" ARchiteCTURE for LIFE "
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm
LANTAI dapat membawa perubahan yang besar kepada suasana kediaman. Justeru itu, setiap pemilik pastinya menginginkan yang terbaik dari segi hiasan hinggalah ke lantai rumah.
Selain memberi keselesaan, permukaan lantai juga membentuk identiti dan konsep yang mahu digayakan.
Kebanyakan pemilik memilih batu marmar atau jubin seramik berkualiti tinggi. Namun, ramai juga yang menggunakan lantai kayu lamina bagi menampakkan tekstur lembut dan semula jadi.
Kayu lamina turut mewakili gaya mewah, klasik dan cita rasa tinggi. Apatah lagi penataan lantai kayu dapat membuatkan ruang tampak lebih luas dan nyaman serta mempertingkatkan nilai estetika kediaman.
Ia juga hanya memerlukan sedikit penjagaan bagi membolehkannya bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya.
Menurut Pengarah Urusan Natures Decoration & Enterprise, Zulfikar Yusof, 38, penggunaan lantai kayu semakin meningkat kerana ramai yang mahu beralih kepada penataan klasik dan tradisional tetapi masih kelihatan moden.
Trend
“Lantai kayu sudah menjadi trend sekarang. Berbeza dengan lantai jubin, kayu lebih mesra alam dan sejuk semasa cuaca panas,” ujarnya.
Zulfikar berkata, aliran dan kehendak semasa juga menyaksikan bukan banglo atau rumah berkembar sahaja yang memakai kemasan lantai kayu, malah pemilik rumah teres dan apartmen juga semakin menggemari konsep berasaskan bahan semula jadi itu.
“Lantai kayu tidak seperti karpet yang mudah berhabuk. Kadangkala anak-anak lebih suka tidur di ruang tamu ketika menonton televisyen, jadi mereka perlukan tempat yang lebih selesa untuk merebahkan badan sambil berhibur.
Bilik riadah seharusnya mudah diuruskan sepanjang masa.
“Sebab itu ramai yang bertukar kepada lantai kayu untuk mengelakkan kotoran debu,” ujarnya.
Kayu juga katanya, dapat menonjolkan kombinasi menarik antara tradisional dan moden. Dari segi pemilihan warna pula bergantung kepada serlahan cahaya di bahagian tertentu kediaman tersebut.
“Serlahan cahaya di sesuatu tempat adalah berbeza, berbalik kepada kesesuaian gaya yang diterapkan. Kemasan lantai kayu turut bergantung pada padanan warna perabot.
“Tetapi elemen kayu biasa digunakan di bilik pengurus, ruang pameran, butik dan spa yang inginkan kelainan,” tuturnya yang telah lima tahun berpengalaman dalam melakukan kerja-kerja hiasan dalaman dan pengubahahsuaian premis perniagaan, kediaman, pejabat kerajaan dan resort.
Lebih murah
Lantai lamina ialah pilihan terbaik bagi yang menginginkan kemasan lantai yang kelihatan seperti kayu sebenar pada harga yang lebih murah berbanding kayu padu.
Ditanya tentang kualiti lantai kayu padu yang ditawarkan syarikatnya, Zulfikar memberitahu: “Ia seratus peratus dari Malaysia.
“Kayu-kayu keras di negara kita merupakan antara kayu yang paling berkualiti di dunia seperti akasia, meranti dan jelutong.
“Kalau orang kata kayu getah dapat dibuat lantai, kata-kata itu salah. Sebab kalau buat guna kayu getah, ia akan menjadi panas dan mudah ‘cair’.
“Begitu juga banyak jenama kayu dari luar dibawa masuk ke negara ini tetapi kebanyakannya tidak sesuai dengan cuaca di sini. Sebab itu kayu tersebut mudah rosak dan rapuh.
“Selain kayu padu, kami juga menawarkan pakej lamina yang lengkap iaitu lantai berlamina yang tahan lasak, tahan calar, berkualiti dan antianai-anai.”
RUANG dapur tampak lebih luas dan mudah dibersihkan dengan lantai kayu lamina corak kayu.
Ternyata memilih lantai kayu sebagai kemasan merupakan pelaburan yang bijak kerana ia mempunyai banyak kelebihan.
Perubahan teknologi juga telah meningkatkan kekuatan dan ketahanan kayu.
Jika sebelum ini hanya ruang makan dan ruang utama yang sesuai dipasangkan lantai berkayu, namun kemajuan teknologi hari ini menyaksikan ia dapat diguna pakai di seluruh ruang termasuk dapur.
Kemasan lamina ini hadir dalam pelbagai rekaan. Malah ada yang menyerupai kepingan kayu, jubin atau batu dalam pelbagai warna dan corak.
Tentang pemilihan corak yang sesuai untuk kediaman seseorang, Zulfikar lazimnya akan meminta maklumat asas seperti konsep hiasan dalaman yang diingini, warna kegemaran dan akhirnya tentulah bajet tuan rumah.
Spa
Menjejaki kediaman beliau di Kondominium Palm Spring, Kota Damansara, Petaling Jaya, terbukti penerapan konsep lantai kayu yang dimaksudkan sangat mencuri perhatian.
Seluruh isi rumah disisipkan kemasan kayu lamina termasuk di kamar tidur dan dapur.
“Kayu lamina juga saya pasangkan di dinding supaya ia tampak lebih tinggi manakala di lantai pula saya letakkan secara melintang bagi menampakkannya lebih luas dan praktikal.
“Dari aspek pemasangan, kayu lamina adalah lebih mudah dipasang dan kemas,” ungkapnya.
Jumlah kos keseluruhan bagi pengubahsuaian kediaman Zulfikar hampir mencecah angka RM30,000. Namun, ia dilakukan secara berperingkat dan mengambil masa yang agak lama untuk siap sepenuhnya.
Keluarga Zulfikar lebih menitikberatkan keselesaan berbanding gaya mewah.
Memberikan sentuhan yang sama terhadap spa milik isterinya, kayu menjadi elemen utama yang dimainkan.
Tampak sejuk dan tenang, konsep tersebut amat sesuai sekali dengan penampilan Pusat Kecantikan Dikara yang terletak di Seksyen 6, Kota Damansara itu.
“Konsep ini saya buat sendiri. Sama juga macam di rumah, saya menggunakan sepenuhnya kayu untuk menjadikannya sebuah tempat yang eksklusif dan menenangkan buat pelanggan,” ujarnya yang menempatkan pejabatnya bersebelahan spa tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment