Monday, December 21, 2009

Arkitek Revolusi Iran meninggal dunia (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "


TEHERAN - Ulama kanan Iran yang menjadi penentang kerajaan, Ayatollah Hossein Ali Montazeri (gambar) telah meninggal dunia, lapor media rasmi semalam.
Ayatollah Hossein yang berumur 87 tahun merupakan arkitek Revolusi Islam pada 1979 yang menggulingkan pemerintahan Shah Iran.
Beliau pernah dikenakan tahanan rumah selama beberapa tahun.
"Hossein Ali meninggal dunia di rumahnya pada malam kelmarin," lapor agensi berita ramsi IRNA.
Beliau tinggal di bandar Qom, selatan Teheran.
Pada Ogos lalu, beliau menyatakan cara pihak berkuasa menangani protes jalanan keputusan pilihan raya Presiden Julai lepas, boleh menyebabkan kejatuhan pemerintah yang bertunjangkan ulama itu. - Reuters

Al-Qaradawi: Tokoh Tajdid

" ARchiteCTURE for LIFE "

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Kedatangan Dr Yusuf al-Qaradawi ke Malaysia amat dialu-alukan. Walaupun saya tidak sempat mengikuti ucapan beliau pagi semalam yang khabarnya berkaitan buku terbarunya Fiqh al-Jihad, tetapi saya telah pun membeli buku tersebut sejak dua bulan lepas. Buku tersebut merupakan karya terbesar beliau selepas Fiqh al-Zakah.

Saya antara pengkagum Dr Yusuf al-Qaradawi. Bukan kerana namanya, tetapi kerana kesarjanaannya. Buku-bukunya mempunyai nilai analisis dan kebebasan akal dari sebarang fanatik mazhab. Beliau adalah tokoh tajdid yang menyeru kepada keluasan fekah dan kemerdekaan minda dari ketaksuban pandangan tokoh kepada penilaian setiap pendapat dengan adil berteraskan al-Quran dan a-Sunnah.



Dalam buku terbarunya itu beliau menyebut tentang kaedah dalam penulisannya:
“Mengambil manfaat dari khazanah fekah islami dan mengiktiraf lautannya yang luas dengan tidak cenderung kepada hanya satu mazhab tanpa melihat mazhab yang lain, atau terikat dengan satu imam tanpa melihat imam yang lain.
Bahkan kita menganggap peninggalan besar ini (khazanah fekah) milik setiap pengkaji untuk dia menyelami dasarnya, membongkar simpanannya, menggali setiap penjurunya, membandingkan antara satu pendapat dengan pendapat yang lain, satu dalil dengan dalil yang lain tanpa taksub kepada satu pandangan atau taklid berterusan kepada satu mazhab.
Bahkan kadang-kala kita mengambil pendapat Abu Hanifah, kemudian pendapat Malik, kemudian pendapat Syafii, kemudian pendapat Ahmad, kemudian pendapat Daud (maksudnya Daud al-Zahiri-pen). Bahkan mungkin dalam beberapa perkara kecil kita keluar dari mazhab sunni kepada mazhab Zaidiyyah, ataupun Ja’fariyyah ataupun Ibadiyyah jika kita dapati penyelesaian masalah dalamnya.
Mungkin juga kita akan mengambil sebahagian pendapat mazhab yang hilang seperti Mazhab al-Auza’i, Mazhab al-Thauri dan Mazhab al-Tabari. Bahkan kita kadang kala akan keluar dari kesemua mazhab itu pergi ke dataran luas fekah para sahabat Nabi s.a.w, tabi’iin, dan atba’ al-tabi’in yang mana mereka ini tiada mempunyai sebarang mazhab yang diikuti. Mereka seperti al-Khulafa al-Rasyidin, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, ‘Aishah, Mu’adz, Ubai bin Ka’ab, Zaid bin Thabit dan para sahabat r.ahum yang lain.
Demikian juga murid-murid mereka seperti mereka yang dikenali sebagai fuqaha (ahli fekah) yang tujuh di Madinah, juga selain mereka di Mekah, Kufah, Basrah, Mesir, Syam dan wilayah-wilayah yang lain yang para sahabah dan murid-murid mereka bertebaran. Antaranya; Sa’id bin al-Musayyib, Sa’id bin Jubair, ‘Ikrimah, Mujahid, Ata`, Tawus, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, ‘Alqamah, al-Aswad, Masruq, al-Nakha’i, al-Laith bin Sa’d dan selain mereka…” (Fiqh al-Jihad, 1/24, Kaherah: Maktab Wahbah).
Saya fikir jika ada orang yang ingin berpegang dengan keluasan mazhab atau intelektualisma yang seperti itu di Malaysia tentu akan ada yang menuduh ini puak ‘derhaka mazhab’, tidak beradab dengan jasa orang-orang lama kita, keluar mazhab Syafi’i, rasa terlalu pandai dan berbagai lagi. Bahkan lebih trajik; wahabi dan sesat.
Sebab itulah barangkali pandangan-pandangan agama kita membeku dan generasi baru tidak dapat melihat keluasan Islam akibat kesempitan jendela fikir kita. Kita kononnya ini menghormati khazanah agama di Tanah Melayu sehingga kita melarang orang lain meneliti pandangan luar mazhab, padahal kita lupa tindakan seperti itu menyebabkan kita menyisihkan sekian banyak khazanah kesarjanaan dari berbagai-bagai aliran pemikiran dalam umat ini. Bukan salah bermazhab, tetapi salahnya itu fanatik mazhab sehingga menganggap setiap yang luar itu salah dan enggan menilai lagi pendapat yang dipakai hanya kerana ‘ini mazhab kita!!’.

Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi ketika memperkatakan tentang Manhaj Mu’asir li al-Fatwa (Kaedah Semasa Dalam Fatwa) menyebut perkara pertama adalah “Membebaskan diri dari fanatik dan taklid”. Beliau menyebut:
Pertama, membebaskan diri dari fanatik mazhab dan mengikut secara buta tuli kepada si fulan dan si fulan, samada dia dalam kalangan ulama terdahulu atau kemudian“. Dikatakan “ tidak bertaklid itu melainkan seorang fanatik atau dungu”.
Aku tidak rela untuk diriku salah satu dari sifat tersebut. Membebaskan diri dari fanatik mazhab itulah sebenarnya merupakan penghormatan yang sepenuhnya kepada para imam dan fakih (ahli fekah). Tidak bertaklid kepada mereka bukanlah merendahkan kedudukan mereka, sebaliknya itulah yang menepati jalan mereka, juga melaksanakan wasiat mereka agar tidak bertaklid kepada mereka.
Kita mengambil agama dari sumber yang mereka ambil (al-Quran dan al-Sunnah). Juga tidak bertalkid kepada mereka bukanlah bererti mengabaikan fekah dan warisan mereka. Sebaliknya, sewajarnya merujuk dan mengambil faedah daripadanya, dari pelbagai aliran tanpa berat sebelah ataupun fanatik. Pendirian seperti ini tidak mensyaratkan seorang sarjana muslim yang berdikari kefahamannya itu mesti sampai ke peringkat ijtihad mutlak seperti para imam yang terdahulu.” ( al-Qaradawi, al-Fatwa bain al-Indibad wa al-Tasaiyub, m.s 101, Beirut: al-Maktab al-Islami).
Ungkapan kemerdekaan ilmu dan kebebasan diri dari kongkongan taksub amat dimusuhi oleh sesetengah pihak. Oleh kerana sejak sekian lama mereka dipayung oleh rasa fanatik lalu mereka tidak akan bertanya atau mempersoalkan lagi apa yang dilontarkan oleh guru mereka sehingga pemikiran agama menjadi longlai dan dihakiskan oleh cabaran zaman.
Namun kelompok agama ini tetap ingin mewarisi takhta ‘empayar agama’ yang tokoh-tokohnya tidak boleh dipersoal, atau pandangan mereka dibincang semula, maka mereka pun mengeluarkan fatwa ‘siapa keluar mazhab dia sesat’, atau ‘siapa banyak tanya atau mengkritik pandangan kita atau kebiasaan kita dia biadap’, bahkan siapa yang cuba memahami Islam di luar dari yang kita terangkan maka ‘dia sesat dan terkeluar dari Ahlus Sunnah’.
Seakan bagi mereka ini para sarjana Islam dari mazhab-mazhab yang lain kesemuanya sesat dan bukan Ahlus Sunnah sehingga kita dilarang memahami dan berpegang dengan kajian mereka! Hal ini bertambah buruk apabila aliran tarekat turut berkembang dalam negara kita kebelakangan ini. Ramai dalam kalangan tarekat yang memegang tradisi ‘jangan tanya, ikut saja’ amat marah melihat gerakan pembaharuan yang meminta agar fungsi akal dihidupkan dalam mengikuti agama ini. Islam adalah agama fitrah dan waras. Akal mempunyai kedudukan yang penting dalam Islam sehingga orang gila atau belum sempurna akalnya tidak diletakkan atas neraca dosa dan pahala.
Ibn Taimiyyah
Walaupun al-Qaradawi tidak fanatik kepada mana-mana tokoh, namun ini bukan bererti tiada tokoh kesayangan atau tokoh yang beliau kagumi. Dr al-Qaradawi pernah menyebut
Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling jantung hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, m.s. 170, Mesir: Dar al-Wafa).
Hampir kesemua buku-buku Dr al-Qaradawi dipenuhi nukilan dari Syeikhul Islam Taimiyyah (meninggal 728H) dan muridnya al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H). Ini kerana dua tokoh agung ini terkenal dengan usaha tajdid membangunkan semula umat dan membebaskan mereka dari daerah fanatik, jumud dan ‘malas berfikir’.
Kata al-Qaradawi dalam al-Thaqafah al-‘Arabiyyah al-Islamiyyah:
“Ibn Taimiyyah dan institusinya adalah salafis. Mereka itu benar-benar tokoh tajdid (revival). Tiada seorang pun yang cuba menafikan pemikiran tajdid mereka, melainkan dia seorang yang keras kepala.” (m.s 59, Kaherah: Maktab Wahbah).
Golongan fanatik mazhab seperti Ahbash membantah beliau kerana suka merujuk kepada Ibn Taimiyyah. Kata al-Qaradawi: “Termasuk perkara yang pelik, mereka golongan Ahbash ini mentohmah aku ini wahhabi dan taksub dengan para imam Wahhabi, kerana seringkali aku apabila bercakap mengambil daripada Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim dan madrasah mereka berdua, mereka (Ahbash) menuduh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim ini menyalahi ijma’ dalam persoalan ini dan itu..”.
Di Malaysia, kelompok anti-Ibn Taimiyyah bersarang di sesetengah pondok, jabatan agama dan beberapa institusi yang lain. Ada yang keluar dalam TV dan akhbar menyesatkan Ibn Taimiyyah, bahkan mengkafirkannya. Jika mereka baca karya al-Qaradawi tentu tuduhan yang sama akan dikenakan kepada beliau.
Maka al-Qaradawi juga tidak terlepas dari berbagai tohmahan. Beliau pernah dituduh sebagai liberalis, wahabis dan berbagai lagi. Tuduhan itu datang dari berbagai, samada kelompok fanatik mazhab, fanatik tarekat, juga yang aliran salafi jalur keras yang jumud. Bahkan ada buku yang melebelnya sebagai ‘anjing yang menyalak’.
Dalam masa yang sama Barat juga melancarkan permusuhan dengan beliau. Ini kerana beliau bekerja untuk Islam, menulis, berceramah dan merancang. Sebelum al-Qaradawi menjadi ‘gergasi’ dengan nama yang besar seperti sekarang, beliau juga pernah memasuki penjara. Bahkan ketika ini pun ada negeri yang tidak membenarkan beliau masuk. Demikian hari-hari yang mesti dilalui dalam melakukan agenda dakwah dan pembaharuan. Seorang tokoh itu tetap tokoh dan akan ada yang membelanya.

