Firman Allah s.w.t dalam surah Al- Ankabut , ayat 69 :
" Orang yang berusaha dengan bersungguh- sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah, bersama orang yang berusaha membaiki amalannya ".
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah s.w.t,
Pada pagi syawal yang penuh keberkatan ini, kita telah bersama-sama melaungkan takbir, kalimah Allahu Akbar, sebagai tanda membesarkan Allah s.w.t. Laungan Allahu Akbar adalah merupakan syiar Islam yang mampu membangkitkan semangat kaum muslimin untuk terus memartabatkan Islam diatas muka bumi ini. Ia juga merupakan kalimah yang mampu mengetarkan jiwa musuh-musuh Islam sama ada dari kalangan manusia, jin mahupun syaitan. Justeru pada pagi syawal yang berkat ini, umat Islam dituntut untuk bertakbir memuji kebesaran Allah s.w.t dan mensyukuri nikmat Islam yang dimiliki. Laungan takbir ini juga adalah sebagai tanda kemenangan sebagai seluruh umat Islam yang telah berjuang menahan hawa nafsu didalam madrasah Ramadan. Firman Allah s.w.t didalam surat Al-baqarah ayat 185 :
" Dan juka supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat pertunjuknya, dan supaya kamu bersyukur ".
Diantara tanda mensyukuri nikmat pertunjuk dan hidayah Islam ialah dengan berkongsi kegembiraan di hari raya bersama hamba-hambanya yang lain terutamanya golongan fakir dan miskin. Inilah juga hikmah mengapa umat Islam diwajibkan berzakat fitrah didalam bulan Ramadan, supaya kesempitan hidup fakir miskin ini dapat dibantu dan seterusnya dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih sempurna dibulan Syawal yang mulia ini.
Selain daripada itu, sebagai tanda mensyukuri nikmatnya juga adalah dengan sentiasa istiqamah, menjaga dan memelihara serta terus mempertahankan Islam dari dicemari perkara-perkara yang boleh merosakkan kesuciannya.
Menghayati perjuangan Rasullullah s.a.w dan para sahabat didalam memartabatkan Islam diatas muka bumi ini, seharusnya memberikan seribu keinsafan kepada kita, betapa ajaran Islam ini semestinya didaulatkan didalam segenap aspek kehidupan uamt Islam pada hari ini. Umat Islam tidak seharusnya hanya berpegang dengan nama Islam atau beragama Islam, tetapi yang paling penting ialah bagaimana mereka mengamalkan Islam didalam kehidupan sehariannya sehinggalah mereka dipandang mulia dan dapat memberikan imej Islam yang baik kepada orang lain. Firman Allah s.w.t didalam surah Ali Imran ayat 139 :
Maksudnya:
" Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman".
Perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh Rasullullah s.a.w untuk memartabatkan Islam dikalangan bangsa arab dan umat manusia keseluruhannya bukanlah satu perkara yang mudah. Sambutan masyarakat diperingkat awal dakwah baginda di Kota Mekah adalah amat mengecewakan. Baginda bertukar arah pula ke Ta'if dengan harapan Islam yang dibawanya itu akan diterima disana. Walaupun baginda dimaki dan dihina, namun baginda tetap meneruskan misi dan visi memartabatkan Islam dibumi Mekah Al-Mukaramah.
Akhirnya, Allah s.w.t telah memerintahkan baginda berhijrah ke Kota Madinah Al- Munawarah untuk meneruskan dakwahnya disana. Maka pada ketika itu, bermulalah zaman kegemilangan Islam di Madinah, kemudian menjalar keseluruh semenanjung tanah arab dan seterusnya keseluruh pelusuk dunia.
