KELEBIHAN BULAN REJAB
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah subhanahu wataala dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah s.w.t. dan memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di hari akhirat kelak.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Bulan Rejab adalah termasuk di dalam salah satu bulan-bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam. Firman Allah s.w.t.
Maksudnya ;
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Empat bulan yang dihormati sebagaimana disebutkan di dalam ayat tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Inilah yang telah disepakati oleh para mufassirin. Penghormatan terhadap bulan Rejab adalah bersempena penghormatan yang telah diberikan kepadanya semenjak zaman jahiliah lagi dimana mereka mengharamkan peperangan di dalam bulan tersebut. Inilah suatu pengiktirafan oleh Allah s.w.t. terhadap bulan Rejab di samping bulan-bulan haram yang lain.
Sejarah Islam telah mencatatkan beberapa peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan Rejab, di antaranya ialah ;
Pertama : Peristiwa isra' Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama' Islam. Ia adalah peristiwa di mana Rasulullah s.a.w. telah dijalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis dan kemudiannya diangkat ke langit untuk bertemu Allah s.w.t. Di sinilah bermulanya kefardhuan solat lima waktu kepada umat Muhammad s.a.w.
Kedua : Peristiwa hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa orang sahabat Rasululullah s.a.w. termasuk termasuk saidina Usman bin Affan r.a. dan isterinya Ruqaiyah binti Rasulullah s.a.w. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.
Ketiga : Peristiwa perang Tabuk yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah. Ia adalah peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke semenanjung Tanah Arab ketika itu. Walaubagaimanapun akhirnya tentera Rom membatalkan hasrat mereka kerana merasa gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.
Selain daripada itu, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini seperti penaklukan semula kota Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dari kekuasaan tentera Salib pada 27 Rejab 583 hijrah. Imam As-Syafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanahair kita juga dilahirkan di dalam bulan Rejab tahun 150 hijrah bersamaan 767 masehi.
Kaum muslimin rahimakumullah,
Sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat di dalam bulan Rejab. Sesetengahnya pula akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang mereka lakukan di dalam bulan ini ada fadhilatnya yang khusus. Tidak kurang juga terdapat umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.
Walaubagaimanapun, kebanyakan ulama mutakhirin menyatakan bahawa tanggapan ibadat-ibadat sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tanggapan yang tidak benar. Apa yang pasti bahawa bulan ini adalah termasuk di dalam kelompok bulan-bulan haram di mana umat Islam digalakkan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat di dalam bulan-bulan ini samada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi.
Kaum muslimin rahimakumullah,
Hakikat ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada orang yang beramal soleh hanya Dia sahaja yang maha mengetahuinya. Oleh kerana itu, sudah sewajarnyalah di dalam bulan Rejab ini dan juga bulan-bulan yang lain diisi dengan perkara-perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dan mendapat keredhaannya.
Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis Nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira di dalam bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh kerana itu, bersempena datangnya bulan Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan sepertimana juga di dalam bulan-bulan yang lain, di antaranya ;
1. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada bulan Rejab. Amalan berpuasa sunat adalah merupakan suatu galakan daripada Allah s.w.t. kepada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Bukhari ;
Maksudnya ;
Sabda Rasulullah s.a.w. " Allah s.w.t. telah berfirman bahawa puasa itu adalah untukNya maka Allah lah yang akan membalasnya."
Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab. Said menjawab: "Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: "Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa." (Sahih Muslim)
2. Memperbanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hazam ;
Maksudnya :
" Tangan yang di atas ( pemberi ) lebih baik dari tangan yang di bawah ( penerima )"
3. Memperbanyakkan zikrullah dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud " Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia."
Demikianlah sebahagian amalan-amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan-amalan ini, sekiranya diamalkan dengan penuh keikhlasan sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ini, sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus kedalam perkara-perkara maksiat dan masalah-masalah sosial yang lain.
Malangnya amalan-amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam samada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terlibat dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah. Gejala sosial yang berlaku sejak kebelakangan ini seperti jenayah rogol, bunuh, rompak, ragut, hiburan melampau malah aktiviti rempit, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kosongnya jiwa mereka daripada pengisian iman. Kegiatan-kegiatan jenayah seperti ini bukan sahaja berlaku di kalangan muda-mudi tetapi lebih malang lagi ianya dilakukan juga oleh golongan yang telah meningkat ke usia tua.
Bukankah sesuatu yang memalukan apabila laporan akhbar menyatakan seorang datuk merogol cucunya atau seorang bapa merogol anaknya sendiri ? Bukankah memalukan juga apabila kajian-kajian statistik menyatakan bahawa kebanyakan yang terlibat dengan dadah adalah remaja dan muda-mudi yang beragama Islam ? Di manakah silapnya sehingga umat Islam terlibat dengan perkara-perkara negatif ini ?
Kaum muslimin rahimakumullah,
Kita sebagai umat Islam tidak seharusnya melupakan sabda Rasulullah s.a.w. yang menyatakan bahawa dengan berpuasa, manusia akan dapat mengelakkan diri dari perkara-perkara maksiat. Kita juga seharusnya tidak melupakan firman Allah s.w.t. yang menyatakan bahawa dengan zikrullah, hati mereka akan merasa aman dan tenteram. Inilah janji yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. dan juga RasulNya supaya diyakini dan dilaksanakan oleh umat Islam keseluruhannya.
Maka, sudah sewajarnyalah kita bermuhasabah tentang pentingnya peranan amalan-amalan sunat ini di dalam membentuk jiwa dan peribadi yang sempurna. Dengan bermulanya bulan Rejab ini, anak-anak muda khususnya dan umat Islam umumnya harus diberikan kesedaran dan sedikit suntikan semangat supaya bersama-sama menghidupkan amalan-amalan mulia ini dan seterusnya dapat membangunkan diri mereka menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah s.w.t.
Apa yang kita harapkan agar amalan-amalan di dalam bulan Rejab ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.
Maksudnya ;
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
( Az-Zalzalah : 7 - 8 )
No comments:
Post a Comment