Friday, September 11, 2009

Khutbah Jumaat - 18 September 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

"PERSIAPAN MENYAMBUT EIDULFITRI DAN AMALAN SESUDAHNYA"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT.

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dimana sekalipun kita berada. Samada ketika kita bersendirian mahupun ketika bersama orang lain. Marilah kita memperbanyakkan zikrullah di sepanjang bulan ramadhan yang mulia ini. Mudah-mudahan dengan zikrullah ini akan dapat memberikan ketenangan dalam diri kita dan seterusnya dapat menyambut bulan ramadhan ini dengan penuh kesabaran.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah SWT.

Tidak berapa lama lagi, kita akan menyambut hari lebaran, yakni hari kemenangan bagi orang-orang yang telah menjalani ibadah puasa selama sebulan didalam bulan ramadhan. Lazimnya bagi kaum muslimin di tanahair kita saban tahun,setiap kali menjelang bulan syawal, mereka sibuk membuat persiapan untuk menyambut eidulfitri yang bakal tiba.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah SWT.

Amat malang sekali apabila setiap kali di penghujung bulan ramadhan, sebahagian kaum muslimin sudah mula mengosongkan masjid dan surau semata-mata kerana sibukdengan persiapan hari raya. Kalau ada pun yang tinggal hanyalah imam , bilal dan beberapa ahli jemaah yang istiqamah sehingga ke akhir bulan ramadhan. Sebahagian kaum muslimin ketika ini sudah mula membanjiri gedung-gedung besar untuk membeli persiapan hari raya sehingga tidak sempat pula untuk melaksanakan solat sunat tarawih di masjid atau di surau.

Persoalannya, apakah persiapan material ini lebih dituntut oleh syarak berbanding persiapan rohani didalam menyambut eidulfitri? Apakah peluang mendapatkan jualan murah lebih utama berbanding mendapatkan kelebihan malam-malam akhir di bulan ramadhan?. Perkara ini perlulah kita renungi bersama supaya bahagian akhir bulan ramadhan ini tidak berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian kerohanian.

Sidang jumaat yang dikasihi Allah,

Ingatlah apabila ramadan telah berlalu maka pintu-pintu syurga akan ditutup, pintu-pintu neraka akan dibuka. Manakala iblis dan syaitan yang dibelenggu di sepanjang bulan ramadhan akan dibebaskan semula. Maka ketika itu, disaat kaum muslimin meraikan eidulfitri, iblis dan syaitan akan mula mengorak langkah untuk terus menggoda dan menyesatkan umat manusia. Oleh kerana itu kaum muslimin seharusnya mempergunakan bahagian akhir ramadhan ini dengan membuat persiapan-persiapan yang dapat memperkukuhkan benteng ketahanan jiwa tatkala berhadapan dengan godaan syaitan kelak. Di antara persiapan penting bagi seorang muslim sebelum meninggalkan ramadhan dan menghadapi dugaan keimanan sudah itu.

Pertama: Memperbanyakkan Qiamullail di dalam bulan ramadhan terutamanya pada sepuluh malam terakhir. Amalan Qiamullail akan dapat membersihkan dan memantapkan lagi jiwa seorang muslim dan seterusnya akan dapat mengharungi segala macam dugaan dan godaan hidup di dunia ini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barang siapa mendirikan ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan oleh Allah baginya dosa-dosa yang telah lalu"

(Muttafaqun a'laih)

Para ulama menyatakan bahawa perkara utama yang termasuk dalam amalan-amalan dibulan ramadhan ialah solat sunat tarawikh. Begitu juga dengan Qiamullail yang menjadi amalan rutin nabi Muhammad SAW dan juga para sahabat r.a.

