MENJAGA ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan marilah kita tanamkan dalam diri kita perasaan taqwa kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaannya di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dihormati
Bumi yang didiami oleh segala makhluk sama ada daripada kalangan manusia, haiwan dan juga makhluk-makhluk lain adalah menjadi tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT. Bumi dengan segala isi kandungannya daripada gunung ganang, bukit bukau, hutan yang menghijau, tanah yang merentang luas menyimpan pelbagai nikmat kepada manusia dalam bentuk air, makanan dan tempat berteduh. Justeru manusia selain dituntut untuk mensyukurinya juga dituntut untuk menjaga dan memeliharanya demi kelansungan hidup mereka. Namun pada hari ini kita melihat segelintir manusia disebabkan rasa tamak dan haloba, perasaan ghairah mengejar kebendaan sanggup merosakkan sumber-sumber alam ini demi memuaskan dan memenuhi kepentingan diri mereka sendiri.
Kita melihat pada hari ini sumber-sumber alam yang membekalkan makanan kepada manusia seperti sungai dan laut telah dicemari dengan tumpahan minyak, sisa-sisa kimia, haba, sampah sarap dan seumpamanya. Pencemaran yang berlaku ini telah membunuh organisma laut yang menjadi sumber makanan manusia seperti ikan dan hidupan lain. Begitu juga pencemaran udara yang berlaku seperti gas-gas beracun yang dikeluarkan oleh asap-asap kenderaan, kilang-kilang, jerebu dari kesan pembakaran secara terbuka dan sebagainya. Bukan sahaja pencemaran ini mengancam kesihatan manusia tetapi turut mengancam tumbuhan dan binatang.
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Pada asasnya Islam menghendaki supaya manusia sentiasa memelihara alam sekitar meliputi air, udara dan tumbuh-tumbuhan.
Air merupakan sumber asli yang sangat penting dalam kehidupan manusia .Dengan air manusia mampu membina dan membangunkan sesebuah negara dan tamadun dan tanpanya akan terencatlah kehidupan manusia. Air sangat diperlukan oleh tubuh badan manusia sehinggakan manusia boleh hidup bertahan beberapa hari dengan air sahaja walaupun tanpa makanan. sepertiga daripada tubuh badan manusia terdiri daripada air. Air bukan sahaja penting bagi manusia tetapi juga bagi hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan. Sifat air yang suci dan bersih menjadikannya penjana kepada kehidupan makhluk di muka bumi. Kesucian air menjadikannya sumber untuk membersih dan menghilangkan kekotoran.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 11:
Maksudnya:
"Dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu".
Oleh kerana air merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia, Islam menyarankan agar sentiasa memelihara dan menjaga kebersihan dan keselamatan air daripada sebarang pencemaran.
Udara yang bersih juga merupakan nikmat yang sangat bernilai kepada kehidupan manusia. Udara yang bersih akan menyihatkan tubuh badan manusia manakala udara yang tercemar sudah pasti akan mengancam kesihatan manusia. Namun pada hari ini kita lihat kualiti udara di negara kita semakin lama semakin mengusarkan. Kesan asap yang dikeluarkan oleh kenderaan merupakan antara faktor penyumbang kepada pencemaran udara Dianggarkan setiap tahun lebih kurang 13.6 juta tan gas-gas beracun yang berpunca daripada penggunaan kenderaan, merosakkan kawasan hutan ,tasik dan kehidupan laut.
Penjagaan kualiti udara sebenarnya telah ditekankan oleh Rasulullah kepada sahabatnya sejak lebih 1400 tahun dahulu. Contohnya apabila seseorang yang pergi menunaikan Solat Jumaat, disunatkan mandi, memakai bau-bauan supaya suasana menjadi ceria dan segar.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT .
Tumbuh-tumbuhan atau penghijauan muka bumi merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan makhluk di muka bumi.
Firman Allah SWT. dalam Surah Taaha ayat 53:
Bermaksud:
"Allah yang telah menjadikan bagimu bumi sebagai hamparan dan yang telah menjadikan bagimu di bumi itu jalan-jalan dan menurunkan dari langit air hujan. Maka Kami tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis dari tumbuh tumbuhan yang bermacam-macam".
Penghijauan muka bumi perlu diusahakan bagi menjamin bekalan sumber makanan, sumber kesihatan yang daripadanya dikeluarkan ubat-ubatan. Ia turut berperanan sebagai sumber kecantikan, keindahan dan kedamaian di samping sumber udara yang bersih. Namun kita lihat pada hari ini berlaku pemusnahan hutan secara melampau untuk tujuan pembalakan sehingga mengakibatkan pencemaran alam yang sangat dahsyat. Penarahan bukit tanpa belas kasihan untuk tujuan pembangunan dan perumahan juga merupakan satu bentuk pemusnahan alam sekitar yang serius. Beberapa kejadian tanah runtuh dan banjir yang masih segar dalam ingatan seperti yang berlaku di Highland Tower, Bukit Antarabangsa, Pos Dipang di Perak sepatutnya menjadi iktibar bagi kita semua.
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud:
"Jika berlakunya kiamat dan di tangan seseorang daripada kamu ada pokok tamar yang kecil (fasilah) maka jika dia mampu bangun daripada tempat duduknya untuk menanamnya maka hendaklah ia menanamnya".
Maksud hadith ini jelas menunjukkan kepentingan penghijauan walaupun dalam keadaan genting apatah lagi dalam keadaan aman dan tenteram.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian
Marilah sama-sama kita berganding bahu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga dan memelihara bumi sebagai tempat tinggal kita ini. Setiap orang daripada kita seharusnya menganggap bumi sebagai rumah kita. Jika kita menganggap bumi seabagai rumah kita, sudah tentu kita akan menjaga dan memelihara kebersihannya.
Perasaan hormat terhadap hidupan lain bermakna menghormati kepada diri kita sendiri. Menjaga kesejahteraan alam sekitar supaya tidak tercemar bermakna menghormati keperluan kita untuk mendapatkan udara dan bekalan air yang bersih.
Ingatlah apa sahaja perlakuan kita yang menyakitkan dan memudaratkan orang lain atau hidupan lain maka kita akan terdedah kepada laknat dan kemurkaan Allah sw.t. Manakala sebarang usaha kita untuk membuang segala kerosakan dan kemudaratan terhadap manusia dan hidupan lain akan dianggap sebagai tanda-tanda wujudnya kesempurnaan iman seseorang.
Bermaksud:
"Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
(Surah Al-Baqarah, Ayat 22)
No comments:
Post a Comment