Friday, August 7, 2009

Khutbah Jumaat - 31 JULAI 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "
"MENGENANG JASA PAHLAWAN"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Muslimin sidang Jumaat yang berbahagia,
Saya menyeru kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita ke hadrat Allah SWT pada setiap masa dan ketika, semoga dengan yang demikian, Allah SWT akan memberkati hidup kita di dunia mahupun di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam sejarah Islam ramai pejuang dan pahlawan yang sentiasa berkorban untuk memartabatkan agama Allah SWT dan memerdekakan tanahair mereka daripada belenggu penjajah yang menjajah akidah, pemikiran, budaya dan tanah tumpah darah mereka. Ia berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabat untuk mempertahankan bumi Madinah daripada serangan tentera-tentera kafir Quraisy sehinggalah peperangan-peperangan lain dalam sepanjang sejarah Islam.
Solehuddin al-Ayubi berjuang memerdekakan al-Quds di Palestine daripada pakatan tentera Salibiyyah, Said Nursi Badi' az-Zaman mempertahankan Khilafah Othmaniah di Turki, di Libya terdapat Umar Mukhtar membela negaranya daripada penguasaan Perancis, Diponegoro membela Indonesia daripada penjajahan Belanda dan tidak ketinggalan di negara bertuah ini semenjak tahun 1906 lagi terdapat para alim ulamak golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah berjuang membela negara daripada kuasa penjajah Portugis dan Inggeris.
Di antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Taha yang berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Perjuangan yang berteraskan kepada Islam ini muncul adalah atas kesedaran masyarakat Melayu pada waktu itu untuk melihat Islam dapat ditegak dan didaulatkan dan ingin melihat penjajah meninggalkan dan dinyahkan daripada negara ini.
Kemudian gerakan anti penjajah melahirkan ramai pahlawan Melayu Islam yang bersemangat waja, gagah dan terbilang. Di antaranya termasuklah Haji Mat Hassan Bin Munas (Tok Janggut), Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dato' Maharaja Lela dan tokoh-tokoh terkemudian daripada itu seperti Dato' Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Ustaz Abu Bakar Bakir dan sebagainya yang dianggap sebagai pahlawan Melayu kerana menentang penjajah ke atas Tanah Melayu ketika itu.
Tetapi yang menjadi persoalan diruang fikiran kita, berapa ramaikah di kalangan kita yang dapat mewarisi semangat kepahlawanan mereka itu?
Sidang Jumaat Rahimakumullah,
Sempena Sambutan Hari Pahlawan, kita sentiasa berterima kasih kepada para pahlawan yang berjuang semenjak negara sebelum merdeka sehinggalah hari ini. Pengorbanan mereka tidak dapat dibayar dengan harga dunia tetapi hanya Allah yang menilai dan yang akan memberi ganjaran yang setimpal kepada mereka samada yang telah pergi atau pun yang masih hidup.
Menjaga keamanan dan keselamatan negara adalah merupakan jihad dan bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada pasukan keselamatan semata tetapi ianya juga merupakan tanggungjawab bersama kepada seluruh rakyat dan warganegara ini. Kita sebagai warganegara yang beriman dan perihatin serta bertanggungjawab, marilah kita sama-sama menjadi penerus perjuangan dan jihad mulia ini khususnya memastikan bahawa 50 tahun akan datang negara ini akan terus aman dan selamat sebagaimana kita telah menikmati keamanan dan kemerdekaan sebelum ini.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Islam ada cara tersendiri menyambut sambutan ataupun perayaan. Dan apa yang pasti Islam tidak pernah mengizinkan sambutan dan perayaan itu dicampuri unsur-unsur maksiat dan penderhakaan kepada Allah apa lagi melibatkan unsur-unsur syirik seperti unsur pemujaan kepada kubur-kubur, patung, termasuk tugu pahlawan dan sebagainya yang bertentangan dengan akidah Islam.
Justeru kita mencadangkan agar Umat Islam tidak terikut-ikut dengan budaya bukan Islam dalam menyambut ketibaan Hari Pahlawan. Sebaiknya sambutan ini hendaklah diisi dengan ceramah-ceramah kesedaran pentingnya berjihad menjaga tanah air, solat hajat untuk keselamatan negara, bacaan tahlil dan doa untuk pahlawan dan pejuang negara yang telah pergi atau yang masih hidup, mengadakan pameran dan paparan berkenaan sejarah pejuang-pejuang terdahulu untuk merangsang semangat dan memotivasikan generasi hari ini dan juga menyusun program-program atau aktiviti lain yang difikirkan perlu untuk mendidik masyarakat agar mengimbau serta mengenang para pahlawan terdahulu.
Rasional Islam melarang pengalungan bunga pada tugu peringatan atau pemujaan kepada patung walaupun atas alasan penghormatan dan mengenang jasa-jasa pahlawan ialah:
1. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim menyatakan bahawa rumah-rumah yang ada patung tidak akan memasuki ke dalamnya Malaikat Rahmat:
Maksudnya:
Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya ada patung.
2. Akan disiksa orang yang menciptakan patung-patung sebagaimana dijelaskan oleh dalil hadis muttafaqun a'laih :

