"ERTI MERDEKA"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian.Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan bersyukur kepadanya kerana limpahan rahmatNya dengan mengurniakan kepada kita nikmat Kemerdekaan yang tiada taranya berbanding sebahagian negara umat Islam yang masih tunduk kepada kuasa barat dan timur. Walaupun negara mereka merdeka pada zahirnya tetapi hakikatnya mereka belum bebas dari cengkaman penjajah moden dari kalangan musuh Islam.
Justeru kita bersyukur kehadhrat Allah SWT kerana dapat menikmati Kemerdekaan dan boleh melayari bahtera kehidupan dengan penuh kesejahteraan dan keharmonian. Mudah-mudahan dengan di tambah ketaqwaan kita kepada Allah SWT menjunjung segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya, hakikat kemerdekaan akan benar-benar kita hayati serta kecapi dengan ertikata yang sebenarnya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 152:
"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)".
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Bersempena dengan Kemerdekaan negara kita selama 52 tahun, Janganlah kita menjadi umpama ungkapan "Menang Sorak Kampung Tergadai" tetapi inilah hakikatnya, kita menyaksikan ada sebahagian penduduk negara ini, terutamanya generasi muda yang masih belum memenuhi pengertian kemerdekaan atau kebebasan menurut Islam.
Kemerdekaan menurut pandangan Islam ialah apabila seseorang bangsa atau umat merdeka daripada segala bentuk penjajahan undang-undang ciptaan manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah, bebas daripada kezaliman kepada keadilan dan bebas dari kejahilan kepada berilmu baik lahiriah ataupun zahiria. Rub'I bin A'mir pernah menjelaskan ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum tentang hakikat Kemerdekaan dengan katanya yang bermaksud :
"Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat".
Merdeka bukan bermaksud bebas dan tidak terikat dengan sebarang peraturan dan boleh melakukan apa saja yang disukai. Merdeka bukan semata-mata bebas secara fizikal daripada belenggu penjajahan, tetapi konsep merdeka yang sebenar mengikut pandangan Islam ialah membebaskan diri daripada semua bentuk penjajahan yang bercanggah dengan ajaran Islam, samada dalam bentuk pemikiran rohani dan jasmani mahupun budaya dan citarasa, perasaan dan emosi seseorang insan itu.
Sehingga hari ini, kita melihat minda terjajah masih mengongkong dan berkarat dalam pemikiran anak muda dan masyarakat sekarang. Tidak sayukah hati kita apabila melihat anak muda berpeluk dan bercium dikhalayak ramai, berpeleseran tanpa batasan, pergaulan bebas sehingga terjebak dengan seks bebas dan dadah, terlibat dengan gangstar, penyelewengan aqidah dan sebagainya.
Sidang hadirin yang berbahagia,
Kefahaman tentang kemerdekaan sememangnya amat berbeza antara generasi dulu yang memperjuangkan kemerdekaan dengan air mata dan darah berbanding generasi hari ini. Hal ini kerana bagi generasi terdahulu, kemerdekaan adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya, manakala bagi golongan muda di zaman ini, 31 Ogos hanya sekadar cuti umum, berseronok, bakar bunga api, berhibur, berkelah dan bersantai.
Sepatutnya, umat yang merdeka dapat berfikir dengan matang apakah yang terbaik dilakukan untuk dirinya, bangsa dan kepentingan umat keseluruhannya serta negaranya tanpa khawatir dan bimbang terhadap sebarang halangan yang menghalangnya. Sepatutnya kita mempunyai pemikiran apakah yang kita telah sumbangkan untuk negara, bukan mengharap apa yang negara dapat sumbangkan untuk kita. Sebab itulah sekiranya fahaman dan mentaliti kita belum berganjak sampai bilakah kita boleh dikatakan sebagai seorang manusia yang benar-benar merdeka?
Sebagai bangsa Malaysia yang merdeka, jiwa kita, diri kita, keluarga dan masyarakat kita perlu bebas daripada mengagungkan pemikiran penjajah, bebas daripada amalan penjajah dan bebas daripada idealisme dan undang-undang penjajah.
Kemerdekaan dalam ertikata lain akan dapat dinikmati sepenuhnya jika kita mampu menjadikan negara yang tercinta ini mencapai tahap tamadun yang tinggi berasaskan perinsip keadilan dan pegangan agama, perpaduan, mempunyai keperibadian dan akhlak yang kukuh dan menunaikan kewajipan bernegara, serta mampu menjauhi diri daripada melakukan perkara-perkara negatif yang dipelopori oleh penjajah barat atas nama kebebasan dan hak individu. Pengaruh pemikiran bebas atau Liberal yang didatangkan oleh barat, jika dibawa kedalam masyarakat dan menjadi amalan di negara ini, pasti akan membawa kepada kehancuran masyarakat dan kehancuran negara.
