Friday, May 29, 2009

Khutbah Jumaat - 29 MEI 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

KEDUDUKAN WANITA DALAM ISLAM
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan marilah kita tanamkan dalam diri kita perasaan taqwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Firman Allah SWT. dalam Surah An-Nisa' ayat 34:

Maksudnya:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri".

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah

Minbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Tidak ada agama di dunia ini yang memberi perhatian dan mengambil berat terhadap wanita melainkan agama Islam. Malah al-Quran sendiri menamakan salah satu dari surah-surahnya dalam Al-Quran dengan nama Surah An-Nisa' dengan maksudnya wanita. Begitu juga dalam kitab-kitab hadith terdapat satu bab yang membincangkan mengenai nasihat supaya berbuat baik terhadap wanita sebagaimana yang terdapat dalam kitab Riyadus al-Salihin oleh Imam al-Nawawi.

Sejarah merekodkan bahawa kemunculan Islam telah menghapuskan sama sekali amalan menghina dan membunuh wanita sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat jahiliah. Hadith nabi juga menyebutkan mengenai ganjaran pahala bagi sesiapa yang diuji dalam memelihara anak perempuan bahawa orang itu akan bersama dengan nabi di akhirat kelak. Kesemuanya ini membuktikan pandangan Islam yang tinggi terhadap kaum wanita.

Peraturan dan tuntutan yang digariskan oleh Islam ialah bertujuan untuk memelihara martabat dan keselamatan wanita.

Sidang Jumaat yang dihormati sekelian

Menyedari peranan wanita dalam pembinaan dan pembangunan umat Islam itu sangat penting, musuh-musuh Islam sejak dahulu lagi berusaha untuk merosakkan wanita dengan pelbagai cara dan strategi. Atas nama kebebasan mereka berusaha meracuni pemikiran wanita Islam dengan pelbagai tipudaya dan godaan supaya mereka jauh dari landasan Islam yang sebenar. Sedangkan Islam meletakkan wanita dikedudukan yang tinggi dan mulia berbanding agama-agama yang lain di dunia.Beberapa peraturan dan tuntutan yang berkaitan dengan wanita Islam adalah semata-mata untuk menjaga maruah dan kemuliaan mereka. Wanita mempunyai hak dan dan harus dilayan sesuai dengan fitrah dan kejadian mereka. Layanan istimewa ini bukan sahaja terhadap wanita Islam tetapi juga terhadap wanita bukan Islam

Al-Quran sendiri mengambarkan wanita contoh dalam al-Quran ketika mengisahkan mengenai isteri Firaun iaitu dalam Surah At-Tahrim ayat 11.

Maksudnya:

"Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman ketika ia berkata:ya tuhanku bangunlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim".

Walaupun isteri Firaun memiliki segala kemewahan di dunia, memiliki segala kemasyuran apatah lagi beliau merupakan isteri kepada raja terkuat dan digeruni pada waktu itu namun hatinya tetap beriman dan bergantung kepada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah

Islam adalah sebuah agama yang memberi perhatian terhadap wanita sejak kecilnya, remajanya sehinggalah memasuki alam rumahtangga, kewajipan dan tanggungjawab suami terhadap mereka sehinggalah hak mereka dalam mewarisi harta pusaka.

Selain itu terdapat beberapa peraturan dan tuntutan kepada wanita Islam untuk dipatuhi demi memelihara maruah, kemuliaan dan keselamatan diri mereka. Di antaranya adalah seperti berikut:

Pertama: Wanita Islam hendaklah memelihara pandangan mereka, memelihara kemaluan mereka dan tidak menampakkan perhiasan mereka melainkan yang diharuskan sahaja.

Ini ditegaskan oleh Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 31:

Maksudnya:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman "hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak daripadanya".

Justeru, bapa ataupun suami hendaklah memastikan perkara seperti ini difahami dan dipatuhi oleh ahli keluarga kita yang perempuan.

Kedua: Tempat yang paling baik bagi wanita ialah di rumah sebagaimana firman Allah dalam Surah Ahzab ayat 33:

Maksudnya:

"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu".

Namun Islam sama sekali tidak meghalang wanita untuk bekerja mencari rezeki, memberi sumbangan tenaga dalam aktiviti kemasyarakatan, menjadi pemimpin dan seumpamanya selagi menjaga batasan dan sempadan yang ditetapkan oleh Islam. Islam juga melarang wanita berhias secara keterlaluan seperti amalan wanita zaman jahiliah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasaei, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Mana-mana wanita yang memakai minyak wangi kemudian lalu di hadapan satu kumpulan untuk menarik perhatian mereka maka dia boleh mendorong kepada kepada perlakuan zina.

Ketiga: Islam meletakkan peraturan dan tuntutan tertentu bagi menjaga hubungan antara lelaki dan wanita. Antara peraturan yang ditetapkan oleh Islam bagi menjaga hubungan ini ialah larangan berdua-duaan antara seorang lelaki dengan wanita yang bukan mahram atau suami isteri sehingga boleh mengundang fitnah atau membawa kepada perzinaan.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Bermaksud:

"Tidak boleh seorang lelaki dengan seorang wanita bersunyian atau berdua-duaan melainkan dengan mahram".

Keempat: Larangan bermusafir seorang wanita melainkan dengan mahram.Tuntutan ini juga bukan untuk mengongkong atau menyusahkan kehidupan wanita tetapi dengan tujuan untuk menjaga dan memelihara mereka daripada sebarang ganguan daripada pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka dan menjauhkan mereka daripada terjerumus ke lembah kesesatan dan kemaksiatan.

Sidang Jumaat Yang Mulia,

1. Dari sudut hubungan kekeluargaan dan rumahtangga Islam meletakkan beberapa tanggungjawab yang terletak di bahu para suami demi menjaga kemuliaan wanita antaranya:

i - Dengan berbuat baik terhadap wanita.

ii - Melarang mendera kaum wanita.

iii - Melayani wanita dengan cara terbaik.

Oleh itu marilah kita berusaha membetulkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kita dengan kembali kepada ajaran Al-Quran dan al-Sunnah. Sedarilah bahawa wanita merupakan ujian yang paling besar bagi kaum lelaki. Justeru kita dituntut menjaga, memelihara dan menjauhkan mereka daripada sebarang perkara yang boleh merosakkan mereka. Ketinggian dan kemuliaan wanita yang digariskan oleh Islam terletak di tangan kita semua.

Bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

Ya Allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur khadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapt meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.Justeru kami pohon kehadratmu, tetapkanlah iman kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami kejalan yang engkau redai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails