Saturday, February 27, 2010

Piza

" ARchiteCTURE for LIFE "

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Famili&pg=fa_04.htm

PIZA adalah antara sajian yang sentiasa mendapat tempat di hati kanak-kanak dan kebanyakan daripada kita. Ia berasal dari Itali dan sungguh popular sebagai makanan segera. Malah, ia boleh didingin beku dengan mudah untuk disimpan selama beberapa minggu di dalam peti pembeku.

Ada tiga langkah utama dalam menyediakan piza. Pertama, bahagian dasar. Memandangkan doh menggunakan yis, ketelitian perlu bila mengadunnya. Yis adalah bahan yang amat sensitif dengan suhu. Pastikan yis yang digunakan masih baru dan aktif.

Yis yang tidak aktif atau mati tidak mampu mengembangkan adunan. Hasilnya, piza akan menjadi keras dan tidak gebu. Yis menjadi tidak aktif jika ia terkena garam. Jadi, hendaklah dimasukkan garam ke dalam tepung terlebih dulu. Dengan cara ini, ia tidak akan tersentuh secara langsung dengan yis.

Jangan gunakan air panas kerana fungsi yis akan terbantut. Hanya gunakan air suam. Namun begitu, jika anda menguli dengan mesin, lebih sesuai menggunakan air sejuk. Ini kerana kepanasan doh meningkat dengan sendirinya bila diuli dengan mesin dalam jangka masa yang agak lama.

Teknik ulian mesti betul bila membuat doh piza. Lakukan di atas papan pencanai yang ditaburkan dengan tepung. Tolak doh dengan tapak tangan secara terus-menerus. Tarik dan tolak doh sehingga ia menjadi lembut, licin dan halus permukaannya. Jangan lupa gunakan tepung roti atau tepung berprotein tinggi kerana kandungan gluten memudahkan doh kembang.

Pelembut roti akan membuat doh piza lebih lembut.

manakala bread improver mempercepatkan proses mengembangkannya. Doh mesti diletak di tempat hangat supaya mudah kembang. Tempat paling baik adalah di dalam kereta yang diletakkan di bawah matahari terik.

Cara lain ialah menyediakan bekas besar atau periuk pengukus berisi air mendidih. Letak mangkuk berisi doh dengan penutup tuala. Kemudian tutup pengukus itu dan biarkan. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sos piza di dalam botol. Anda juga boleh menyediakannya sendiri dan menyimpannya untuk digunakan pada waktu lain. Sos ini jugalah asas kepada sos tomato untuk spageti bolognese dan lasagne. Jika tidak cukup masa, campurkan sos tomato dan sos cili. Kemudian sapukan di atas doh piza.

Bahan atas untuk piza boleh diubahsuai mengikut selera masing-masing. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, anda hendaklah memasaknya terlebih dulu. Tambahkan cili Benggala atau lain-lain sayuran yang anda gemari. Untuk menjimatkan masa, boleh gunakan sardin atau tuna di dalam tin.

Hirisan sosej atau salami lembu adalah pilihan yang sesuai. Salami adalah daging atau ayam dalam bentuk sosej yang sudah dicampur rempah dan disalai atau diproses hingga masak. Bagi penggemar sayur-sayuran pula, boleh mencelurnya sebelum digunakan.

Selain keju mozarela, anda boleh gunakan parutan keju cheddar. Sebaik-baiknya anda parut terus ke atas piza untuk mengelakkan ia berketul atau bergumpal.

Jika sukar mendapatkan oregano kering dalam botol, boleh gantikan dengan Italian seasoning. Herba seperti ini adalah penting untuk memberikan rasa asli atau autentik piza. Sekiranya anda boleh memperoleh daun basil segar, taburkan di atas piza sebaik saja ia dikeluarkan dari ketuhar.

Untuk menyimpan piza secara dingin beku, bakar sehingga separuh masak. Kemudian biar sejuk. Bungkus dengan plastik nipis sebelum diletak di dalam bekas bertutup. Anda juga boleh membungkus dengan kertas timah. Kemudian barulah disimpan dalam peti pembeku. Biar piza kembali ke suhu bilik semula sebelum dibakar seperti biasa.

Bagi yang tidak mempunyai masa atau kesabaran untuk menguli doh piza sendiri, boleh gunakan roti pitta. Selain menjimatkan masa, anda juga boleh mempelbagaikan bahan atasnya mengikut bajet dan kreativiti sendiri.

Katering bergerak Pizza Hut

" ARchiteCTURE for LIFE "

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0223&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

RESTORAN bergerak Pizza Hut akan berkunjung ke destinasi tertentu seperti di acara karnival, hari keluarga dan lokasi yang tiada cawangan restoran itu.

PENGGEMAR piza kini boleh mendapatkan hidangan kegemaran mereka dengan lebih mudah apabila rangkaian makanan segera Pizza Hut melancarkan restoran bergerak Hot On Wheels.

Hot On Wheels dijangka mampu memenuhi permintaan penggemar piza yang semakin meningkat dalam segmen pelbagai acara khas dan majlis luar telah dipertontonkan kepada orang ramai di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pemegang hak francais Pizza Hut dan Pengerusi QSR Brands Bhd., Tan Sri Datuk Muhammad Ali Hashim berkata, Hot On Wheels mampu membuat dan menghantar piza serta hidangan lain untuk acara-acara karnival, hari keluarga dan majlis-majlis luar di seluruh negara.

"Inovasi kreatif ini turut memberi tumpuan di kawasan yang tidak mempunyai cawangan restoran Pizza Hut.

"Kami memiliki pelbagai kelebihan dan sentiasa berusaha untuk mengembangkan dan mendapat pasaran baru. Dengan adanya Hot On Wheels ini kami telah menempa sejarah menerokai sumber pasaran baru iaitu perkhidmatan katering," katanya.

Beliau menambah, perkhidmatan katering adalah pasaran yang masih belum diterokai sepenuhnya dan mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Katanya, Pizza Hut telah membuat pelaburan besar dalam segmen pasaran ini dengan setiap unit konsep Hot On Wheels membabitkan kos sebanyak RM650,000.

