"AQIDAH ISLAM DAN PERANANNYA"
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T, dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan Allah S.W.T melorongkan jalan yang mudah untuk kita terus bertakwa. Hanya dengan bekalan kita akan beroleh kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Tingkah laku sosial sebahagian umat Islam ketika ini tanpa mengira kedudukan tua atau muda, berpendidikan atau tidak semacam tergambar, betapa lemahnya akidah dan keimanan mereka. Kehidupan mereka semakin kalis dengan tuntutan agama. Dalam institusi kekeluargan, ibu bapa semacam kehilangan panduan. Dalam institusi pendidikan, guru-guru semacam buntu dari segi pendekatan dan dalam komuniti bernegara, pemimpin semacam kehilangan kepercayaan. Masalah sosial semakin sukar dibendung. Walaupun masalah ini sering dikaitkan dengan golongan remaja, tetapi hakikatnya ia berlaku tanpa mengira umur dan latar belakang. Sesetengah puncanya dirancang dan diprogramkan oleh golongan tertentu dengan menggunakan istilah-istilah yang menarik. Contohnya istilah "perkhidmatan" digunakan dalam aktiviti maksiat, "program menjana ekonomi" dalam sendikit penipuan, istilah "strategi" dalam pendekatan menegakkan kepalsuan, istilah "beramal" untuk menghalalkan cara dan berbagai-bagai lagi.
Akidah atau Tauhid mempunyai maksud yang sama. Iaitu berkaitan ilmu yang menjelaskan kepercayaan seseorang tentang ketuhanan, kerasulan dan perkara-perkara Sam'iyah, iaitu ghaib yang hanya diketahui dan didengar melalui Al-Qur'an dan Al-Hadith. Selain itu ilmu ini juga dapat mendedahkan kebatilan dan pendustaan khususnya dari kalangan musuh-musuh, terhadap orang yang beriman. Oleh itu Aqidah Tauhid mempunyai peranan di dalam pembinaan syaksiah dan jati diri seseorang.
Para Ulama' Islam sepakat mengatakan bahawa Aqidah Tauhid adalah dasar yang paling utama untuk mengenal Allah dan menjadi pokok serta dasar pemikiran dalam membentuk kerangka dan perjuangan membina Tauhid secara sepadu disamping ia mengandungi ajaran yang seimbang antara jasmani dan rohani, antara kebendan dan kemanusiaan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Selain mendasari pemikiran, Aqidah juga mendasari amalan. Amalan seseorang walau sebaik mana sekalipun, tidak akan diterima oleh Allah s.w.t kecuali dilakukan oleh orang yang beriman yakni berpegang kepada Aqidah yang benar dan sah, Ini kerana amalan orang yang tidak mempunyai Aqidah, tidak akan mengambil kira dari segi sah atau batal, halal atau haram, suruhan atau larangan. Mereka juga tidak mengharapkan pahala serta tidak takut akan siksaan hari kemudian dan seterusnya beramal dan bekerja bukan kerana untuk mendapat keredhan Allah s.w.t.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Iman ada tingkatan tinggi dan rendahnya. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: "Iman ada mempunyai tujuh puluh atau mempunyai enam puluh cabang, maka yang sebaik-baik ucapan perkataan "La Ilaha IllaAllah" dan serendah-rendahnya membuang sesuatu benda yang menyakiti manusia di tengah jalan dan malu itu sebahagian dari cabang Iman."
(Muttafaqun Alaih)
Selain itu keimanan seseorang boleh dikesan dan dilihat tanda-tandanya. Melakukan suruhan dan meninggalkan larangan dari yang sekecil-sekecilnya adalah gambaran yang terjelma dari dorongan keimanannya. Justeru, Iman seseorang boleh bertambah dan boleh berkurang. Bertambah disebabkan ketaatan dan berkurang disebabkan keingkarannya dalam melaksanankan tanggungjawab kepada Allah s.w.t.Dalam suatu peristiwa, Saidina Umar bin Al-Khatab r.a. telah mengajak sahabat-sahabatnya menambahkan Iman mereka dengan memperbanykkan Zikrullah, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Ja'far dari datuknya Amir bin Habib seorang sahabat Rasulullah s.a.w. katanya yang bermaksud:
"Iman itu bertambah dan berkurang, lalu sahabat bertanya:
"Bagaimana bertambah dan bagaimana berkurang?". Jawabnya: "Apabila menyebut dan mengingati Allah dan memujiNya (Mengucapkan Al-Hamdulillah) serta mensucikannya (menyebut SubhanaAllah), maka itu menyebabkan Iman bertambah."
