Dari zaman Rom lama hingga milenium baru, seni kaca berwarna terus menjadi pilihan dalam mempamerkan keindahan dekorasi.
TIDAK ada yang lebih menarik perhatian apabila melawat gereja Canterbury Cathedral di England yang dibina pada kurun ke-13 terutama hiasan ukiran kaca berwarna yang terdapat di dinding serta bumbungnya.
Malah keindahan dan misteri di sebalik kaca-kaca berwarna itu turut dikongsi oleh banyak bangunan bersejarah lain seperti tingkap Se Velha de Coimbra di Portugal, Sainte-Chapelle, Paris dan St. Andrew's Cathedral, Sydney.
Dahulu, seni kaca berwarna sering digunakan sebagai hiasan pada masjid, gereja dan bangunan komersial, namun tahun 2010 bakal memperlihatkan dominasi kaca ini pada kediaman pula.
Menurut Pengarah AGR Reno Sdn. Bhd., Jane Loh, 45, peralihan mood kediaman daripada penggunaan material fabrik dan kayu kepada kaca berwarna semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.
"Kalau dahulu ia hanya terhad pada tingkap dan dinding, kini seni hiasan kaca berwarna meliputi hampir setiap inci hiasan rumah," katanya yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama 10 tahun.
Selain tingkap, ia turut digunakan pada pemegang pintu dan tangga, dapur, ukiran kaligrafi, kertas dinding dan hiasan laluan pejalan kaki di taman.
Jelas Jane, kaca bukan sahaja tahan lama malah penyelengaraannya juga sangat minimum daripada pelbagai aspek.
"Cap jari serta habuk sukar melekat pada kaca berwarna ini. Malah untuk membersihkannya cuma perlu menggunakan kain lembab," katanya.
Setebal 12 milimeter
Bagi mereka yang muak menggunakan langsir sebagai penghadang cahaya, kaca berwarna juga merupakan alternatif yang baik selain bidai buluh.
|
|
Terang Jane, untuk tingkap, sejenis fabrik khas akan dimasukkan di antara lapisan kaca bagi menghalang pancaran matahari daripada menembusi tingkap secara terus.
"Jadi, rumah tetap sejuk dan tampak lebih unik dan santai," katanya sambil menunjukkan beberapa rekaan cermin berwarna yang telah dihasilkannya.
Menyentuh mengenai pemilihan corak, rekaan dan saiz, Jane memberitahu ia bergantung kepada cita rasa pembeli.
Cermin yang digunakan juga sangat kukuh. Dengan ketebalan 8, 10 dan 12 milimeter, cermin ini mampu menggantikan jeriji tingkap dan pintu.
Terdapat pelbagai kategori dalam menghasilkan seni kaca ini dan semuanya mempunyai kelebihan dan fungsi.
"Sebagai contoh, sekiranya anda mahu mengaplikasikan kaca sebagai barang hiasan seperti pemegang pintu, kaca fused lebih sesuai digunakan," kata Jane.
Kaca fused mengandungi silika manakala proses menyusun lapisan demi lapisan mengikut warna dan corak yang dikehendaki adalah berdasarkan kaedah kontemporari.
Susunan itu kemudian dimasukkan ke dalam ketuhar pembakar lalu dipanaskan secara berperingkat sehingga setiap lapisan tersebut bersatu.
"Secara kasar, suhu bagi membentuk kaca fused ialah sekitar 815 darjah Celsius dan disejukkan perlahan-lahan hingga ke suhu 573 darjah Celsius bagi mengelakkannya daripada menjadi rapuh.
Motif
"Proses penyejukan itu akan melalui tiga peringkat dan mengambil masa selama 10 hingga 12 jam," ujar Jane.
Menyentuh mengenai trend terkini, Jane menyatakan ukiran timbul dan tiga dimensi amat digemari kerana corak, warna serta ukirannya lebih hidup.
"Lebih daripada itu, ia lebih bersinar tidak kira siang atau malam. Ia juga direka untuk tahan terhadap cuaca panas di Malaysia," jelas Jane.
Tambah beliau, tidak banyak perbezaan kualiti rekaan yang dibuat oleh rakyat tempatan dan luar negara walaupun negara Barat lebih mendominasi seni itu.
Sebabnya, tegas Jane, setiap negara atau rekaan mempunyai motif dan identiti tersendiri. Ia turut bergantung kepada kreativiti individu terbabit.
Selain itu, transisi ketara yang boleh dilihat pada rekaan cermin warna berukir ialah penggunaan subjek pada rekaan.
"Jika pada kurun ke-15 hingga 16, kebanyakan rekaan bermotifkan unsur hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
"Namun, kreativiti sekarang berkembang dengan penggunaan subjek geometri serta abstrak," katanya. - SHANIKA ABDULLATIB
No comments:
Post a Comment