Kedua: Memperbanyakkan taubat kepada Allah SWT. Sedarilah wahai kaum muslimin bahawa kita tidak dapat memberikan jaminan puasa yang kita kerjakan di dalam bulan ramadhan ini akan diterima oleh Allah SWT atau sebaliknya. Sedarilah juga bahawa sebenarnya kita telah banyak melepaskan kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT untuk memperbanyakkan amalan di dalam bulan ramadhan ini. Maka dengan sedikit kesempatan yang amat berharga ini. Sekiranya kita masih merasai kekurangan amalan, marilah kita bertaubat kepada Allah SWT kerana sesungguhnya pintu taubat masih terbuka luas untuk hambanya yang beriman kepada Allah SWT sesungguhnya pintu taubat ini bukan hanya terbatas untuk orang-orang yang bersalah dan berbuat dosa sahaja, tetapi ia juga terbuka kepada orang-orang yang ingin mendapatkan keuntungan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisaa' ayat 17 yang bermaksud:

"Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah itu hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat ) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat" maka (dengan adanya dua sebab itu) maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya ; dan (ingatlah) Allah maha mengetahui, lagi maha bijaksana"

Selain daripada itu,dalam kegairahan untuk menyambut idul fitri juga, umat islam seharusnya tidak lupa akan kewajiban menunaikan zakat fitrah. Ini adalah kerana zakat yang kita keluarkan ini akan dapat membantu meringankan beban fakir miskin dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Amalan berzakat ini, selain dapat menyuburkan harta kita, ia juga merupakan bukti ketaatan kita terhadap syariah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT maha pengasih dan maha penyayang kepada hamba-hambanya. Di atas sifat kasih dan sayang itulah Allah SWT tetap memberikan peluang kepada hamba-hambanya untuk beramal soleh walaupun setelah berakhirnya bulan ramadhan. Antara amal soleh yang amat besar keutamaannya untuk dilaksanakan setelah berakhirnya bulan ramadhan ialah puasa sunat selama enam hari di dalam bulan syawal.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Barang siapa yang telah berpuasa ramadhan dan kemudian dia meneruskan dengan berpuasa selama enam hari dalam bulan syawal, maka ganjaran pahalanya adalah seperti orang yang berpuasa selama setahun".

(Muslim)

Hadis ini menunjukkan betapa besar rahmat dan nikmat yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambanya. Walaupun umat islam telah diberikan berbagai ganjaran di sepanjang bulan ramadhan, namun Allah SWT tidak pernah kedekut untuk menganugerahan ganjaran-ganjaran yang lain di luar bulan ramadhan. Maka barang siapa yang berpuasa enam hari di dalam bulan syawal bermula dari hari raya yang kedua, samada samada berturut-turut atau berselang-selang, sesungguhnya dia akan mendapat ganjaran pahala orang yang berpuasa selama setahun. Sebagai orang yang beriman, keutamaan seperti ini sudah tentu tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Amal-amal soleh tidak seharusnya dibataskan di dalam bulan ramadhan sahaja. Bahkan ianya haruslah diteruskan walaupun ramadan telah berlalu pergi meninggalkan kita. Para ulamak ada menyebut bahawa diantara tanda amalan seseorang hamba itu diterima oleh Allah SWT ialah apabila ia dapat meneruskan dengan amal ibadah yang lain, di antaranya ialah memperbanyakkan takbir pada malam satu syawal. Oleh kerana itu, kita mengharapkan agar segala amal kebaikan yang kita lakukan di dalam bulan ramadhan ini, akan dapat diteruskan pada bulan-bulan yang berikutnya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin sekali menyeru kaum muslimin sekalian, marilah kita memanfaatkan peluang yang sangat terbatas ini dengan sebaik-baiknya janganlah hendaknya amal ibadah yang kita lakukan pada bulan yang mulia ini kita robohkan semula pada bulan yang berikutnya. Bahkan semestinya kita mengukuhkannya lagi dengan meneruskan amal-amal ibadah tersebut pada bulan-bulan yang berikutnya. Marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah SWT agar menerima segala amal puasa dan solat kita. Kita juga memohon kepada Allah subhaanahu wata'ala agar berkenan mengampunkan dosa-dosa yang telah kita lakukan selama ini. Kita meyakini bahawa sesungguhnya Allah SWT adalah maha pelindung agi maha berkuasa.

"Lelaki yang kuat imannya,yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dengan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar".

(An-Nur;37)

No comments:

Related Posts with Thumbnails