Wednesday, December 16, 2009

Nafas baru Rumah Suffolk (kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

Ia adalah sebuah rumah bersejarah tetapi terbiar lama tanpa perhatian. Namun, nafas baru telah diberikan kepada rumah ini bagi menonjolkan keunikan yang dimilikinya selama ini.

RUMAH Suffolk yang pernah menjadi kediaman Francis Light kini dibuka untuk kunjungan orang ramai.


SEORANG lelaki Inggeris, Francis Light yang dikaitkan dengan pembukaan Pulau Pinang pernah mendiami rumah ini. Dikenali sebagai Rumah Suffolk, ia kini menjadi sebahagian daripada bangunan warisan Pulau Pinang. Rumah Suffolk telah dinaik taraf beberapa kali bagi mempamerkan semangat kolonial yang tinggi.
Sebagai seorang pemain politik Inggeris, Francis Light yang dipercayai turut mengasaskan bandar raya Georgetown pada tahun 1786 dikatakan menyimpan banyak peristiwa bersejarah di kediamannya itu.
Sungguhpun begitu, struktur bangunan yang kita lihat sekarang bukanlah bangunan sebenar yang pernah diduduki Francis Light. Ini kerana dipercayai beliau juga mempunyai rumah lain di Pulau Pinang tetapi dalam bentuk rumah Melayu. Rumah Suffolk yang anda lihat sekarang adalah hasil binaan William Adward Philips yang merupakan setiausaha gabenor ketika itu.
Rumah awal yang dibina oleh Francis Light terletak di tengah-tengah estet lada. Oleh kerana beliau berada di sini dalam tempoh yang singkat (1786 - 1794) iaitu lapan tahun, beliau mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk mendirikan rumah di tengah-tengah hutan ketika itu.
"Saya kecewa kerana bukan semua sejarah yang berlaku di Rumah Suffolk ini direkod dengan baik dan saya percaya banyak yang telah hilang," kata Pengarah Komunikasi Badan Warisan Malaysia, Mark Gibson yang kini bertanggungjawab dalam pembaharuan bangunan tersebut.
Dilaporkan hanya dua insiden paling popular direkodkan di rumah tersebut iaitu kisah cinta Francis Light dengan Martina Rozells serta perbincangan mengenai penemuan Singapura oleh Sir Stamford Raffles.
Rozells adalah anak kacukan Portugis dan Thailand. Dia adalah anak angkat Sultan Kedah yang pada awalnya menjadi orang tengah perundingan antara Sultan Kedah dan Francis Light. Francis Light jatuh cinta dengan Rozells yang dipercayai seorang yang sangat cantik memandangkan dia mempunyai darah kacukan Thai dan Portugis. Oleh kerana berlainan mazhab, Francis Light merupakan seorang penganut Protestan manakala Rozells bermazhab Katholik, mereka tidak dapat berkahwin kerana Francis Light terpaksa menghormati keperluan mazhabnya. Namun begitu, mereka dipercayai berkahwin secara rahsia di Phuket, Thailand sebelum datang ke Pulau Pinang.
"Kisah penemuan dan politik di Singapura mula dibincangkan di rumah ini iaitu di ruang legar yang terletak di sebelah pejabat yang dikenali sebagai Marble Hall," kata Mark sambil menuding jari ke ruang legar yang masih disalut dengan batu marmar.

TANGGA menuju ke tingkat dua.


Beliau menambah: "Itu rekod paling jitu yang kami miliki tentang rumah ini. Kisah cinta dan perkahwinan Francis Light dengan Rozells juga berakhir di sini. Mereka mempunyai lima orang anak yang mana salah seorang adalah pengasas bandar Adelaide, Australia, William Light."
Rumah yang dinamakan sempena nama estet lada, Suffolk yang juga tempat kelahiran Francis Light, Suffolk, England itu asalnya dipercayai meliputi kawasan seluas 64.74 hektar tetapi kini hanya tinggal kurang 0.8 hektar. Walaupun tidak mempunyai ukuran tepat berhubung keluasan rumah, Mark berkata, ia adalah satu-satunya rumah Georgian dalam reka bentuk Anglo-Indian di luar India yang masih wujud.
"Selepas Francis Light meninggal dunia, William Edward Philips membina rumah yang anda lihat sekarang pada tahun 1810. Ia kemudiannya bertukar ke beberapa tangan yang menghuni rumah tersebut," jelasnya lagi.
Selepas bertukar tangan dan ditinggalkan selama beberapa tahun (tiada rekod sah mengenainya), Rumah Suffolk diambil alih oleh gereja mazhab Methodist yang menggunakannya sebagai sekolah lelaki Methodist. Pada awal 1970, keusangan teruk pada rumah tersebut menyebabkan pelajar lelaki sekolah itu terpaksa mencari bangunan alternatif, manakala rumah tersebut dipulangkan kepada kerajaan negeri.
Selepas dibina kira-kira 200 tahun lalu, rumah dua tingkat yang dibina di tepi Sungai Air Itam itu kini telah diperbaiki dan dinaik taraf. Bangunan yang masih utuh dengan rekaan lama itu dijaga baik supaya dapat terus mengekalkan sejarahnya.
Di Rumah Suffolk, terdapat pelbagai papan tanda yang mempamerkan nama penderma dan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pembaikpulihannya. Selain itu, ruang dalaman pula dihias cantik menggunakan perabot kayu Anglo-India yang mempamerkan nostalgia lama bangunan tersebut.
Di tingkat atas, ruang legar yang seolah-olah sebuah dewan dikelilingi dengan jaring dan penutup tirai. Ia mungkin bagi menghalang nyamuk dan serangga mahupun binatang kecil yang lain masuk. Semuanya kini dijaga kemas dan rumah itu juga dibuka sebagai tempat lawatan. Ia turut mempunyai restoran yang menawarkan makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
Sebagai pengurus Rumah Suffolk, Badan Warisan Pulau Pinang kini berhasrat untuk menawarkan pakej lawatan kepada pengunjung bercita rasa tinggi termasuk menyediakan kreativiti dan inovasi dalam setiap aktiviti yang dilakukan di rumah itu.

SUSUN atur perabot kayu Anglo-India.


Selain sekadar menjadi tempat lawatan, Rumah Suffolk juga menawarkan khidmat sebagai lokasi untuk mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan, majlis sosial dan korporat.
Rumah tersebut dibuka untuk orang ramai dari hari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang. Ia dijangka dibuka setiap hari dalam masa terdekat ini. Bayaran masuk untuk setiap dewasa adalah RM10 dan tiada bayaran bagi kanak-kanak di bawah enam tahun.
Bagi mereka yang mahukan lawatan yang diiringi oleh pemandu pelancong, mereka boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong bagi kumpulan 10 atau lebih pengunjung dengan bayaran RM15 seorang. Selain itu, terdapat diskaun untuk bayaran masuk bagi pelajar sekolah.

Monday, December 14, 2009

Hospitaliti tradisional

" ARchiteCTURE for LIFE "

ALAM DAMAI

Penampilan kedesaan yang ringkas dan minimum membuatkan ramai pelancong tertarik dengan kenyamanan suasananya. Destinasi inap desa Malaysia terus popular dalam agenda percutian domestik.



BAYANGKAN pintu dan jendela kayu yang tidak perlu ditutup selalu. Ia membenarkan peredaran angin segar untuk menyejukkan suhu bilik.
Begitu juga dengan halaman hijau dan ruang dalaman luas yang cukup membuatkan penghuninya terasa bebas. Kebebasan itu tidak seperti jenis pelan lantai kondominium sempit yang dibangunkan sesetengah pemaju di bandar raya.
Itulah keistimewaan kehidupan di desa. Apatah lagi suasana kampung itu boleh dikongsi bersama orang luar melalui konsep inap desa (homestay). Kompilasi inap desa yang dibawakan Ruang kali ini membawa anda meninjau beberapa lokasi homestay popular di seluruh negara.
Salah satu contoh adalah Bob’s Homestay yang terletak di Kampung Johor Lama. Ia antara lokasi penginapan gaya desa yang mengajak tetamunya bersantai dalam persekitaran alam semula jadi.

KIRI: RUMPUT menghijau bagai dihampar di sekeliling banglo
KANAN ATAS: SUASANA perkarangan tradisional seperti di Homestay Jeruju ini menggamit kenangan ramai kepada kampung halaman masing-masing.
KANAN BAWAH: KEUNIKAN unit penginapan yang ‘dijulang’ tiang ini adalah antara yang boleh disewa dengan harga berpatutan di Bob’s Homestay.


Pemiliknya ialah Mohd. Bahari, yang lebih mesra dengan panggilan Bob pada mulanya membeli bidang tanah tersebut untuk menghabiskan waktu sepanjang usia persaraannya.
Bermula dengan sebuah rumah sederhana, dia memperbesarkan seni bina di kawasan seluas tiga ekar tersebut dengan menambah bilik-bilik seumpama dormitori.
“Ia pada mulanya untuk digunakan teman-teman saya yang berkunjung dan bermalam di sini. Kami suka memancing bersama,” ujar Bob yang akhirnya bersetuju menjadikan rumahnya itu sebagai sebuah homestay lantaran disaran rakan-rakannya.
Di Bob’s Homestay, dia merealisasikan daya tarikan sebuah rumah kampung pinggir laut dengan kemudahan bernilai tambah.

KIRI ATAS: PERMAINAN tradisi tidak pernah gagal menjemput rasa ingin tahu para pelancong asing.
KANAN ATAS: PROGRAM inap desa berjaya melonjakkan trend percutian domestik sekali gus membantu orang kampung menjana pendapatan.
KIRI BAWAH: DEKORASI hasil kreativiti penghuni rumah.


“Saya mengeluarkan belanja berperingkat untuk membina jeti, membela ternakan dan juga menanam rumput karpet,” kata bekas pegawai bank itu.
Sama ada atas kuasa bajet dan inisiatif sendiri mahupun program pengiktirafan homestay yang dibantu kerajaan negeri, semuanya bertujuan untuk merancakkan agenda percutian dan mempromosi hospitaliti Malaysia yang berkonsep tradisional.



Misalnya di negeri yang sama, Homestay Felda Semenchu dikelola oleh pihak Felda dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA). Terletak di laluan menghala ke pusat peranginan Desaru, sebanyak 92 buah rumah menanti tetamunya dengan standard kebersihan dan kemudahan yang terjaga.
Di Homestay Jeruju, Mukim Jerlun, Kubang Pasu, Kedah pula, program inap desa kampung itu yang berada di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelancong tempatan dan asing termasuk dari Korea dan Jepun.
Kampung yang namanya diambil daripada nama pokok itu pernah dilanda tragedi hakisan pada tahun 1990. Ancaman yang menenggelamkan kampung di sepanjang pantai Jeruju itu sekali gus membuatkan penduduk resah.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah mengambil langkah mewujudkan penempatan semula. Sehingga kini, terdapat seramai 304 penduduk di kampung berkenaan yang dibangunkan dengan pelbagai program termasuk inap desa.
Meninjau ke dalam bilik-bilik penginapan, lazimnya susun aturnya hampir sama dan tampil minimum. Katil, almari, kerusi rehat dan meja dandanan sudah memadai. Langsor ropol dan cadar kapas dengan warna terang dipilih untuk menambah seri.
Kalau bukan beralas permaidani bermotif kerawang, tentunya tikar getah corak geometri menjadi pilihan. Pasti semua itu mengingatkan pengunjung kepada kampung sendiri. Begitupun di homestay, tiada yang akan mengkritik kalau koordinasi warna perabot dengan fabrik tidak senada.
Kalau tarikan agrikultur dan landskap yang berwarna-warni dengan pohon bunga hiasan mampu menyejukkan mata dan perasaan, tentunya Homestay Pelegong di Negeri Sembilan mampu memuaskan hati.
Di kampung ini, aura autentik kampung secara tidak langsung disumbangkan oleh aktiviti harian penduduknya yang menjunjung budaya Minangkabau. Kebanyakan rumah di sini mempamerkan hiasan kraftangan yang berasaskan anyaman rotan dan buluh. Tidak mustahil sekiranya idea dekorasi desa seperti raga, tikar dan terendak ‘dipinjam’ tetamunya untuk menambah seri ruang tamu kediaman bandar masing-masing!
Homestay Kampung Ayer Limau di Melaka adalah saranan Ruang yang terkini khusus anda yang mencari lokasi baru. Selain mengisi waktu dengan mendekati masyarakat setemopat dan pelbagai produk kampung, ambil kesempatan untuk menghargai seni bina rumah lama.
Memang bertuah bagi tetamu yang berpeluang bermalam di dalam salah sebuah rumah utama yang dibina daripada kayu jati bermutu tinggi. Bukan sahaja kerana penampilannya yang mewah seumpama istana lama, ia lengkap dengan ornamen hiasan seperti pintu gerbang, jendela dan rabung yang berukir motif alam Nusantara.

