BERZAKAT MEMBAWA BERKAT
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah sekelian,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekelian, marilah kita mengamalkan sifat-sifat taqwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha-usaha tersebut menjadikan kita sebagai hamba Allah yang benar-benar bersyukur atas segala nikmat pemberianNya.
Firman Allah S.W.T di dalam Surah Ali Imran ayat 133 :
Bermaksud:
"Dan bersegeralah kalian kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa".
Muslimin Yang Dikasihi Sekelian,
Allah S.W.T mengurniakan akal untuk manusia berfikir kaedah dan cara memperoleh rezeki dan nikmat. Dengan akal, manusia mampu berfikir bagaimana hendak berteduh dari panas matahari dan kesejukan hujan, mencari makanan untuk mengatasi kelaparan dan bekerja keras untuk memperoleh wang dan kekayaan.
Namun, apa yang kurang diberi perhatian oleh manusia ialah bagaimana mereka hendak menggunakan harta dan kekayaan untuk tujuan keredhaan Allah S.W.T. Lantaran itu, Islam telah menganjurkan supaya manusia menginfaqkan harta dan wang ringgit milik mereka ke jalan Allah S.W.T.
Firman Nya di dalam Surah Al-Baqarah , ayat 267 :
Bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (zakatkanlah pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu".
Oleh itu, harta milik seseorang itu tidak mempunyai nilai di sisi Allah melainkan setelah ianya dibelanjakan atau diinfaqkan ke arah yang diredhaiNya. Sesungguhya diantara tujuan harta itu dikurniakan oleh Allah adalah untuk menjadi alat bagi mencapai keredhaanNya. Di antaranya diwajibkan manusia membayar zakat setelah mencukupi syarat-syaratnya.
Seseorang yang menunaikan zakat hartanya adalah merupakan suatu cara bagi membuktikan bahawa mereka mensyukuri nikmat Allah, kerana setiap kali mereka berbuat demikian, Allah SWT akan menggantikannya dan menambahkan pula dengan yang lain sebagaimana Firman Allah SWT di dalam Surah Ibrahim, ayat 7 :
Bermaksud:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah(nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari(nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih".
Bagi orang-orang yang berzakat, Allah akan menambahkan nikmatNya sama ada dengan bertambahnya rezeki dunia ini atau bertambahnya pahala sehingga melayakkan mereka mencapai keredhaan Allah iaitu menerima ganjaran daripada Allah SWT berupa nikmat syurga di akhirat kelak.
Muslimin yang dikasihi sekelian,
Sebenarnya harta kekayaan yang kita miliki itu adalah amanah Allah. Ini bermakna setiap rezeki yang diperolehi itu tidak boleh didakwa sebagai milik mutlak diri kita. Pada harta itu ada hak untuk isteri dan anak-anak, kaum kerabat dan jiran tetangga yang memerlukan pertolongan, fakir miskin yang mengharapkan belas dan ehsan dan agama yang memerlukan pengorbanan ke atas harta yang dimiliki.
Firman Allah di dalam Surah Az-Zaariyaat, ayat 19 :
Bermaksud:
"Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagiannya (tidak meminta)".
Sungguhpun demikian Islam sangat menggalakkan umatnya menjadi kaya. Ini kerana dalam Islam disyariatkan ibadah zakat. Tidak mungkin seseorang itu mengeluarkan zakat sekiranya mereka tidak kaya.Tetapi, sekiranya sudah berharta tidak juga mengeluarkan zakat atas pelbagai dalih dan alasan sedangkan mereka sudah memenuhi syarat wajib berzakat.
Firman Allah SWT. dalam Surah Ali Imran ayat 180:
Bermaksud:
"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Justeru itu, marilah kita kembali kepada mentaati segala perintah Allah S.W.T. Mohonlah ampun kepada Allah atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Tiada jalan yang mudah untuk selamat daripada neraka melainkan kita menjadi hamba Allah yang taat disamping berdoa dan merayu pada Allah agar kita dijauhkan daripada azab di padang mahsyar dan seksaan yang amat pedih di dalam Neraka Jahannam.
Selain itu, pastikan hasil pendapatan dan gaji yang diperolehi, emas dan perak yang dipakai melebihi kadar tertentu, wang simpanan, KWSP, saham-saham yang halal, perniagaan, pertanian dan penternakan telah dibersihkan dengan menunaikan zakat. Sesungguhnya melalui zakat yang ditunaikan, segala harta yang kita miliki akan menjadi penyelamat diri kita daripada azab api neraka.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam mengemukakan sistem zakat sebagai peraturan yang menganjurkan manusia menjadi pemurah dengan cara mengeluarkan zakat untuk diagihkan kepada lapan asnaf yang berhak menerima zakat seperti yang dijelaskan oleh A-Quran dalam Surah At-Taubah, ayat 60 :
Bermaksud:
"Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir dan miskin dan para amil yang menguruskannya dan para muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba dan orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan untuk para musafir di dalam perjalanan. Demikianlah ketetapan dari Allah dan ingatlah bahawa Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Melalui ibadah zakat, manusia tidak menjadi pengumpul harta yang bakhil kerana harta dunia ini diwujudkan oleh Allah S.W.T adalah untuk dijadikan alat bagi manusia menjalinkan hubungan dengan Allah S.W.T dan hubungan sesama manusia.
Oleh itu marilah kita merebut peluang untuk mendapat kekayaan jiwa berbanding harta. Pada zaman ini, ramai manusia yang berebut untuk mendapat kekayaan harta tetapi miskin pada jiwa.
Sabda Rasulullah SAW :
"Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyak harta benda, tetapi sebenar-benar kaya ialah kaya jiwa (hati)".
(Riwayat Bukhari)
Orang yang kaya boleh mendapat dan mencapai jiwa yang kaya dengan membelanjakan atau mengeluarkan zakat dari hartanya dan dengan itu mereka tidak akan merasa takut dan dukacita dalam hidupnya.
Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 274 :
Bermaksud:
"Orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) pada waktu malam dan siang secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan, maka mereka akan memperoleh ganjaran dari Tuhan mereka dan mereka tiada berasa takut dan tiada berdukacita".
Muslimin yang dirahmati Allah S.W.T,
Adalah menjadi suatu kewajipan kepada setiap diri umat Islam untuk memahami perkara berkaitan zakat. Ia boleh dicapai melalui pembacaan, menghadiri pengajian ilmu, mendengar taklimat berkaitan zakat ataupun menghubungi kaunter-kaunter zakat berhampiran. Ini akan meningkatkan kefahaman kita seterusnya akan membantu kita melaksanakan kewajipan tersebut dengan penuh penghayatan dan keikhlasan.
Semoga keikhlasan kita menunaikan ibadah zakat mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.
Bermaksud:
"Dan segala yang baik yang kamu belanjakan itu adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu nafkahkannya itu hanyalah mengharapkan keredhaan Allah dan segala yang baik yang kamu infaqkan itu akan dibalas Allah untuk kamu dan kamu tidak dirugikan".
(Surah Al-Baqarah, Ayat 272)
No comments:
Post a Comment