Wednesday, July 8, 2009

Khutbah Jumaat - 10 JULAI 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

PERANAN MEDIA MASSA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)


Hadirin Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekelian, marilah kita mengamalkan sifat-sifat taqwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha-usaha tersebut menjadikan kita sebagai hamba Allah yang benar-benar bersyukur atas segala nikmat pemberianNya.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:
Maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah
Media Massa merupakan wahana yang paling berkesan untuk menyampaikan informasi dan maklumat terkini kepada orang ramai. Kemunculan pelbagai bentuk dan saluran media massa masa kini sama ada media cetak atau elektronik membuktikan perkembangan dan kepesatan ilmu dalam sesebuah masyarakat.
Penggunaan internet yang meluas melalui laman blog di samping media masa yang sedia ada seperti akhbar, radio dan televisyen merancakkan lagi penyebaran maklumat dan informasi di kalangan masyarakat. Justeru media masa memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting serta amanah yang sangat berat dalam menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan berfaedah kepada masyarakat. Bukan itu sahaja maklumat yang disebarkan oleh media massa juga perlu mengambil kira tanggungjawab mendidik masyarakat ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran.
Justeru tidak salah jika kita katakan bahawa kegagalan dan kehancuran sesebuah masyarakat ada kaitannya dengan peranan dan pengaruh media masa dalam masyarakat tersebut. Media masa yang sedar dan berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan berkesan akan dapat melahirkan masyarakat yang baik dan cemerlang.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Akhir-akhir ini kita dapati sebahagian daripada media masa tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Berita yang disampaikan tidak lagi berdasarkan kepada fakta dan kebenaran. Terdapat berita yang disiarkan bersifat sangkaan, khabar angin dan surat layang yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Malah lebih dahsyat lagi berita yang disampaikan membawa tohmahan dan fitnah yang akhirnya membawa perpecahan dan pertelingkahan dalam masyarakat.
Berita -berita yang mengandungi nilai ilmiah dan akademik kurang mendapat perhatian dan diminati oleh sebahagian pihak media. Berita yang disampaikan tidak lagi dinilai berdasarkan fakta kebenaran tetapi dinilai berdasarkan siapa atau kumpulan mana yang mengeluarkan berita tersebut. Elemen penghinaan, dan pengaiban menjadi salah satu daripada ramuan mujarab untuk melariskan berita mereka. Amat menyedihkan lagi terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini begitu mudah mempercayai sesuatu berita seterusnya menyampai dan menyebarkan kepada orang lain tanpa diselidiki dan ditapis terlebih dahulu.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Marilah kita merenung sejenak bagaimana jauhnya kita daripada sunnah nabi dan sunnah para sahabatnya dalam aspek penyampaian dan penerimaan berita ini. Nabi s.a.w telah meletakkan beberapa prinsip dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Maksudnya :
"Sesiapa yang menyampaikan daripadaku hadith yang kelihatan dusta maka dia merupakan salah seorang pendusta".
Lihatlah bagaimana para sahabat dan tabiin tidak akan menerima sesuatu berita atau hadith melainkan mereka akan bertanya terlebih dahulu siapa yang menyampaikan berita tersebut. Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar bin al-Khattab sendiri akan meminta saksi atau sokongan daripada sahabat lain mengenai kebenaran sesuatu berita yang sampai kepada mereka.
Sikap berhati-hati para sahabat seterusnya tabiin dalam menerima sesuatu berita membawa kepada perkembangan pesat ilmu ini yang kemudiannya dikenali sebagai sistem sanad. Sistem sanad dianggap sebagai identiti utama bagi ulama dan umat Islam malah ia merupakan satu keistimewaan yang hanya ada pada umat nabi Muhammad tidak pada umat-umat lain. Ketelitian para sahabat dan tabiin jelas menunjukkan kepekaan dan keperihatinan mereka yang tinggi terhadap kualiti sesuatu berita.
Malangnya pada hari ini sistem sanad tidak mungkin atau sukar untuk diamalkan lagi. Namun ruh dan semangat sistem sanad yang bertujuan untuk menapis dan mengenalpasti kesahihan sesuatu berita perlu diteruskan. Benarlah pendapat Abdullah bin al-Mubarak yang menyatakan:
Yang bermaksud:
"jikalau tanpa isnad maka berkatalah sesiapa yang ingin berkata apa sahaja yang ingin dikatakan".
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Islam meletakkan beberapa prinsip dan kaedah dalam penyampaian dan penerimaan sesuatu berita. Antaranya:
Prinsip Pertama:
Berita yang disampaikan itu hendaklah berdasarkan kepada prinsip kebenaran dengan disokong oleh fakta dan bukti yang jelas. Cakap -cakap kosong di tepi jalan atau di kedai kopi tidak harus dijadikan asas dalam penyampaian dan penerimaan sesebuah berita. Berita yang disampaikan atas dasar sangkaan, khabar angin ataupun pendustaan dan penipuan mesti ditolak sama sekali. Ini adalah kerana berita-berita sebegini sudah tentu akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.
Rasulullah SAW. bersabda melalui riwayat Ibn Mas'ud sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim
Maksudnya:
"Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga".
Sabda Nabi SAW.:
Maksudnya:
"Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kemaksiatan dan kemaksiatan itu membawa kepada neraka".
Lihatlah bagaimana dalam hadith ini suatu perlakuan yang dianggap kecil dan ringan tetapi membawa kepada implikasi yang besar iaitu syurga atau neraka.
Prinsip Kedua:
Media Massa Hendaklah Mendokong al-Amru bi al-Ma'ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar.
Media masa harus memainkan peranan mereka mendidik masyarakat kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Memang tidak dinafikan terdapat banyak program-program atau slot-slot berbentuk agama, motivasi dan informatif disiarkan atau dipaparkan di media masa pada masa kini yang menyeru kepada kebaikan dan akhlak yang murni.
Namun realitinya program-program yang menyeru kepada kemungkaran, berita-berita yang melalaikan dan gambar-gambar yang mengasyikkan lebih banyak disiarkan berbanding daripada program -program yang disebutkan tadi. Program-program yang melalaikan inilah yang lebih menarik minat para pembaca, pendengar dan penonton seterusnya memberi pengaruh yang dahsyat dan kesan yang amat buruk dalam kehidupan mereka.
Prinsip Ketiga :
Media Masa hendaklah mendokong perpaduan dan menjauhi perpecahan di kalangan umat Islam.
Islam sentiasa mendokong dan memperjuangkan perpaduan di kalangan umat Islam. Justeru apa sahaja berita yang mendorong kepada perpecahan mesti dielakkan Malah Media masa seharusnya berperanan menjadi orang tengah yang mampu untuk mendamaikan antara kumpulan-kumpulan manusia yang bertelagah. Begitu juga berita-berita berbentuk fitnah, tohmahan, menyebarkan rahsia dan mengadu domba seharusnya dielakkan. Apatah lagi jika berita tersebut mengaibkan, menghina dan memalukan orang Islam lain.
Penghinaan bukan tertentu kepada orang yang hidup sahaja malah Islam juga melarang penghinaan kepada orang yang telah mati.
Rasulullah s.a.w bersabda melalui riwayat Aishah sebagaimana yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari
Maksudnya:
"Janganlah kamu menghina orang yang telah mati kerana apa yang mereka telah lakukan merupakan perlakuan semasa di dunia".
Penghinaan juga bukan sahaja dengan perbuatan tetapi juga dengan perkataan, tulisan dan gambar-gambar yang dilukis. Lukisan-lukisan kartun yang menghina tubuh badan fizikal seseorang juga dianggap sebagai penghinaan. Kadangkala kita lihat keburukan seseorang yang disebarkan dan dizahirkan dengan begitu mudah tanpa menghiraukan kebaikan yang pernah dilakukan.
Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 11:
Maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-olokkan. Dan jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita -wanita lain kerana boleh jadi wanita yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari wanita yang mengolok-olokkan dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk.seburu-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim".
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian
Kita sebagai pengguna, pembaca, pendengar dan penonton hendaklah mengambil sikap berhati-hati dan teliti dalam menerima sesuatu berita yang sampai kepada kita. Bagi media massa kepentingan masyarakat umum perlu didahulukan.
Sebarkanlah perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat, perkuatkan agama dan perkukuhkan keimanan mereka dan jauhilah dari menyebarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan iman dan akidah mereka. Akhirnya marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan sunnah nabi dalam seluruh kehidupan kita.
Maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah An-Nur ayat 19)
Intisari khutbah ke 2 :
Media massa hendaklah berperanan menyebarkan kebenaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat. Media massa tidak wajar menambahkan kekeliruan dan kecelaruan pemikiran umat.
Maklumat yang tidak benar boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain
Khalayak media massa dan semua yang terlibat bertanggungjawab perlu mematuhi adab dab etika penyiaran Islam


No comments:

Related Posts with Thumbnails