DARI ATAS IKUT ARAH JAM: TANPA banyak perabot, penampilan sebegini jelas mengangkat konsep bersih dan kemas.
SAMBUTAN gaya di pintu masuk di kediaman Maalip Puteh di Homestay Felda Semenchu.
TATA rias ringkas namun cukup selesa di salah sebuah rumah di Homestay Pelegong.


Ada satu perkara yang jelas biar di mana pun seseorang pelawat itu memilih untuk bermalam. Tuan rumah dan orang kampung yang terlibat dalam program inap desa ini melayan tetamu umpama darah daging sendiri.
Hingga tiba waktu untuk mengucapkan selamat tinggal, tentunya pengunjung akan membawa bersama kenangan manis dan juga janji untuk berkunjung semula!

My PRACTICAL TRAINING (4th week) - 2nd Edition

" ARchiteCTURE for LIFE "

(Project A)

Four storey office for UMNO at Taiping, Perak (Urban Infill)
- Schematic Design
:Layout plans
:Sections
:Elevations
:ACAD (technical)


Comment: Alhamdulillah, hari khamis submit proposal kt kak intan (Bos). hri jumaat dpt feedback. Nk kne develop lg elevation n plan + section minor changes.

Khutbah Jumaat - 11 Disember 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

"RAJA MENAUNGI RAKYAT"
  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kita juga bersyukur kehadrat Allah kerana menempatkan kita di buminya yang bertuah ini dalam suasana aman, damai dan sejahtera, di samping dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.



Muslimin yang mulia,
Sempena ulangtahun  keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, maka kita sebagai rakyat di Negeri Selangor, bersyukur kehadrat  Allah  Subhanahu  Wata'ala  kerana telah mengurniakan kita dengan sistem pemerintahan yang teguh dan politik yang stabil lagi mantap, di mana Duli Yang Maha Mulia sultan atau Raja Melayu telah menjadi payung negeri sejak zaman lampau. Hasilnya, kita dapat melaksanakan tanggungjawab dengan melakukan aktiviti, seperti beribadah dengan tenang dan dapat mencari rezeki dalam suasana yang aman damai .
Sesungguhnya, Institusi Raja memainkan peranan penting dalam mempertahankan Islam dan Perpaduan Rakyat di negara ini. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat negeri ini hidup penuh muhibbah serta bersatu-padu, dengan menghormati Institusi Raja Berperlembagaan. Elakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tindakan, yang boleh menggugat atau mencemarkan Institusi Raja-raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai Agama Rasmi di negara ini.
 Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 101:
"Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul  (lurus)".        
 Muslimin yang dirahmati Allah,
Sejak akhir-akhir ini, terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan kedudukan Islam dalam perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah dan bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu di negara ini. Persoalan yang timbul ialah mengapa keadaan ini boleh berlaku?.
Ia berkemungkinan disebabkan ukhuwah umat Islam yang semakin longgar, wujudnya perpecahan, hilang integriti dan sanggup diperalatkan oIeh pihak lain. Jika perkara seperti ini berlaku secara berterusan, umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang sama seperti yang berlaku di sesetengah negara, di mana rakyatnya diburu dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam struktur kepimpinan negara kita, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, raja atau sultan merupakan ketua perlembagaan yang tertinggi. Kedudukan Baginda dijamin oIeh perlembagaan sebagai Ketua Negeri dan sebagai Ketua Agama Islam demi menjamin kesucian syariat Islam terus terpelihara.
Hubungan erat antara raja dengan rakyat, pemimpin dengan orang yang dipimpin, bukanlah suatu yang luar biasa. Malah ia merupakan amalan yang biasa berlaku sama ada dalam Tradisi Kepimpinan Islam atau pun dalam Kesultanan Melayu itu sendiri.
Sebagai umat yang bermaruah dan berintegriti, kita hendaklah kasih dan cinta kepada tanah air kita. Di antara bukti kasih dan cinta kepada tanah air ialah sama-sama kita mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang sedang kita miliki sekarang. Menurut syarak, berjihad kerana kesucian agama, mengangkat martabat ummah, menjaga harta benda dan kedaulatan tanah air, adalah fardhu kifayah. Bahkah ia menjadi fardu ‘ain sekiranya ia dicerobohi.
Negeri yang stabil, aman dan makmur akan dapat memberi peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menikmati sepenuhnya penghayatan beragama, pembangunan sosio-ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
Kita amat bersyukur kehadrat Allah dan menjunjung kasih kepada Raja kita, dalam suasana yang tertentu, dalam keadaan genting dan gawat, tidak dapat dinafikan bahawa raja kita telah dapat memainkan peranan dalam membantu menyelamatkan keadaan dan mengendurkan ketegangan perkauman dan politik, menjaga kesucian Islam, adat istiadat orang Islam dan menjadi simbol Perpaduan Rakyat di negeri ini.
OIeh itu, setiap pihak sama ada agensi kerajaan atau badan berkanun, NGO dan orang-orang perseorangan tanpa mengira ideologi masing-masing, perlulah membantu Baginda untuk menjalankan tugas berasaskan kepada konsep Raja Berperlembagaan, yang mengambil kira kepada kehendak rakyat sepertimana yang terjelma dalam keputusan proses demokrasi yang menjadi amalan dalam negara kita. Kehendak rakyat terkini dan restu Baginda adalah suatu yang seharusnya sejajar dan harmoni.
Amanah dan tanggungjawab yang dipikul oIeh Duli Yang Maha Mulia Sultan amatlah berat. Maka, kita selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Baginda, wajar memahami keadaan dan  seterusnya memberikan taat setia yang tidak berbelah-bagi kepada Baginda.
Di samping itu, kita juga perlu menghormati dan mematuhi peraturan yang dilaksanakan oIeh Ketua Pentadbir negeri ini dan para pegawainya, yang diberi amanah melaksanakannya. Di samping itu, kita hendaklah juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu dan pelaksanaan Akta Syariah dengan cara yang lebih bijaksana dan bertimbangrasa.
Dalam Islam, setiap orang yang beriman selain diperintahkan supaya mentaati Allah dan mentaati rasul-Nya, maka kita juga disuruh taat kepada pemerintah. Ini telah dijelaskan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala dengan Firman-Nya dalam surah An-Nisa' ayat 59:
   "Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah serta kepada Ulil-Amri daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya" .
Muslimin yang berbahagia,
Mengapakah  ketaatan kepada Ulil-Amri? sangat dituntut oIeh Islam?. Ini kerana, Ulil-Amri bertangggungjawab mengekalkan keamanan, kesejahteraan yang diamanahkan menjaga maslahah seluruh rakyat agar mereka sentiasa maju jaya, menikmati kehidupan yang baik serta diredhai Allah Subhanahu  Wata'ala.
Ibnu ‘Abas Radhiallahu ‘Anhu mentafsirkan maksud Ulil-Amri? dalam ayat ini ialah raja atau pemerintah. Dengan ini jelaslah, bahawa mentaati Ketua Negeri adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Hal ini dikuatkan lagi dengan sepotong hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu, Nabi s.a.w. telah bersabda:

(Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)
"Siapa yang mentaati Aku, sesungguhnya ia mentaati Allah, dan sesiapa yang menderhaka kepada aku,  maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah, sesiapa yang mentaati pemerintah, maka dia telah mentaati aku, dan sesiapa yang menderhakai pemerintah, maka dia telah derhaka kepada Aku " .
 Sidang Jumaat yang mulia,
Dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka contohnya, terdapat banyak bukti-bukti  yang menunjukkan betapa eratnya hubungan antara sultan dan rakyat jelata. Diumpamakan aur  dengan tebing, ini menjadikan Baginda Sultan disayangi oIeh rakyat jelata, ibarat pohon rimbun tempat berteduh, memayungi kesejahteraan kehidupan seluruh rakyat dan mengekalkan ketenteraman yang berpanjangan.
Jika kita mengimbas kembali sejarah keagungan Islam, Saiyidina Omar bin Al-Khattab Radhiallahu ‘Anhu merupakan bukti nyata dan jelas betapa seorang pemimpin yang berjaya menawan hati rakyat, menegakkan keadilan dan kebenaran, sehingga Baginda sanggup turun sendiri melihat kesengsaraan rakyat yang hidup dalam kesusahan pada zamannya . Begitu juga, Khalifah Omar bin Abdul Aziz Radhiallahu ‘Anhu berjaya membentuk sikap kesederhanaan, pemurah, pemaaf dan mengambil berat soal kebajikan rakyat, membantu golongan dho'if, fakir dan miskin, berpandukan konsep Al-‘adlu wal-ihsan. Kita harapkan agar kekuatan ekonomi negara kita tetap kukuh, kestabilan politik kita tetap mantap, mengekalkan keutuhan semangat juang yang tinggi, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air.
Semua pihak hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan menghina, mencela dan memfitnah pihak lain, kerana perbuatan tersebut amat dimurkai Allah Subhanahu Wata'ala sepertimana Firman-Nya dalam surah Al-Hujurat ayat 11:
"Wahai orang-orang yang beriman!, janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki ) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum wanita mencemuh dan merendah-rendahkan kaum wanita yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka".
 (An-Nahl:90)     

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta membantu kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu, agar kamu mengambil peringatan".

                              

                                                                      KHUTBAH KEDUA




Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmah dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.  Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.


Khutbah Jumaat Bacaan 11 Disember 2009

Monday, December 7, 2009

My PRACTICAL TRAINING (3nd week) - 2nd Edition

" ARchiteCTURE for LIFE "

(Project A)

Four storey office for UMNO at Taiping, Perak (Urban Infill)
- Schematic Design
:Layout plans
:Sections
:Elevations
:ACAD (technical)

(Project D)

Double storey bungalow  at Sungai Chua, kajang for Pn. Zulkhairiah binti Aman
- Project Implementation (Approval)
:Mechanical layout from ZNVA Associates (mechanical engineer) - Ir Muhammad Bin Uda

Khutbah Jumaat - 04 Disember 2009

" ARchiteCTURE for LIFE "

"ZAKAT RAHMAT BUAT UMMAH"
 Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan kita sentiasa berusaha melaksanakan tuntutan akidah dan keimanan iaitu mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, marilah kita berusaha memiliki sifat-sifat takwa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan amar makruf dan mencegah segala bentuk kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan usaha tersebut menjadikan kita hamba Allah yang mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah di dalam surah Alhaj ayat 41:

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, Dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan" .

Muslimin yang dikasihi Allah,

Ibadah zakat merupakan rahmat yang diberikan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala untuk hamba-hambaNya, sebagai tanda membuktikan sifat syukur terhadap segala nikmat yang diberikanNya kepada mereka.

