Sunday, April 25, 2010

Tingkap pengaruhi ruang

" ARchiteCTURE for LIFE "

Source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tingkappengaruhiruang/Article/index_html

REKA bentuk tingkap sering mempengaruhi penampilan ruang dan memerlukan kreativiti halus.
Berikut beberapa panduan menyerikan tingkap:

1) Tingkap kaca terlalu besar

- Sesuai untuk kondominium atau pangsapuri.

- Turut berfungsi sebagai pintu untuk penghuninya keluar ke beranda rumah mereka.

- Saiz besar dari siling ke lantai memerlukan fabrik langsir yang banyak sebagai kemasan.

- Penggunaan bidai tinggi menegak serta boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menarik talinya.

- Lebih menjimatkan dalam jangkamasa yang panjang.
- Bidai lebih tahan lasak walaupun terdedah dengan pancaran cahaya matahari.

- Pilihan rona natural mudah disesuaikan dengan perabot dan aksesori hiasan lain.


2) Kecil dan bulat

- Memerlukan kreativiti untuk dihias dengan langsir.

- Boleh menggantikan kaca biasa dengan kaca bercorak pilihan.


3) Tingkap tinggi dan sempit

- Biasanya diletakkan di tepi pintu.

- Ia membenarkan cahaya semula jadi masuk ke ruang dalaman.

- Gantung bidai yang boleh diubah kedudukannya.

- Bidai jenis menegak umpamanya boleh dibuka dan ditutup.


4) Tingkap berbentuk kubah

- Mampu menyerlahkan penampilan ruang.

- Menarik tanpa kemasan langsir atau bidai.

- Anda bebas meletakkan aksesori hiasan jika sesuai.

Pemilihan CAT (rumah)

" ARchiteCTURE for LIFE "

Source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Petuapilihwarnacatpalingsesuai/Article/index_html

UNTUK mengecat rumah, tiada petua khusus mengenai pilihan warna. Warna cat rumah atau ruang terutama mencerminkan keperibadian dan gaya hidup pemilik atau penghuninya.
Namun, ketika memilih warna cat rumah, pertimbangkan ruang mana yang mahu dicat sama ada ruang tidur, ruang tamu, eksterior (ruang luar) atau ruang keluarga.
Mungkin anda ingin memperbaharui warna cat pejabat, pangsapuri atau kediaman anda yang bertaraf banglo. Beberapa hal berikut sebaiknya diberi perhatian:


  • Ukuran ruang – ruang yang lebih kecil nampak besar dengan warna lebih muda pada dinding dan warna ‘natural’ untuk perabot.

    (Sisihkan warna cerah untuk pola-pola yang menarik dari aksesori ruang yang terdiri daripada bantal sofa, pot bunga, lampu hiasan atau lukisan mahupun gambar). Anda dapat menggunakan cat bertekstur apabila tidak ada banyak pola untuk dekorasi ruang.

  • Lokasi bangunan – kontraktor cat yang berpengalaman sering menyarankan supaya ruangan di rumah daerah tropis dengan warna sejuk atau atau ‘natural.’ Warna dinding bernuansa hijau, biru atau ungu akan membangun rasa sejuk dalam rumah.

  • Lokasi ruangan – ruangan yang menghadap utara, barat laut atau barat daya cenderung mendapatkan sinar matahari tidak langsung. Warna cat dinding ruang yang tidak langsung mendapat sinar matahari sebaiknya menggunakan warna yang lebih hangat seperti warna yang bernuansa kuning (yellow chiffon), coklat, peach lembut (soft peach). Untuk ruangan yang banyak menerima sinar matahari, Sebaiknya kurangkan tone warna dan menggunakan warna sejuk seperti warna bernuansa hijau, biru atau lavender.

  • Jenis ruang – kamar tidur untuk orang dewasa biasanya menggunakan warna yang nyaman dan tenang – disifatkan kondusif untuk tidur. Untuk kamar anak biasanya, pilih warna lebih menstimulus iaitu warna cerah. Warna ruang pejabat biasanya menggunakan warna hangat dan warna dasar.

  • Bentuk ruang – ruang yang panjang dan sempit akan kelihatan lebih lebar apabila salah satu sisi atau kedua sisi yang lebih pendek diberi warna cat cerah atau gelap; sementara sudut yang lain menggunakan warna pucat bersesuaian (senang disuai padan dengan pelbagai aspek langsir, perabot dan pelbagai).

    Untuk ruang berbentuk kotak tanpa jendela besar atau ‘focal point’ dapat ditambahkan suatu warna agak kuat di salah satu dindingnya. Hal ini akan membuat ruangan lebih berkarakter dan menarik. Misalnya: tiga dinding berwarna putih dan satu dinding diberi cat ungu.

  • Tinggi ruang – warna putih pada sudut tertentu akan menambah kesan tinggi manakala warna gelap pada akan memberi kesan ruangan lebih kecil. Ruangan besar akan terasa lebih nyaman apabila dibuat ‘drop ceiling’ tertentu seperti kertas dinding pada tepinya, baik di atas mahupun bahagian bawah dinding.

  • Gazebo terapung (Kosmo)

    " ARchiteCTURE for LIFE "

    Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm

     Datuk Nadim Johan, 50, dan isteri, Datin Siti Aishah Husin, 28, memiliki sebuah taman berkonsep Melayu lama di balkoni penthouse mereka di tingkat 40 Kondominium Villa Puteri. Ia dimulakan dengan sebuah gazebo.



    KALAU memilih untuk memiliki kediaman di tengah-tengah bandar, ada harga yang perlu dibayar, kata Datin Siti Aishah, 28.

    DARI ATAS IKUT ARAH JAM: RUANG kediaman ini banyak dihiasi permaidari bercorak Arab.
    PERABOT pilihan Nadim dan Siti Aishah bersifat praktikal dan tahan lasak.
    GAYA Maghribi menepati keperluan keluarga ini yang mementingkan keselesaan tetamu.
    MODEN dan bersahaja, kebanyakan perabot di dalam kediaman ini mudah dialih untuk memudahkan ruang ini digunakan untuk pelbagai acara.





    "Habuk banyak jadi mahu tidak mahu saya perlu mengelap tingkap, perabot, aksesori dan segala kelengkapan yang ada di dalam rumah setiap hari. Tambahan pula saya dan suami memang tidak boleh nampak rumah berhabuk ataupun berselerak," ujar ibu muda yang berasal dari Kuala Lumpur itu.
    Biarpun kediaman urban ini dilengkapi banyak pendingin hawa, ada masanya pintu dan tingkap dibiar terbuka untuk membenarkan peredaran udara.
    Lantaran itu, masa suri rumah tangga ini banyak diisi dengan aktiviti membersihkan rumah selain menjaga dan melayan kerenah dua anak kecilnya, Darin Raysha Johor, 11 bulan, dan Dya Sofea Johor, 4.
    Namun kata Aishah, itu hanyalah sebahagian daripada tanggungjawabnya terhadap keluarga. Baginya, memiliki rumah di tengah bandar memudahkan aktiviti seharian.
    "Kelebihan rumah di tengah bandar ini ialah kami dapat melepasi banyak halangan kesesakan lalu lintas. Bukan saja dikelilingi kesemua jenis sistem pengangkutan awam, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), komuter, bas, dan teksi, kami juga ada banyak pilihan jalan yang dapat diambil untuk ke mana-mana.
    The Mall
    "Ini sekali gus melancarkan urusan kerja suami saya selain memudahkan anak-anak yang lebih dewasa untuk singgah di rumah ini sebelum pulang ke rumah masing-masing," kongsinya yang turut mempunyai lima anak tiri hasil perkahwinan Nadim dengan isteri terdahulu.
    Menghias kediaman penthouse dua tingkat berkeluasan kira-kira 427 meter persegi itu mengikut kesesuaian rekaan awal berdasarkan pelan lantai sedia ada.
    Tema Maghribi, kata Aishah, memenuhi keperluan keluarganya yang lebih selesa dengan suasana lapang dan luas.
    "Kerja suami saya sebagai penggerak persatuan pengguna menuntutnya untuk banyak bertemu dan bergaul dengan orang ramai.
    "Selain bertemu dan bermesyuarat di kafe kami di tingkat empat kompleks beli-belah The Mall, beliau kadangkala membawa klien dan kawan-kawannya pulang ke rumah.
    "Jadi rumah ini ada banyak kerusi dan ruang lapang untuk memudahkan pergerakan tetamu yang datang," katanya.
    Tambah Aishah, rumah yang baru didiami tidak lebih tiga tahun itu juga pernah menjadi lokasi majlis perkahwinan teman suaminya yang tinggal di luar Kuala Lumpur.
    Kelapa sawit
    "Dapatlah juga memuatkan lebih 50 tetamu pada satu masa. Disebabkan kami selalu menerima tetamu, kami memilih untuk melengkapkan rumah ini dengan perabot yang praktikal dan tahan lasak.

    DARI ATAS IKUT ARAH JAM: RUANG keluarga yang dilengkapi teleskop di aras atas.
    CERMIN bulat yang menghiasi ruang tangga menarik dipandang.
    BILIK tidur utama juga dibiar ringkas dengan dominasi warna hitam melalui perabotnya.


    "Lebih-lebih lagi anak-anak kecil. Kami tidak mahu terlalu risau memikirkan isu keselamatan perabot.
    "Lebih baik tetamu berasa selesa di rumah ini daripada sentiasa perlu berhati-hati sehingga kekok kerana takut merosakkan perabot," ujar Aishah.

    DARI ATAS IKUT ARAH JAM: TALI tempat anak-anak bermain disediakan di bahagian tengah rumah.
    SISHA yang merupakan simbol Asia Barat yang semakin popular di Malaysia.
    LAMPU tangga bertingkat yang memaksimumkan ruang.


    Satu tarikan yang menyapa mata ialah pemandangan sebuah gazebo di balkoni yang berlatarbelakangkan langit biru.
    Berhias pokok kelapa sawit dan tumbuhan berpasu, gazebo berkenaan tampak terapung-apung di udara jika ia diperhatikan dari aras atas penthouse tersebut.

    BERDIRI di puncak bangunan kondominium 40 tingkat, gazebo ini memberi kelainan kepada kediaman urban ini.


    "Bahagian balkoni masih dalam proses untuk disiapkan. Kami merancang untuk mewujudkan taman berkonsepkan Melayu tradisonal di sini. Sekarang baru ada gazebo.
    "Pada waktu petang, suami memang gemar mengambil angin di balkoni sambil minum petang.
    "Pada hari yang ada acara seperti Hari Kemerdekaan, kami dapat menikmati pemandangan percikan bunga api dari sini. Memang cantik," luahnya.

    Friday, April 16, 2010

    Jantung Bukan Hati

    " ARchiteCTURE for LIFE "

    kolumnis_mohdasri_v3.png

    Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.

    Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.

    Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.
    Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.
    Qalb dan Qulub
    Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.
    Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).
    Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).
    Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).
    Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.
    Kekeliruan
    Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).
    Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.
    Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.
    Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.
    Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).
    Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.
    Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.
    Al-Quran dan Hadis
    Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!
    Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.
    Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!

    Monday, April 5, 2010

    Kediaman tanpa cermin (Kosmo)

    " ARchiteCTURE for LIFE "

    Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm


    SUSUN atur ruang tamu ini tampak ringkas dan indah biarpun tanpa hiasan yang berlebihan.


    UMPAMA melangkah masuk ke satu ruang bawah tanah yang dihias indah, pandangan mata disapa lembut oleh warna-warna bumi yang terkenal sebagai pemantul dimensi sejuk dan malar hijaunya.
    Memiliki kediaman dengan keluasan 244 meter persegi, konsep hiasan minimalis yang tidak membelakangi kepentingan reka letak perabot ini menjadi kunci utama keindahan rumah ini.
    Kaya dengan haruman terapeutik segar yang melingkari setiap sudut kediaman, idea dan kreativiti pemilik pangsapuri ini perlu diberi pujian.
    Dengan gandingan kertas dinding kalis air rona coklat dengan bingkai kuning cair, nuansa redup yang diminati Faizal Zain, 32, cukup menjadi.

    HASIL kraf rotan sangat digemari Faizal.


