" ARchiteCTURE for LIFE "
Assalamualaikum w.b.t...
Apa khabar kalian hari ini? semoga sihat sejahtera dan sentiasa berada di dalam lembayung kasih Allah SWT...
InsyaAllah hari ni mahu membincangkan serba sedikit tentang pertunangan. Yang mana mungkin ramai yang tidak memahami erti pertunangan sebenarnya. Mungkin dirinya sudah menjadi pinangan orang tanpa disedari. Diharapkan rakan-rakan dapat membaca artikel di bawah sampai habis.
TAKRIF PERTUNANGAN
Ulama dari mazhab Maliki (Hatab):
Pertunangan adalah satu ungkapan untuk menyeru kepada pernikahan dan apa-apa yang berlaku dari perbualan.
Ulama dari mazhab Shafie (Umairah):
Pertunangan adalah menyentuh (mengemukakan) pernikahan daripada orang yang diambil kira dengannya.
Daripada takrif pertunangan di atas dapatlah kita ketahui bahawa pertunangan ini adalah semata-mata satu perjanjian di antara dua pihak (pihak lelaki dan pihak perempuan) untuk melangsungkan perkahwinan. Pertunangan bukanlah satu akad seperti pernikahan dan memutuskan pertunangan dengan sebab-sebab tertentu bukanlah suatu kesalahan.
PERTUNANGAN DI SISI SYARAK
Terbahagi kepada lima cara:
- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada seorang perempuan secara langsung.
- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali perempuan.
- Menggunakan pihak ketiga untuk meminang.
- Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki soleh.
- Perempuan menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.
Sekiranya kedua-dua pihak telah bersetuju dan menerima (menggunakan salah satu cara di atas) maka ini adalah sudah dikira bertunang di sisi syarak.
PERTUNANGAN DI SISI ADAT
Kebiasaannya pihak lelaki akan memberikan barang-barang hantaran ke rumah pihak perempuan pada majlis pertunangan yang telah ditetapkan. Kemudian perempuan akan disarungkan cincin di jari manisnya sebagai tanda sudah bertunang. Maka pihak perempuan akan menetapkan dan membincangkan hantaran untuk perkahwinan berdasarkan status seseorang perempuan itu. Dan diakhiri dengan bacaan doa dan sedikit jamuan ringan. Majlis pertunangan ini diadakan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bertunang selepas adat merisik.
Pemberian cincin semasa pertunangan adalah suatu adat yang diamalkan di Malaysia (mungkin diambil dari warisan orang bukan Islam) dan ia bukanlah satu syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Namun ia tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya pemberian cincin itu diberikan sekadar tanda pertunangan selagimana tidak menyalahi syariat. Perlu diketahui bahawa menganggap perbuatan menanggalkan cincin sebagai tanda pertunangan diputuskan maka ia adalah bercanggah dengan Islam.
HEBAHAN PERTUNANGAN
Tidaklah digalakkan menghebahkan pertunangan sepertimana perkahwinan. Pada pendapat saya bahawa hebahan pertunangan sekadar perlu adalah terletak di atas budi bicara keluarga masing-masing. Adapun hebahan tentang perkahwinan adalah digalakkan (sunat) oleh Islam dan menghadirinya adalah wajib.
WAKTU PERTUNANGAN
Berkaitan dengan pertunangan yang lama - pada pandangan saya ia terletak di atas diri kedua-dua pihak yang bertunang untuk menentukannya. Sekirannya kedua-dua (peminang lelaki dan perempuan) mampu melaluinya dan bersedia dalam tempoh masa pertunangan yang panjang maka tidaklah mengapa. Namun pertunangan yang panjang mungkin membawa sedikit masalah dari pengalaman beberapa orang kenalan saya.
Wallahua'lam.
oleh: Ustaz Muhammad Rashidi Bin Haji Wahab*
Selepas aku membaca artikel ni, aku baru tersedar mudah sekali terjalin sebuah pertunangan kalau di ikutkan istilahnya di sisi syarak. Mungkin ramai lelaki atau wanita yang sebenarnya telah menjadi tunangan orang tanpa di sedari. Untuk lebih yakin, aku bertanya kepada seorang ustazah tentang perkara ni.
"Macam mana kalau seorang lelaki pernah menyampaikan hasrat pada seorang perempuan, dan perempuan itu terima tapi tidak dilangsungkan majlis pertunangan seperti mana yang ada dalam adat melayu, kira sah lah mereka sudah bertunangan mengikut syarak kan?"
"Ya, kalau di ikutkan syarak mereka berdua memang sudah bertunang"
"Maknanya haramlah bagi seorang lelaki muslim lain masuk meminang perempuan tu?"
"Ya, sebab tu bila ada orang merisik atau nak masuk meminang perlu bertanya dulu kepada empunya badan. "
Terdapat sebuah hadis daripada Ibnu Umar r.a. sabda Rasulullah SAW:
"Jangan ada di antara kamu yang menjual atas jualan orang lain dan juga jangan ada di antara kamu yang meminang terhadap pinangan orang lain."
Ingatlah rakan-rakan sekalian, pertunangan bukan bermakna, si dia telah dihalalkan untuk diri sendiri. Pertunangan hanyalah ikatan yang masih belum menghalalkan si dia buat diri sendiri. Si dia tetap bukan mahram. Oleh itu, peliharalah sebaiknya adab-adab batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh syarak.
Dr.Yusof Al Qardawi (Fatawa Muasoroh) berkata:
" selama mana akad kahwin (ijab dan qabul) belum ditunaikan oleh tunang laki dan tunang wanita (belum sah nikah / kahwin mereka mengikut 'uruf -adat, syarak dan undang-undang), maka keadaan masih seperti hukum asal.
Iaitu:-
1. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk berkhalwat(berdua-duaan sehingga menimbulkan fitnah) dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya.
2. Tidak halal dan haram bagi makhtubah (tunang wanita) untuk bermusafir atau melancong dengan khatibnya (tunang lelaki) KECUALI bersama-sama mahtubah (tunang wanita) itu ada salah seorang mahramnya seperti ayahnya atau abangnya."
*** mahram == mahram-orang yang diharamkan nikah /kahwin dengannya (denganwanita itu)*** 'uruf == adat yang masyhur dipegang di sesuatu tempat.
source: http://piuhdebu.blogspot.com
Saturday, January 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
assalamualaikum,
saya ingin tahu,apakah hukumnya pula sekiranya lelaki yang telah bertunang mahu bernikah dengan wanita lain iaitu bukan tunang nya.adakah pernikahan itu sah?
Post a Comment