Konsep Hot On Wheels merupakan yang pertama di Asia dan ia akan dikendalikan oleh empat pekerja terdiri daripada seorang pemandu, seorang penyelia dan dua orang pembantu dalam melancarkan lagi perkhidmatan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, setiap restoran bergerak yang berukuran 9.14 meter panjang dan 2.6 meter lebar itu mampu menyediakan sehingga 100 keping piza dalam tempoh satu jam sahaja.

"Pada masa ini Pizza Hut memilki dua unit restoran bergerak dan mempunyai perancangan untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan terbaru ini di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami juga telah melaksanakan usaha ujian pemasaran secara meluas pada tahun lalu dengan menggunakan restoran bergerak pertama kami," katanya.

Antara acara terbaru yang melibatkan operasi restoran bergerak tersebut termasuk Malaysia MotoGP2009, Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang, Johor dan banyak lagi. - NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Dari lantai ke dinding (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm

LANTAI dapat membawa perubahan yang besar kepada suasana kediaman. Justeru itu, setiap pemilik pastinya menginginkan yang terbaik dari segi hiasan hinggalah ke lantai rumah.

Selain memberi keselesaan, permukaan lantai juga membentuk identiti dan konsep yang mahu digayakan.

Kebanyakan pemilik memilih batu marmar atau jubin seramik berkualiti tinggi. Namun, ramai juga yang menggunakan lantai kayu lamina bagi menampakkan tekstur lembut dan semula jadi.

Kayu lamina turut mewakili gaya mewah, klasik dan cita rasa tinggi. Apatah lagi penataan lantai kayu dapat membuatkan ruang tampak lebih luas dan nyaman serta mempertingkatkan nilai estetika kediaman.

Ia juga hanya memerlukan sedikit penjagaan bagi membolehkannya bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya.

Menurut Pengarah Urusan Natures Decoration & Enterprise, Zulfikar Yusof, 38, penggunaan lantai kayu semakin meningkat kerana ramai yang mahu beralih kepada penataan klasik dan tradisional tetapi masih kelihatan moden.

Trend

“Lantai kayu sudah menjadi trend sekarang. Berbeza dengan lantai jubin, kayu lebih mesra alam dan sejuk semasa cuaca panas,” ujarnya.

Zulfikar berkata, aliran dan kehendak semasa juga menyaksikan bukan banglo atau rumah berkembar sahaja yang memakai kemasan lantai kayu, malah pemilik rumah teres dan apartmen juga semakin menggemari konsep berasaskan bahan semula jadi itu.

“Lantai kayu tidak seperti karpet yang mudah berhabuk. Kadangkala anak-anak lebih suka tidur di ruang tamu ketika menonton televisyen, jadi mereka perlukan tempat yang lebih selesa untuk merebahkan badan sambil berhibur.

Bilik riadah seharusnya mudah diuruskan sepanjang masa.

“Sebab itu ramai yang bertukar kepada lantai kayu untuk mengelakkan kotoran debu,” ujarnya.

Kayu juga katanya, dapat menonjolkan kombinasi menarik antara tradisional dan moden. Dari segi pemilihan warna pula bergantung kepada serlahan cahaya di bahagian tertentu kediaman tersebut.

“Serlahan cahaya di sesuatu tempat adalah berbeza, berbalik kepada kesesuaian gaya yang diterapkan. Kemasan lantai kayu turut bergantung pada padanan warna perabot.

“Tetapi elemen kayu biasa digunakan di bilik pengurus, ruang pameran, butik dan spa yang inginkan kelainan,” tuturnya yang telah lima tahun berpengalaman dalam melakukan kerja-kerja hiasan dalaman dan pengubahahsuaian premis perniagaan, kediaman, pejabat kerajaan dan resort.

Lebih murah

Lantai lamina ialah pilihan terbaik bagi yang menginginkan kemasan lantai yang kelihatan seperti kayu sebenar pada harga yang lebih murah berbanding kayu padu.

Ditanya tentang kualiti lantai kayu padu yang ditawarkan syarikatnya, Zulfikar memberitahu: “Ia seratus peratus dari Malaysia.

“Kayu-kayu keras di negara kita merupakan antara kayu yang paling berkualiti di dunia seperti akasia, meranti dan jelutong.

“Kalau orang kata kayu getah dapat dibuat lantai, kata-kata itu salah. Sebab kalau buat guna kayu getah, ia akan menjadi panas dan mudah ‘cair’.

“Begitu juga banyak jenama kayu dari luar dibawa masuk ke negara ini tetapi kebanyakannya tidak sesuai dengan cuaca di sini. Sebab itu kayu tersebut mudah rosak dan rapuh.

“Selain kayu padu, kami juga menawarkan pakej lamina yang lengkap iaitu lantai berlamina yang tahan lasak, tahan calar, berkualiti dan antianai-anai.”

RUANG dapur tampak lebih luas dan mudah dibersihkan dengan lantai kayu lamina corak kayu.

Ternyata memilih lantai kayu sebagai kemasan merupakan pelaburan yang bijak kerana ia mempunyai banyak kelebihan.

Perubahan teknologi juga telah meningkatkan kekuatan dan ketahanan kayu.

Jika sebelum ini hanya ruang makan dan ruang utama yang sesuai dipasangkan lantai berkayu, namun kemajuan teknologi hari ini menyaksikan ia dapat diguna pakai di seluruh ruang termasuk dapur.

Kemasan lamina ini hadir dalam pelbagai rekaan. Malah ada yang menyerupai kepingan kayu, jubin atau batu dalam pelbagai warna dan corak.

Tentang pemilihan corak yang sesuai untuk kediaman seseorang, Zulfikar lazimnya akan meminta maklumat asas seperti konsep hiasan dalaman yang diingini, warna kegemaran dan akhirnya tentulah bajet tuan rumah.