Seseorang insan yang dikurniakan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala dengan pelbagai Nikmat seperti kekayaan, kesihatan dan lain-lain wajib menzahirkan rasa syukur di atas anugerah nikmat-nikmat tersebut dengan mengucapkan zikir dan tahmid. Bahkan, yang paling utama untuk membuktikan kesyukuran kita terhadap nikmat Allah ialah dengan mematuhi segala yang diperintahkan oIeh Allah Subhanahu Wata'ala termasuklah menafkahkan sebahagian harta yang dimilik kepada insan lain yang memerlukan pembelaan dan pertolongan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah al-Baqarah ayat 267 :

"Wahai orang-orang yang beriman!, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah maha kaya, lagi sentiasa terpuji".

Muslimin yang dikasihi sekalian,

Seseorang yang menunaikan zakat hartanya adalah merupakan suatu cara bagi membuktikan bahawa mereka mensyukuri Nikmat Allah, kerana setiap kali mereka berbuat demikian, Allah Subhanahu Wata'ala akan menggantikannya dan menambahkan pula dengan yang lain, sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Ibrahim ayat 7:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya!, jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras" .

Bagi orang-orang yang berzakat, Allah akan menambahkan nikmat-Nya samada dengan bertambah rezekinya di dunia ini atau bertambahnya pahala sehingga melayakkan mereka mencapai keredhaan Allah, iaitu menerima ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala berupa nikmat syurga di akhirat kelak.

Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang amat besar bagi hamba-hamba-Nya yang ikhlas menunaikan ibadah zakat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah al-Baqarah ayat 261:

"Bandingan (zakat dan sedekah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah maha luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya".

Ingatlah, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala telah memerintahkan dua malaikat yang tugasnya setiap hari berdoa untuk orang yang pemurah dan orang yang bakhil, seperti yang dinyatakan dalam sebuah Hadis dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Setiap pagi dua malaikat turun mendampingi seorang hamba. Yang satu berdoa: "Ya Allah, berikanlah ganti harta dermawan yang menyedekahkan hartanya". Dan yang satu lagi berdoa: "Ya Allah binasakanlah harta mereka yang bersikap bakhil".

Beruntunglah orang yang didoakan oIeh malaikat supaya hartanya bertambah; dan rugilah orang yang didoakan oIeh malaikat supaya hartanya dimusnahkan. Marilah kita merebut doa malaikat yang pertama dengan cara kita memastikan harta-harta yang kita miliki telah suci dan bersih dengan ditunaikan zakat.

Muslimin yang dikasihi sekalian,

Ingatlah!, Allah amat murka kepada hamba-hamba-Nya yang bersifat angkuh dan sombong serta ingkar melaksanakan suruhan-Nya. Apabila Allah mengurniakan kepada seseorang itu kekayaan, menjadikan mereka bersifat bakhil dan kedekut, maka mereka dianggap sebagai manusia yang ingkar dan melampaui batas. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Setiap tuan punya emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya, di hari kiamat kelak emas dan perak itu dibentuk menjadi kepingan api yang dipanaskan di dalam neraka jahannam. Lalu diselarkan kepada dahi, rusuk dan belakangnya. Setiap kali kepingan-kepingan api menjadi sejuk, dipanaskan semula lalu diselar semula. Setiap hari di akhirat tempoh masanya bersamaan dengan lima puluh ribu tahun usia dunia" .

Bayangkanlah!, sekiranya tempoh manusia yang bakhil itu disiksa satu hari di akhirat bersamaan dengan lima puluh ribu tahun usia dunia, Berapa lamakah mereka terpaksa menanggung azab siksa sekiranya dihumban ke dalam neraka bertahun-tahun lamanya?. Sesungguh amat berat azab yang terpaksa ditanggung oIeh manusia yang degil dan ingkar terhadap perintah Allah Subhanahu Wata'ala.

Justeru, marilah kita kembali kepada mentaati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Mohonlah ampun kepada-Nya atas segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan. Tiada jalan yang mudah

untuk selamat daripada neraka melainkan kita menjadi hamba Allah yang taat di samping berdoa dan merayu kepada Allah agar kita dijauhkan daripada azab di padang mahsyar dan siksaan yang amat pedih di dalam neraka jahanam.

Pastikan hasil pendapatan dan gaji yang diperolehi, emas dan perak yang dipakai atau disimpan, wang simpanan di bank, kumpulan wang simpanan pekerja yang telah dikeluarkan oIeh pencarumnya,saham-saham yang halal, perniagaan, pertanian dan penternakan telah dibersihkan dengan ditunaikan zakat. Sesungguhnya melalui zakat yang ditunaikan, segala harta yang kita miliki akan menjadi penyelamat diri kita daripada azab api neraka.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru kepada para jamaah sekalian, tunaikanlah kewajipan zakat tuan-tuan di Lembaga Zakat Selangor. Insya Allah, pihak Lembaga Zakat Selangor akan sentiasa memastikan wang-wang zakat yang tuan-tuan tunaikan akan sampai ke tangan asnaf yang berhak. Sekiranya kita mendapati di kawasan kejiranan kita terdapat golongan fakir miskin atau sesiapa yang wajar mendapat bantuan zakat, sila sampaikan maklumat tersebut kepada pihak Lembaga Zakat Selangor demi memastikan mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya.

"Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (faedah dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu, melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, sedangkan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan".





KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmah dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.



Khutbah Jumaat Bacaan 04 Disember 2009

Stail Inggeris tidak mahal (Kosmo)

" ARchiteCTURE for LIFE "

ALAM DAMAI

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

Ia juga sangat mudah dipraktikkan dan sesuai untuk semua jenis kediaman.


HIASAN dalaman bermotifkan gaya kedesaan Inggeris semakin banyak diaplikasikan di kediaman mereka yang sukakan suasana harmoni dan klasik dengan bunga ros merah jambu sebagai elemen utama.

Bunga itu merupakan lambang kebanggaan orang Inggeris kerana ia turut menjadi hiasan utama landskap di negara-negara Barat lain.

Kerana itulah, kedai perabot milik Wang Pin Hwa, 45, yang terletak di Subang Jaya, Selangor, dinamakan Pink Rose.

“Orang Malaysia dan Singapura ramai yang meminati konsep Inggeris namun tidak tahu di mana hendak mendapatkan barangannya,” bicara Pin Hwa.

Reka letak semua produk di kedai berkenaan tersusun indah bagaikan berada di ruang kediaman sebenar.

Menurut Pin Hwa, kebanyakan pelanggannya lebih meminati lukisan dinding dan almari kerana ia mempunyai sentuhan ala Inggeris yang kuat dengan kemasan bunga ros merah jambu.

Paling senang

“Pelanggan sukakan lukisan dinding ala Inggeris kerana ia tampak abstrak dan cantik. Bunga ros pula ada banyak jenis.

“Kebanyakannya ialah dari negara Amerika Syarikat, Australia, England, Itali, Belanda dan Australia.

“Belanda lebih kepada hiasan berwarna biru. Tapi orang lebih sukakan corak Inggeris berbanding Belanda.

“Biasanya saya akan pergi ke negara-negara tadi untuk mendapatkan idea bagi produk saya,” katanya yang berasal dari Singapura.

DARI ATAS IKUT ARAH JAM: PADANAN warna sejuk yang mendamaikan.
UBAH suai perabot mengikut kesesuaian supaya sentiasa kelihatan menarik.
KOMBINASI warna lembut dan garang di dalam set bilik tidur.
KEUNIKAN jam dinding yang dihiasi corak bunga.

Difahamkan, semua barangan tersebut kalau dijaga dengan elok boleh bertahan selama 20 tahun bergantung pada pemiliknya. Namun, ia tidak sesuai diletakkan di luar rumah kerana tidak boleh bertahan lama di bawah sinaran matahari dan hujan.

Pin Hwa berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan yang berusia 40-an.

Tambahnya, bagi yang meminati kemasan gaya Inggeris, mereka perlulah bijak menyusun atur perabot dengan ruang kediaman supaya tidak nampak berselerak.

PUTIH dan krim merupakan elemen utama dalam penataan gaya Inggeris.

“Bergantung pada kediaman itu sendiri, jangan letakkan terlalu banyak barang jika keluasan rumah tidak besar. Minimumkan jenis barangan dan pilih warna lembut untuk menampakkannya lebih luas.

“Dalam bilik pula sesuai diletakkan bingkai gambar bersaiz kecil atau sederhana supaya bilik itu tidak kelihatan kecil.

“Di dalam bilik air pula, tempatkan sebuah pasu bunga kecil yang berwarna kuning atau merah untuk menaikkan mood segar.

“Lukisan dinding pula seeloknya diletakkan di ruang tamu supaya tetamu dapat melihat keindahan lukisan itu.

“Tetapi elakkan meletakkan lukisan bunga pada dinding yang mempunyai kertas dinding yang berbunga kerana ia akan menenggelamkan keunikan lukisan tersebut,” terang beliau panjang lebar.


Pin Hwa juga berpendapat hiasan ala Inggeris boleh memberikan kepuasan dalam membina kediaman impian mereka.

“Konsep ini adalah yang paling senang. Ia juga melambangkan ketenangan seperti suasana di negara-negara Barat.

“Malah semua orang mampu memiliki kediaman seperti ini. Tak semestinya orang berada sahaja sebab golongan berpendapatan sederhana juga mampu memperolehnya,” katanya yang turut mengecat sendiri dan membaiki semula perabot berpadukan maklum balas daripada pelanggan.

Diminati lelaki

Berbicara tentang tema yang sama, pereka hiasan dalaman, Nor Cahaya Budin, 47, memberitahu golongan lelaki turut mempunyai minat yang mendalam terhadap kediaman berkonsepkan Inggeris.

Ini kerana katanya, tema Inggeris sentiasa hangat sepanjang masa, serta merentasi zaman dan sempadan negara.

“Bagi golongan yang meminati konsep ini, mereka biasanya seorang yang berjiwa lembut dan sukakan ketenangan. Putih juga melambangkan kebersihan, kelembutan dan boleh merehatkan jiwa.

“Trend ini tak pernah luput. Ia sangat mudah dipraktikkan dan sesuai untuk semua jenis kediaman,“ tutur Nor Cahaya, pemilik butik Cahaya Accents di Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Minat yang mendalam kepada kerja menghias menyebabkan Nor Cahaya sering diberi kepercayaan oleh kawan dan jiran untuk menata kediaman mereka.

“Saya seorang yang sangat gemar menghias rumah dan hiasannya mestilah sesuatu yang unik. Malah saya sentiasa mengubah bentuk hiasan rumah mengikut trend semasa supaya tak jemu melihat suasana yang sama.

“Namun, setelah memilih gaya Inggeris, saya merasa makin terpikat dan ingin mengekalkannya buat masa ini,” ungkapnya.

Selain berbakat mencipta sendiri perabot, Nor Cahaya juga kreatif menghasilkan produk kraf tangan serta perhiasan rumah terutama menggunakan teknik decoupage.

ATAS: ELEMEN bunga ros yang menjadi lambang kebanggaan orang Inggeris.
TENGAH (DARI KIRI KE KANAN): KEPELBAGAIAN koleksi hiasan yang cantik dipandang.
KEMASAN bunga sentiasa menjadi pilhan.
TARIKAN hiasan dinding.
BAWAH: PETI surat penyeri laman rumah.

Setiap sudut rumahnya dihias mengikut konsep Inggeris. Malah beliau sanggup berbelanja lebih untuk memiliki perhiasan itu.

“Ada berbagai-bagai cara untuk memiliki kediaman bertemakan Inggeris. Bagi yang berpendapatan sederhana, mereka boleh ambil barang-barang lama dan catkan warna putih semula.

“Warna yang paling sesuai untuk kediaman berkonsep Inggeris adalah putih dan krim. Tapi biasanya orang Melayu tak suka sangat warna putih.

“Lebih-lebih lagi yang memiliki anak kecil. Jadi warna krim selalu menjadi pilihan.

“Kalau nak memilih kualiti kayu pula, lebih baik beli perabot yang diperbuat dari kayu oak dan juga pain kerana ia lebih kuat dan tebal,” katanya.
Related Posts with Thumbnails