Friday, September 11, 2009

Khutbah Jumaat - 11 September 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "


"ZAKAT FITRAH: JALAN MENUJU KEJAYAAN HIDUP"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang jumaat yang di rahmati Allah SWT,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan kita sentiasa berusaha melaksanakan tuntutan akidah dan keimanan yaitu mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan.

Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah ayat 103 yang bermaksud:

"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan diri mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah maha mendengar lagi maha mengetahui.

Hadirin yang dirahmati Allah SWT.

Zakat fitrah ialah ibadah yang diwajibkan di dalam bulan Ramadan dan dikeluarkan mengikut syarat dan peraturan. Ia diwajibkan keatas setiap muslim berdasarkan kepada maksud hadist dari Ibni Umar RA A'nhu katanya ; Rasulullah Sallaulahu Alaihi Wassallam mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan terhadap setiap muslim samada mereka itu hamba,lelaki atau perempuan iaitu segantang kurma atau gandun.

Di Malaysia, zakat fitrah ditunaikan bersandar kepada nilai beras kerana ia merupakan makanan utama Negara.

Seseorang muslim diwajibkan menunaikan zakat fitrah dengan syarat-syarat tersebut ;

1. Islam

2. Merdeka

3. Memiliki sesuatu (makanan, harta atau wang) yang lebih daripada keperluan dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu malam hingga satu hari raya pada esoknya.

Adalah menjadi suatu kewajiban setiap umat islam untuk memahami perkara berkaitan tersebut dengan penuh penghayatan dan keikhlasan.

Muslimin yang dikasihi sekelian.

Sesungguhnya tiada ganjaran yang lebih besar dari Allah melainkan apabila seseorang itu dapat memenuhi hajat seseorang yang lain diwaktu mereka amat memerlukan. Bayangkan, diwaktu orang lain bergembira menyambut hari raya, ada di kalangan insan yang sedih dan berduka kerana tidak mampu memberikan makan dan minum yang cukup untuk anak-anak mereka. apatah lagi membelikan pakaian baru untuk menyambut hari raya. Hak-hak mereka yang fakir dan miskin berada ditangan kita semua yang wajib diserahkan dengan menunaikan ibadah zakat.

Allah menjanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang amat besar bagi hamba-hambaNya yang ikhlas menunaikan ibadah zakat.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ruum, ayat 39 ;

"Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembang dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah SWT (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian zakat yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata ,maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda".

Selain itu, Allah SWT akan menggantikan yang lebih baik daripada yang di miliki oleh hambanya yang ikhlas menunaikan zakat.

Firman Allah dalam Surah Saba' ayat ke 39:

Katakanlah (wahai Muhammad) : "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang di kehendaki diantara hamba-hambanya, dan ia juga yang menyampaikan baginya; dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki".

Ingatlah! Beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa dan hartanya dengan berzakat. Maka hadiah keberkatan itulah merupakan hadiah dari Allah untuk hamba-hambanya yang soleh dan bertaqwa. Marilah kita merebut hadiah Allah ini dengan cara kita memastikan harta-harta yang kita miliki telah suci dan bersih dengan di tunainya zakat.

Hadirin yang dirahmati oleh Allah SWT.

Sesungguhnya seseorang yang sengaja enggan menunaikan zakat fitrah, maka mereka tetap di tuntut menunaikan walau terpaksa menunaikan di penghujung hayatnya.ini kerana mereka telah di anggap berhutang dengan Allah dan sesungguhnya hutang terhadap Allah adalah lebih utama untuk diselesaikan. Dikhuatiri orang yang meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan zakat fitrah maka Allah SWT akan memberikan azab yang keras kepada mereka.

Dalam satu riwayat. Ibni Abbas r.a berkata: Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk,dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikan sebelum hari raya maka jadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikan selepas solat hari raya maka jadilah sedekah biasa seperti sedekah-sedekah sunat yang lain.

Menurut Ijmak Ulamak Rahimahumullah apabila menghuraikan hadist ini bahawa; seseorang yang melengahkan bayaran zakat fitrah sehingga luput waktu yang ditentukan, bukan sahaja berdosa, bahkan wajib ia membayarnya sesudah itu.selagi zakat fitrah ini belum di tunaikan, maka zakat ini tetap menjadi hutang yang di tanggungnya. Sehingga ia membayarnya walau pada akhir hayatnya.

Oleh yang demikian, seseorang yang bersungguh-sungguh menjaga ibadah puasa pada siang hari dan memenuhi malamnya dengan amal ibadah tetapi mereka lalai untuk melaksanakan kewajiban membayar zakat fitrah hinggakan luput waktunya maka mereka tetap di anggap berdosa dan puasanya tidak di terima disisi Allah SWT Ini dikukuhkan lagi dengan hadist Rasulullah yang bermaksud; dari Jarir RA katanya: telah bersabda Rasulullah Sallaulahu Alaihi Wassallam: puasa dibulan ramadhan itu tergantung diantara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali ditunaikan zakat"

Maksud tergantung dalam hadis ini ialah bahawa penerimaan Allah terhadap puasa ialah tidak sempurna sehinggalah dilaksanakan zakat fitrah tersebut.

Justeru; marilah kita sama-sama membayar zakat dan bertaubat kepada Allah SWT. Mohonlah ampun kepadanya atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Tiada jalan yang mudah untuk selamat dari azab neraka melainkan kita menjadi hamba Allah yang taat disamping berdoa dan merayu kepada Allah agar kita dijauhi dari kesengsaraan dipadang mahsyar dan siksaan yang amat pedih di dalam neraka jahanam. Pastikan zakat fitrah yang tertangguh hendaklah di selesaikan sebelum ajal maut datang menjemput kita pada bila-bila masa.

Selain itu, pastikan juga hasil pendapatan dan gaji yang diperolehi. Emas dan perak yang dipakai atau disimpan, wang simpanan di bank, K.W.S.P, saham-saham yang halal, perniagaan, pertanian, dan penternak telah di bersihkan dengan ditunaikan zakat. sesungguhnya melalui zakat yang ditunaikan, segala harta yang kita miliki akan menjadi penyelamat diri kita daripada azab api neraka.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT.

Pihak lembaga zakat Selangor telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat islam untuk menunaikan zakat fitrah dan zakat harta. Tunaikanlah kewajiban zakat tersebut di Lembaga zakat Selangor yang beroperasi di seluruh negeri Selangor selama 7 hari seminggu. Pemberian zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui amil-amil fitrah yang telah dilantik oleh lembaga zakat Selangor yang bertugas di masjid atau surau yang berhampiran dengan anda. Sesungguhnya, wang zakat yang terkumpul melalui lembaga zakat Selangor, akan dapat dimanfaatkan secara menyeluruh kepada golongan asnaf yang berhak menerima bentuk zakat di negeri Selangor ini.

Untuk makluman sidang jumaat sekelian.

Majlis fatwa negeri Selangor telah memutuskan bahawa harga zakat fitrah pada Ramadan 1430 hijrah ini ialah RM 7.00 seorang.

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang puas lagi di redhainya, maka masuklah engkau di dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia dan masuklah kedalam syurgaku."


No comments:

Related Posts with Thumbnails