Berkat kesabaran Rasullullah s.a.w dan para sahabat r.a, maka perbuatan-perbuatan maksiat dan khurafat yang bermaharajalela di zaman jahiliah bertukar wajah kepada ketaatan terhadap segala perintah Allah dan Rasulnya. Seluruh kehidupan bangsa arab dan umat Islam ketika itu telah disinari dengan cahaya iman dan Islam.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah s.w.t,
Amatlah malang sekali apabila kita dapati sebahagian generasi masa kini seolah-olah kurang menghargai pengorbanan Rasullullah s.a.w dan para sahabat r.a didalam memartabatkan Islam suatu ketika dahulu. Tidak keterlaluan juga kalau dikatakan, sebahagian generasi kita pada hari ini sudah mula kembali kepada amalan-amalan jahiliah sebagaimana bangsa arab sebelum datangnya Islam. Perkara ini dapat kita saksikan dihadapan mata kita senduri atau melalui media-media massa yang sentiasa membuat liputan-liputan mengenai gejala-gejala social dan keruntuhan moral yang berlaku setiap waktu dikalangan masyarakat kita, kerosakkan akidah umat Islam dengan menghina prinsip-prinsip dan undang-undang Islam. Perbuatan-perbuatan maksiat masih dilakukan tanpa segan silu. Malahan minuman arak juga dijadikan hidangan utama didalam pesta-pesta liar yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih mendukacitakan lagi, sebahagian anak-anak muda kita dengan sewenang-wenangnya dan tanpa rasa segan silu, seta tanpa rasa berdosa, boleh membeli minuman arak dikedai-kedai tertentu sambil masyarakat sekeliling memerhatikan sahaja gelagatnya. Anak-anak gadis dijadikan pertaruhan didalam perlumbaan-lumbaan haram dijalanan. Perjudian masih lagi dianggap perkara biasa dikalangan masyarakat kita dari aspek yang lain pula, jenayah seperti rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, pembunuhan dan sebagainya juga masih berlaku dikalangan masyarakat kita pada hari ini. Keadaan seperti ini amat bertepatan sekali seperti mana yang digambarkan oleh Al-Syahid Syed Khatab yang menjelaskan bahawa walaupun zaman jahiliah telah berlalu lebih 1400 tahun yang lalu, tetapi amalan-amalannya masih berkekalan sehingga hari ini.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah s.w.t,
Ibu bapa yang merupakan salah satu agen penting didalam pembentukan masyarakat rabbani seharusnya bertindak lebih awal dalam soal-soal mencorak kehidupan masa depan anak-anak. Anak-anak adalah seumpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab membentuknya sama ada menjadi insan berguna atau sebaliknya. Oleh itu didikkan agama secukupnya mestilah ditanamkan kedalam jiwa anak-anak kerana mereka adalah generasi yang akan meneruskan kegemilangan Islam dimasa yang akan datang. Salah didikkan ibu bapa bermakna rosaklah masa depan anak-anak dan akan lahirlah generasi yang akan menjadi perosak bangsa dan agama. Sabda Rasullullah s.a.w didalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan Imam Bukhari:
Maksudnya:
" Setiap anak yang dilahirkan adalah bersih mengikut fitrahnya, maka ibu bapalah yang akan dijadikannya yahudi atau nasrani atau majusi ".
Selain ibu bapa, masyarakat juga memainkan peranan yang penting didalam memastikan Islam berada pada kedudukan yang tertinggi martabatnya disisi manusia. Masyarakat harus bersepakat dan bersatupadu didalam menangani isu-isu yang mencemarkan nama baik Islam. Ajaran-ajaran sesat, golongan anti hadis, Islam liberal fahaman sekular yang memisahkan agama dari kehidupan dunia dan sebahagiannya yang bertopengkan Islam haruslah dibanteras habis-habisan. Masyarakat juga seharusnya diberikan kesedaran yang mendalam peri pentingnya budaya nasihat menasihati dan tegur menegur dikalangan kita. Sabda Rasullullah s.a.w: " Agama itu adalah nasihat " (riwayat Al-Darami)
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah S.W.T,
Dalam dunia globalisasi ini, pelbagai maklumat sama ada yang baik ataupun sebaliknya dapat disalurkan dengan mudah dan pantas kepada orang ramai memalui media-media massa. Oleh itu didalam usaha memantapkan kefahaman Islam dikalangan masyarakat, nilai-nilai murni Islam mestilah diterapkan semaksima yang mungkin melalui media-media ini. Mereka seharusnya tidak hanya memikirkan kepentingan duniawi dengan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Dalam masa yang sama juga tidak dapat dinafikan bahawa pihak yang paling bertanggungjawab memartabatkan Islam adalah pemerintah yang memiliki kuasa pemerintahan.
Tugas utama manusia yang telah dilantik oleh Allah s.w.t sebagai kalifah atau pentadbir diatas muka bumi ini ialah untuk meletakkan Islam pada kedudukannya yang tertinggi dan seterusnya melaksanakan syariat mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Peranan dan tanggungjawab kalifah atau pemerintah amat besar ganjarannya disisi Allah s.w.t, apabila mereka dapat menuanaikan tanggungjawab tersebut dengan baik dan sempurna.
Tugas ini sebenarnya menjadi kewajipan kepada semua uamt Islam. Tanpa penglibatan dan kerjasama semua pihak, matlamat untuk memartabatkan Islam dimuka bumi Allah ini pasti tidak akan tercapai dan mengundang kemurkaan Allah. Firman Allah s.w.t didalam surah Ash-Shaaffat ayat 22-24:
Maksudnya:
( Allah berfirman kepada malaikat):" Himpunkanlah orang yang zalim itu dan teman-teman karib mereka (syaitan-syaitan) serta sembah-sembahan yang mereka sembah selain Allah serta hadapkanlah mereka kejalan yang membawa ke neraka. Dan tahanlah mereka (ditempat perhentian), kerana sesungguhnya mereka akan disoal ".
