Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Marilah kita memerhati dan menilai tahap ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita perlu sentiasa bertakwa dan berjanji bahawa kita hanya akan mati di dalam Islam.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah,
Islam, agama yang kita anuti ini telah dimulakan seruannya sejak 1500 tahun lalu. Sepanjang sejarahnya, kita telah menyaksikan pasang dan surutnya kekuatan umat Islam, sebagaimana kita juga melihat jatuh dan bangunnya bangsa-bangsa lain seperti kerajaan Mesir tegak berdiri sejak tahun 3,000 miladiah selama beberapa abad kemudian jatuh di tempat kita, kerajaan Melayu Islam Melaka bermula pada tahun 1400 Masihi, jatuh dalam usia yang muda pada tahun 1500 Masihi. Semuanya berada dalam lingkungan Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 26:
"Katakanlah ( wahai Muhammad) : Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari ini, umat Islam tidak lagi berada dalam jaluran kegemilangannya. Hari demi hari kita mendengar tentang penghinaan, penganiayaan dan penindasan umat Islam di serata dunia. Walaupun ada negara dan kerajaan yang dikuasai oIeh umat Islam, nasib umat Islam di peringkat antarabangsa tidak mencerminkan keupayaan kuasa umat ini membela saudara-mara seakidah dengannya. Bahkah kewujudan umat Islam sebagai umat yang tunduk patuh kepada syariat Allah Subhanahu Wata'ala dalam segala aspek kehidupannya juga tidak zahir kerana pelbagai halangan dalaman dan luaran. Demikian juga, walaupun jumlah umat yang ramai, tetapi ramai seperti buih di atas air atau sampah saraf akibat banjir. Apa yang kita saksikan hari ini adalah sebahagian dari maksud hadis-hadis akhir zaman seperti sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud:
"Ketahuilah, kitaran Islam itu berputar. maka kamu hedaklah berputar bersama kitab Allah ke mana sahaja ia berputar. Ketahuilah kitab dan kuasa akan berpisah, maka jaganlah kamu berpisah dengan al-kitab. Ketahuilah, akan ada pemimpin-pemimpin yang membuat keputusan (memerintah) untuk kamu. Sekiranya kamu mentaati mereka, mereka akan menyesatkan kamu. Sekiranya kamu ingkar kepada mereka, mereka membunuh kamu . Mu'az bertanya : " Ya Rasulullah!, apa yang perlu kami lakukan?". Jawab Baginda: "Buatlah seperti pengikut-pengikut Isa bin Mariam. Mereka dibelah dengan gergaji , diangkat di tiang kayu, mati dalam keadaan ta'at (kepada Allah) lebih baik dari hidup dalam keadaan maksiat kepada Allah ‘Azza Wajalla.
( Riwayat At-tabrani dalam Mu'jamus Saghir ).
Demikian juga disebut dalam hadis yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w.: bermaksud:
"Celakalah bagi bangsa Arab, terhadap kejahatan yang semakin dekat. Fitnah seperti belahan malam yang gelita. Seseorang bangun pagi sebagai mukmin, tetapi menjadi kafir pada sebelah petang. Ada golongan yang menjual agama mereka kerana sedikit habuan dunia. Orang yang berpegang dengan agamanya ketika itu seperti orang yang menggenggam bara" .
(Riwayat Imam Ahmad) .
Inilah sebahagian dari realiti kita. Namun, Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan membiarkan keadaan yang muram itu berterusan. Justeru kita meyakini janji Allah Subhanahu Wata'ala akan terlaksana sebagaimana ia telah berlaku kepada generasi yang terdahulu. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nur ayat 55 :
"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhainya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadah kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka" .
Inilah janji Allah, janji kemenangan dan kekuasaan kembali kepada umat Islam. Janji itu disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
"Demi Allah!, urusan agama ini (dan kedaulatannya) akan disempurnakan Allah, sehingga orang yang menunggang kenderaan dari bandar San'a' ke Hadhratul-Maut tidak bimbang selain dari Allah atau serigala yang mengintai kambingnya " .
( Riwayat al-Bukhari ).
Allah menjanjikan kemenangan agamanya yang membawa keamanan walaupun di ketika melalui kawasan sunyi seperti kawasan gurun (di Yaman), pada zaman orang Islam diperangi orang-orang kafir Arab Jahiliyyah. Janji Allah Subhanahu Wata'ala itu pasti berlaku. Namun janji itu mengenai siapa dan generasi mana, kita tidak tahu. Umat yang sabar akan diberi ganjaran oIeh Allah. mereka akan diberi kemenangan juga di akhirat, negeri yang kekal abadi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Apa yang penting adalah kita memahami dan meyakini janji Allah yang benar ini. Perjuangan menegakkan Islam wajib diteruskan. Bahkah Rasulullah s.a.w. menjanjikan bahawa golongan yang mempertahankan kebenaran akan sentiasa wujud sepanjang zaman sehingga hari qiamat.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Akan sentiasa ada di kalangan umatku golongan yang menzahirkan (mempertahankan) kebenaran. Orang yang menentang mereka tidak akan memudharatkan mereka sehingga datangnya urusan Allah Subhanahu Wata'ala".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Perjuangan Islam itu umpama mata-mata rantai yang bersambung generasi demi generasi. Apa yang menjadi persoalan, adakah kita berada di dalam salah satu daripada mata-mata rantai itu? atau, adakah kita hanya menjadi pemerhati setia, melihat dan menonton perkembangan manusia tanpa terlibat di dalamnya?, atau kita menjadi salah seorang yang memutuskan mata rantai tersebut?
Marilah kita bertekad untuk sama-sama menyumbang dalam usaha menegakkan agama dan syariat Allah. Justeru, kita tidak punyai pilihan lain untuk menegakkan kemuliaan umat, melainkan berlandaskan syariat agama ini. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 85:
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari kalangan orang-orang yang rugi"
"Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hedaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan). Manakala amal yang soleh pula meningkatkan amalannya, sebaliknya orang-orang yang merancangkan kejahatan adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa" .
(Faathir: 10) .
KHUTBAH KEDUA
Sidang jumaat yang berbahagia,
Marilah sama-sama kita merenung pengajaran-pengajaran yang dapat kita fahami daripada khutbah ini, antaranya :-
* Kehidupan membina tamadun masyarakat yang berasaskan
kepada kebenaran adalah satu cabaran getir yang dihadapi oIeh manusia.
* Kerajaan yang sebenarnya adalah milik Allah. Manusia hanya pemegang amanah yang sementara. Allah akan menukar ganti tampuk kekuasaan kepada kumpulan penguasa yang dihendaki-Nya.
* Pemerintah yang mengamalkan dasar kebenaran, keadilan, kebajikan sentiasa dilindungi dan diberkati oIeh Allah.
* Dasar pemerintahan dan perjuangan yang diredhai oIeh Allah adalah dasar Islam. Dasar inilah yang menjanjikan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
* Umat Islam perlu menyatukan tenaga untuk memperjuangkan Islam dan jangan berpecah-belah.
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 13 November 2009
No comments:
Post a Comment