Alam Damai (Kosmo)
Gambar-gambar pelakon Inggeris kacak, Jude Law, menghidupkan lagi konsep moden klasik pilihan Faizal.KEDIAMAN di tingkat lapan kondominium Tiara Intan, Bukit Indah, Ampang, Selangor itu mencuri tumpuan krew Jurnal baru-baru ini.
Rekaan dalamannya yang didominasi warna putih atau krim meluaskan pandangan meski ia kurang sifat minimalis.
Kebijaksanaan pemilik rumah ini menggarap konsep moden klasik dapat dilihat pada padanan warna dan hiasannya.
Warna putih yang dijalinkan dengan warna coklat serta keemasan menyerlahkan konsep itu dan nampak memikat.
Tidak hairanlah rumah milik lelaki bujang itu pernah dinobatkan sebagai rumah idaman oleh sebuah akhbar tempatan bagi kategori apartmen.
Ketika dikunjungi pada petang itu, sinaran lampu bercahaya kuning yang terpasang memantulkan warna putih keperangan di ruang kediaman itu.
Selain warna putih, elemen moden diketengahkan menerusi kenderaan perhiasan mini seperti kereta dan kapal terbang besi. Sementara elemen klasik ditonjolkan menerusi barangan antik gaya Inggeris dan warna keemasan.
Moden klasik
“Memang saya berhasrat untuk menerapkan konsep moden klasik untuk rumah saya. Mungkin sesetengah orang menganggap ia tidak begitu sesuai untuk orang bujang, namun segalanya bergantung kepada cita rasa individu,” kata pemilik rumah, Faizal Azam Harun, 35.
“Lagipun, konsep moden klasik sesuai sepanjang masa berbanding konsep-konsep yang lain. Saya menyukai konsep ini,” tambahnya.
Meminati warna putih, Faizal berkata warna itu memang merupakan warna kesukaannya bukan sahaja pada rumah bahkan warna kegemaran peribadi.
“Putih nampak bersih. Walaupun agak sukar untuk menjaganya, namun ia menjadikan anda lebih berhati-hati apabila memakai warna itu,” kata eksekutif jualan ini.
Motif Inggeris yang sinonim dengan klasik tidak hanya digambarkan menerusi aksesori atau hiasan, bahkan juga bingkai-bingkai gambar.
Gambar-gambar pelakon Inggeris kacak, Jude Law yang segak bergaya menerbitkan rekaan dalaman berkarakter.
Pemilihan pose-pose menarik bersifat elegan, stailo dan klasik daripada aktor itu nampak tidak canggung bila digantung di ruang tamu rumahnya.
“Dia idola saya dalam gaya dan fesyen. Saya tertarik dengan cara pembawaan dirinya,” ujarnya.
Penggunaan sofa beropol di bahagian bawah buatan Hong Kong tepat untuk menonjolkan elemen klasik.
Sofa berfabrik velvet berwarna krim digabungkan bersama kusyen fabrik kulit buaya dan burung unta serta permaidani bulu berwarna coklat yang menerbitkan pesona tersendiri di ruang tamu.
Lampu bertiang warna emas yang mengapit sofa utama menyerlahkan ciri klasik. Elemen Inggeris turut dicorakkan melalui rias selimut pada sofa.
Unsur semula jadi diterapkan menerusi rak dan bingkai daripada material kayu pain. Kemasan yang ditampilkan nampak moden. Menurut Faizal, dia memang cenderung menggunakan material kayu pain untuk rak atau bingkai gambar kerana ia lebih ringan berbanding kayu jenis lain seperti jati.
“Kayu ini juga lebih mudah diselenggara. Ia memang banyak digunakan dalam hiasan rumah orang Eropah dan Amerika Syarikat. Kalau ada kekotoran atau tumpahan, kita boleh dilap begitu sahaja,” katanya.
Hutan
Ruang makan pula ditata dengan lampu candeliar kristal yang memancarkan cahaya lebih jernih.
Kerusi makan berwarna coklat, juga dengan fabrik velvet, diserikan dengan kusyen kecil berwarna putih. Jam dinding antik yang diwarisi turun-temurun keluarganya tergantung di dinding.
Warna putih turut mendominasi kamar tidur jejaka ini. Ia boleh dilihat pada cadar, dinding dan sofa. Jika di ruang tamu, warna putih dipadankan dengan warna coklat, kali ini warna putih lebih banyak dipadankan dengan warna hijau rona gelap.
Di bilik tidur tetamu pula warna putih, coklat dan hijau dijalinkan.
Bayu lembut yang menerpa masuk dari anjung tingkat lapan kediaman itu sungguh menyamankan. Begitu juga panorama hutan hijau yang dapat dilihat dari anjung rumah.
“Memang panorama yang mendamaikan. Bayangkan pulang dari tempat kerja dan menjamu pemandangan sebegini di rumah. Ia begitu melapangkan fikiran.
“Bangun pagi pula rasa segar dan nyaman,” ujarnya sambil menerangkan bahagian anjung yang menghadap hutan itu turut dihias dengan tumbuhan seperti pohon buluh kecil gaya ala Jepun.
Pernah mempunyai pengalaman bekerja sebagai pereka dalaman, Faizal memberikan tip mudah untuk menerapkan konsep moden klasik iaitu menggunakan warna putih atau krim sebagai asas dan diserlahkan dengan rona coklat dan keemasan.
Mengenai penggunaan kertas dinding, Faizal berkata, ia tidak begitu sesuai dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan mungkin lebih elok digayakan pada rumah individu berkeluarga.
Faizal berkata, dia tidak mempunyai bajet tertentu yang dikeluarkan setiap bulan sebaliknya, dia sekadar mengguna pakai atau mengubah suai apa yang sudah dimiliki dengan tambahan aksesori dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment