Sunday, January 24, 2010

Khutbah Jumaat - 22 Januari 2010

" ARchiteCTURE for LIFE "

KEPENTINGAN ILMU
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah Subnahu Wata'ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah SWT.
Ilmu pengetahuan pada masa kini menjadi satu keperluan yang amat mustahak bagi sesebuah negara termasuk negara kita, dalam usaha untuk memaju dan menjana pembangunan negara. Tanpa ilmu, keupayaan untuk memajukan negara adalah amat sukar malahan akan menjejaskan apa jua bentuk kemajuan yang telah dirancang. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan, tanpanya siapalah kita. Dunia kini lebih mengutamakan ilmu pengetahuan. Jika bangsa kita tidak berilmu kita akan jauh ketinggalan, malah akan dipandang hina oleh bangsa-bangsa lain.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al-Mujadalah ayat ke 11 ;
Maksudnya ;
"... Nescaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan".
Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala lebih memuliakan hamba-hamba-Nya yang beriman dan berilmu berbanding hamba-hamba-Nya yang lain. Ibnu Abbas radhiallahu ‘Anhu menyatakan bahawa perbezaan ketinggian darjat di antara orang-orang berilmu dengan yang lainnya di kalangan orang-orang beriman adalah sebanyak tujuh ratus darjat di mana jarak bagi setiap darjat adalah seumpama langit dengan bumi. Demikianlah mulianya kedudukan orang-orang yang memiliki ilmu pengetahuan.Kita melihat dengan jelas betapa ilmu itu amatlah penting untuk diteroka dan didalami. Mendalami ilmu bukan sekadar secara akademik ataupun ilmiah tetapi lebih menjurus kepada penghayatan ilmu itu sendiri, ke arah mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.  Ini adalah kerana tanpa penghayatan ilmu tidak akan memberikan hasil yang baik di dalam pembentukan jiwa peribadi muslim sejati. Jiwa manusia perlu dibangunkan dengan ilmu yang dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana juga manusia memerlukan makanan dan minuman untuk terus hidup dan beribadat kepada-Nya.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Faatir ayat ke 28 ;
Maksudnya ;
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah maha kuasa, lagi maha pengampun".
Persoalannya, apa yang kita dapati pada hari ini adalah perlanggaran perintah Allah Subhanahu Wata'ala bukan sahaja berlaku di kalangan orang-orang yang tidak berilmu tetapi juga di kalangan mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Isu-isu rasuah, penyelewengan kuasa dan sebagainya banyak berlaku dalam kalangan orang yang berilmu. Di manakah silapnya?. Salahkah guru yang mengajar? Atau mungkinkah sifat keikhlasan tidak pernah diterapkan ke dalam jiwa mereka?. Oleh kerana itu, penghayatan terhadap ilmu pengetahuan adalah amat penting untuk melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Memang benar kita mempunyai ramai ilmuwan yang dilahirkan oleh beberapa universiti atau institusi-institusi pengajian tinggi, tetapi itu bukan bermakna kita sudah mempunyai segala-galanya. Ilmu mestilah dituntut, dipelajari dan disebarkan kepada orang lain supaya semua golongan manusia akan mendapat manfaatnya. Ilmu bukanlah milik peribadi tetapi  adalah amanah Allah Subhanahu Wata'ala yang mesti disampaikan kepada manusia.
Berbagai cara boleh digunakan untuk menyalurkan ilmu pengetahuan samada melalui ceramah atau kuliah, majalah atau akhbar, media elektronik dan lain-lain lagi. Sejak akhir-akhir ini juga kita dapati banyak aktiviti keilmuan yang dirancang oleh pihak masjid dan surau demi untuk memartabatkan ilmu itu sendiri di samping memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami  ilmu agama.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah At-Taubah ayat 122 ;
Maksudnya ;
"Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya."
Ayat di atas menjelaskan bahawa dengan menyampaikan ilmu dan peringatan-peringatan, manusia akan sentiasa berada di atas landasan sebenar dan menghindarkan diri daripada kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala. Di dalam satu riwayat yang lain, Saidina Ali bin Abi Talib Radhiallahu ‘Anhu pernah berkata kepada seorang lelaki katanya;
"Ilmu itu lebih baik daripada harta, ilmu menjaga kamu manakala kamu menjaga harta, ilmu merupakan hakim (pengadil) manakala harta yang dihukum. Harta berkurang jika digunakan manakala ilmu berkembang apabila disebarkan."
Apa yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib Radhiallahu ‘Anhu itu memberi maksud bahawa dengan memiliki ilmu pengetahuan, seseorang individu itu mampu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan sesuatu tindakan. Ini berbeza dengan orang yang tidak berilmu apabila tindakannya sering merugikan dirinya sendiri.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Di dalam Al-Quran, hadis-hadis nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan pandangan para sahabat banyak menceritakan perkara yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan kelebihan-kelebihannya. Antaranya ialah ;
