Friday, May 21, 2010

Antara Dua Jantung

" ARchiteCTURE for LIFE "

Source: http://drmaza.com/home/?p=1136#more-1136

Disiarkan pada May 15, 2010 dalam kategori Dakwah |



Dalam artikel lepas, saya telah bahaskan tentang qalb atau jantung hati dalam bahasa melayu dan heart dalam bahasa Inggeris. Dalam kesihatan tubuh kita mesti memiliki jantung yang sihat atau healthy heart. Perkataan jantung yang sejahtera atau healthy heart disebut dalam bahasa ‘Arab qalb salim’.



Bukan sahaja untuk menjaga kesihatan tubuh kita memerlukan kesihatan jantung, menjaga kesihatan ruh atau nilai-nilai spiritual dalaman juga memerlukan ‘qalb salim’ atau healthy heart atau jantung yang sihat sejahtera. Walaupun maksud jantung spiritual dalam al-Quran dan Sunnah itu agak simbolik, namun kaitan dengan jantung fizikal menunjuk kepada tempat berfungsi dan peranan kerohanian yang dimain. Firman Allah: (maksudnya)

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi (mengambil iktibar) supaya maka mereka menjadi orang-orang yang ada jantung hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka tidak mengambil iktibar) maka itu bukanlah mata mereka yang buta, tetapi buta jantung hati yang berada dalam dada” (Surah al-Hajj: 66).



Yang Selamat

Al-Quran menyebut:

“Hari (Kiamat) yang tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak. Kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan jantung yang sejantera”. (Surah al-Syu’ara’,: 88-89).

Inilah gambaran Allah mengenai Hari Kiamat kelak. Harta dan anak-pinak termasuklah kedudukan, kemuliaan, pangkat dan segala kemegahan yang lain yang dimiliki oleh seorang di dunia ini tidak lagi dapat memberi manfaat kepadanya jika dia tidak memiliki jantung atau dalam kefahaman melayunya ‘jantung hati yang sejahtera’. Jika hidup di dunia kita amat yakin betapa kita perlukan jantung yang sihat, maka bagi yang yakin tentang kewujudan kehidupan selepas mati (hereafter) dia pasti merasa betapa wajib baginya untuk memiliki qalb salim atau jantung hati yang sejahtera di sudut spiritualnya.

Dua Jenis Jantung

jantung-1.jpg

Jantung fizikal berbeza dengan jantung spiritual. Sesiapa dari segi fizikalnya mempunyai masalah jantung fizikal seperti sakit jantung atau lemah jantung, tidak menghalangnya sama sekali untuk memiliki jantung yang sejahtera dari segi kerohaniannya (spiritualnya). Bahkan seorang yang memiliki jantung yang sihat dari segi fizikalnya, belum tentu memiliki jantung yang sihat dan disayangi Allah dari segi kerohaniannya. Jantung fizikal (physical heart) dan jantung ruhani (spiritual heart) amat berbeza di sudut peranan dan alam yang keduanya berada. Ia sama pada tempat ia berpusat ia di dada insan, tetapi berbeza peranan yang dimainkan.

Untuk kehidupan atau kesihatan fizikal, organ jantung fizikal perlu sihat. Demikian, untuk kedamaian kehidupan rohani agar jiwa penuh pasti hala tujunya, sabar, tenang, yakin dan tawakal, seseorang insan memerlukan jantung hati atau jantung spiritual yang sihat sejahtera. Inilah yang diistilah sebagai qalb salim dalam al-Quran. Inilah yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Saffat ayat 84.

Qalb Salim

Saya tertarik dengan kesimpulan makna qalb salim atau jantung hati yang sejahtera yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Qayyim r.h (meninggal 751H). Kata beliau:

“Jantung hati yang sejahtera ialah yang selamat dari kewujudan sebarang syirik kepada Allah. Bahkan mengikhlaskan segala pengabdian untuk Allah samada dari segi kehendak, cinta, tawakkal, kembali kepadaNya, merendah diri kepadaNya, takut dan harap”. (Ibn al-Qayyim, Tibb al-Qulub, 37, Damsyik: Dar al-Qalam).

Tambah beliau juga: “Ini semua tidak memadai sehinggalah selamat tindakan seseorang dan hukumannya dari mencontohi selain Rasulullah s.a.w. Maka jantung hatinya menetapkan satu ketetapan pasti bahawa teladan dan contoh dalam ucapan dan perbuatan hanya dari Rasul s.a.w, bukan orang lain”.

jalan-lurus-copy.jpg

Ertinya, jantung hati atau spiritual heart yang sejahtera yang membolehkan insan pulang kepada Allah dengan selamat dan diterimaNya ialah jantung yang bersih dari segala penyakit jiwa kotor seperti syirik, tidak bergantung kepada Allah, tidak ikhlas, tamak, sombong, riyak dan kontang dari perasaan takut dan gerun kepada Allah.

Setelah itu semua dipenuhi, hendaklah dipastikan jalan yang ditempohi dalam menterjemahkan kandungan jantung hati ke alam tindakan itu bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Apa-apa sahaja teladan dan contoh yang tidak seiras atau bertentangan dengan Rasul yang diutuskan Allah itu hendak dipinggirkan. Ini kerana, tindakan atau perbuatan insan adalah terjemahan dalaman jantung hatinya. Jika jantung hati itu telah berazam untuk berpegang dengan jalan Allah, pasti apabila diterjemahkan ia akan menepati jalan Rasul yang ditabalkan Allah. Dengan itu lahirlah qalb salim.

Keindahan Jantung Sejahtera

Jantung yang berpenyakit adalah keperitan. Samada jantung fizikal atau rohani. Apabila ia sakit, kehidupan menjadi sukar. Banyak yang terganggu. Jantung rohani jika sakit dicemari nilai-nilai buruk amat pedih dan perit. Mungkin yang tidak pernah sihat, tidak dapat menghayati erti kesakitan yang sebenar.

Namun, sesiapa yang pernah sihat dan tahu nikmat sihat, akan mengerti betapa bezanya antara sakit dan sihat. Jantung yang sihat dari segala penyakit rohani akan menikmati erti hidup, kelapangan makna perjalanan hidup dan nikmat bergantung kepada Allah. Siapa yang tidak merasainya, gagal memahaminya!

Ia satu keindahan. Dunia dilihat hanya satu dataran kecil atau lintasan hidup dalam menuju bahagia abadi. Ujian dunia sering membawa insan yang sejahtera jantung rohaninya mendekati Tuhannya. Tangisan dan senyuman, sedih dan gembira, senang dan susah, hidup dan mati semuanya dihubungkan dengan Allah Yang Maha Pencipta. Dia menangis dalam tersenyum dan tersenyum dan menangis. Pilu dalam tawa, dan tawa dalam duka.

Kehidupan sentiasa dipulangkan kepada Penciptanya. Ketika dia ketawa ria, dia memahami kadar kegembiraan dunia ini. Demikian ketika dia menangis duka, dia juga tahu kadar kedukaan di dunia ini. Dunia hanya lintasan tempat menumpang lalu. Baginya di sana kehidupan abadi sentiasa menanti untuk menyambut jantung hatinya yang sejahtera!

1 comment:

Blogger said...

Your Affiliate Profit Machine is waiting -

Plus, earning money online using it is as simple as 1---2---3!

Here's how it all works...

STEP 1. Choose affiliate products the system will promote
STEP 2. Add PUSH BUTTON traffic (it takes JUST 2 minutes)
STEP 3. See how the system grow your list and sell your affiliate products all for you!

Do you want to start making profits?

Check it out here

Related Posts with Thumbnails