Lupa dan lalai boleh membawa kepada implikasi yang buruk. Lalai dan lupa boleh menyebabkan seseorang terlanjur melakukan kemungkaran, kerana ia lupa yang perbuatannya itu diperhatikan oleh Allah s.w.t. Selain itu juga jika seseorang melupakan Allah, Allah akan melupakannya. Amat malang sekali, jika dirinya dilupakan oleh Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Hasyr ayat 19:Bermaksud:
"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik".
(Al-Hasyr ayat 19)
Orang yang beriman, amat peka dalam menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap gerak kerjanya. Justeru, itulah golongan ahli khawas iaitu golongan yang tinggi martabat keimanannya, bertaubat kepada Allah s.w.t. bukan kerana dosanya, tetapi kerana mungkin berlaku detik-detik kelainannya dalam mengingati Allah.Mereka juga bertaubat sebagai tanda bersyukur di atas nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Ini berbeza dengan orang awam, mereka bertaubat kerana melakukan dosa. Bahkan kadang-kadang sudah melakukan dosa pun tidak terfikir untuk bertaubat, sebaliknya terus mengulangi dosa dan kadang-kadang ada berbangga-bangga dengan perbuatan dosanya.
Pandangan orang beriman amat berbeza dengan pandangan orang yang tidak beriman. Pandangan orang beriman dipandu oleh cahaya hidayah. Oleh itu mereka berasa kasihan melihat keadaan orang yang tidak beriman, yang tertipu oleh dirinya sendiri dan jauh daripada hidayah Allah s.w.t. Pandangan mereka banyak didorong oleh runtunan nafsu amarah serta bisikan dan tipu daya syaitan. Mata hatinya buta, anggota dan pancaindera menjadi alat bagi memuaskan segala keinginannya. Bagi orang yang tidak beriman pula, pandangannya terbalik, mereka berasa pelik dan hairan melihat sikap orang yang beriman serta menyifatkan sebagai jahil dan rugi. Sedang pada hakikatnya, merekalah yang jahil dan merekalah yang rugi.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 122:
Maksudnya:
"Adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian kami menghidupkannya semula (dengan hidayah), lalu kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia (adakah orang yang demikian keaadannya) sama seperti yang tinggal tetap dalam gelap gelita (kufur), yang tidak dapat keluar samasekali daripadanya? Demikianlah kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik ape yang mereka kerjakan".
Memandangkan iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, marilah kita berusaha menambah dan menyuburkan keimanan kita, menyiram dan membaca melalui amal soleh yang merangkumi ibadat umum dan ibadat khusus. Dalam ibadat umum dengan menerapkan konsep ihsan dalam kerja-kerja harian kita, iaitu meyakini sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa melihat ape yang kita lakukan walaupun kita tidak melihatnya. Selain itu bersikap ikhlas dan jujur serta bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja ia juga berusaha untuk melakukan penambah baikkan yang berterusan.
Begitu juga dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadat khusus. Dengan membiasakan yang sunnah, akan dapat memelihara yang wajib. Dengan meninggalkan yang makruh akan dapat menghindari yang haram. Dari segi makan minum pula bikan sahaja ia memastikan yang halal tetapi baik, yakni berkahsiat. Falsafahnya bukan hidup untuk makan, tetapi makan untuk menjaga kesihatan supaya dapat berbakti kepada Allah SWT Kerana dari makan minumlah punca segala penyakit, sama ada penyakit jasmani atau rohani.
Sebagai manusia biasa, kita selalu mudah untuk membuat rawatan penyakit jasmani, tetapi bagaimana dengan usaha mengesan dan merawat penyakit rohani kalau kita sentiasa dilalaikan dengan kesibukkan bekerja, keseronokkan bersukan dan keasyikkan berhibur? Hanya iman sahajalah yang dapat memandu dan menentukan jalan yang benar. Anak kuncinya ialah ilmu, maka sekurang-kurangnya hadirilah majlis-majlis ilmu dan belajarlah secara berguru dengan guru-guru yang dimaklumi. Tepuklah dada dan tanyalah iman kita.
Dalam kesempatan ini marilah kita sama-sama menilai diri kita, sama ada kita benar-benar memahami tentang aqidah dan hakikat tuntutan iman. Ditahap mana kedudukan iman kita, kuat atau lemah, tinggi atau rendah. Adakah tindakan-tindakan kita selari dengan dorongan dan tuntutan keimanan yang sebenar?
(Fussilat ayat 46)
Khutbah Jumaat Bacaan 24 Julai 2009