Spa

Menjejaki kediaman beliau di Kondominium Palm Spring, Kota Damansara, Petaling Jaya, terbukti penerapan konsep lantai kayu yang dimaksudkan sangat mencuri perhatian.

Seluruh isi rumah disisipkan kemasan kayu lamina termasuk di kamar tidur dan dapur.

“Kayu lamina juga saya pasangkan di dinding supaya ia tampak lebih tinggi manakala di lantai pula saya letakkan secara melintang bagi menampakkannya lebih luas dan praktikal.

“Dari aspek pemasangan, kayu lamina adalah lebih mudah dipasang dan kemas,” ungkapnya.

Jumlah kos keseluruhan bagi pengubahsuaian kediaman Zulfikar hampir mencecah angka RM30,000. Namun, ia dilakukan secara berperingkat dan mengambil masa yang agak lama untuk siap sepenuhnya.

Keluarga Zulfikar lebih menitikberatkan keselesaan berbanding gaya mewah.

Memberikan sentuhan yang sama terhadap spa milik isterinya, kayu menjadi elemen utama yang dimainkan.

Tampak sejuk dan tenang, konsep tersebut amat sesuai sekali dengan penampilan Pusat Kecantikan Dikara yang terletak di Seksyen 6, Kota Damansara itu.

“Konsep ini saya buat sendiri. Sama juga macam di rumah, saya menggunakan sepenuhnya kayu untuk menjadikannya sebuah tempat yang eksklusif dan menenangkan buat pelanggan,” ujarnya yang menempatkan pejabatnya bersebelahan spa tersebut.

Sunday, February 21, 2010

Siapa Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary?

" ARchiteCTURE for LIFE "


KUALA LUMPUR, 11 Mei 2009- Hasil daripada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, tokoh ini merupakan simbol anak Melayu yang berkebolehan di dalam bidang korporat yang dapat memimpin beberapa konglomerat besar serta dikenali berjiwa dermawan.

Tan Sri Syed Mokhtar, anak kepada pasangan Syed Nor Albukhary dan Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat, anak jati Alor Setar ini dilahirkan pada tahun 1951.

Sikap beliau yang komited dengan mengamalkan disiplin yang tinggi dan cekal dalam setiap usahanya sehingga membuahkan hasil terutamanya mengeluarkan diri dan keluarga dari kepompong kemiskinan.

Billionair Melayu ini, walaupun tidak mempunyai pendidikan formal di peringkat tinggi, ternyata beliau luas dalam pengalaman hidup terutama jatuh bangun dalam perniagaan yang menjadi gurunya sehingga dicatatkan sebagai Melayu terkaya di negara ini.

Bermula dari menjual produk ternakan, pengangkutan lori dan beras, beliau mengorak langkah menceburi bidang peruncitan, perkapalan, pembinaan, logistik, pembuatan, pertahanan dan perbankan, sehingga melebarkan sayap perniagaan ke Arab Saudi dan juga Jordan.

Pada tahun 1996, beliau menubuhkan Yayasan Albukhary yang kini termasyhur sebagai sebuah badan kebajikan bagi membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan. Difahamkan, setiap tahun lebih 20 ribu pelajar telah mendapat faedah tuisyen percuma yang dianjurkannya. Di samping itu juga, beliau menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dengan mewujudkan Muzium Kesenian Islam dan membina berpuluh masjid di seluruh negara.

Begitu juga dengan kewujudan Kompleks Albukhary bernilai lebih RM400 juta di Alor Setar, Kedah, menempatkan rumah anak yatim dan warga emas, hospital dan pusat dialisis yang semuanya diberikan percuma kepada golongan kurang berkemampuan.

Kecintaan Tokoh Maal Hijrah 1429 Hijrah ini terhadap ilmu jelas sekali apabila beliau menyediakan Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin yang cerdik daripada 47 buah negara yang umat Islamnya adalah kumpulan minoriti untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi serta membina Universiti Antarabangsa Albukhary bernilai RM500 juta.

Hasil perkongsian hidup bersama Puan Sri Sharifah Zarah Albukhary, beliau mengecapi kebahagiaan dengan dikurniakan seramai empat orang cahaya mata.

“Beliau tidak pernah melihat dirinya seorang yang kaya kerana prinsip beliau ialah manusia ini hamba Allah dan Allah Yang Maha Kaya. Segala usaha, pelbagai dugaan serta cabaran dilalui sejak lebih 40 tahun lalu baginya adalah rezeki Allah dan rezeki itu dikongsi bersama lebih daripada 67 ribu tenaga kerjanya.”

Jasa dan bakti beliau terus mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada pelbagai pihak atas sumbangannya menerusi sektor perdagangan dan korporat, juga kebajikan menerusi yayasan.

Lantaran ketokohan beliau dalam bidang pengkoporatan dan kemasyarakatan serta khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara, beliau dianugerahkan Tokoh Melayu Terbilang 2009.

Berikut profil beliau:

A. PENGENALAN

Nama : Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
Tarikh Lahir : 1951
Tempat Lahir : Alor Setar, Kedah
Nama Isteri : Puan Sri Sharifah Zarah Albukhary
Bil. Anak : 4 orang (dua lelaki, dua perempuan)
Pendidikan : Sekolah Saint Michael, Alor Setar
Nama bapa : Syed Nor Albukhary
Nama ibu : Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat

B. PENGLIBATAN AWAL PERNIAGAAN

1971 : Perniagaan daging di Alor Setar
1972 : Perniagaan Pengangkutan Lori (Syarikat Pengangkutan Sentosa)
1974 : Membeli rumah kedai pertamanya, di Jalan Telok Wan Jah, Alor Setar
1975 : Menubuhkan Syarikat Shah
1976 : Syarikat usahasama, Bukhary Sdn. Bhd, Jalan Telok Wan Jah, Alor Setar
1977 : Bukhary (KL) Sdn. Bhd., Jalan Pahang, Kuala Lumpur
1978 : Menyertai delegasi Pernas ke Pesta Perdagangan Canton, China
1979 : Syarikat Susu Mas Sdn. Bhd.
: Amtek Holdings
: Amtek Shoes
: Amteks Garment Sdn.Bhd.
: Oriental Garments Uniform Division
: Bukhari Shipping
: Bukhary Development