Ada juga manusia, bangsa atau umat meskipun lahirnya mereka sudah mencapai kemerdekaan selama puluhan tahun, tetapi jiwa mereka dijajah oleh nafsu jahat. Yang menjadi tuhan mereka membawa hanya nafsu dan apa yang dilakukan oleh mereka membawa bencana kepada seluruh umat manusia. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Jaatsiah ayat 23:
"Adakah engkau lihat hawa orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhannya dan Allah menyesatkan dia kerana mengetahui (kejahatan hatinya) dan menutup pendengaran dan mat ahatinya serta mengadakan penutupan terhadap pendengarannya. Maka siapakah yang akan menunjukinya sesudah Allah, tidakkah kamu menerima peringatan?"
Sidang jumaat yang berbahagia,
Golongan penjajah pada masa kini tidak lagi datang menaiki kapal dan menggunakan senjata seperti masa dulu, sebaliknya berupaya menjajah umat islam menerusi alat komunikasi canggih serta menggunakan kuasa kewangan dan media. Dengan danya zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka melebarkan pengaruh dan mengawal aspek politik, ekonomi dan system social milik kita. Sesetengah Negara masih bergantung kepada Negara yang masih menjajah mereka dalam banyak sector seperti perdagangan, pendidikan dan ketenteraan. Malah, perkara terburuk ialah penjajahan pemikiran masih berlaku masih berlaku dikalangan masyarakat Negara itu.
Pemikiran anti islam yang merosakkan umat islam ini sebenarnya adalah hasil daripada usaha dan agenda musuh-musuh islam, terutama golongan yahudi dan nasrani. Sebagai umat islam yang beriman kepada Allah, kita hendaklah berhati-hati dengan idea dan pandangan yang dikemukakan oleh mereka.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120:
"Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu wahai Muhammad, sehingga engkau menurut agama mereka yang telah terpesong itu. Katakanlah kepada mereka: "Sesungguhnya petunjuk Allah, agama islam itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu tentang kebenaran, maka tiadalah engkau akan memperoleh dari Allah sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu".
Kejayaan sesebuah Negara yang merdeka tidak hanya dilihat dari segi pembangunan luaran seperti bangunan yang besar, tinggi dan moden, di samping kemudahan-kemudahan lain yang disediakan. Namun yang lebih utama dalam pembangunan sesebuah Negara ialah aspek pembangunan modal insan yang berteraskan ajaran islam.
Tidak bermakna mendiami sebuah Negara merdeka, sedangkan rakyatnya masih belum merdeka jiwanya dan amalan sehariannya. Apalah erti kemerdekaan yang dikecapi oleh kita, jika masyarakat yang tidak patuh kepad aperaturan-peraturan agama dan Negara. Kemerdekaan Negara yang telah diperolehi selama ini amat merugikan jika wujud berbagai-bagai penyakit social dalam masyarakat yang akhirnya membawa kerosakan dan huru-hara. Jika ini berlaku, maka perjuangan kemerdekaan yang dilakukan oleh wira-wira kemerdekaan Negara kita sebelum ini adalh menjadi sia-sia belaka.
Justeru, umat islam perlu terus berusaha untuk membebaskan diri dan jiwa merek adaripada kejahilan, kemiskinan dan rasa rendah diri daripada bangsa-bangsa lain. Kemerdekaan yang sebenar akan menjadikan umat islam sebagai umat yang mampu berdikari, berilmu pengetahuan, berkeyakinan tinggi, mempunyai jati diri yang kuat dan bebas daripada pengaruh penjajahan.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian
Janganlah kita mensia-siakan nikmat ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak memberi untung kepada kita. Marilah kita mengisi kemerdekaan secara dengan melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah dan berguna bagi membangun agama, bangsa dan Negara berlandaskan ajaran Islam. Hujjatul islam imam Al-Ghazali rahimahullah telah menetapkan tiga perkara bagi mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan iaitu:
1. Hendaklah memperakukan bahawa nikmat itu datangnya hanya daripada Allah walaupun pada zahirnya ia datang melalui sebab-sebab dan sumber-sumber tertentu.
2. Tidak mensia-siakan nikmat tersebut disamping menghargai pihak yang mengusahakannya
3. Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
"Dan ingatlah ketika tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya!, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabku amatlah keras".
(Ibrahim ayat 7)
No comments:
Post a Comment