Tuesday, March 2, 2010

Rumah bukan hotel (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "


SUASANA santai dapat dinikmati di ruang tamu ini melalui pemilihan perabot daripada material yang tahan lasak.

PEPATAH hanya jauhari mengenal manikam nampaknya sesuai diguna pakai setiap individu dalam menentukan sama ada sesebuah rumah itu sudah layak dipanggil kediaman impian ataupun tidak.

Ada yang mengidamkan sebuah rumah kecil tetapi sarat dengan unsur kekeluargaan. Ada pula yang mahukan mahligai yang gah di puncak bukit tetapi ringkas saja hiasannya. Tidak kurang juga yang berkehendakkan yang serba sederhana, dari luar ke dalam rumah.

Bagi Adrian How, konsultan teknologi dan strategi di sebuah syarikat konsultasi terkemuka, kediaman yang kini dikelaskan sebagai rumah idamannya itu merupakan rumah pertama yang dibeli dan didiami bersama isteri tercinta, Yin Leng.

Pasangan ini berkahwin pada tahun 2007. Berhabis untuk majlis perkahwinan, mereka menggunakan separuh lagi simpanan mereka untuk membeli sebuah parkhome di Desa Parkcity, Kuala Lumpur, seusai acara.

Mampu milik

KONSEP mampu milik sekali gus merealisasikan reka letak moden yang diidamkan Adrian sekeluarga.

"Disebabkan faktor itu, cara rumah kami dihias pada permulaannya berkonsepkan mampu milik.

Menariknya, ia bertepatan dengan rupa moden dan minimal yang hanya menggunakan garisan bersih dan mampu menambah baik visual untuk menambah keluasan ruang yang ada," ujarnya.

Bapa kepada seorang anak ini turut mendedahkan bahawa masa yang panjang terpaksa diambil untuk merancang sebelum dapat menyudahkan keseluruhan rumah itu.

"Lama juga kami habiskan masa untuk membayangkan dan membentuk gambaran dalam fikiran tentang cara terbaik menghias dan memaksimumkan ruang di dalam rumah ini.

"Hari-hari yang lain kami habiskan untuk mencari lampu, perabot, jubin dan perhiasan kecil yang lain.

"Kami mendapatkan inspirasi dan idea untuk menghasilkan draf pelan hiasan rumah dengan merujuk majalah, buku, laman-laman web dan rumah contoh.

"Akhirnya, pelan yang kami gunakan menggabungkan kesemua pelan-pelan itu," terang Adrian.

Memilih parkhome atau rumah teres dua tingkat di dalam komuniti berpagar yang dihubungkan melalui taman-taman di dalamnya, Adrian dan Yin Leng kini sebenarnya masih dalam proses menyiapkan rumah idaman mereka.

Bajet

"Sehingga kini kami baru menyempurnakan ruang-ruang rumah yang paling kerap kami gunakan iaitu keseluruhan aras bawah termasuk ruang tamu, ruang makan, dapur, bilik tidur utama dan ruang tamu kedua," jelasnya.

Cita rasa artistik tidak memerlukan perhiasan yang terlalu banyak.

Mengkelaskan diri sebagai golongan sederhana, Adrian berkongsi bahawa faktor yang menyebabkan rumah itu dilengkapkan secara berperingkat ialah bajet.

"Kami mempunyai begitu banyak idea untuk menghias rumah ini tetapi pada masa yang sama perlu berkompromi antara rancangan berbanding pelaksanaan untuk ruang-ruang penting seperti di ruang tamu, dapur dan bilik tidur.

"Pada waktu itulah saya memutuskan untuk menggunakan pendekatan berperingkat sebegini," kata Adrian.

Memandangkan rumah idaman itu ialah idaman bersama isteri, Adrian mengakui penerimaan isterinya untuk menggunakan pendekatan itu amat penting.

"Isteri saya sangat bersetuju dengan pendekatan ini. Saya tidak mungkin dapat melaksanakannya jika dia tidak bersetuju dengannya memandangkan dia juga pemilik rumah ini.

"Dia seperti saya, sebenarnya memahami bahawa rumah yang sempurna ialah rumah yang terbentuk dari semasa ke semasa, bukan yang sudah tersedia lengkap sebelum dihuni lagi. Itu hotel namanya," unjurnya.

Bagi Adrian, setiap rumah tentulah istimewa kepada setiap pemilik kerana ia memenuhi keperluan mereka.

GAYA minimal yang menerapkan konsep garisan-garisan bersih.

Tetapi untuk rumahnya, Adrian merasakan kelebihan terletak pada perhiasan dinding yang dilukis sendiri menggunakan cat akrilik dan kain kanvas kosong.

Blog

Berpendirian tetap tentang pendekatan sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit itu, Adrian turut membina sebuah laman web sebagai satu wadah untuk berkongsi pengalaman dan pendapatnya tentang menyiapkan rumah secara berperingkat itu.

"Saya memutuskan untuk membuat blog apabila saya mendapati ramai orang di luar sana yang senasib dengan saya - tercari-cari blog tentang rekaan dalaman yang sesuai dengan cita rasa tempatan.

"Sudah dua tahun blog itu wujud dengan menyentuh tentang rekaan dalaman, tip dan idea dekorasi rumah yang praktikal, saya berjaya membentuk persahabatan dengan pembaca selain banyak mendapat pujian dan maklum balas," jelasnya.

Ada juga pembaca yang meminta Adrian sendiri mereka padan kediaman dan premis perniagaan mereka.

"Saya dapat belajar banyak perkara ketika membantu mereka. Ia memberi kepuasan apabila dapat membina dan mengembangkan rangkaian melalui blog.

RUMAH idaman keluarga ini dibina berperingkat melalui persetujuan bersama kesemua pihak yang menghuninya.

"Saya juga sudah mempunyai perancangan untuk menambah baik blog itu pada masa akan datang," tambahnya.

Orang ramai boleh mendapatkan tip berguna daripada Adrian melalui blognya di http://www.howshouse.com.

No comments:

Related Posts with Thumbnails