Sunday, November 1, 2009

ALAM DAMAI (kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

Berlibur & berhibur di aras tiga

Banglo tiga tingkat di SS3 Petaling Jaya tampil tersendiri daripada rekaan sehinggalah kepada fungsinya.




KALAU kebanyakan orang runsing memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan ruang di kediaman mereka, pemilik bersama firma guaman, David Lingam & Co, David Lingam, 56, dan Anushia Siva Subramaniam, 44, pula memiliki kawasan yang maksimum untuk disempurnakan sebagai rumah impian mereka.

Bagi pasangan ini, tugas itu diserahkan ke tangan pakar seni bina, Dr. Tan Loke Mun, yang merupakan bekas Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Memiliki tanah seluas 929 meter persegi, mereka kemudian membeli rumah sebelah yang secara kebetulan hendak dijual, menjadikan jumlah keluasan keseluruhan tanah persendirian milik mereka setengah ekar atau 2,023 meter persegi.

Agak mustahil untuk menguruskan dua buah banglo pada satu masa di lokasi yang sama. Jadi David memutuskan untuk merobohkan kedua-dua banglo itu dan membina sebuah banglo di atas kedua-dua tapak itu.

Hasilnya, selepas lebih dua tahun kerja rekaan dan pengubahsuaian dilakukan, berdirilah sebuah banglo tiga tingkat, termasuk aras bawah tanah, di atas bukaan tapak seluas 20,000 kaki persegi (1,858 meter persegi).

Dari luar sudah dapat dirasakan betapa gah binaan berbumbung tinggi dan berpagar batu itu.

“Padahal pada asalnya saya hanya mahukan sebuah rumah yang kecil dengan laman yang luas,” kenang Anushia yang gemar berkebun.

Bentuk donat

Sebuah bilik pengawal, sebuah bilik pemandu, dapur basah dan kering selain bilik pembantu rumah dapat ditemui sama ada di aras satu atau aras bawah tanah.

Malah ruang tamunya di aras satu saja sudah ada tiga termasuk di luar rumah yang menghadap kolam mandi dan jakuzi.

Menariknya, kata Anushia, rumah itu meniru bentuk donat dengan memiliki laman dalam rumah di tengah-tengah bangunan.


DARI IKUT ARAH JAM: BATU granit berwarna hitam yang dipasang pada lantai menambah efek dramatik ruang tamu ketiga ini.
LAMAN dalam di tengah-tengah bangunan yang menyumbang kepada pencahayaan dan pengudaraan.
PINTU hayun ala koboi menjadi simbol santai ruang berhibur dan berlibur.
DEK di atas bumbung bakal memberi David sekeluarga pemandangan percikan bunga api yang hebat di seluruh Lembah Klang.


Laman yang menghijau dan ditumbuhi pokok yang tinggi itu pula dapat dinikmatinya dari aras satu sehinggalah ke aras tiga melalui dinding kaca yang memagari. Kata Anushia, angin yang berhembus melaluinya sangat nyaman dan menyegarkan.

“Ia membolehkan rumah ini menjimatkan tenaga. Dengan adanya laman di tengah-tengah rumah seperti ini, kami mendapat pencahayaan dan pengudaraan semula jadi yang menyihatkan.

“Rumah ini juga tidak terputus di mana-mana. Anda boleh sampai ke semua bahagian rumah ini melalui laluan mana pun,” terangnya.




Aras dua merupakan sisipan privasi rumah berkenaan yang menempatkan lima bilik tidur utama. Masing-masing dilengkapi bilik air, almari besar, balkoni dan taman peribadi.

“Saya suka tengok rumah sentiasa kemas dan bersih. Jadi sebaiknya barangan yang perlu saja ada di dalam satu-satu ruang.

“Kalau boleh, permaidani pun kami elakkan,” kata ibu kepada dua orang anak itu yang dapat menikmati keindahan dan kehijauan taman dari bilik airnya. Kalau diperhatikan, bilik anak-anak juga direka dengan asasnya tidak terhad kepada usia sekarang.

“Biarlah anak-anak dapat menggunakan bilik mereka sehingga dewasa,” tambah Anushia.

Bumbung rumah

Keistimewaan rumah itu, kata David pula, sebenarnya terletak di aras tiga kerana ia adalah alasan sebenar rumah itu dibina sedemikian rupa.

“Kami suka melayan tetamu, terutama rakan-rakan dan keluarga. Jadi kami mahukan rumah yang praktikal dan sesuai bagi kegunaan semua peringkat umur. Disebabkan itu kami mendedikasikan aras tiga sebagai aras untuk menghiburkan para tetamu,” ujar David.

Sampai saja di aras tiga, keramahan mula terasa apabila kaki memijak lantai kayunya.

Membelok ke kiri, tetamu akan disapa oleh laluan yang panjang, diapit pemandangan menghijau laman dalam rumah dan dinding berhias lukisan abstrak kegemaran David.

Pintu hayun koboi menjadi indikasi tetamu bakal dijamu dengan kelainan. Dimulakan dengan sebuah bar berbentuk bulat binaan kayu cengal, bersebelahan dengannya tersedia satu set lengkap alatan muzik berupa drum, gitar, keyboard dan amplifier.

“Di sini, anak-anak, ahli keluarga dan tetamu dapat bermain alat muzik yang digemari. Ia satu cara kami menghabiskan masa bersama,” kata David yang sememangnya mempunyai ahli keluarga dalam aliran seni muzik.

Disusuli meja pool, ia membuka ruang kepada tetamu untuk menunjukkan bakat menggabungkan teori matematik dan fizik yang tampak ringkas tetapi kompleks.

Sebuah bilik yang kalis bunyi pula dikhaskan sebagai bilik karaoke buat mereka yang mempunyai kelebihan vokal.


DARI IKUT ARAH JAM:BAHAGIAN atas bar bulat ini diperbuat daripada kayu cengal.
BILIK air bilik utama ini menghidangkan privasi maksimum kerana kedudukannya searas lebih tinggi berbanding rumah jiran di sekeliling.<>brPEMANDANGAN luar banglo tiga tingkat ini kelihatan seperti sebuah pejabat.
KOLAM mandi dan jakuzi menghiasi laman sisi rumah ini.


Di aras itu juga tetamu dewasa diberi ruang untuk menikmati cerut dan bermain poker di bilik-bilik khas.

Menjelang sambutan tahun baru kelak, keluarga sederhana besar ini juga sudah mempunyai lokasi untuk dituju. Ke mana lagi kalau bukan ke bumbung rumah sendiri.

Melihatkan potensi kedudukan dan ketinggian rumah itu, sebuah dek dibina khas di atas bumbungnya. Lengkap berlantai jaring besi dan berlampu yang menyuluh ke lantai, mereka bakal menikmati pancaran cahaya bunga api dari segenap pelosok ibu kota terutama KLCC dan Menara Kuala Lumpur.

Pendek kata, semua orang dari pelbagai peringkat umur mempunyai ruang sendiri untuk berhibur dan berlibur!

No comments:

Related Posts with Thumbnails