Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita memerhati dan menilai tahap ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita perlu sentiasa bertakwa dan berjanji bahawa kita hanya akan mati di dalam Islam.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Ilmu itu pelita hati. Obor penyuluh dalam kegelapan hidup. Ilmulah yang membezakan antara yang hak dan yang batil dalam masalah akidah, antara yang sunat dan bid'ah dalam masalah ibadah, antara yang baik dan yang buruk dalam masalah mu'amalah, antara yang halal dan yang haram dalam masalah amalan, antara yang benar dan yang salah dalam masalah pemikiran, antara yang terpuji dan yang terkeji dalam masalah perilaku seseorang insan.
Khalifah Omar bin Abdul Aziz pernah berkata:
"Orang yang berbuat sesuatu tidak berdasarkan ilmu, maka yang rosak adalah lebih banyak dari yang baik" .
Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi, Sarjana Pemikir Islam Kontemporari yang tersohor, dalam bukunya bertajuk : "Fiqhul Aulawiyyat" menyatakan: "Mendahulukan ilmu ke atas amal adalah wajib, kerana hal itu akan memberi petunjuk kepada amal soleh, seperti halnya menunjukkan pada Iman ".
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Hajj ayat 54:
"Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus".
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Islam adalah satu-satunya agama dengan jelas, tegas dan nyata memartabatkan kepentingan ilmu sebagai sesuatu yang pasti dimiliki untuk meraih kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi. Penurunan kitab suci Al-Quran bermula dengan gesaan mencari ilmu menerusi pembacaan sudah cukup menyatakan kepentingan ilmu itu, kerana ilmu membezakan antara kejahilan dan kecerdikan.
Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 9:
Katakanlah lagi (kepada-Nya):"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna " .
Menuntut ilmu ialah pra-syarat untuk membolehkan manusia benar-benar berperanan sebagai hamba dan Khalifah Allah di muka bumi. Dengan ilmu manusia dapat mengenali Tuhannya, dapat mengenali dirinya, dapat mengenali dan berinteraksi dengan alam lain. Sesungguhnya mengenali Allah, diri, alam dan mahkluk lain merupakan persediaan asas untuk manusia berfungsi dengan sebaik mungkin.
Mencari ilmu tiada sempadannya, ia adalah persoalan global dan universal, merentas sempadan geografi, negara, bangsa dan warna kulit . Rasulullah s.a.w. bersabda:
" Tuntutlah ilmu walau pun sampai ke negeri China" .
(Riwayat Al-Baihaqi).
Ilmu juga adalah wadah untuk meraih kepentingan dunia dan akhirat. Sayyidina Ali Karramallahu Wajhahu ada menyatakan:
"Barang siapa yang mahukan dunia hendaklah mendapatkannya dengan ilmu, dan barang siapa yang mahukan akhirat hedaklah mendapatkannya dengan ilmu, dan barang siapa yang mahukan kedua-duanya hedaklah mendapatkannya dengan ilmu" .
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ilmu boleh digarap dan diperolehi dengan berbagai cara, antaranya membaca, menyoal, mendengar, melihat, memerhati, menyelidik, membuat kesimpulan dan sebagainya. Induk bagi semua cara tersebut ialah membaca. Kajian ilmiah telah membuktikan bahawa 70% dari maklumat yang diperolehi oIeh manusia adalah menerusi pembacaan.
Dunia hari ini melihat kepada kepentingan membaca sama seperti kepentingan bertutur dan berjalan. Seseorang yang boleh membaca dan memahami apa yang dibacanya dengan cepat, akan dapat melaksanakan kerjanya berkali-kali ganda kualiti dan kuantitinya dari seseorang yang mampu membaca secara biasa. Membaca adalah usaha penanaman modal dan urusan perdagangan yang tidak pernah merugikan, apatah lagi jika yang dibaca itu mendatangkan kemanfaatan duniawi serta menjanjikan balasan pahala pula menantinya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Faathir ayat 29 - 30:
"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya)" .
Para hadirin yang berbahagia,
Kesimpulan awal yang dapat kita buat setakat ini: "Membaca adalah asas kepada pembelajaran dan jalan pertama ke arahnya. Ia juga sebagai jalinan komunikasi seseorang dengan orang lain bagi memperolehi pengalaman dan pengetahuan mereka. Jalinan komunikasi ini sangat penting untuk kelangsungan hidup. sedikit pengetahuan yang diperolehi seseorang, akan merangsang minat dan nalurinya untuk menambahkan lagi penghasilan ilmunya, dan akhirnya, akan terbentuklah budaya membaca dalam dirinya.
Muslimim yang berbahagia ,
Marilah kita pupuk bersama minat membaca dalam diri kita walau di peringkat umur mana kita sedang berada. Suburkanlah nilai murni ini dalam diri anak-anak semasa mereka masih kecil lagi. Keluarga yang membaca akan melahirkan masyarakat yang membaca. Masyarakat yang membaca akan melahirkan bangsa yang membaca. Bangsa yang membaca akan melahirkan ummah yang berilmu dan mampu mencipta tamadun yang tersendiri.
Mari kita ikuti bersama faedah membaca yang telah disenaraikan oleh pengkaji dan penyelidik:
* Mengusir was-was, cemas dan kesedihan.
* Menghindarkan dari hal-hal batil.
* Menghindarkan diri dari berhubungan dengan orang-orang yang tidak ada sebarang aktiviti.
* Melatih lidah untuk berbicara lebih baik.
* Mencerahkan fikiran dan membersihkan hati.
* Meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan daya ingatan.
* Mendapat pengalaman dan kebijakan orang lain .
* Mematangkan kemampuan mencari dan memproses pengetahuan.
* Menambah keimanan.
* Memanfaatkan waktu agar tidak terbuang.
Kata ahli bijak pandai:
Jual emas beli berlian
Jual berlian beli manikam,
Jual manikam beli ilmu.
"Allah menerangkan ( kepada sekalian makhluk-nya dengan dalil-dalil dan bukti) bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; yang Maha Berkuasa; lagi Maha Bijaksana" .
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmah dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 06 November 2009
No comments:
Post a Comment