Tuesday, November 24, 2009

Resort rimba RM7,000 semalam

" ARchiteCTURE for LIFE "

ALAM DAMAI

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my

RUANG tamu yang luas tampil kemas dengan penataan ringkas.

PERSEKITARAN tenang di estet peribadi ini menepati namanya, Aman Rimba. Berkonsepkan rumah penginapan eksklusif dengan pengkayaan elemen tradisi tanpa penghujung, aura kedesaan itu mampu menyegarkan minda dan mengutik ketenangan jiwa.

Terletak kira-kira 500 meter dari simpang kecil yang terlindung dek rimbunan pohon dedap, perjalanan ke Aman Rimba yang terletak di Kampung Janda Baik, Pahang ini disajikan dengan pemandangan redup sungai yang mengalir di sisi jalan.

“Aman Rimba dibina sebagai lokasi khas untuk keluarga serta teman-teman rapat pemilik berkumpul dan mengadakan majlis tertutup. Baru tahun ini ia dibuka kepada orang awam.

“Setiap sudut suit mempunyai kisah tersendiri malah turut mendapat sentuhan dekorasi daripada pemiliknya,” jelas Pengurus Aman Rimba, Izham Abdullah, 32.

Dipagari kayu selipar kereta api, keluasan halaman estet peribadi ini memberi peluang kepada si pemilik merealisasikan impian membina taman berkonsep neo-Bali yang diperkuatkan dengan elemen artistik semula jadi.

Pemilik ternyata selesa memilih batuan sungai dan ornamen salur air serta tanaman hiasan renek sebagai titik fokal persekitaran bagi enam unit suit mewah yang ada.

Melewati pintu gerbang batu bak berada di Wisata Bali, telinga pantas menangkap deruan air yang terhasil daripada tujuh salur air berimej fauna.

Sama ada tenang, mengalir mahupun berkocak, yang pasti, ornamen tradisi itu mengukuhkan lagi tema pilihan dan menyempurnakan penataan taman peribadi ini.

KOLAM mandi dengan kuasa turbo menjanjikan pengalaman baru kepada penghuni.

Konsep kampung

Mengalih pandangan ke binaan rumah kayu tradisional yang dijadikan salah satu suit, ia mempamerkan kreativiti pemilik mengolah persekitaran bagaikan berada di perkampungan Melayu lama.

Dengan tempayan tersedia di kaki tangga, ia menjadi resmi setiap tetamu untuk mencuci kaki sebelum menaiki anjung rumah.

Menurut Izham, suit yang diberi jolokan Sireh itu merupakan rumah kampung tradisi yang sengaja dihias tanpa melupakan perincian klasik di setiap ruang.

“Koleksi barangan antik seperti radio lama, kipas meja, mesin jahit kaki mahupun suis lampu bentuk bulat seolah-olah mengajak tetamu mengimbau nostalgia sewaktu membesar di kampung.

“Sungguhpun berkonsep kampung, kami sangat menitikberatkan keselesaan tetamu. Justeru, hiasan di ruang beradu dan kamar mandi direka seperti menginap di hotel ternama,” katanya.

Menawarkan enam suit mewah dengan konsep hiasan dalaman berbeza, pemilik tidak berkompromi tentang aspek keselesaan baik dari segi kemudahan eksklusif di suit mahupun kebebasan melayari Internet jalur lebar.

Menyusuri pedastrian yang mengelilingi estet seluas 0.9 hektar ini, sebuah kolam mandi dengan kuasa turbo mencuri tumpuan.

Jelas Izham, selain menjadi lokasi alternatif bagi tetamu yang ingin menikmati kepuasan bermandi-manda, kolam mandi itu juga memainkan peranan dalam menimbulkan suasana santai pada waktu malam.

TASIK yang menjadi tumpuan pelbagai haiwan ini menambahkan elemen semula jadi.

13 anak tangga

Mahu mengekalkan aura desa di sekitar suit, tidak jauh dari kolam mandi terbina sebuah tasik kecil yang menghimpunkan angsa, itik, burung dan puluhan ikan.

Ada juga kawanan merak yang kadangkala mencuri pandangan apabila sesekali ekor birunya itu mengembang.

Jika sedang asyik menyaksikan ragam haiwan, jangan terkejut apabila burung kakak tua yang menginap sangkar lebar di sebelah tasik ini menyapa anda.

Bagaikan tahu akan tugasnya, ia tidak jemu beraksi malah sangat mesra jika ada yang sudi ‘berbual’ dengannya.

Bagi yang inginkan penginapan di suit bercitra elegan, rumah Kantan adalah saranan terbaik untuk anda.

Hadir dalam dua unit, ia berilhamkan rekaan istana Melayu pada zaman silam. Tetamu perlu memijak 13 anak tangga batu sebelum memasuki suit berbumbung tinggi ini.

Dilengkapi dengan ruang transisi yang menyuntik pemandangan ke seluruh estet dari ketinggian lebih dari 304 meter, keunikan suit ini turut terletak pada binaan dua dalam satunya.

Suit Kantan sengaja dibina berkembar bagi memberikan ruang yang lebih luas apabila bersantai bersama keluarga.

Bercantum di bahagian ruang tamu, ia juga boleh dipisahkan menggunakan pintu lipat khas dan menjadikan Kantan sebuah kamar yang besar.

“Keterbukaan yang ada pada ruang luas ini membolehkan tetamu memilih sama ada untuk berehat di beranda sambil menikmati pemandangan, merehatkan tubuh di tilam siang, berborak sambil menonton rancangan kegemaran di ruang ramu mahupun terus menuju ke ruang beradu,” kata Izham.

SUIT Kantan dibina berilhamkan rekaan istana Melayu pada zaman silam.

Biarpun tidak sarat dengan aksesori, setiap ruangan diberi sentuhan mewah terutama pada perabot dan set televisyen mudah laras yang terletak di tengah rumah.

Menghayati dengan lebih mendalam unsur moden yang diterapkan di suit kembar, perincian ringkas tetapi eksklusif menjadikan Kantan laksana kamar hotel lima bintang. Mempesona dan mendamaikan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails