Sunday, May 23, 2010

Tiga ruang tamu (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Ruang tamu di laman depan untuk teman-teman dan keluarga.

RUANG tamu kedua yang menepati konsep tropika moden dan bertemakan pusat peranginan Bali menyapa tetamu pada pandangan pertama.

SETELAH lama menetap di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Pengarah Urusan Gamat Emas Sdn. Bhd., Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri, 45, akhirnya memilih untuk mendiami Bukit Jelutong, Shah Alam.

Lokasi baru itu katanya, menepati keperluan diri dan keluarganya yang mahukan kedamaian dan ruang yang lebih luas.

Banglo dua tingkat di lot hujung menjadi pilihan. Syid Ayob menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada kreativiti isterinya, Kartika Wati Mohamed, 40, untuk melakar dekorasi kediaman baru mereka itu.

Mengakui rumah yang siap dibina itu mempunyai banyak dinding pembahagi ruang dan menyukarkan kerja-kerja dekor, beberapa dinding terpaksa dipecahkan demi memperoleh pelan lantai yang menepati cita rasa mereka sekeluarga.

“Nasib baik ruang tamu utama mempunyai siling tinggi. Ia lebih selesa,” ujar Syid Ayob tentang kesan volum berganda ruang itu.

Menggantungkan lampu candelier berlainan aras di siling, ruang yang menyambut ketibaan krew Jurnal itu tampak gah dalam keanggunannya.

DARI KIRI IKUT ARAH JAM: RUANG tamu ketiga yang menjadi sudut rehat dan lepak kegemaran keluarga Syid Ayob.
KOLAM renang yang menawarkan pemandangan bak hamparan kristal.
KOLAM ikan yang diisi ikan kap Jepun bersaiz besar mudah memancing perhatian.
SALAH satu ruang santai di laman sisi bahagian belakang rumah.

Gaya Bali

Ditambah dengan pilihan perabot yang ditempah khas, set sofa berbelang lima warna berulang menambah keunikan dan membuatkan mata mahu terus ‘membelek’ dan mencari kejutan lain di dalam kediaman mewah itu.

Salah satu dindingnya dipasang pintu lungsur. Pandangan yang dilempar ke luar dijamu dengan kedamaian anjung kayu berlatarbelakangkan rumput dan pokok-pokok yang menghijau.

Di sekelilingnya pula dibina kolam ikan kap Jepun yang membenarkan air mengalir, meninggalkan efek seperti sebatang sungai.

“Konsep rekaan ini ialah moden tropika. Kami mahu menikmati unsur semula jadi dan seperti berada di sebuah resort.

“Jadi kami gabungkan rekaan gaya Bali dengan sedikit kemodenan, iaitu dari segi material, potongan perabot dan hiasan.

“Tetapi kami tidak pula menerapkan gaya spesifik daripada satu-satu resort yang pernah kami kunjungi,” tambah bapa kepada tujuh orang anak yang berusia antara sembilan hingga 19 tahun ini.

KIRI: MEJA makan yang memuatkan 10 orang untuk majlis yang lebih formal.
TENGAH: RUANG dapur dibiar kemas dan bersih dengan mengehadkan perhiasan.
KANAN: RUANG makan harian untuk keluarga.

Banyak melawat negara luar, pendedahan itu ternyata memberi manfaat kepada Syid Ayob dan Kartika apabila mereka dapat menyulam sifat praktikal dalam pemilihan dekorasi kediaman sendiri.

“Ini ialah rumah kehidupan, di mana kami pulang daripada kerja atau dari mana saja kami pergi setiap hari. Disebabkan itu, kami menyediakan tiga ruang tamu. Satu di dalam rumah dan dua lagi di luar.

“Ruang tamu di dalam hanya digunakan semasa ada tetamu formal dan perabotnya tidak menitikberatkan penggunaan material tahan lasak.

KIRI: SOFA yang ditempah khas ini tidak menitikberatkan material tahan lasak kerana ia hanya untuk kegunaan rasmi.
KANAN: HIASAN dinding berkonsep safari yang unik pada dinding yang membahagi bahagian dapur dan ruang tamu ketiga.

Laman

“Ruang tamu luar di laman depan untuk teman-teman dan keluarga.

“Ruang tamu kegemaran kami, iaitu ruang tamu ketiga, terbuka tetapi ia berada di bahagian tengah rumah dan kedua-dua ruang ini menggunakan perabot tahan cuaca dan tahan lasak,” jelas doktor perubatan yang beralih menjadi ahli perniagaan ini.

BIJAK menggabungkan warna putih bersih dan warna gelap di bilik tetamu.

Ruang tamu ketiga yang dimaksudkan menyamai ruang tamu kedua. Bezanya ia tidak berbumbung ala Bali. Di samping itu, ia menghadap air bertingkat dan sebuah kolam berisi ikan kap Jepun.


Seperti ruang tamunya, Syid Ayob dan Kartika juga mempunyai dua ruang makan. Satu untuk acara makan formal dan satu lagi untuk kegunaan harian.

Selaku pengasas sebuah perniagaan dan peguam, Syid Ayob dan Kartika tidak punya banyak masa untuk bersukan.

Namun, minat mereka terhadap kehidupan aktif mendorong mereka untuk menyediakan sebuah gimnasium di aras dua kediaman ini.

Digambarkan sebagai pusat riadah yang lengkap, sebuah kolam renang sedalam satu meter pula memenuhi laman belakang.

Warna biru lembut dasar kolam membalikkan kilauan cahaya matahari. Seperti dijangka, ia kelihatan umpama hamparan batu-batu kristal.

Friday, May 21, 2010

Antara Dua Jantung

" ARchiteCTURE for LIFE "

Source: http://drmaza.com/home/?p=1136#more-1136

Disiarkan pada May 15, 2010 dalam kategori Dakwah |



Dalam artikel lepas, saya telah bahaskan tentang qalb atau jantung hati dalam bahasa melayu dan heart dalam bahasa Inggeris. Dalam kesihatan tubuh kita mesti memiliki jantung yang sihat atau healthy heart. Perkataan jantung yang sejahtera atau healthy heart disebut dalam bahasa ‘Arab qalb salim’.



Bukan sahaja untuk menjaga kesihatan tubuh kita memerlukan kesihatan jantung, menjaga kesihatan ruh atau nilai-nilai spiritual dalaman juga memerlukan ‘qalb salim’ atau healthy heart atau jantung yang sihat sejahtera. Walaupun maksud jantung spiritual dalam al-Quran dan Sunnah itu agak simbolik, namun kaitan dengan jantung fizikal menunjuk kepada tempat berfungsi dan peranan kerohanian yang dimain. Firman Allah: (maksudnya)

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi (mengambil iktibar) supaya maka mereka menjadi orang-orang yang ada jantung hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka tidak mengambil iktibar) maka itu bukanlah mata mereka yang buta, tetapi buta jantung hati yang berada dalam dada” (Surah al-Hajj: 66).



Yang Selamat

Al-Quran menyebut:

“Hari (Kiamat) yang tidak bermanfaat harta benda dan anak-pinak. Kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan jantung yang sejantera”. (Surah al-Syu’ara’,: 88-89).

Inilah gambaran Allah mengenai Hari Kiamat kelak. Harta dan anak-pinak termasuklah kedudukan, kemuliaan, pangkat dan segala kemegahan yang lain yang dimiliki oleh seorang di dunia ini tidak lagi dapat memberi manfaat kepadanya jika dia tidak memiliki jantung atau dalam kefahaman melayunya ‘jantung hati yang sejahtera’. Jika hidup di dunia kita amat yakin betapa kita perlukan jantung yang sihat, maka bagi yang yakin tentang kewujudan kehidupan selepas mati (hereafter) dia pasti merasa betapa wajib baginya untuk memiliki qalb salim atau jantung hati yang sejahtera di sudut spiritualnya.

Dua Jenis Jantung

jantung-1.jpg

Jantung fizikal berbeza dengan jantung spiritual. Sesiapa dari segi fizikalnya mempunyai masalah jantung fizikal seperti sakit jantung atau lemah jantung, tidak menghalangnya sama sekali untuk memiliki jantung yang sejahtera dari segi kerohaniannya (spiritualnya). Bahkan seorang yang memiliki jantung yang sihat dari segi fizikalnya, belum tentu memiliki jantung yang sihat dan disayangi Allah dari segi kerohaniannya. Jantung fizikal (physical heart) dan jantung ruhani (spiritual heart) amat berbeza di sudut peranan dan alam yang keduanya berada. Ia sama pada tempat ia berpusat ia di dada insan, tetapi berbeza peranan yang dimainkan.

Untuk kehidupan atau kesihatan fizikal, organ jantung fizikal perlu sihat. Demikian, untuk kedamaian kehidupan rohani agar jiwa penuh pasti hala tujunya, sabar, tenang, yakin dan tawakal, seseorang insan memerlukan jantung hati atau jantung spiritual yang sihat sejahtera. Inilah yang diistilah sebagai qalb salim dalam al-Quran. Inilah yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Saffat ayat 84.

Qalb Salim

Saya tertarik dengan kesimpulan makna qalb salim atau jantung hati yang sejahtera yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Qayyim r.h (meninggal 751H). Kata beliau:

“Jantung hati yang sejahtera ialah yang selamat dari kewujudan sebarang syirik kepada Allah. Bahkan mengikhlaskan segala pengabdian untuk Allah samada dari segi kehendak, cinta, tawakkal, kembali kepadaNya, merendah diri kepadaNya, takut dan harap”. (Ibn al-Qayyim, Tibb al-Qulub, 37, Damsyik: Dar al-Qalam).

Tambah beliau juga: “Ini semua tidak memadai sehinggalah selamat tindakan seseorang dan hukumannya dari mencontohi selain Rasulullah s.a.w. Maka jantung hatinya menetapkan satu ketetapan pasti bahawa teladan dan contoh dalam ucapan dan perbuatan hanya dari Rasul s.a.w, bukan orang lain”.

jalan-lurus-copy.jpg

Ertinya, jantung hati atau spiritual heart yang sejahtera yang membolehkan insan pulang kepada Allah dengan selamat dan diterimaNya ialah jantung yang bersih dari segala penyakit jiwa kotor seperti syirik, tidak bergantung kepada Allah, tidak ikhlas, tamak, sombong, riyak dan kontang dari perasaan takut dan gerun kepada Allah.

Setelah itu semua dipenuhi, hendaklah dipastikan jalan yang ditempohi dalam menterjemahkan kandungan jantung hati ke alam tindakan itu bertepatan dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Apa-apa sahaja teladan dan contoh yang tidak seiras atau bertentangan dengan Rasul yang diutuskan Allah itu hendak dipinggirkan. Ini kerana, tindakan atau perbuatan insan adalah terjemahan dalaman jantung hatinya. Jika jantung hati itu telah berazam untuk berpegang dengan jalan Allah, pasti apabila diterjemahkan ia akan menepati jalan Rasul yang ditabalkan Allah. Dengan itu lahirlah qalb salim.

Keindahan Jantung Sejahtera

Jantung yang berpenyakit adalah keperitan. Samada jantung fizikal atau rohani. Apabila ia sakit, kehidupan menjadi sukar. Banyak yang terganggu. Jantung rohani jika sakit dicemari nilai-nilai buruk amat pedih dan perit. Mungkin yang tidak pernah sihat, tidak dapat menghayati erti kesakitan yang sebenar.

Namun, sesiapa yang pernah sihat dan tahu nikmat sihat, akan mengerti betapa bezanya antara sakit dan sihat. Jantung yang sihat dari segala penyakit rohani akan menikmati erti hidup, kelapangan makna perjalanan hidup dan nikmat bergantung kepada Allah. Siapa yang tidak merasainya, gagal memahaminya!

Ia satu keindahan. Dunia dilihat hanya satu dataran kecil atau lintasan hidup dalam menuju bahagia abadi. Ujian dunia sering membawa insan yang sejahtera jantung rohaninya mendekati Tuhannya. Tangisan dan senyuman, sedih dan gembira, senang dan susah, hidup dan mati semuanya dihubungkan dengan Allah Yang Maha Pencipta. Dia menangis dalam tersenyum dan tersenyum dan menangis. Pilu dalam tawa, dan tawa dalam duka.

Kehidupan sentiasa dipulangkan kepada Penciptanya. Ketika dia ketawa ria, dia memahami kadar kegembiraan dunia ini. Demikian ketika dia menangis duka, dia juga tahu kadar kedukaan di dunia ini. Dunia hanya lintasan tempat menumpang lalu. Baginya di sana kehidupan abadi sentiasa menanti untuk menyambut jantung hatinya yang sejahtera!

Saturday, May 15, 2010

AA Final Year Project 2010

" ARchiteCTURE for LIFE "
Project:
Urban Communal Centre
Site:
SS 15, Subang Jaya
Concept:
' Urban Oasis ' - Multifunction Park

Prepared by:
Amirul Asyraf Bin Ahmad Nawir
Bachelor of Science in Architecture (LAM1 & RIBA1)
MARA University of Technology (UiTM)
Advisers:
Assoc Prof Ar Ong Suan Huah, Assoc Prof Ahmad Ridzuwan, Ar Norlan, Mr Khairul Anwar

(1) Conceptual board
(2) Conceptual sketches, Key Plan, Location Plan, Site Plan & Ground Floor Plan

 (3) Basement Floor Plan, 1st Floor Plan & 2nd Floor Plan

 (4) Elevations, Sections & Perspectives

 (5) Details Construction & Perspectives

 Studio review

 3 hours model

 Finally I finished my 4 years B.Sc (Architecture) - UiTM 
 
 Lecturers: Mr. Yaakob, Mrs. Nik, AP Ar Ong Suan Huah, AP Nakiah, Ar Noriati, External reviewers: Prof Allen (UK reviewer), Ar Nazam (Focus Architect), Ar Abu Bakar (Abu Bakar Architect)

Alhamdulillah – Thanks to the Al-Mighty for with His endless guidance and blessings, I have successfully completed this research even though in a snail-paced manner. The preparation of this important document is impossible without the support, hard work and endless efforts of a large number of individuals and institutions. 
            Thanks to my beloved family, Mr Ahmad Nawir Bin Abu Amrin, Mrs Norhayati Binti Jantan, siblings and Ms Noor Syuhaida Binti Udin for their understanding and endless support until the completion of this research. Highest of gratitude and appreciation are also due to my advisers,  for their effortless guidance, criticism and support throughout this project This expression also goes to all my friends especially Prologist .

Wednesday, May 5, 2010

Lestari alam lereng bukit (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm


BAGI yang mahukan suasana romantis, bolehlah memilih ruang santapan di tepi kolam.


BAYU rimba yang berpuput lembut menyegarkan kawasan lereng bukit itu. Bunyi desiran angin dan riak air sungai yang mengalir ke cenuram membangkitkan suasana damai alam semula jadi.
Di lereng Bukit Lanjan, Kuala Lumpur itu tersergam sebuah restoran yang diberi nama Subak.
Asalnya di tapak itu ingin didirikan rumah tetapi pemiliknya, Salleh Lamsah, 65, berubah fikiran apabila menyedari lokasi itu berpotensi untuk dijadikan destinasi selera yang unik.
Bentuk muka bumi asal kawasan itu terus dilestarikan, cuma disuntik penambahbaikan.
Kontur bukit yang curam dan rata di tengah nyata dimanfaatkan sebagai medan gastronomi yang mempesona. Aliran air anak Sungai Penchala terus dibiar mengalir merentasi lereng bukit itu dan dibina kolam yang indah.
Kedatangan pengunjung ke Subak disambut oleh rimbunan buluh liar. Disebabkan kedudukannya yang terletak di lereng bukit, pengunjung perlu mendaki sedikit cerun yang sudah membentuk jalan.

IKAN-IKAN koi berenang riang di dalam kolam.


Nusantara
Di bahagian laman berumput terdapat sebatang kayu balak yang dibuat bangku.
Di atasnya dihias dengan beberapa peralatan tradisional seperti lesung, penggiling beras, penumbuk sekam padi dan congkak.
Lokasi pertama yang dijejaki pengujung di restoran tersebut ialah bangunan yang menyatukan ruang penyambut tetamu dengan dapur.
Dinamakan ‘rumah’, bangunan berangka kayu cengal itu kelihatan utuh. Kerusi meja buatan kayu pula pantas mencetuskan aura Nusantara dan tradisional.
Cuma atap bangunan itu diperbuat daripada genting bagi tujuan keselamatan. Ini kerana dapur terletak di situ. Atap di kawasan yang lain diperbuat daripada atap nipah dan serai wangi.
Dapur restoran ini mengaplikasi konsep terbuka. Pengunjung boleh melihat apa yang dilakukan oleh tukang masak di dapur menerusi ruang bercermin.
Kata Salleh, dapur terbuka adalah untuk memastikan pekerja-pekerja sentiasa berdisiplin dalam melaksanakan tugas kerana mereka sentiasa diperhatikan.

PANORAMA di Subak saat malam menjelma.


Pokok asal
Pengunjung boleh menjamu selera di bangunan ini namun sebenarnya terdapat lima seleksi ruang menjamu selera iaitu di anjung (tempat berpayung), serambi, tepi kolam dan loteng (paling tinggi untuk lebih privasi). Ia boleh memuatkan kapasiti maksimum 150 orang.
Aneka tumbuhan dapat dilihat di restoran ini, antaranya ialah pisang hutan, getah, bunga kantan dan bambu.
“Saya mengekalkan sifat semula jadi kawasan ini. Ada pokok di sini yang kami biarkan tumbuh di antara ruang dan ada yang menerobosi atap.
“Kami tidak potong pokok-pokok asal yang tumbuh itu,” katanya sambil menerangkan tapak restorannya itu sebenarnya bekas kawasan kebun dan dusun.
Salleh yang banyak mengembara memberitahu, nama Subak diambil daripada perkataan Bali, Indonesia yang bermaksud komuniti berasaskan air.
Perkataan itu melambangkan masyarakat Bali yang memerlukan air untuk tanaman padi dan keharmonian masyarakat yang saling berkongsi air.
Pemilihan Subak untuk nama restoran ini juga dilihat ada signifikannya. Sebatang anak sungai yang merentasi kawasan restoran bagai ‘oasis’ yang mengalirkan keharmonian.
Tumbuh-tumbuhan malar segar di restoran itu juga memerlukan air untuk terus memancarkan seri rimba.

SUNTIKAN tradisional dan Nusantara mencetuskan pesona tersendiri.


Air sungai yang akhirnya mengalir ke Sungai Penchala itu dibahagikan kepada dua bahagian. Sebahagian air disalurkan ke kolam dan selebihnya mengalir terus ke Sungai Penchala.
Air yang disalurkan ke kolam mengalami proses sirkulasi, dipam untuk menjadi air terjun dan kembali mengairi kolam.
Dekorasi kolam juga kelihatan menarik dengan dua jenis pancuran hiasan, salah satunya berbentuk seperti pasu.
Ikan-ikan koi yang bermain di dalamnya menandakan airnya diselia agar sentiasa bersih.

ALATAN dapur tradisional menghiasi bangku kayu balak di laman.


Melepak
“Bukan sahaja air kolam dikitar semula, malah perabot-perabot kayu di restoran ini turut menggunakan kayu yang dikitar semula,” ujarnya.
Salleh berkata, beliau sengaja membuatkan papan tanda nama restoran ini kecil kerana ia satu amalan yang biasa dilakukan oleh restoran-restoran hebat di Eropah.
“Saya juga menamakan restoran ini Subak, bukan Restoran Subak kerana saya ingin menjenamakan nama itu. Walaupun namanya tidak ada perkataan restoran, namun orang tahu yang ia merupakan restoran,” katanya.
Salleh memberitahu, beliau mahu pengunjung yang datang ke restorannya benar-benar menikmati bukan sahaja makanannya bahkan suasana di sini sepenuhnya.
“Saya tidak kisah jika pengunjung mahu (berada) lama-lama di sini. Kami biasanya sudah tidak menerima pesanan makan pukul 11 malam tetapi jika pengunjung mahu berada di sini sampai pukul 2 pagi, mereka boleh terus berada di sini,” ujarnya.