C. SYARIKAT BERKEPENTINGAN

1. Malaysia Mining Corporation (MMC)

1. Pelabuhan Tanjung Pelepas
2. Johor Port
3. SMART (Stormwater Management and Road Tunnel)
4. Lapangan Terbang Senai
5. Malakoff Corporation
6. Gas Malaysia
7. MMC Oil & Gas Sdn Bhd
8. Tepat Teknik
9. Recycle Energy
10. Aliran Ihsan Resources
11. Zelan Construction
12. IJM
13. MMC-Gamuda (JV)
14. Intergrated Rubber Corporation
15. Kramat Tin Dredging
16. MMC – Saudi Binladin Group – Jazan Economic City
17. 1,030,000 m3/day Shuaibah independent water and power plant – Arab Saudi
18. 200,000 m3/day water desalination plant – Algeria
19. Central Electricity Generation Company – Jordan
20. Dhofar Power Company - Oman

2. DRB-Hicom Berhad

1. Alam Flora Sdn. Bhd.
2. Automotive Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd.
3. Continental Automotive Instruments Malaysia Sdn. Bhd.
4. DRB-HICOM Information Technologies Sdn. Bhd.
5. EON Bank Berhad
6. Edaran Modenas Sdn. Bhd.
7. Edaran Otomobil Nasional Berhad
8. Glenmarie Cove Development Sdn. Bhd
9. Glenmarie Golf & Country Club
10. HICOM Communications Sdn. Bhd.
11. HICOM Diecastings Sdn. Bhd.
12. HICOM Engineering Sdn. Bhd.
13. HICOM Network Services Sdn. Bhd.
14. HICOM Properties Sdn Bhd
15. HICOM Teleservices Sdn. Bhd.
16. HICOM United Leasing Sdn Bhd
17. HICOM-Chevrolet Sdn. Bhd.
18. HICOM-Gamuda Development Sdn. Bhd.
19. HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd.
20. Holiday Inn Glenmarie Kuala Lumpur
21. Honda Malaysia Sdn. Bhd.
22. Horsedale Development Berhad
23. Imatex Sdn Bhd
24. Isuzu Malaysia Sdn Bhd
25. KL Airport Services Sdn. Bhd.
26. Kenyir Lakeview Resort
27. Kenyir Splendour Berhad
28. Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd.
29. Proton City Development Corporation Sdn. Bhd.
30. Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd.
31. Rebak Island Marina Berhad
32. Rebak Marina Resort
33. Scott & English (Malaysia) Sdn. Bhd.
34. Scott & English (Malaysia) Sdn. Bhd.
35. Scott & English Electronics Sdn. Bhd.
36. Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd.
37. Suzuki Motorcycle Malaysia Sdn. Bhd.
38. USF-HICOM (Malaysia) Sdn. Bhd.
39. Uni.Asia General Insurance Berhad
40. Uni.Asia Life Assurance Berhad

3. Tradewinds Corporation Berhad

1. Tradewinds Hotels and Resorts Sdn Bhd;
2. InterContinental Hotels Group - Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur
3. Hilton International - Hilton Batang Ai Longhouse Resort, Sarawak, Hilton Kuching, Hilton Petaling Jaya dan Meritus Pelangi Beach Resort & Spa, Langkawi
4. Mutiara-TCB Hotel Management Sdn Bhd - Hotel Istana Kuala Lumpur, Mutiara Burau Bay Beach Resort, Langkawi, Mutiara Johor Bahru dan Mutiara Taman Negara, Pahang

D. SUMBANGAN YAYASAN ALBUKHARY

Sumbangan Dalam Negara

(i) Kompleks Albukhary yang kemudiannya dinamakan Pusat Kecemerlangan Sharifah Rokiah merangkumi;
a) Pusat Dialisis dan Hospital Albukhary
b) Hostel Albukhary
c) Masjid Albukhary
d) Pusat Pendidikan Masyarakat
e) Pusat ‘Pondok’ Moden
f) Rumah Anak-anak Yatim Albukhary
g) Pusat Kanak-kanak Istimewa
h) Pusat Jagaan Warga Emas
i) Souq Albukhary dan pasar basah
j) Universiti Antarabangsa Albukhary (kemasukan pertama dijangka pada 2010)
(ii) Biasiswa Albukhary kepada pelajar miskin (terutama pelajar negara OIC ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
(iii) Tuisyen Albukhary (tuisyen percuma) kepada pelajar miskin seluruh negara
(iv) Program Tahunan, Bantuan Uniform Sekolah kepada pelajar miskin
(v) Kursi Albukhary di Fakulti Seni bina dan Rekaan Alam, UIAM
(vi) Membina Muzium Kesenian Islam (muzium terbesar di Asia Tenggara yang memaparkan hasil seni Islam)
(vii) Membina dan membaik pulih masjid seperti Masjid Negara, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Albukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur
(viii) Membina Institut Al-quran, Kuala Lumpur
(ix) Sumbangan bagi pembinaan Blok Menara, Universiti Terbuka Wawasan, Pulau Pinang
(x) Sumbangan bagi pembinaan kampus tetap Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampar, Perak
(xi) Sumbangan / pembiayaan dalam bidang sukan dan rekreasi seperti Malaysian Lawn Bowls Federation, ekspedisi solo Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir ke Antartika dan Datuk Malik Mydin, rakyat Malaysia pertama berenang di Selat Inggeris
(xii) Membina Ibu Pejabat Yayasan Jantung Negara, Kuala Lumpur
(xiii) Membina Pusat Hemodialisis di Kangar, Perlis dan Johor
(xiv) Membina Ibu Pejabat Yayasan Budi Penyayang, Pulau Pinang
(xv) Membina Pusat Pemuliharaan – Warisan & Seni Islam
(xvi) Membiayai orang Islam miskin menunaikan haji
(xvii) Sumbangan kepada Projek Langkawi (dana pendidikan luar bandar anjuran MCA)

