Sunday, March 21, 2010

Hiasan antarabangsa ala Arab (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

ALAM DAMAI


SHARIFAH AZIAH percaya sentuhan peribadi penghuni menjadikan sesebuah kediaman berasa lebih 'dekat'.


SETELAH membeli sebuah kediaman eksklusif yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pasangan Tan Sri Syed Hamid Albar dan Puan Sri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin, tekad untuk menjadikannya sebuah rumah idaman mereka sekeluarga.
Rumah agam dua tingkat yang didiami sejak 15 tahun lalu itu memiliki ruang luas. Memasukinya sahaja sudah menerbitkan aura ketenangan apatah lagi setiap ruang tersusun cantik.
Menurut Sharifah Aziah, semua dekorasi dan perhiasan rumah dibuat mengikut cita rasanya sendiri tanpa menggunakan khidmat pereka dalaman.
“Semua idea datang daripada ilham saya sendiri. Kalau suruh orang hias, nanti kita rasa macam berada di rumah orang lain pula. Lebih baik kita sendiri yang buat supaya kita mendapat kepuasan.
“Lagipun kalau kita upah orang untuk menghias kediaman, mereka akan mengenakan bayaran yang tinggi,” ujarnya.

RUANG legar yang menempatkan buah tangan pemberian teman-teman dari seluruh dunia.


Mengemas
Menerokai kediaman yang berkonsepkan ‘antarabangsa’, terdapat dua ruang tamu yang cukup besar sehingga mencuri tumpuansesiapa sahaja yang bertandang ke rumah Sharifah Aziah.
Sebuah ruang merupakan sudut tetamu lelaki manakala sebuah lagi adalah ruang tertutup untuk wanita.
“Ruang untuk wanita memang dikhaskan untuk rakan-rakan saya yang datang, terutama isteri-isteri duta dari negara luar.
“Mudah kalau nak bercerita, jadi tak perlulah mengganggu orang lelaki dan ruang lain,” katanya.
Mengemas rumah seluas lebih 3,900 meter persegi sudah tentu bukan satu tugas yang mudah.
Namun, kata Sharifah Aziah, beliau diberi sepenuh kebebasan oleh suami untuk menghias rumah yang mempunyai enam buah bilik tersebut.

ANTARA pemberian yang dipaparkan sebagai penghargaan.


“Bila dah minat, semua jadi senang. Suami pula mempunyai cita rasa yang sama malah dia menyerahkan tugasan menghias rumah kepada saya.
“Saya sukakan sesuatu yang moden dan ringkas.
“Jadi keseluruhan konsep hiasan adalah kontemporari yang disulam gaya lama secara harmoni,” jelas Sharifah Aziah yang memiliki kepakaran dalam rekaan dalaman.
Terdapat juga sebuah bilik yang dihias ala Arab bersebelahan pintu masuk utama.
Hiasan serba merah dilengkapi perabot dan televisyen disediakan khusus untuk seisi keluarga berehat sambil minum teh.
“Ini merupakan ruang privasi. Semua barangan perhiasan di dalam bilik ini dihadiahkan oleh seorang teman saya yang berasal dari negara Arab.

BERSANTAI sambil menikmati kecantikan ikan koi di laman rumah sendiri menjadi salah satu aktiviti keluarga.


Kotak kecil
“Menurut teman itu, ia boleh dianggap satu promosi kerana dia sememangnya ada membuka sebuah kedai menjual barangan dekorasi Arab di negara ini,” katanya.
Bakat Sharifah Aziah dalam melukis juga diluahkan ke barangan-barangan kaca seperti tembikar dan piring yang dijadikan perhiasan rumah.
Di ruang tengah rumah, antara ruang tamu lelaki dan wanita, ditempatkan sebuah meja kayu bulat yang besar.
Menariknya, di atas meja ini diletakkan berpuluh buah koleksi kotak kayu kecil yang dibeli di negara-negara yang dilawati semasa Syed Hamid bertugas sebagai Menteri Luar dahulu.
“Setiap kali saya melawat negara-negara lain, (sudah) menjadi kebiasaan saya membeli kotak kayu kecil untuk dijadikan kenangan (kerana pernah) berada di tempat tersebut.
“Tapi ada juga hadiah yang orang bagi. Bagi saya, saya gembira jika ada orang pamerkan hadiah yang kita beri di dalam rumah mereka.

BINAAN kayu di bawah rimbunan pokok hijau yang menyuntik keseimbangan konsep pilihan Sharifah Aziah.


“Sebab itu saya letakkan pemberian orang di dalam rumah ini supaya mereka bangga bila melihatnya,” ungkapnya sambil menunjukkan koleksi yang diperoleh dari serata dunia termasuk China, Mongolia, Korea, Amerika Syarikat, India, Afrika Selatan, Mexico, Mauritius, Jordan, Arab Saudi, Libya dan Maghribi

No comments:

Related Posts with Thumbnails