1.           Ilmu yang dimiliki dan diamalkan akan berkekalan sedangkan harta tidak kekal dan akan susut apabila digunakan. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalan-amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya".                                        ( Muttafaqun alaih ).
2.           Allah Subhanahu Wata'ala telah memilih orang-orang berilmu beserta para malaikat menjadi saksi akan keesaan-Nya. Firman Allah Subnahu Wata'ala di dalam surah Ali ‘Imran ayat ke 18 yang bermaksud;
"Allah menerangkan bahawasanya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu, (mengakui dan menegaskan juga demikian); tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia yang mahaberkuasa lagi  kuasa lagi maha bijaksana".
3.           Ilmu merupakan pembuka jalan kepada orang-orang yang mempelajarinya untuk mendapatkan syurga Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud;
"Barangsiapa yang mencari jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan jalan untuknya ke syurga".              (Riwayat Muslim)
4.           Ilmu merupakan cahaya yang menyuluh jalan kepada hamba-hambaNya yang mencari petunjuk dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala. Begitu juga orang-orang berilmu yang diumpamakan oleh Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seumpama bulan terang yang mengambang di tengah malam.
Demikianlah sebahagian nas-nas sahih yang menjelaskan tentang fadhilat dan kelebihan ilmu dan juga orang-orang yang memiliki ilmu.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mu'awiyah Radhiallahu ‘Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud;
 "Sesiapa yang dikehendaki baginya kebaikan oleh Allah, dia akan diberikan kefahaman di dalam agama".
Hadis ini merupakan satu galakan daripada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada umatnya agar berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk kebaikan diri mereka sendiri. Ilmu yang dituntut itu haruslah diutamakan ilmu-ilmu yang berkaitan tauhid, usuluddin, syariah atau ilmu-ilmu yang seumpamanya yang dapat menghampirkan diri kepada Allah Subnahu Wata'ala.
Fenomena yang berlaku sejak kebelakangan ini dan sering diperkatakan adalah mengenai masalah kemerosotan disiplin terutamanya di kalangan pelajar sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti merokok, merosakkan harta benda awam, ponteng sekolah dan sebagainya amat berleluasa sekali dilakukan oleh golongan ini. Persoalannya, apakah ilmu yang mereka pelajari masih tidak cukup untuk menjadikan mereka baik Atau mereka sendiri yang tidak mahu menjadi baik?.
Oleh kerana itu, para ibubapa dan para guru di sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam soal pendidikan anak-anak. Ilmu-ilmu agama juga tidak harus dipinggirkan dalam usaha membentuk anak-anak ini menjadi insan yang baik dan cemerlang.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Satu hakikat yang tidak dapat kita nafikan ialah ilmu memainkan peranan yang amat penting bagi setiap muslim yang melaksanakan tuntutan kefardhuan di dalam Islam. Perkara-perkara yang berkaitan fardhu ‘ain seperti solat, puasa, zakat dan haji atau yang berkaitan fardhu kifayah seperti mengurus jenazah dan sebagainya, kesemuanya berhajatkan kepada ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan, seorang muslim dapat menunaikan kewajipan solat, puasa, zakat dan haji dengan betul dan sempurna. Dengan ilmu pengetahuan juga, perkara-perkara fardhu kifayah dapat diselenggarakan dengan baik. Cuba kita bayangkan, apa akan terjadi kepada mayat yang terbujur jika tiada seorang pun di kalangan kita yang mengetahui selok belok menguruskan jenazah?.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah ,
Imam Asy-Syafie Rahimahullah pernah berkata yang maksudnya;
"Sesiapa yang berkehendakkan dunia mestilah dengan ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan akhirat mestilah dengan ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya mestilah dengan ilmu.
Kesimpulannya, apa juga tujuan dan matlamat hidup manusia di dunia ini, samada mencari keuntungan dunia mahupun akhirat, mestilah mempersiapkan diri terlebih dahulu dengan ilmu. Tanpa ilmu manusia jahil. Tanpa ilmu manusia lemah. Dan tanpa ilmu juga manusia akan binasa.
"Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?. Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".                                                                     ( Az-Zumar ayat 9)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 22 Januari 2010

No comments:

Related Posts with Thumbnails