Sumbangan Peringkat Antarabangsa
(i) Sumbangan kepada Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom
(ii) Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Lebanon
(iii) Sumbangan bagi pembinaan kampus baru Darul Uloom Islamic Academy, Brisbane, Australia
(iv) Sumbangan kepada mangsa gempa bumi Sichuan, China
(v) Program Anak-anak Yatim Albukhary di Daerah Nanggroe, Aceh, Indonesia
(vi) Albukhary Rehabilitation Centre, misi kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi Bam, Iran
(vii) Albukhary Care Centre, Battagram, pusat latihan vokasional dan akademik di Pakistan
(viii) Schevenezia Software Technologies, pengajian teknologi maklumat kepada pelarian Afghanistan dan rakyat Pakistan
(ix) Sumbangan kepada Shaukat Khanum Memorial Cancer Hospital and Research Centre, Lahore
(x) Sumbangan bagi pembinaan bangunan utama universiti, Sarajevo School of Science dan Technology dan pengukuhan Economics and Good Governance Fellowship
(xi) Sumbangan bagi pembinaan Saidina Abubakar Hospital and Training Centre, Kampala, Uganda (mencegah penularan HIV/Aids)
(xii) Membeli dan mengubahsuai Cantray House, Afrika Selatan – pusat intelektual dan kefahaman Islam
(xiii) Membeli dan mengubahsuai Sir Herbert Baker Society’s Heritage Church kepada The Jumu’a Mosque, Cape Town, Afrika Selatan
(xiv) Street Kids Welfare Programme, Mitchel’s Plain, Cape Town, Afrika Selatan
(xv) Baikpulih Masjid Mohiyudheen, Payyannur, Kerala, India dan Masjid Al-Rahma, Azhikode, India
(xvi) Islamic Studies Programme, Le High University, Pennsylvania, United States of America

E. ANUGERAH / PENGHARGAAN / PINGAT YANG DIPEROLEHI
(i) Tokoh Maal Hijrah 1429H oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
(ii) Panglima Setia Mahkota (Tan Sri) - Persekutuan
(iii) Dato’ Setia Mahkota Kedah (Dato’) – Kedah
(iv) Pencalonan ‘Top 20 Progressive Asians’ oleh majalah World Business (20 Mei 2007)
(v) Muzium Kesenian Islam - IRCICA Award daripada OIC Research Centre for Islamic Culture & Art (2003)
(vi) Muzium Kesenian Islam – Montblanc Arts & Patronage Award daripada Paris-based Montblanc Cultural Foundation (2003)
(vii) ‘Malaysia’s Chosen One’ – Majalah Time (2002)



Khutbah Jumaat - 12 JUN 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "


MERANCANG KEHIDUPAN HAKIKI
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: "MERANCANG KEHIDUPAN HAKIKI".

Muslimin yang dirahmati Allah

Di hari yang mulia ini, Minbar Jumaat ingin mengingatkan kepada para jemaah sekalian betapa pentingnya kita merancang kehidupan hakiki iaitu kehidupan akhirat. Sedarilah bahawa kehidupan dunia bukanlah kehidupan hakiki dan ia diibaatkan perhenttian seorang musafir buat seketika untruk sampai ke tempat tujuannya. Justeru itu, setiap saat kematian sentiasa menghampiri kita untuk menuju ke alam akhirat. Sesungguhnya kematian tidak mengenal usia dan tidak mengenal kedudukan. Ia boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana juga tanpa kita menyedarinya. Oleh itu, kita perlu sentiasa memuhasabah diri dan seterusnya mempersiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian untuk menuju kehidupan hakiki. Persiapan awal ini amat penting bagi setiap muslim kerana peluang kehidupan di dunia yang dikurniakan Allah taala bagi setiap insan hanyalah sekali sahaja dan tiada lagi peluang kedua.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. banyak merakamkan kisah-kisah penyesalan orang-orang kafir musyrik di alam barzakh dan alam akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya kerana mereka telah diberikan peringatan demi peringatan oleh para nabi dan rasul namun mereka mengingkarinya. Sebagai contoh, firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 27-30:

Maksudnya : “Dan perihal hari orang yang zalim menggigit kedua tangannya sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mengambil jalan bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si anu itu menjadi sahabat karib. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Qur'an ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”

Perlu diinsafi bahawa antara ciri-ciri muslim yang bijaksana ialah muslim yang sentiasa melakukan muhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian. Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : “Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).”
Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.

Rasulullah s.a.w telah memberikan panduan kepada umatnya melalui hadis baginda satu panduan untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam barzakh. Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

Muslimin yang di rahmati Allah,

Hadis tersebut menjelaskan kepada kita bahawa terdapat tiga amalan utama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim semasa hidupnya di dunia, sebagai bekalan menuju ke alam akhirat. Amalan pertama ialah sedekah jariah atau membelanjakan harta pada jalan Allah.
Perlu difahami bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan hanya terhad kepada membelanjakan harta di jalan jihad Fisabilillah, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma, mewakaf, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat, serta apa-apa sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.