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang menciptakan patung-patung ini akan disiksa pada hari kiamat, seraya dikatakan kepada mereka, hidupkanlah apa yang kamu ciptakan itu.

3. Firman Allah dalam hadis qudsi diriwayatkan oleh muttafaqun a'laih bahawa orang yang menciptakan sesuatu (patung) seperti ciptaan Allah akan disebut sebagai zalim:

Maksudnya:
Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang hendak menciptakan sesuatu seperti ciptaan-Ku? Kerana itu cubalah mereka membuat sebutir zarrah (atom) atau membuat sebutir gandum.

4. Keputusan Majlis Fatwa Negeri Selangor (14 September 1995) telah memutuskan bahawa upacara hari pahlawan dengan meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan hukumnya haram. Hukum perbuatan mengagungkan patung atau tugu yang diukir atau dibentuk seperti manusia adalah haram kerana ia boleh membawa kepada syirik yang merosakkan akidah Islam.

Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah
Adapun ciri-ciri pahlawan yang diakui Islam itu mestilah bertepatan dengan syara', antaranya:
1. Taat setia kepada Allah, Rasulnya dan pemimpin selama mana pemimpin itu taat kepada Allah dan Rasulnya.
2. Berjuang bersungguh-sungguh untuk membela kebenaran Islam, demi mempertahankan agama dan negara.
3. Memiliki sifat berani kerana benar, ikhlas karena Allah, tegas dan sanggup berkorban ketika di medan perjuangan.
4. Pahlawan sejati adalah orang yang dapat memanfaatkan setiap momentum kepahlawanannya tanpa mengenali istilah rehat dalam perjuangannya.
5. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, sedia berkhidmat, tidak suka bertangguh walau dalam keadaan apa pun. Mudah-mudahan pahlawan-pahlawan kita dari awal sehinggalah ke hari ini akan sentiasa istiqomah dan terus berjuang berbekalkan ciri-ciri ini dan kita mendoakan agar keselamatan negara tercinta ini akan terus terjamin dan berkekalan sehingga seluruh rakyat negara ini hidup aman dan damai.
Sebagai menghargai dan mengenang jasa serta pengorbanan mereka, ayohlah kita bersama menjaga keamanan dan keselamatan tanahair kita sebagai bukti kita menghargai perjuangan mereka yang terdahulu dan Allah berjanji akan memberikan ganjaran dan pahala di atas usaha murni ini. Kerana kita faham bahawa mempertahankan tanah air adalah sebahagian daripada jihad pada jalan Allah.

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Surah Ali Imran:200)

Kesimpulan bawa kepada khutbah kedua:
1. Perjuangan membela tanah air adalah suatu kewajipan dalam Islam:
2. Kita mestilah mengenang dan menghargai para pejuang terdahulu agar meransang generasi kini turut berperanan mempertahankan tanah air yang tercinta;
3. Cara kita menyambut Hari Pahlawan janganlah sampai melanggari hukum syarak dan menyebabkan kita rosak akidah;
4. Tanamkanlah semangat kepahlawanan Islam dalam jiwa anak-anak kita agar mereka faham erti perjuangan khususnya membela Islam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails