Wednesday, May 5, 2010

Lestari alam lereng bukit (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm


BAGI yang mahukan suasana romantis, bolehlah memilih ruang santapan di tepi kolam.


BAYU rimba yang berpuput lembut menyegarkan kawasan lereng bukit itu. Bunyi desiran angin dan riak air sungai yang mengalir ke cenuram membangkitkan suasana damai alam semula jadi.
Di lereng Bukit Lanjan, Kuala Lumpur itu tersergam sebuah restoran yang diberi nama Subak.
Asalnya di tapak itu ingin didirikan rumah tetapi pemiliknya, Salleh Lamsah, 65, berubah fikiran apabila menyedari lokasi itu berpotensi untuk dijadikan destinasi selera yang unik.
Bentuk muka bumi asal kawasan itu terus dilestarikan, cuma disuntik penambahbaikan.
Kontur bukit yang curam dan rata di tengah nyata dimanfaatkan sebagai medan gastronomi yang mempesona. Aliran air anak Sungai Penchala terus dibiar mengalir merentasi lereng bukit itu dan dibina kolam yang indah.
Kedatangan pengunjung ke Subak disambut oleh rimbunan buluh liar. Disebabkan kedudukannya yang terletak di lereng bukit, pengunjung perlu mendaki sedikit cerun yang sudah membentuk jalan.

IKAN-IKAN koi berenang riang di dalam kolam.


Nusantara
Di bahagian laman berumput terdapat sebatang kayu balak yang dibuat bangku.
Di atasnya dihias dengan beberapa peralatan tradisional seperti lesung, penggiling beras, penumbuk sekam padi dan congkak.
Lokasi pertama yang dijejaki pengujung di restoran tersebut ialah bangunan yang menyatukan ruang penyambut tetamu dengan dapur.
Dinamakan ‘rumah’, bangunan berangka kayu cengal itu kelihatan utuh. Kerusi meja buatan kayu pula pantas mencetuskan aura Nusantara dan tradisional.
Cuma atap bangunan itu diperbuat daripada genting bagi tujuan keselamatan. Ini kerana dapur terletak di situ. Atap di kawasan yang lain diperbuat daripada atap nipah dan serai wangi.
Dapur restoran ini mengaplikasi konsep terbuka. Pengunjung boleh melihat apa yang dilakukan oleh tukang masak di dapur menerusi ruang bercermin.
Kata Salleh, dapur terbuka adalah untuk memastikan pekerja-pekerja sentiasa berdisiplin dalam melaksanakan tugas kerana mereka sentiasa diperhatikan.

PANORAMA di Subak saat malam menjelma.


Pokok asal
Pengunjung boleh menjamu selera di bangunan ini namun sebenarnya terdapat lima seleksi ruang menjamu selera iaitu di anjung (tempat berpayung), serambi, tepi kolam dan loteng (paling tinggi untuk lebih privasi). Ia boleh memuatkan kapasiti maksimum 150 orang.
Aneka tumbuhan dapat dilihat di restoran ini, antaranya ialah pisang hutan, getah, bunga kantan dan bambu.
“Saya mengekalkan sifat semula jadi kawasan ini. Ada pokok di sini yang kami biarkan tumbuh di antara ruang dan ada yang menerobosi atap.
“Kami tidak potong pokok-pokok asal yang tumbuh itu,” katanya sambil menerangkan tapak restorannya itu sebenarnya bekas kawasan kebun dan dusun.
Salleh yang banyak mengembara memberitahu, nama Subak diambil daripada perkataan Bali, Indonesia yang bermaksud komuniti berasaskan air.
Perkataan itu melambangkan masyarakat Bali yang memerlukan air untuk tanaman padi dan keharmonian masyarakat yang saling berkongsi air.
Pemilihan Subak untuk nama restoran ini juga dilihat ada signifikannya. Sebatang anak sungai yang merentasi kawasan restoran bagai ‘oasis’ yang mengalirkan keharmonian.
Tumbuh-tumbuhan malar segar di restoran itu juga memerlukan air untuk terus memancarkan seri rimba.

SUNTIKAN tradisional dan Nusantara mencetuskan pesona tersendiri.


Air sungai yang akhirnya mengalir ke Sungai Penchala itu dibahagikan kepada dua bahagian. Sebahagian air disalurkan ke kolam dan selebihnya mengalir terus ke Sungai Penchala.
Air yang disalurkan ke kolam mengalami proses sirkulasi, dipam untuk menjadi air terjun dan kembali mengairi kolam.
Dekorasi kolam juga kelihatan menarik dengan dua jenis pancuran hiasan, salah satunya berbentuk seperti pasu.
Ikan-ikan koi yang bermain di dalamnya menandakan airnya diselia agar sentiasa bersih.

ALATAN dapur tradisional menghiasi bangku kayu balak di laman.


Melepak
“Bukan sahaja air kolam dikitar semula, malah perabot-perabot kayu di restoran ini turut menggunakan kayu yang dikitar semula,” ujarnya.
Salleh berkata, beliau sengaja membuatkan papan tanda nama restoran ini kecil kerana ia satu amalan yang biasa dilakukan oleh restoran-restoran hebat di Eropah.
“Saya juga menamakan restoran ini Subak, bukan Restoran Subak kerana saya ingin menjenamakan nama itu. Walaupun namanya tidak ada perkataan restoran, namun orang tahu yang ia merupakan restoran,” katanya.
Salleh memberitahu, beliau mahu pengunjung yang datang ke restorannya benar-benar menikmati bukan sahaja makanannya bahkan suasana di sini sepenuhnya.
“Saya tidak kisah jika pengunjung mahu (berada) lama-lama di sini. Kami biasanya sudah tidak menerima pesanan makan pukul 11 malam tetapi jika pengunjung mahu berada di sini sampai pukul 2 pagi, mereka boleh terus berada di sini,” ujarnya.

1 comment:

Blog27999 said...

If you're looking to lose pounds then you need to try this totally brand new custom keto plan.

To produce this service, certified nutritionists, personal trainers, and professional chefs have joined together to develop keto meal plans that are useful, decent, money-efficient, and satisfying.

Since their grand opening in January 2019, 100's of people have already remodeled their body and well-being with the benefits a certified keto plan can offer.

Speaking of benefits: clicking this link, you'll discover eight scientifically-proven ones given by the keto plan.

Related Posts with Thumbnails