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kita sebagai rakyat jelata amatl bersyukur diatas keperihatinan pemerintah yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memartabatkan kembali Islam kepada kedudukan yang tinggi. Usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dengan penguatkuasakan enakmen jenayah syariah negeri selangor, seperti pengharaman arak kepada orang Islam dan mengekang aktiviti perjudian. Disamping itu kerajaan juga akan memperbanyakkan program kesedaran untuk generasi muda memperkasakan pemuda masjid dengan aktiviti-aktiviti dan program-program pengimarahan masjid, motivasi forum, qiammullail perdana remaja, karnival suakn masjid, konsert bercirikan Islam dan lain-lain.
Aktiviti-aktiviti ini seharusnya mendapat sokongan padu dari segenap lapisan masyarakat tanpa ada sikap prajudis dan mementingkan diri sendiri. Kita juga amat menyakini bahawa usaha murni ini, tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk mengenbalikan era kegemilangan Islam sebagaimana dikecapi dizaman Rasullullah s.a.w dan para sahabat r.a. (al-ra'du : 11)
Maksudnya :
" Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ".
KHUTBAH KEDUA
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah S.W.T,
Didalam kesempatan pada pagi syawal ini, marilah kita merenung sejenak betapa madrasah Ramadan yang telah kita lalui selama sebulan yang lalu seharusnya telah dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. firmannya didalam surah Muhammad ayat 17:
Maksudnya :
" Dan orang-orang yang mahu menerima pertunjuk, Allah menambah pertunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketaqwaannya ".
Dalam usaha memantapkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, amalan-amalan mulia yang telah dilaksanakan disepanjang bulan Ramadan haruslah dipertingkatkan didalam bulan syawal yang mulia ini. Amalan membaca Al-Quran dan mentadabur maknanya perlu diteruskan kerana ia dapat memberikan ketenangan jiwa dan menambahkan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah s.w.t. ibadah puasa juga boleh dilakukan didalam bulan syawal seperti puasa enam dan puasa isnin khamis kerana dengan ibadah ini akan dapat memberikan kekuatan mental dan fizikal disamping mengekang nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. Selain daripada itu, amalan berzakat yang telah ditunaikan didalam bulan Ramadan juga hendaklah diteruskan dengan amalan bersedekah. Sesungguhnya amalan bersedekah ini adalah adalah amalan yang sangat mulia kerana dapan membantu saudara seagama disamping dapat memperiratkan hubungan persaudaraan sesama insan. Firman Allah s.w.t didalam surah Saba' ayat 39:
Maksudnya :
Katakanlah: " Sesungguhnya tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakinya diantara hamba-hambanya dan menyempitkan baginya (siapa yang dikehendakinya) ". Dan barang siapa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikan dan dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya".
Demikianlah sebahagian amalan yang dapat membantu mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t setelah berakhirnya bulan Ramadan yang mulia.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah S.W.T,
Hari raya yang kita raikan pada hari ini bukanlah hari untuk melepaskan nafsu syahwat yang telah terbelenggu disepanjang bulan Ramadan yang lalu. Hari raya juga bukanlah hari untuk memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t dibina, sebaliknya hari raya adalah merupakan bulan untuk terus mengeratkan hubungan dengan Allah s.w.t iaitu dengan cara mengtaati segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya.
Sepertimana ketaatan kita terhadapnya sepanjang bulan Ramadan yang lalu, maka pada hari yang berbahagia ini marilah kita bersama-sama mengagungkan Allah dan memohon keampunan kepada Ilahi, bermaaf-maafan sesama insan, ziarah-menziarahi sesama sanak saudara dan rakan taulan serta merapatkan silaturrahim sesama manusia.
Semoga segala amalan kebaikan dan setiap perkara mahmudah yang kita kerjakan ini akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t, sebagai suatu sumbangan kearah memartabatkan Islam diatas muka buminya ini.
Wahai tuhan kami, kurniakanlah semangat mahabah dan kasih sayang dikalangan kami, agar dapat kami hidup bersepakat, aman damai, saling menghormati dan bersefahaman.
Wahai tuhan kami, berilah pertolongan kepada perkembangan agama Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi, berilah kekuatan kepada kami untuk memartabatkan Islam dan menghayatinya dalam diri kami, keluarga dan anak-anak isteri kami. Hidupkanlah kesan-kesan baik yang ditinggalkan oleh Ramadan. Seperti amalan berpuasa, membaca Al-Quran, bersedekah dan berdoa. Lindungilah kami dari ajaran-ajaran sesat, bid'ah, khurafat dan amalan-amalan jahiliah.
Ya Allah Ya Tuahn kami, kurniakan kehormatan dan penjagaan, kesuburan dan penghasilan keatas negeri kami negeri selangor darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, taat kepada Allah dan Rasul, menghormati raja dan pemimpin.
Ya Allah peliharalah kami daripada bencana buruk, jauhkanlah kami daripada malapetaka dunia dan wabak penyakit yang memusnahkan hidup kami.