Sunday, January 24, 2010

ALAM DAMAI (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

Moden chic Jalan Masjid India

Tidak terbayang selama ini akan sebuah hotel bergaya elegan boleh muncul di tengah-tengah kesibukan jaringan jalan yang penuh dengan 1,001 ragam dan urus niaga masyarakat kelas umum.





USAH terkeliru atau terlepas langkah untuk ke pintu masuk hotel ini. Kalau berjalan dari Semua House ke siar kaki Jalan Masjid India di hadapannya, tangga ke ruang lobinya betul-betul bersebelahan dengan gedung tekstil Haniffa.
Lihat pada simbol bintang terang berbucu lapan di situ, itulah StarPoints Hotel Kuala Lumpur - suatu mercu tanda baru ibarat permata berharga di rentangan jalan tersebut.


KIRI ATAS: KEENAKAN kulinari Asia Selatan semakin dirangsang dengan suasana hiasan dalaman seperti ini di Restoran Kababish.
KIRI BAWAH: SAMBUTAN cita rasa kontemporari dan suntikan elemen lembut Asia menjadikan lobi hotel kelihatan istimewa.
KANAN: KERINGKASAN penataan gaya di bilik Superior.











Baru memulakan operasi sebulan yang lalu, konsep penginapan yang ideal untuk pengembara korporat dan kunjungan santai berorientasi keluarga ini adalah duplikasi bergaya bagi rangkaian StarHospitality Hotels and Resorts LLC Dubai di rantau sebelah sini.
Urusan daftar masuk yang selesa boleh dilakukan di lobinya yang direka khas dengan elemen rias dalaman pertembungan ilham kontemporari dan artistik Asia Selatan. Penerapan lantai kilat bercorak geometri yang digandingkan dengan kemasan kaca pada dinding dan siling dilihat berupaya menaikkan seri dan juga ilusi ruang.
Konsep penginapan
Melangkah ke ruang lif, malah ke setiap penjuru hotel, tetamu akan melihat sambutan warna-warni daripada penggunaan lampu gantung ala Maghribi. Penampilan itu langsung tidak kelihatan janggal apabila disatukan dengan susun pasang lampu moden yang mengikut hukum pencahayaan strategik.
Penerapan konsep sebegitu jelas mententeramkan pandangan mata dan mood kunjungan. Hasilnya adalah pencahayaan lembut untuk penginap yang segera mahukan suasana damai selepas meredah hiruk-pikuk dan kesibukan di persekitaran luar hotel.
StarPoints Hotel Kuala Lumpur menawarkan 137 buah bilik penginapan yang direka khusus dengan adunan idea moden chic. Daripada jumlah tersebut, terdapat 99 buah bilik Superior sedia menanti pengunjung, manakala selebihnya lagi merupakan bilik bertaraf Executive Deluxe.
Nilai istirehat dijelmakan secara nyata melalui pemilihan perabot berpotongan lurus yang disesuaikan mengikut pelan lantai bilik. Katil empuk bercadar kapas putih, kerusi lengan upholsteri, ruang utiliti dan meja kerja adalah antara pengisian yang digarap harmoni dalam warna-warna pastel dan tema organik.
Bagi bilik bertaraf Executive Deluxe dan Executive Suite, nilai tambah diwujudkan melalui kelengkapan bilik dan barangan komplimentari kamar mandi yang memadai. Ditambah dengan ruang gerak dan meja kerja yang lebih luas, sebarang agenda bisnes di ibu kota pasti terasa terbimbing.
Polisi dan keselesaan
Selain keputusan bijak bagi pemilihan dan letakan beberapa jenis pokok hiasan dalaman yang menghijau, turut dikenal pasti adalah tentang ketiadan tong sampah dan tempat melupus puntung rokok di bahagian hadapan pintu lif ataupun di laluan koridornya.
Ia sebenarnya adalah salah satu usaha pihak pengurusan untuk mencipta suasana bebas asap rokok di kebanyakan aras agar perkarangan hotel ini mesra keluarga. Keputusan itu juga difahamkan, selari dengan beberapa lagi polisi sihat hotel seperti tidak menghidangkan alkohol di restorannya.
Bercakap tentang keinginan menjamu selera, StarPoints Hotel mengajak tetamu mengunjungi dua buah restorannya iaitu Kababish dan juga Olive Garden. Biarpun tarikan kulinari tempatan berselerakan di banyak lokasi kawasan di luar hotel, dua restoran ini jelas mempunyai tarikan tersendiri.


KIRI: AURA selera santai buat pengembara kota di Olive Garden.
KANAN : HOTEL ini bakal menjadi pilihan bagi kunjungan keluarga dan korporat



Kababish di aras 14 menjadi tempat hidangan pelbagai menu eksotik untuk peminat kulinari Pakistan dan ala India, restoran yang mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 120 orang ini tampil memikat dengan rias dalaman yang berunsurkan pertembungan dunia Timur Tengah dan Asia Selatan.
Memikat pengunjung dengan aroma rempah yang kaya melalui sajian seperti kebab, tikka, achari, hari boti ayam dan udang anari, Kababish sememangnya perlu dituju bagi peminat menu berdaging dan cara hidangan panggang.
Bagi tujuan keraian tertentu seperti resepsi perkahwinan, pesta pelancaran, makan malam korporat dan sambutan hari lahir, kapasiti restoran ini boleh memuatkan sehingga 180 jemputan.


ATAS: SHISHA dan pastri akan jadi peneman di ruang makan terbuka Olive Garden.
BAWAH: PEMILIHAN perabot dan konsep susun atur ceria pasti membuatkan tetamu berasa selesa dan seronok.



Suasana di Olive Garden yang tampil dalam aura kontemporari moden lebih ditujukan kepada golongan tetamu yang berbeza keinginan selera mereka.
Kalau seseorang tidak mahu duduk di kerusi tinggi di bar sambil menghirup seleksi minuman teh dan kopi terpilih, mereka boleh memilih untuk bersantai di ruang terbuka untuk menikmati hidangan roti dan pastri ataupun menghisap shisha pelbagai perisa.
Sama ada di Olive Garden atau Kababish, sesiapa pun pasti tidak akan melepaskan peluang menghayati rentak kota dengan menghabiskan waktu di ruang pelantar terbuka. Kunjungan pada waktu malam ke bahagian tersebut pastinya saranan yang terbaik, lebih-lebih lagi bagi kunjungan kali pertama.

No comments:

Related Posts with Thumbnails