Muslimin yang di rahmati Allah,

Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi mau pun uhkrawi kerana islam adalah ad-din yang mengimbangi antara keperluan dunia dan akhirat. Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan Allah S.W.T. telah mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Hanya dengan ilmu sahajalah seseorang muslim dapat memantapkan iman dan mempertingkatkan amal soleh serta mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah S.W.T. Baginda Rasululah S.A.W. pernah menyatakan kelebihan ilmu melalui hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh at-Termizi yang bermaksud:

“ Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”

Dan amalan ketiga yang pahalanya berterusan sehingga ke alam akhirat ialah doa kebaikan seorang anak yang soleh setelah ibu atau bapanya meninggal dunia. Alangkah beruntungnya ibu bapa, yang mampu mendidik anak-anaknya sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada Allah S.W.T. Dalam masa yang sama, anak-anak juga diasuh supaya menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah di antara ciri- ciri anak soleh yang memiliki kekuatan rohani dan kehebatan jasmani yang doanya amat bernilai kepada kedua orang tua. Sesungguhnya anak yang soleh adalah pelaburan jangka panjang, yang amat berharga kepada kedua ibu bapa apabila mereka meninggal kelak. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan dalam sabdanya diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud:

“ Orang yang mati dalam kuburnya tidak ubah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada bapanya, saudaranya ataupun sahabat handainya. Jika sampai doa kepadanya, maka itulah yang amat disukainya berbanding dengan segala isi dunia. ”

Muslimin yang di rahmati Allah,

Demikianlah antara beberapa amalan soleh yang perlu diamalkan sebagai persiapan menuju kehidupan hakiki. Sedarilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara dan kehidupan hakiki adalah di akhirat. Justeru, sebelum terlambat bersegeralah kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan dan dalam masa yang sama menjauhkan daripada segala kemungkaran serta bersungguh-sungguh mendidik anak-anak agar menjadi insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa.

Maksudnya : Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa;











Khutbah Jumaat - 07 Ogos 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "
"SYA’BAN BERKAT MU DIBURU"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Kehidupan di dunia seseorang insan bermula dari detik kelahirannya sehinga ke saat kematiannya. Dalam kehidupan itu, manusia merentas berbagai ketika dan waktu. Ada orang yang tidak mengambil peduli dengan peredaran ketika dan waktu, baginya tidak ada apa-apa kelainan, sedangkan Allah s.w.t mencipta ketika dan waktu dengan kepelbagaian kelebihan dan fadhilat antara satu dengan yang lain.
Kepedulian dan kepekaan kita terhadap kelebihan satu-satu masa atau waktu mendorong kita memanafaatkannya, dengan menggandakan amalan padanya dengan harapan mendapat gandaan pahala yang dijanjikan. Sebaliknya kita sangat rugi jika waktu tertentu itu berlalu begitu sahaja. Firman Allah s.w.t di dalam surah A-Asr ayt 1- 3:
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian - kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar."
(Al-Asr ayat 1- 3)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita kini berada dalam bulan Sya'ban. Kehadirannya membawa banyak keistimewaan dan kelebihan. Kelebihan bulan ini dapt kita saringkan daripada ibadah Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terangkul di dalam beberapa hadis.
Marilah sama-sama kita hayati beberapa riwayat agar kita ketahui fadihlat dan kelebihan bulan Sya'ban dan merasa terpanggil untuk mencontohi Rasulullah s.a.w dalam penghayatn bulan yang mulia ini.
Saidatina Aishah r.a ada menyatakan:
"Adalah Rasulullah s.a.w berpuasa sehingga kami berkata baginda tidak berbuka dan baginda s.a.w.berbuka sehingga kami mengatakan baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa lebih banyak dari bulan Sya'ban."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sekumpulan umala' di antaranya Ibnu Al-Mubarik dan lain-lain lagi mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak sepenuhnya berpuasa seluruh bulan Sya'ban, tetapi beginda berpuasa sebahagian besar daripada hari-hari di bulan Sya'ban. Ini disokong dengan apa yang diriwayatkan dari Aishah r.a:
"Aku tidak pernah ketahui baginda berpuasa penuh sebulan kecuali Ramadhan."
(Riwayat Muslim)
Abu Dawud meriwayatkan dari Aishah r.a:
"Bulan yang paling Rasulullah s.a.w gemar berpuasa adalah bulan Sya'ban, kemudian baginda menyambungkannya dengan Ramadhan."
(Abu Dawud)
Para Jumaat yang dirahmati,
Dari riwayat tadi, jelas kepada kita bahawa baginda s.a.w sangat mencintai bulan Sya'ban dan banyak berpuasa di bulan tersebut selain bulan Ramadhan. Ini tentulah bulan itu sangat istimewa dan banyak kelebihannya.
Para hadirin yang berbahagia,
Amal soleh hamba diangkat kepada Allah s.w.t dalam bulan Sya'ban. Telah dikeluarkan oleh Al-Imam Ahmad dalam Musanadnya daripada Asmah bin Zaid berkata yang bermaksud:
Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, "Ya Rasulullah! Aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasa mu di bulan Sya'ban di dalam lain-lain bulan?." Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Itulah bulan (Sya'ban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada tuhan pemilik sekelian alm. Maka aku amat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan aku pada masa itu sednag berpuasa."
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Kita seharusnya teruja dengan sunah dan amalan Rasulullah s.a.w. Ambillah kesempatan dari kehadiran Sya'ban ini dengan mempertingkatkan amalan kita terutamanya dengan berpuasa. Kita juga inginkan amalan kita diangkat ke hadirat Allah s.w.t dalam keadaan kita berpuasa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Selain dari puasa sunat, ada lagi amalan lain yang digalakkan dalam bulan Sya'ban, antaranya bertaubat dan beristigfar, malah amalan ini dituntut juga sepanjang masa.
Taubat adalah pembersihan rohani. Kita sebagi manusia yang tidak Maksum, sangat perlu menjalani proses pembersihan rohani ini, agar hubungan kita dengan Allah s.w.t sentiasa berada dalam keredhaanNya.
Bagi memperolehi taubat Nasuha, terlebih dahulu syarat-syaratnya perlu diikuti:
1- Meninggalkan perbuatan dosa atau maksiat itu.
2- Merasa sangat menyesal dan bersalh terhadap dosa-dosa dan maksiat yang telah dilakukan.
3- Berazam dan berjanji tidak akan kembali mengulanginya lagi.
Kiranya kesalahan dilakukan sesama hamba atau ada kaitan dengan hak orang lain, maka selain perkara-perkara yang telah disebutkan diikuti, hendaklah hak orang lain itu dibersihkan.
Manakala beristigfar pula ialah peryataan memohon keampunan Allah s.w.t dari semua dosa. Pernyataan yang biasa dilafazkan ialah "Astagfirullahal Azim" bermaksud:
"Aku memohon ampun kepada Allah yang maha agung."
Amalan lain lagi yang digalakkan ialah memperbanykkan zikir dan doa. Ini kerana banyak faedah yang diperolehi dari berzikir, antaranya:
  1. Menenangkan hati. Firman Allah s.w.t:
"(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."
(Ar-Raad ayat 28)
2. Kawalan diri dan mendapat perlindungan Malaikat dari kejahatan.
3. Terpelihara dari gangguan dan godaan Syaitan.
4. Meningkatkan rasa kecintaan kepada Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Malam Nisfu Sya'ban (malam 15 Sya'ban) adalah antara malam-malam yang dimakbulkan doa. Saidina Muaz bin Jabal r.a ada menyatakan, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Allah menurunkan rahmatnya kepada semua makhluk di malam Nisfu Sya'ban, maka diampunkan dosa sekelian makhluk kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
(Hadis riwayat Abnu Majah, At-Tibrani dan Ibnu Hibban)
Imam Syafie rahimahullah dalam kitabnya Al-Ummu ada menyatakan:
"Sesungguhnya doa dimakbulkan pada lima malam, iaitu malam Jumaat, malam Aidul-Adha, malam Aidul-Fitr, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Sya'ban"
Hadirin yang berbahagia,
Menghayati hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menyentuh kelebihan bulan Sya'ban, dapat kita ketahui:
  1. Rasulullah s.a.w mengalakkan kita melakukan ibadah khusus di bulan Sya'ban seperti solat sunat, puasa sunat, bersedekah dan lain-lain secara berterusan (Istiqamah) walupun sedikit.
  2. Rasulullah s.a.w menerangkan kepada kita bahawa ada ketika dan waktu tertentu yang mempunyai kelebihannya tersenditi. Seharusnya kita mengetahuinya dan bijak pula memanafatkannya untuk meraih keredhaan Allah s.w.t. Contohnya seperti bulan Sya'ban.
  3. Memberi kesedaran kepada kita betapa pentingnya pengurusan masa dan memanafaatkannya dengan penuh bijaksana bagi mengasilkan kesan yang maksimum menerusi pelaksanaan ibadah yang berkualiti.
Hadirin yang berbahagia,
Pada bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita memperbanyakan amalan-amalan sunat sebagaimana yang telah digalakan oleh Rasulullah s.a.w. Disamping itu juga, inilah peluang untuk kita mengada'kan amalan-amalan puasa yang tidak dapat kita sempurnakan sebelum ini. Semoga dengan amalan-amalan tersebut dapat mengukuhkan lagi hubungan kita sebagi hamba terhadap khaliknya.
Sesungguhnya keunggulan hubungan hamba dengan khaliknya, menjanjikan ganjaran nikmat dan rahmat yang tersangat banyak, apatahlagi jika hamba itu mengetahui ketika dan waktu yang paling Afdal beribadah di dalamnya. Sya'ban adalah antara ketika dan waktu itu. "Sya'ban Berkatmu Diburu."
"Dengan Yang demikian, sesiapa Yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan Sesungguhnya Kami tetap menulisnya."

Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

" ARchiteCTURE for LIFE "

*Artikel lama, dicadangkan untuk pembacaan.
http://drmaza.com

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.


Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.
Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.
Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.
Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.
Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?
Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.
Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.
Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.
Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.
Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).
Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:
“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).
Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.
Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:
“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).
Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:
“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.
Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:
“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).
Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Melayu Dan Mamak Penang

" ARchiteCTURE for LIFE "

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
http://drmaza.com

Isu perarakan maulid di Pulau Pinang menjadi kecoh. Ramai wartawan menghubungi saya bertanya tentang hukum perarakan maulid Nabi s.a.w itu. Ia sangat menarik. Sejak sekian lama orang Melayu berarak barangkali mereka terlupa bertanya asal-usul perarakan tersebut.

Banyak isu-isu yang akhir ini menjadi universiti terbuka untuk rakyat. Ya, seperti mana yang kita tahu bahawa sejarahwan Islam sepakat baginda Nabi s.a.w lahir pada Hari Isnin, cumanya mereka berbeza pendapat tentang tarikh lahir baginda s.a.w. Kita biasanya mendengar disebut pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal. Namun ramai pengkaji yang menyatakan bahawa tarikh sebenar maulid baginda ialah pada 9 Rabi’ul Awwal.

Antara yang berpegang dengan tarikh ini al-Syeikh Safiyy al-Rahman al-Muabarakfuri iaitu penulis kitab Sirah terkenal Rahiq al-Makhtum. Di samping di sana ada beberapa tarikh lain yang disebut oleh pengkaji sejarah yang lain. Kegagalan untuk memberikan tarikh yang disepakati itu antaranya berpunca dari para sahabah, tabi’in dan tabi al-tabi’in atau disebut generasi salafus soleh tidak merayakan Maulid Nabi s.a.w.
Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada ‘Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya.
Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris:
“Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga.
Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan generasi kemudian menyeleweng” (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan).
Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain.
Tanpa syak umat Islam berbangga dengan kedatangan Nabi s.a.w. Kelahiran yang membawa kebahagiaan dan rahmat kepada dunia sejagat. Cumanya, dalam proses mengelakkan persamaan di peringkat itu mereka tidak mengadakan sebarang perayaan khas. Bukan bererti mereka tidak menghargai. Sebaliknya generasi Salafussoleh merupakan zaman yang paling menghormati, mengikuti dan menghargai Nabi s.a.w.

- Gambar Hiasan
Mereka terjemahkan itu semua dalam tindakan dan perbuatan mereka. Mereka mengamalkan sunnah baginda dan menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang ditegakkan oleh baginda. Hakikatnya, mereka merayakan pengutusan Nabi s.a.w sebagai rasul sepanjang hayat mereka. Namun apabila muncul zaman Kerajaan Syiah Fatimiyyah di Mesir, perayaan Maulid Nabi s.a.w secara besar-besaran diadakan. Sebab itu dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s.
Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian ia dihidupkan oleh beberapa pemerintah yang lain. Para ulama pula berbeza pendapat tentang hal ini. Ada yang membantah habis-habisan. Ada pula yang mengizinkan dengan bersyarat tidak mengadakan sebarang ibadah baru sempena Maulid, iaitu seperti solat Maulid, atau puasa maulid, atau seumpamanya. Sudah pasti mengingati maulid dengan mempelajari Sirah baginda, berdiskusi mengenainya dan mengingatkan tentang kepentingan menghayati perjuangan baginda, tidaklah salah.
Adapun Kerajaan Fatimiyyah, mereka mempunyai agenda politik yang tersendiri. Mereka ingin berkempen kepada kekuatan aliran syiah mereka. Beberapa pemimpin sunni kemudiannya mengadakannya juga atas berbagai tujuan yang lain. Ia berlangsungan dalam kebanyakan negara sehingga dibawa ke negara kita ini.

- Gambar Hiasan
Melihat kepada sejarah perayaan maulid, maka jelas bahawa isu perarakan bukan isu pokok dalam ajaran Islam. Ia sangat sampingan. Bahkan perayaan itu sendiri antara amalan yang menimbulkan pro dan kontra sepanjang sejarahnya. Tidak mengadakan maulid tidak menjejaskan sebarang akidah atau amalan Islam. Tentu pasti, tidak berarak maulid tidak memberikan apa-apa kesan kepada kehidupan seorang muslim.
Cumanya, kita agak terkejut mengapa soal Islam dan umatnya cuba diuruskan oleh seorang pemimpin yang bukan Islam. Ini menimbulkan berbagai persoalan. Saya tidak fikir Ketua Menteri Pulau Pinang sampai ke peringkat perbahasan ilmiah seperti yang disebut kebanyakan sarjana tentang amalan maulid ini. Maka, apakah tujuannya? saya tidak jelas.
Namun masalah umat Islam Pulau Pinang lebih besar dari tidak dapat berarak maulid. Tidak berarak maulid bukan masalah. Apa yang menjadi masalah mereka terpinggir dan seakan ada usaha ingin menghalau mereka keluar dari pulau itu sejak sekian lama. Keadaan yang dicipta yang menghimpit kehidupan mereka di pulau tersebut sehingga mereka yang berkerja di situ lari mencari penempatan di Seberang Perai, atau Kulim dan Sungai Petani, Kedah.
Lonjakan harga rumah dan pengkhianatan sesama agama dalam pengurusan tanah dan harta telah bermula sejak sekian lamanya. Sebahagian yang bertempik sakan hari ini kononnya membela melayu Pulau Pinang, tangan mereka juga tidak lebih bersih daripada tangan-tangan kotor yang ada pada hari ini.
Bukan baru, atau setahun dua melayu terpinggir. Sudah lama. Malang sebuah negeri yang pernah dalam satu masa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang berasal darinya, tetapi umat Islam negeri tersebut sedang dihambat oleh suasana, rencana dan pengkhianat ‘orang lain’ dan sesama bangsa.

Sultan Muhammad Jiwa telah menjual Pulau Pinang kepada Inggeris. Di situ segala bermula. Cumanya, disebabkan suasana yang lebih bebas dari kongkongan pemikiran feudal, negeri ini sejak dahulu terkenal dengan melahirkan atau memberi ruang kepada tokoh pemikir dan orang yang petah berbicara.
Saya puji bukan kerana saya orang Pulau Pinang. Semaklah sendiri. Namun ternyata, hambatan kuasa ekonomi lebih kuat dari ketajaman fikiran dan kepetahan lidah. Pemikiran-pemikiran yang baik pun tidak mampu menghadapi kekuatan dan pengkhianatan sesama bangsa atau agama. Bukan perarakan maulid yang menentukan survival ‘melayu Pulau Pinang’. Ya, ‘survival melayu’. Itulah bahasa yang sering mereka gunakan “melayu Pulau Pinang”. Saya antara orang kurang selesa dengan perkataan perkauman yang seperti itu. Sebutlah ‘umat Islam Pulau Pinang’. Dada agama jauh lebih luas dari kesempitan bangsa. Insan boleh menjadi muslim walaupun dia dilahir tidak muslim.
Namun, seorang bukan melayu tidak boleh bertukar menjadi melayu. Isu bangsa sentiasa sempit. Isu Islam sentiasa luas dan memberi rahmat untuk semua. Hakikatnya, yang mengangkat sedikit sebanyak nama orang Islam di Pulau Pinang bukanlah melayu tetapi ‘India Muslim’ Pulau Pinang. ‘Depa panggil mamak’.
Kedai mamak nasi kandar dan kedai emas ‘keling’ (india muslim) yang menyebabkan kita dapat melihat orang Islam berniaga di Pulau Pinang. Bukan tiada peniaga melayu tulen, tetapi tidak begitu banyak. Alhamdulillah, mamak Penang sudi untuk mereka dipanggil ‘orang melayu’. Maka, masih terdengarlah kewujudan melayu Pulau Pinang.

- Gambar Hiasan
Sudah lama isu bangsa cuba diangkat. Cukuplah wahai melayu semua parti politik. Kekuatan kita ialah Islam. Berjuanglah atas semangat Islam. Ia lebih merangkumi setiap individu dan lebih adil untuk semua insan. Melayu Pulau Pinang tidak akan bangkit sekadar perarakan maulid. Sudah sekian lama kita berarak, apa hasilnya?! Dapat kita beli tanah, lot kedai dan rumah di Pulau Pinang lebih banyak?!
Kembali melihat isu dengan kefahaman Islam yang tulen dan merancang sebagai seorang muslim, bukan sekadar seorang melayu. Orang lain merancang, kita juga mesti merancang. Kita mengharapkan kekuatan semangat Islam dan pertolongan Allah, bukan sekadar semangat bangsa dan keris Hang Tuah
Related Posts with Thumbnails