Sunday, March 21, 2010

Allahyarham Dr. Muhammad Syed Tantawi (Al-Fatihah)

" ARchiteCTURE for LIFE "


Dr. Muhammad Syed Tantawi dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di Kampung Saleem Syarqiyyah, Daerah Tama Governorate Soohaj. Beliau mendapat pendidikan asas di kampungnya dan setelah menghafaz al Quran, beliau meneruskan pengajian ke Institut Agama di Iskandariah pada tahun 1944. Apabila tamat pengajian menengahnya beliau menyambung pelajarannya ke Fakulti Usuluddin, Universiti al Azhar di Kaherah pada tahun 1958. Mendapat ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (al ‘Aliyah). Manakala pada tahun1959, beliau telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana Pendidikan dan beliau meneruskan pengajian sehingga ke peringakat PHD di dalam bidang Ulum Quran wa Tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat mumtaz. Tajuk Tesis beliau ketika itu ialah Banu Israel dalam Al Quran dan Sunnah.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Waqaf Mesir sehingga tahu 1964 sebelum dilantik sebagai pensyarah di Fakulti Usuluddin pada tahun 1968. Beliau kemudiannya berpindah perkhidmatan ke Universiti Islam Libya pada tahun 1972 sehingga tahun 1976 di mana ketika itu beliau dilantik menjadi Dekan Fakulti Usuluddin di Universiti Al Azhar Cawangan Asyut. Pada tahun 1980 pula beliau ke Universiti Islam Madinah di Negara Saudi Arabia sebagai Ketua Jabatan Tafsir dan Ulum Quran Peringkat Pengajian Siswazah.
Selain itu juga beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Basrah, Iraq. Pada tahun 1985 beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti al Azhar Kaherah.

Manakala pada 28 Oktober tahun 1986 beliau secara rasmi telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir dan akhirnya pada 8 Zulkaedah 1416H bersamaan 17 Mac 1996 M, beliau telah dilantik sebagai Sheikhul Azhar yang ke-34 bagi Negara Republik Arab Mesir.

Dr. Muhammad Syed Tantawi sangat aktif dalam memberikan khidmat kepada masyarakat dan banyak membuat penyelidikan ilmiah, menulis makalah, mengambil bahagian dalam pelbagai seminar, forum, konvokesyen dan majlis-majlis ilmu di Masjid Al Azhar. Beliau banyak menyumbangkan hasil penulisannya di dalam majalah-majalah di dalam dan di luar negara. Beliau merupakan ulama’ yang tegas dan berani dalam mengemukakan pandangan dan pendapat dalam apa jua isu yang dibangkitkan sama ada di peringkat tempatan mahupun di perigkat antarabangsa

Source: http://www.pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=541:biografi-profdr-muhammad-syed-tantawi&catid=77:al-azhar&Itemid=85


Syeikh Tantawi Jauhari adalah satu nama besar di kalangan para mufassirun (ahli-ahli tafsir al-Quran) khususnya pada abad moden. Ini kerana pendekatan beliau dalam mentafsirkan ayat lebih menjurus kepada ilmu sains moden. Ia menunjukkan bahawa ilmu sains tidak dapat diasingkan daripada al-Quran, atau lebih tepat lagi bahawa sains adalah merujuk kepada al-Quran. Ia bukan sekadar kitab suci yang dibaca  dan menceritakan tentang perihal urusan agama, urusan amal ibadat atau akidah semata-mata, tetapi juga rujukan kepada ilmu-ilmu moden. Apatah lagi Mesir yang pernah dijajah oleh Perancis, Inggeris yang berusaha untuk menjauhkan rakyat Negara itu yang berada dalam dilemma khususnya untuk mengintegrasikan antara ilmu duniawi dan ukhrawi. Penjajahan sudah masuk episodnya yang mencemaskan, apabila rakyat diperbodohkan dengan pelbagai tingkah laku yang jauh daripda pegangan Islam sebenar.


Anak-anak yang berkelayakan ketika itu untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi disekat oleh pihak penceroboh bagi memastikan agar ilmu-ilmu agama tidak dipelajari secara bersungguh dan formal. Namun, kegigihan seorang tokoh ilmuan Islam seperti Syeikh Tantawi Jauhari yang tampil untuk menyelamatkan Islam menerusi hasil karyanya dalam bidang tafsir sains, telah membuka mata banyak pihak bahawa dalam suasana tertekan, boleh lahir ilmuan yang mengejutkan dengan penampilan sains yang amat dikagumi.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Syeikh Tantawi Jauhari dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel pertama di kalangan bangsa Arab walaupun beliau tidak sempat melihatnya kerana menemui Allah SWT. Namun, beliau tetap mendapat jolokan di kalangan rakan-rakan seperjuangan sebagai pahlawan Islam dalam bidang ilmu sains.


Mengenali Syeikh Tantawi Jauhari
 
Syeikh Tantawi dilahirkan di Kampung Kafr Awadullah Hijazi dalam jajahan as-Syarqiyyah pada 1826M/1278H. Beliau berasal dari keluarga yang amat menitik beratkan ilmu pengetahuan. Justeru kampungnya diberi nama sempena datuknya Awadullah Hijazi, sementara ayahnya seorang petani yang gigihbekerja dan tidak memiliki harta benda yang membanggakan keluarganya. Namun Syeikh Tantawi menjadi bijak dalam ilmu hasil dorongan dan sokongan pakciknya. Syeikh Muhammad as-Syalabi yang juga merupakan seorang tokoh ulama ketika itu yang banyak menurunkan ilmunya kepada Syeikh Tantawi.
Mendapat pendidikan awal di tangan beberapa tokoh ulama di kampungnya dengan menghafaz 30 juzuk al-Quran, melanjutkan pelajarannya di peringkat menengah dan pengajian tinggi di Universiti Al-Azhar pada 1877 hingga menguasai ilmu-ilmu Bahasa Arab dengan segala yang berkaitan dengannya, FIqh Mazhab  Syafei. Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana terpaksa berhenti atas sebab kesihatan ayahnya yang kian meruncing. Beliau terpaksa bekerja di sawah ayahnya bagi menampung keluarga buat jangka masa tertentu.
Walau bagaimanapun Syeikh Tantawi tetap menaruh harapan untuk meneruskan pengajian apabila keadaan pulih seperti sediakala. Dalam kesempatan menguruskan sawah ayahnya, beliau menyimpan seribu cita-cita untuk mengkaji secara mendalam berkenan dengan ilmu-ilmu sains khususnya yang berkaitan dengan bintang, matahari dan cakerawala.

Cita-cita itu ditunaikan oleh pakciknya Syeikh Muhammad as-Syalabi yang tidak mahu anak saudaranya berhenti separuh jalan. Beliau mengusahakan agar anak saudaranya itu dapat menyambung di Madrasah Darul Ulum pada 1889 hingga tamat pada 1894, di situ beliau mempelajari ilmu-ilmu berkenaan dengan ilmu kira-kira, falaq, kimia, kejuruteraan dan ilmu fiqh mazhab Hanafi.

Aktiviti Keilmuan Yang Diceburinya
 
Setelah menamatkan pengajian di Madrasah Darul Ulum, Syeikh Tantawi ditawarkan untuk menjadi seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah di Damanhur, kemudian ditukarkan ke sekolah di an-Nasriyyah di Giza, berpindah pula ke sekolah al-Khodiwiyyah di Darb al-Jamamiz bermula pada 1900 hingga 1910. Semasa mengajar di situ, Syeikh Tantawi mengambil kesempatan untuk memperdalami ilmu Bahasa Inggeris hingga mampu menguasainya dari sudut penulisan dan pertuturan.
Pada 1911, beliau ditawarkan untuk menjadi Nazir, sekali gus menjadi guru yang bertanggungjawab mengajar subjek tafsir al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW di sekolah lamanya iaitu Madrasah Darul Ulum. Kehebatan pengajarannya dalam bidang tafsir al-Quran dapat dihidu oleh barisan penilai dari Universiti Mesir Lama dan ditawarkan pula untuk mengajar di universiti. Akan tetapi, pencapaiannay itu tidak disenangi oleh Perdana Menteri ketika itu, Mahmud Fahmy an-Naqrasyi yang lebih suka akan seorang guru yang berbangsa Perancis bagi menggantikannya.

Beliau mula mendapat tekanan dan tribulasi, apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada 1914. Beliau ketika itu mengajar semula di Madrasah Darul Ulum, dikeluarkan oleh penjajah British dan terpaksa berpindah ke Sekolah Menengah Abbasiyyah di Jajahan Iskandariah. Pada 1917, beliau dipanggil semula oleh pihak sekolah al-Khodiwiyyah hingga melepaskan jawaan sebagai guru pada tahun 1922. Selepas itu, Syeikh Tantawi mula mengorak langkah untuk memfokuskan dalam bidang penulisan dan kaedah mentarbiah golongan remaja yang dahagakan ilmu pengetahuan agama.

Nama Syeikh Tantawi semakin bersinar dan semakin disebut-sebutdi kalangan masyarakat Mesir yang sinonim dengan ilmu pengetahuan agama Islam. Beliau disifatkan oleh banyak pihak ketika itu, bukan sahaja sebagai tokoh ulama yang menguasai bidang agama malah juga menguasai ilmu di dalam bidang sains di samping pencapaian beliau dalam menguasai kemahiran berbahasa Inggeris yang sangat banyak membantunya menyiapkan kajian dan penerokaan tentang sains.

Mempelopori Gerakan Pelajar
 
Dalam kesibukan beliau menyiapkan beberapa hasil karyanya, beliau tidak lupa untuk membangkitkan rasa tanggungjawab pelajar terhadap ajaran agama mereka. Justeru, beliau menubuhkan beberapa persatuan pelajar yang dianggapnya sebagai pemangkin kepada kesedaran umat Islam dalam membela agama Islam. Semasa beliau di Iskandariah, Syeikh Tantawi menubuhkan gerakan pelajar yang diberi nama Persatuan Al-Jauhariah, kemudian menubuhkan Jamaah Ukhuwwah Islamiah yang merangkumi pelajar-pelajar dari Timur Tengah yang bersatu membela Islam.

Tidak cukup dengan itu, Syeikh Tantawi mengasaskan pula Kesatuan Pemuda Islam yang menitik beratkan persoalan kerohanian Islam khususnya di Kaherah dan menjadi anggota Persatuan al-Bir al-Ehsan dan menerajui Persatuan al-Muwasah al-Islamiah dan pernah mengetuai sidang pengarang majalah yang diterbitkan oleh Gerakan Ikhwan Muslimun pada tahun 30-an.

Keilmuan Diiktiraf Oleh Umat Islam
 
Ketokohan Syeikh Tantawi semakin diyakini oleh umat Islam dari dalam dan luar Mesir, hingga beliau sering diundang untuk membarikan ceramah-ceramah agama khususnya mengenai pendekatan al-Quran tentang sains dari beberapa buah Negara umat Islam seperti India, Malaysia, Singapura, Indonesia dan sebagainya.
Pengalaman menyampaikan ceramah agama di luar negara, memberi inspirasi kepadanya untuk menubuhkan banyak sekolah yang mengajarkan ilmu-ilmu agama dan akademik pada satu masa. Akhirnya beliau berjaya mengasaskan Universiti Tantawi dan sekolah-sekolah Jauhariah sempena diambil daripada namanya dan nama ayahnya.

Dalam bidang penulisan, Syeikh Tantawi banyak menghasilkan kitab ilmiah, yang terbesarnya adalah Tafsir Tantawi Jauhari, az-Zuhrah Fi Nizam al-Alam Wa al-Umam, at-Taj al-Marso' Bi Jawahir al-Quran Wa al-Ulum, Nahdatul Ummah Wa Hayatuna, an-Nizam Wa al-Islam, Jawahir al-Ulum, Aina al-Insan, al-Jawahir Fi Tafsir al-Quran dalam 36 jilid dan lain-lain.

Pada 12 Mac 2010, Syeikh Tantawi menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah puluhan tahun berkhidmat untuk meninggikan syiar Islam. Jenazahnya diurus dan disembahyangkan oleh ribuan manusia yang terdiri daripada para alim ulamak serta pembesar-pembesar negara umat Islam dari dalam dan luar Mesir yan datang untuk memberikan penghormatan terakhir.

Source: http://www.pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=596:syeikh-tantawi-jauhari-kuasai-bidang-sains&catid=77:al-azhar&Itemid=85

No comments:

Related Posts with Thumbnails