Sunday, May 2, 2010

Khutbah Jumaat - 30 April 2010

 " ARchiteCTURE for LIFE "
"MENGHORMATI JIRAN TETANGGA"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
 Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan amal soleh dan berbuat kebajikan kepada kedua ibu bapa kita, saudara-mara, anak-anak yatim, jiran tetangga dan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
          Islam adalah agama yang mengutamakan kehidupan yang sejahtera dan aman di kalangan umat manusia. Islam juga sentiasa menggalakkan umatnya hidup bersatu-padu dan mengelakkan sebarang bentuk perselisihan atau perpecahan.
          Di tanahair kita, kehidupan berjiran sama ada dengan masyarakat seagama mahu pun yang berlainan bangsa dan agama sudah menjadi lumrah dan budaya hidup saling hormat-menghormati dan mengenali antara satu dengan yang lain sejak turun temurun lagi. Budaya seperti ini adalah satu perkara yang mulia dan amat dituntut oIeh Islam sebagaimana Firman Allah dalam surah Al-Hujurat  ayat 13:
          "Wahai umat manusia!, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".
          Di antara perkara yang boleh membawa kepada kesejahteraan dan keamanan ialah dengan menunaikan tanggungjawab menghormati  hak-hak orang lain terutamanya masyarakat yang hidup berjiran dengan kita.
          Imam An-Nawawi  Rahimahullah menyatakan bahawa orang yang boleh dianggap sebagai jiran kita adalah sebagaimana berikut;
1 .      Orang  yang tinggal serumah dengan kita.
2.       Orang yang berdekatan rumah dengan kita.
3.       Orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah dari rumah kita .
4 .     Orang yang tinggal senegeri  dengan kita.
          Seterusnya beliau menjelaskan lagi bahawa dalam kalangan jiran yang ada di sekeliling kita, ada hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu dilaksanakan. Menurutnya, hak dan tanggungjawab jiran itu perlu ditunaikan bergantung kepada keadaan jiran tersebut iaitu ;
1.   Jiran yang mempunyai satu hak iaitu jiran musyrik yang tidak ada sebarang hubungan kecuali hak jiran;
2.   Jiran yang mempunyai dua hak iaitu jiran yang beragama Islam; hak Islam  dan hak jiran;
3.   Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran seorang Islam yang mempunyai hubungan kerabat atau kekeluargaan; hak Islam, jiran dan kerabat.
          Di antara hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oIeh masyarakat yang hidup berjiran adalah sebagaimana yang dijelaskan oIeh Imam Ghazali Rahimahullahu Ta'ala ‘Anhu di dalam kitab "Bimbingan Mukmin" iaitu;
1.    Memulakan memberi salam kepada jirannya;
2.    Menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian;
3.    Jangan terlalu banyak bertanya hal-hal peribadinya;
4.    Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya;
5.    Menutup keaiban yang berlaku pada jirannya;
6.    Sentiasa  bersikap lemah lembut terhadap anak-anak jirannya;
7.    Sentiasa membantu apabila ditimpa musibah;
8.    Tidak  menyakiti dan menyusahkan jirannya;
9.    Tidak terpengaruh dengan kata-kata yang cuba memburuk-burukkan jirannya.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
    Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali, maka jelaslah bahawa hubungan baik sesama jiran hanya akan dapat dikekalkan apabila hak dan kewajipan tersebut dapat ditunaikan. Sebagai sebuah masyarakat yang hidup berjiran, kita seharusnya memberikan layanan yang baik kepada mereka sebagaimana kita melayan ahli keluarga kita sendiri. Setiap kebaikan yang kita lakukan kepada mereka pasti akan mendapat ganjaran di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah s.a.w.  telah bersabda yang maksudnya;
"Setiap kebajikan itu adalah sedekah " .       (Riwayat Bukhari).
    Ini  menjelaskan kepada kita bahawa tuntutan menghormati  dan menunaikan hak-hak jiran bukan sahaja disebutkan di dalam Al-Quran, bahkah disokong juga oIeh hadith-hadith Rasulullah s.a.w.  Antaranya adalah sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya;
"Demi Allah, tidaklah dikira beriman seseorang yang bersenang-senangan dalam keadaan kenyang sedangkan dia mengetahui jiran yang berada di sebelahnya sedang kelaparan".           (Riwayat Muslim)
 Dalam Hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya;
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya".                                                   (Riwayat Muslim)
          Berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan tadi jelaslah bahawa Islam amat menghendaki agar setiap umatnya melakukan kebaikan kepada jiran tanpa mengira bangsa mahu pun agama. Tambahan pula dalam negara kita yang masyarakatnya berbilang bangsa dan agama, maka sudah tentulah kita memerlukan persefahaman yang amat kukuh dalam segenap sudut dan keadaan.  Amalan hormat-menghormati, bantu-membantu dan saling bertolak-ansur sesama jiran akan dapat menjadikan kehidupan bermasyarakat lebih harmoni dan sejahtera.
          Menghormati jiran tetangga bukanlah sekadar melambai tangan atau bertegur-sapa sahaja, bahkah lebih daripada itu lagi, kita dituntut supaya menzahirkan sifat mahabbah terhadap jiran di sekeliling kita. Dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya;
"Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, tidak dikira beriman seorang hamba sehinggalah dia mengasihi jirannya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri".       ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).
          Hakikatnya, sebagaimana kita menjaga diri kita sendiri, maka begitu jugalah seharusnya kita menjaga jiran kita. Ini kerana, jiran merupakan orang yang paling hampir dan paling awal memberikan bantuan ketika mana kita memerlukannya. OIeh itu, sekiranya jiran kita menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan, maka hendaklah kita berusaha untuk membantunya. Setiap pertelingkahan yang melibatkan jiran kita juga tidak seharusnya diperbesar-besarkan, bahkah mestilah diajak berbincang dengan hati yang terbuka sepertimana sebuah keluarga. Begitu juga dengan pertelingkahan di kalangan anak-anak jiran-tetangga, seharusnya dapat diselesaikan secara kekeluargaan. Dengan cara ini, akan dapat mewujudkan sikap hormat-menghormati  sesama jiran-tetangga.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Persoalan yang sering ditimbulkan di dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini, apakah semangat berjiran itu masih dihayati oIeh masyarakat kita?, bahkah, apakah kita benar-benar mengenali  jiran kita dan dengan siapa pula kita berjiran?.
          Segelintir daripada masyarakat kita pada hari ini beranggapan bahawa hidup berjiran hanya akan menambahkan masalah kepada mereka. Segelintir yang lain pula beranggapan bahawa taraf hidup mereka lebih baik dan lebih mulia berbanding jiran di sekeliling mereka. Lantaran itu, mereka memandang jiran-jiran di sekeliling mereka dengan pandangan yang sinis dan merendah-rendahkan kedudukan orang lain. Mereka merasa lebih selesa hidup di dalam dunia mereka sendiri walaupun pada hakikatnya mereka masih bersama masyarakat yang ada di sekeliling mereka. Orang-orang seperti ini sebenarnya hanya akan menyedari pentingnya peranan jiran apabila mereka ditimpa sesuatu musibah.
Sidang jumaat sekalian,
Memang tidak dapat dinafikan bahawa di dalam kehidupan ini, manusia sering diberikan ujian dan dugaan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala. Antaranya adalah dugaan berjiran dengan jiran yang tidak baik akhlaknya. Ada di kalangan jiran kita yang suka menyakiti dan memburuk-burukkan jirannya. bahkah ada juga jiran yang sentiasa berhasad-dengki dan iri hati terhadap kelebihan yang dimiliki oIeh jirannya sehingga kadangkala mencetuskan perbalahan yang besar.
          Allah Subhanahu Wata'ala ? dan Rasul-Nya telah memberikan peringatan dan amaran yang keras terhadap orang yang suka mengganggu dan menyakiti orang lain. Firman-Nya di dalam surah Al-Ahzab ayat 58;
          "Sesiapa yang mengganggu serta menyakiti lelaki yang beriman dan wanita yang beriman (dengan perkataan atau perbuatan) yang tidak menepati kesalahan yang dilakukan oIeh mereka, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan, menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata".
 Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya;
          "Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman dari gangguannya " .                                  (Riwayat Muslim).
          Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menghadapi keadaan seperti ini dengan penuh kesabaran. Kita mesti meyakini bahawa setiap yang berlaku itu merupakan ujian daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Setiap permasalahan atau kerenah yang ditimbulkan oIeh jiran yang tidak baik akhlaknya haruslah ditangani dengan bijaksana agar kehidupan berjiran tidak mencetuskan permusuhan. Kejahatan yang mereka lakukan juga janganlah dibalas dengan kejahatan kerana perkara ini tidak digalakkan oIeh Islam. Sebaliknya hadapilah ia dengan nasihat serta kesabaran kerana orang yang bersabar akan diberi ganjaran yang istimewa? di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah dalam surah Hud ayat 114?
"Sesungguhnya segala kebaikan dapat menghapuskan segala kejahatan".
 Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Sedarlah oIeh kita semua bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak menciptakan manusia di dunia ini untuk hidup sendirian. Walau sehebat mana sekalipun, kita pasti akan saling memerlukan antara satu dengan lain. Kita memerlukan kehidupan berkeluarga dan kita juga memerlukan kehidupan bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat hanya akan dapat dicapai bermula dengan kehidupan berjiran. OIeh kerana itu, marilah kita sama-sama berusaha membina kehidupan berjiran mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oIeh ajaran Islam. Insya Allah, dengan usaha yang kita lakukan ini akhirnya akan dapat melahirkan masyarakat  yang hidup aman dan sejahtera, bahagia dan bersatu-padu.
           "Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya". ( Ali ‘Imran: 104 )

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 30 April 2010

No comments:

Related Posts with Thumbnails