Khalifah Omar bin Abdul Aziz Radhiallahu ‘Anhu berjaya membentuk sikap kesederhanaan, pemurah, pemaaf dan mengambil berat soal kebajikan rakyat, membantu golongan dho'if, fakir dan miskin, berpandukan konsep Al-‘adlu wal-ihsan. Kita harapkan agar kekuatan ekonomi negara kita tetap kukuh, kestabilan politik kita tetap mantap, mengekalkan keutuhan semangat juang yang tinggi, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air.
Semua pihak hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan menghina, mencela dan memfitnah pihak lain, kerana perbuatan tersebut amat dimurkai Allah Subhanahu Wata'ala sepertimana Firman-Nya dalam surah Al-Hujurat ayat 11:
"Wahai orang-orang yang beriman!, janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki ) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum wanita mencemuh dan merendah-rendahkan kaum wanita yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka".
(An-Nahl:90)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmah dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 11 Disember 2009
No comments:
Post a Comment