Sunday, May 2, 2010

Khutbah Jumaat - 30 April 2010

 " ARchiteCTURE for LIFE "
"MENGHORMATI JIRAN TETANGGA"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
 Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan amal soleh dan berbuat kebajikan kepada kedua ibu bapa kita, saudara-mara, anak-anak yatim, jiran tetangga dan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
          Islam adalah agama yang mengutamakan kehidupan yang sejahtera dan aman di kalangan umat manusia. Islam juga sentiasa menggalakkan umatnya hidup bersatu-padu dan mengelakkan sebarang bentuk perselisihan atau perpecahan.
          Di tanahair kita, kehidupan berjiran sama ada dengan masyarakat seagama mahu pun yang berlainan bangsa dan agama sudah menjadi lumrah dan budaya hidup saling hormat-menghormati dan mengenali antara satu dengan yang lain sejak turun temurun lagi. Budaya seperti ini adalah satu perkara yang mulia dan amat dituntut oIeh Islam sebagaimana Firman Allah dalam surah Al-Hujurat  ayat 13:
          "Wahai umat manusia!, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".
          Di antara perkara yang boleh membawa kepada kesejahteraan dan keamanan ialah dengan menunaikan tanggungjawab menghormati  hak-hak orang lain terutamanya masyarakat yang hidup berjiran dengan kita.
          Imam An-Nawawi  Rahimahullah menyatakan bahawa orang yang boleh dianggap sebagai jiran kita adalah sebagaimana berikut;
1 .      Orang  yang tinggal serumah dengan kita.
2.       Orang yang berdekatan rumah dengan kita.
3.       Orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah dari rumah kita .
4 .     Orang yang tinggal senegeri  dengan kita.
          Seterusnya beliau menjelaskan lagi bahawa dalam kalangan jiran yang ada di sekeliling kita, ada hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu dilaksanakan. Menurutnya, hak dan tanggungjawab jiran itu perlu ditunaikan bergantung kepada keadaan jiran tersebut iaitu ;
1.   Jiran yang mempunyai satu hak iaitu jiran musyrik yang tidak ada sebarang hubungan kecuali hak jiran;
2.   Jiran yang mempunyai dua hak iaitu jiran yang beragama Islam; hak Islam  dan hak jiran;
3.   Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran seorang Islam yang mempunyai hubungan kerabat atau kekeluargaan; hak Islam, jiran dan kerabat.
          Di antara hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan oIeh masyarakat yang hidup berjiran adalah sebagaimana yang dijelaskan oIeh Imam Ghazali Rahimahullahu Ta'ala ‘Anhu di dalam kitab "Bimbingan Mukmin" iaitu;
1.    Memulakan memberi salam kepada jirannya;
2.    Menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian;
3.    Jangan terlalu banyak bertanya hal-hal peribadinya;
4.    Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya;
5.    Menutup keaiban yang berlaku pada jirannya;
6.    Sentiasa  bersikap lemah lembut terhadap anak-anak jirannya;
7.    Sentiasa membantu apabila ditimpa musibah;
8.    Tidak  menyakiti dan menyusahkan jirannya;
9.    Tidak terpengaruh dengan kata-kata yang cuba memburuk-burukkan jirannya.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
    Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali, maka jelaslah bahawa hubungan baik sesama jiran hanya akan dapat dikekalkan apabila hak dan kewajipan tersebut dapat ditunaikan. Sebagai sebuah masyarakat yang hidup berjiran, kita seharusnya memberikan layanan yang baik kepada mereka sebagaimana kita melayan ahli keluarga kita sendiri. Setiap kebaikan yang kita lakukan kepada mereka pasti akan mendapat ganjaran di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah s.a.w.  telah bersabda yang maksudnya;
"Setiap kebajikan itu adalah sedekah " .       (Riwayat Bukhari).
    Ini  menjelaskan kepada kita bahawa tuntutan menghormati  dan menunaikan hak-hak jiran bukan sahaja disebutkan di dalam Al-Quran, bahkah disokong juga oIeh hadith-hadith Rasulullah s.a.w.  Antaranya adalah sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya;
"Demi Allah, tidaklah dikira beriman seseorang yang bersenang-senangan dalam keadaan kenyang sedangkan dia mengetahui jiran yang berada di sebelahnya sedang kelaparan".           (Riwayat Muslim)
 Dalam Hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya;
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan jirannya".                                                   (Riwayat Muslim)
          Berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan tadi jelaslah bahawa Islam amat menghendaki agar setiap umatnya melakukan kebaikan kepada jiran tanpa mengira bangsa mahu pun agama. Tambahan pula dalam negara kita yang masyarakatnya berbilang bangsa dan agama, maka sudah tentulah kita memerlukan persefahaman yang amat kukuh dalam segenap sudut dan keadaan.  Amalan hormat-menghormati, bantu-membantu dan saling bertolak-ansur sesama jiran akan dapat menjadikan kehidupan bermasyarakat lebih harmoni dan sejahtera.
          Menghormati jiran tetangga bukanlah sekadar melambai tangan atau bertegur-sapa sahaja, bahkah lebih daripada itu lagi, kita dituntut supaya menzahirkan sifat mahabbah terhadap jiran di sekeliling kita. Dalam satu hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya;
"Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya, tidak dikira beriman seorang hamba sehinggalah dia mengasihi jirannya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri".       ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).
          Hakikatnya, sebagaimana kita menjaga diri kita sendiri, maka begitu jugalah seharusnya kita menjaga jiran kita. Ini kerana, jiran merupakan orang yang paling hampir dan paling awal memberikan bantuan ketika mana kita memerlukannya. OIeh itu, sekiranya jiran kita menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan, maka hendaklah kita berusaha untuk membantunya. Setiap pertelingkahan yang melibatkan jiran kita juga tidak seharusnya diperbesar-besarkan, bahkah mestilah diajak berbincang dengan hati yang terbuka sepertimana sebuah keluarga. Begitu juga dengan pertelingkahan di kalangan anak-anak jiran-tetangga, seharusnya dapat diselesaikan secara kekeluargaan. Dengan cara ini, akan dapat mewujudkan sikap hormat-menghormati  sesama jiran-tetangga.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Persoalan yang sering ditimbulkan di dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini, apakah semangat berjiran itu masih dihayati oIeh masyarakat kita?, bahkah, apakah kita benar-benar mengenali  jiran kita dan dengan siapa pula kita berjiran?.
          Segelintir daripada masyarakat kita pada hari ini beranggapan bahawa hidup berjiran hanya akan menambahkan masalah kepada mereka. Segelintir yang lain pula beranggapan bahawa taraf hidup mereka lebih baik dan lebih mulia berbanding jiran di sekeliling mereka. Lantaran itu, mereka memandang jiran-jiran di sekeliling mereka dengan pandangan yang sinis dan merendah-rendahkan kedudukan orang lain. Mereka merasa lebih selesa hidup di dalam dunia mereka sendiri walaupun pada hakikatnya mereka masih bersama masyarakat yang ada di sekeliling mereka. Orang-orang seperti ini sebenarnya hanya akan menyedari pentingnya peranan jiran apabila mereka ditimpa sesuatu musibah.
Sidang jumaat sekalian,
Memang tidak dapat dinafikan bahawa di dalam kehidupan ini, manusia sering diberikan ujian dan dugaan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala. Antaranya adalah dugaan berjiran dengan jiran yang tidak baik akhlaknya. Ada di kalangan jiran kita yang suka menyakiti dan memburuk-burukkan jirannya. bahkah ada juga jiran yang sentiasa berhasad-dengki dan iri hati terhadap kelebihan yang dimiliki oIeh jirannya sehingga kadangkala mencetuskan perbalahan yang besar.
          Allah Subhanahu Wata'ala ? dan Rasul-Nya telah memberikan peringatan dan amaran yang keras terhadap orang yang suka mengganggu dan menyakiti orang lain. Firman-Nya di dalam surah Al-Ahzab ayat 58;
          "Sesiapa yang mengganggu serta menyakiti lelaki yang beriman dan wanita yang beriman (dengan perkataan atau perbuatan) yang tidak menepati kesalahan yang dilakukan oIeh mereka, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan, menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata".
 Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya;
          "Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman dari gangguannya " .                                  (Riwayat Muslim).
          Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menghadapi keadaan seperti ini dengan penuh kesabaran. Kita mesti meyakini bahawa setiap yang berlaku itu merupakan ujian daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Setiap permasalahan atau kerenah yang ditimbulkan oIeh jiran yang tidak baik akhlaknya haruslah ditangani dengan bijaksana agar kehidupan berjiran tidak mencetuskan permusuhan. Kejahatan yang mereka lakukan juga janganlah dibalas dengan kejahatan kerana perkara ini tidak digalakkan oIeh Islam. Sebaliknya hadapilah ia dengan nasihat serta kesabaran kerana orang yang bersabar akan diberi ganjaran yang istimewa? di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah dalam surah Hud ayat 114?
"Sesungguhnya segala kebaikan dapat menghapuskan segala kejahatan".
 Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Sedarlah oIeh kita semua bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak menciptakan manusia di dunia ini untuk hidup sendirian. Walau sehebat mana sekalipun, kita pasti akan saling memerlukan antara satu dengan lain. Kita memerlukan kehidupan berkeluarga dan kita juga memerlukan kehidupan bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat hanya akan dapat dicapai bermula dengan kehidupan berjiran. OIeh kerana itu, marilah kita sama-sama berusaha membina kehidupan berjiran mengikut lunas-lunas yang dikehendaki oIeh ajaran Islam. Insya Allah, dengan usaha yang kita lakukan ini akhirnya akan dapat melahirkan masyarakat  yang hidup aman dan sejahtera, bahagia dan bersatu-padu.
           "Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya". ( Ali ‘Imran: 104 )

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Khutbah Jumaat Bacaan 30 April 2010
Related Posts with Thumbnails