"DADAH PEMUSNAH GENERASI UMMAH" Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) | |
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bertakwa kepada Allah S.W.T. dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepadanya melalui ketaatan yang berterusan meninggalkan segala kemunkaran yang boleh meningkatkan kemurkaan Allah S.W.T. Semoga dengan amalan amalan yang diredhai Allah dapat memberkati kehidupan kita didunia dan diakhirat.
Dalam membina ketamadunan Ummah dengan lebih cemerlang, manusia pada hari ini disarankan sentiasa berpegang kepada segala apa yang tercatat didalam al-quran dan Sunnah Nabi S.A.W. Keimanan yang menyeluruh kepada al-quran dan hadis secara langsung akan menjamin Ummah memperolehi keberkatan daripada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-A'raf ayat 96 :
Maksudnya:
"Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah kami akan membuka mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah keberkatannya, dari langit dan bumi"
Pintu keberkatan telah dibuka seluas-luasnya kepada kita melalui nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk kita melaksanakan tanggungjawab, menjalankan tugas dan kerja-kerja seharian kita dengan baik, disamping kita juga dapat melaksanakan amalan-amalan yang difardhukan dengan sempurna tanpa sebarang gangguan dan halangan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Saban hari kita didedahkan dengan berbagai-bagai kes gejala sosial seperti kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak,sumbang mahram, budaya lepak,ponteng sekolah, kes buli dan peningkatan masalah displin dikalangan pelajar. Ini ditambah lagi dengan peningkatan kes penyalahgunaan dadah dikalangan anak muda, khususnya remaja dan belia melayu yang beragama islam. Sesungguhnya suatu yang amat menyedihkan apabila dilaporkan bahawa lebih 70% penagih terdiri daripada orang melayu yang beragama islam.Marilah kita merenung sejenak,apakah masalah penyalahgunaan dadah ini tiada jalan penyelesaiannya? Apakah pula sumbangan kita dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah yang merupakan musuh nombor satu negara ini.
Antara usaha yang boleh kita lakukan ialah dengan meningkatkan pengetahuan dan maklumat tentang keburukkan najis dadah,mendapatkan kemahiran dan pengalaman melalui pertemuan-pertemuan dan perbincangan-perbincangan bersama agensi anti dadah kebangsaan (AADK),pemadam (PEMADAM) dan pertubuhan sukarela yang lain untuk merencanakan rangka kerja bagi menangani program-program anti dadah.Selain itu , kita perlu bersungguh-sungguh melaksanakan kerja-kerja pencegahan gejala dadah melalui pengukuhan nilai-nilai kerohanian dalam diri masing-masing.
Permintaa dan bekalan pelbagai jenis dadah dari jenis biasa seperti ganja, heroin dan morfin hinggalah jenis dadah generasi baru atau sintetik seperti steroid estasy,ketamin dan sebagainya sesungguhnya mengancam keselamatan negara, seterusnya membawa kepada masalah jenayah dan sosial.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Walaupun berbagai hukuman mandatori termasuk hukuman mati diperkenalkan dan dikuatkuasakan tetapi kegiatan jenayah pengedaran dan penyalahgunaan dinegara kita masih belum dapat dibasmi sepenuhnya. Pastinya,usaha yang paling berkesan ialah melalui program pencegahan melalui aktiviti pendidikan,kempen berterusan dan penguatkuasaan pihak berkuasa dengan rasa penuh bertanggungjawab dan keinsafan.
Jika kita melihat keadaan fizikal penagih dadah yang kurus kering,lemah ,letih,lesu dan tidak bermaya seumpama bangkai bernyawa yang pastinya tidak berupaya menyumbang apa-apa pun kepada agama dan negara.Dalam pada itu ,bagi memenuhi naluri ketagihannya,mereka akan menjadi ganas,mencuri,membunuh sesiapa sahaja yang menghalang kemahuan mereka.Sehinggakan ibu bapa sendiri,adik-beradik dan saudara mara mereka pun sanggup dirompak dan dibunuh.
Terdapat juga kes-kes penyalahgunaan dadah melibatkan remaja dan kanak-kanak berusia seawal 10 tahun yang melepaskan ketagihan dengan menghidu gam. Terdapat juga golongan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun menggunakan dadah jenis syabu yang mengkhayalkan. Pil-pil tersebut diperbuat daripada campuran bahan yang berbahaya seperti racun tikus dan serpihan mentol lampu, jika diambil secara berterusan boleh merosakkan saraf otak, tidak dapat berfikir secara waras dan bertindak agresif .
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Statistik dinegara kita menunjukkan sejumlah 12,352 penagih telah dikesan pada tahun 2008, berbanding 14,489 pada 2007. Meskipun ada sedikit penurunan perangkaan masih menunjukkan bahawa kaum melayu Islam masih merupakan penagih yang teramai dikesan, iaitu seramai 9,562 orang bersamaan (77%) keseluruhannya . Di Negeri Selangor sahaja, sehingga bulan Mac yang lalu seramai 744 orang sedang menghuni dipusat-pusat serenti yang pastinya menjadi satu cabaran untuk mencapai hasrat Negeri Selangor bebas dadah pada tahun hadapan.
Kajian juga menunjukkan bahawa antara punca utama berlakunya penagihan dadah dikalangan anak-anak muda kita ialah kerana pengaruh kawan (55%), diikuti kerana untuk keseronokkan (21%) dan perasaan ingin mencuba atau ingin tahu (15%) serta akibat tekanan jiwa (6%).
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Para ulamak telah bersepakat bahawa penyalahgunaan dadah adalah haram disisi Islam. Mereka juga telah membuat kesimpulan bahawa semua jenis dadah termasuk dalam pengertian arak atau Himar adalah haram kerana kedua-duanya
boleh memabukkan, mengkhayalkan, melatih-lesukan dan menghilangkan fungsi akal serta boleh menyebabkan ketagihan, gangguan tingkah laku dan sebagainya.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 90 :
Maksudnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".
Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Setiap yang memabukkan adalah Himar (arak atau da
dah) dan setiap Himar (arak atau dadah) haram".
(Riwayat Muslim)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita renungkan dan bersama-sama menginsafi diri kita sejauh mana kita telah menjalankan tanggungjawab kita untuk menjaga anak remaja dibawah seliaan kita dan yang diamanahkan kepada kita daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan gejala munkar yang berkaitan dengannya. Jihad memerangi dadah sebagai musuh nombor satu negara menuntut setiap umat islam memainkan peranan masing-masing dan segera bertindak sebagaimana berikut ;
(1) Pastikan anak-anak kita menunaikan ibadat solat dengan sempurna kerana ianya boleh menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara keji dan munkar.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Ankabut ayat 45:
Maksudnya :
...." Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) ; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar ...."
(2) Laksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar dalam kehidupan seharian agar anak-anak munkar termasuk penyalahgunaan dadah.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali-Imran ayat 104 :
Maksudnya :
"Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) . Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".
Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita bersama-sama bermuafakat berganding bahu mengatasi masalah penyalahgunaan dadah daripada terus memusnahkan generasi kita. Hanya dengan mengikut perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala larangannya dalam segenap lapangan hidup akan menjamin keselamatan kita dan mendapat kebahagiaan didunia dan juga diakhirat. Janganlah kita sesekali mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu sentiasa mencari jalan untuk menimbuljan permusuhan dan kebencian dikalangan umat manusia.
Maksudnya :
"Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti ( daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil ) ?".
Ya Allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit,persengketaan , kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat .
Tarikh Bacaan Khutbah 8 Mei 2009.
No comments:
Post a Comment