    Inginkan suasana rumah bagai di spa, elemen warna sejuk dan cahaya suram nyata berjaya ditonjolkan.
    Tidak menggemari lampu siling moden, lampu lekap dinding mahupun candelier dengan rekaan kontemporari, cita rasa bapa kepada Faiz-al Haikal, 5, dan Binafsha Ahadiya, 4, lebih cenderung memilih padanan gantungan mentol dan jalinan rotan lembut sebagai sumber cahaya.

    BILIK tidur utama dilatari rona coklat nan tenang.


    Mentol
    “Saya memang tak suka lampu putih, terutamanya lampu kalimantang kerana cahaya cerah yang dihasilkannya.
    “Saya lebih gemar mengunakan jalinan rotan lembut ini sebagai bekas lampu berbanding menggunakan lampu biasa.
    “Selain berfungsi sebagai lampu, ia juga sebahagian daripada identiti kepada hiasan keseluruhan kediaman saya.
    “Kesan bias yang terhasil sangat mengasyikkan, khususnya pada waktu malam,” ujar Pegawai Komunikasi Korporat & Pemasaran di sebuah kolej kejururawatan terkemuka ini.
    Boleh dikatakan kesemua hiasan di rumah yang mempunyai tiga bilik ini didominasi oleh unsur alam.
    Selain bola dan pasu hiasan - yang semuanya diolah daripada tumbuh-tumbuhan, objek yang diperbuat daripada kayu juga antara yang menjadi pilihannya.
    Daripada hiasan set kerusi sudut hinggalah meja makan, kabinet dapur dan kelengkapan di kamar tidur, semuanya diperbuat daripada kayu berwarna gelap.
    “Saya suka elemen kayu kerana ia tampak sejuk dan lebih semula jadi. Jika ada pinggan atau cawan kayu, pasti itu yang akan saya beli dan guna. Malah, rumah ini ada satu saja benda berasaskan kaca iaitu cermin muka.
    “Mungkin ia kedengaran pelik tetapi saya lebih suka barangan plastik atau kayu.
    “Saya juga tidak menggemari warna cerah dan fabrik yang bercorak,” katanya yang banyak mencurah idea menghias rumah sementelah isterinya, Shahnaz Faizal, 31, bertugas di Riyadh, Arab Saudi.

    DAPUR kelihatan segar dengan tumbuhan menjalar.


    Cenderung untuk mencipta suasana redup di seluruh rumah, kediaman ini hanya mengenakan langsir hitam polos di setiap bilik sebagai penghadang terik matahari.
    Hanya pintu gelangsar di ruang tamu dibiar tanpa langsir bagi membenarkan cahaya matahari menembusi rumah pada waktu siang.
    Lebih selesa menggunakan sepenuhnya udara yang dijana pendingin hawa, Faizal berpendapat cara itu mampu mengurangkan kekerapan mengemas rumah.

    Bak spa
    “Saya mahukan rumah yang bersih dan menenangkan namun segalanya perlu tersusun dan praktikal.
    “Saya juga gemarkan penstoran yang kemas di dalam almari yang tidak telus pandang,” ujarnya yang memilih lantai kayu flobis berlamina untuk melatari persekitaran rumah.
    Rumah ini pada asalnya memiliki ruang tamu yang luas dan memanjang hingga ke ruang makan. Namun, kerana inginkan ruang yang lebih privasi, satu dinding telah dibina sebagai pemisah tanpa menyempitkan kedua-dua ruang.
    Malah, Faizal mengambil langkah alternatif untuk memberi ilusi luas kepada rumahnya dengan berpegang kepada prinsip meminimumkan penggunaan perhiasan tambahan.

    LAMPU berdiri memberi ilusi siling lebih tinggi di ruang tengah rumah.


    “Saya hanya memilih hiasan yang praktikal. Tiada hiasan kristal atau kaca yang semata-mata hiasan di rumah ini, sebaliknya saya akan membeli sesuatu yang akan menonjolkan identiti spa,” katanya.
    Membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk kerja pengubahsuaian dan membeli perabot baru untuk kediamannya, Faizal puas dengan hasil kreativiti sendiri.
    “Memang impian saya untuk memiliki rumah bak spa. Ketenangan yang tercipta di kediaman ini ibarat terapi untuk saya selepas seharian penat bekerja,” ujarnya yang juga jurufoto dan pereka dalaman sambilan.
    Related Posts with Thumbnails